+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pohon Bantuan Kerajaan Menerusi Saluran Sah, Bukan TikTok - MOF

Benarkah...

Bantuan kerajaan boleh dipohon menerusi aplikasi TikTok.

Sumber : WhatsApp / Februari 2024

Hasil

Sebarang permohonan rasmi bantuan kerajaan perlu dipohon menerusi laman sesawang MOF atau agensi berkaitan sahaja.

12/04/2024 12:15 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menerusi WhatsApp bahawa orang ramai boleh mohon bantuan kerajaan menerusi aplikasi TikTok.
  • Kementerian Kewangan (MOF) sahkan dakwaan berkenaan tidak benar.
  • Orang awam yang ingin memohon bantuan kerajaan dinasihatkan menggunakan saluran rasmi yang disediakan MOF.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Sejak kebelakangan ini, kes penipuan atau scammer melibatkan bantuan kerajaan sama ada dalam bentuk kewangan atau sumbangan makanan asas semakin berleluasa di laman media sosial.

Media sosial menjadi tumpuan scammer kerana ia platform paling mudah untuk mencapai audien yang luas bagi memperdaya orang ramai.

Kebiasaannya, pihak scammer akan menggunakan logo MOF atau kerajaan MADANI bagi meyakinkan orang ramai bahawa ia merupakan saluran bantuan kerajaan yang sahih.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej daripada orang awam menerusi WhatsApp yang bertanyakan tentang kesahihan bantuan kerajaan melalui TikTok.

Dikatakan terdapat dua akaun TikTok yang memaparkan pelbagai bantuan kerajaan yang boleh dipohon orang ramai melalui platform terbabit.

Dua akaun tersebut adalah @info.bantuan.kerajaan dan @bantuankerajaan2024.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Jumlah Pengikut Yang Ramai

Pemerhatian MyCheck mendapati kedua-dua akaun tersebut mempunyai ramai pengikut (followers) dan satu daripadanya memaparkan logo Malaysia MADANI. Ini mungkin memberikan gambaran palsu tentang kesahihan akaun tersebut.

Akaun @info.bantuan.kerjaan mempunyai hampir 18 ribu pengikut manakala @bantuankerajaann2024 diikuti hampir 20,000 akaun.

Antara bantuan yang dipaparkan ialah pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selain bantuan khas kerajaan yang pernah diumumkan kerajaan MADANI.

Kedua-dua pemilik akaun TikTok berkenaan turut menyertakan pautan bagi memudahkan orang ramai memohon bantuan kerajaan di bahagian profil.

 


Sumber: TikTok

 

Pautan Meragukan

Kami turut menyemak kesahihan pautan yang disediakan pada bahagian profil kedua-dua akaun TikTok berkenaan.

Kebiasaannya domain pautan digunakan pada laman sesawang agensi kerajaan akan berakhir dengan domain “gov.my” yang merujuk kepada “government of Malaysia” (kerajaan Malaysia).

Namun, domain pautan yang digunakan pada akaun TikTok @bantuankerajaann2024 berakhir dengan domain “id” yang biasanya merujuk kepada laman sesawang Indonesia.

Di sini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua akaun TikTok berkenaan dikendalikan oleh pihak ketiga dan bukannya daripada mana-mana agensi kerajaan Malaysia.

Malah, jika pautan di profil @info.bantuan.kerjaan diklik, pengguna akan dibawa ke sebuah ‘channel’ aplikasi Telegram yang mengandungi iklan jawatan kosong.

 

Kemungkinan Ancaman ‘Phishing’

Apabila kami menekan pautan di bahagian profil akaun TikTok @bantuankerajaann2024, kami diminta mengisi nama serta nombor telefon bagi membuat semakan status bantuan.

Di sini kami sedar ada kemungkinan pautan tersebut membawa ancaman ‘phishing’ atau pancingan data. Namun, kami mengisi maklumat yang diminta dengan menggunakan nombor telefon khas bagi tujuan penyiasatan.

Setelah kami menekan butang ‘semak status’, kami diminta mengisi kata laluan satu kali (OTP), walaupun tidak menerima sebarang kod OTP.

Berbeza pula dengan akaun TikTok @info.bantuan.kerjaan, pautan di bahagian profil akan membawa pengguna ke laman Telegram yang memaparkan iklan kerjaya.

Sebagai perbandingan, sekiranya seseorang individu ingin memohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pemohon hanya diminta untuk memasukkan nombor kad pengenalan serta kata laluan bagi menyemak status sama ada layak memohon atau sebaliknya.

 


Sumber: Laman sesawang Sumbangan Tunai Rahmah

 

Sebagai rekod, pihak MyCheck pernah mengeluarkan artikel mengenai isu pautan bantuan kerajaan yang meragukan bertajuk Pautan Semakan Bagi Menuntut Wang RM1,000 Dalam MyKad Adalah Palsu yang diterbitkan pada 16 September 2023.

 

Hebahan Bukan Daripada MOF

Kebiasaannya sebarang hebahan bantuan kerajaan yang sudah diumumkan perdana menteri akan disiarkan di laman sesawang MOF dan agensi di bawahnya seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu hebahan bantuan kerajaan akan turut dipaparkan di laman sosial MOF iaitu TikTok, Facebook, platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), YouTube dan Instagram.

Kami menatal maklumat mengenai isu berkenaan di beberapa laman sosial dan mendapati MOF pernah mengeluarkan kenyataan ringkas mengenai perkara tersebut pada 18 Feb lepas.

Menurut hantaran MOF di laman Facebook mereka, maklumat yang disebarkan di kedua-dua akaun TikTok berkenaan adalah palsu.

MOF turut meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai berita yang disiarkan di media sosial mengenai bantuan kewangan kerajaan.

Sebaliknya, orang ramai  dinasihatkan melayari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dan sahih mengenai sebarang bantuan daripada kerajaan.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kewangan

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini adalah tidak benar kerana sebarang bantuan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri akan disiarkan di laman sesawang MOF serta agensi berkaitan dan bukannya daripada pihak ketiga.

Selain itu, pengumuman bantuan kerajaan MADANI turut disiarkan di semua platform media sosial MOF dan bukannya media sosial tertentu sahaja.

Nasihat kami, layari portal rasmi MOF atau semak laman sosial MOF bagi mendapatkan perkembangan terkini atau menentusahkan sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Tiktok | info bantuan kerjaan

  2. Tiktok | bantuan kerajaann 2024

  3. Laman sesawang Kementerian Kewangan

  4. Facebook | Kementerian Kewangan | 18 Feb 2024

  5. Laman sesawang Sumbangan Tunai Rahmah

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.