+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Dianjurkan Secara Tahunan Mengikut Tarikh Diputuskan JAKIM

Benarkah...

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tidak dianjurkan pada tahun 2024?

Sumber : Facebook, WhatsApp / April 2024

Hasil

MTHQK akan berlangsung selama enam hari (23 - 28 Mei 2024) di Kuantan, Pahang. Ini seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku  jawatankuasa induk majlis.

03/04/2024 10:01 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di media sosial bahawa tiada penganjuran MTHQK pada tahun 2024. 

  • JAKIM selaku jawatankuasa induk MTHQK telah menetapkan majlis peringkat kebangsaan itu bakal diadakan dari 23 hingga 28 Mei 2024 di Kuantan, Pahang.

  • Penetapan lokasi dan tarikh majlis itu dibuat pada Februari 2024.

  • MyCheck mendapati berdasarkan sejarah penganjuran tahunan majlis berkenaan sejak 1981, MTHQK turut dianjurkan pada bulan selain bulan Ramadan.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp berhubung dakwaan Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tidak lagi dianjurkan bagi tahun 2024.

Mesej itu disertakan dengan tangkap layar hantaran Facebook yang membangkitkan isu tersebut.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Dakwaan seperti ini pastinya menimbulkan persoalan dan kegusaran ramai khususnya bagi umat Islam, lebih-lebih lagi apabila dakwaan ini timbul pada bulan Ramadan.

Namun benarkah dakwaan itu? Jom ikuti MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Setelah meneliti dakwaan yang diterima, MyCheck ke laman Facebook bagi menelusuri isu ini dengan lebih mendalam.

Menggunakan beberapa kata kunci kami temui beberapa hantaran yang dimuat naik seperti di sini.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Bakal Diadakan Pada 23 Mei 2024.

Seterusnya, MyCheck beralih ke platform Google bagi mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci.

Menggunakan kata kunci “Majlis Tilawah Al-Quran 2024” di carian Google, kami menjumpai beberapa artikel yang dilaporkan media tempatan.

 


Sumber: Google

 

Memetik laporan yang diterbitkan pada 13 Februari 2024, majlis itu sebenarnya bakal dilangsungkan selama enam hari bermula 23 Mei ini.

 


Sumber: Astro Awani

 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri berbesar hati menganjurkan majlis itu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang kerana kali terakhir Pahang menjadi tuan rumah ialah pada 2014.

Beliau turut memberikan maklumat lanjut tentang bakal peserta.

"Difahamkan seramai 29 orang akan menyertai kategori tilawah iaitu 14 qari dan 14 qariah serta seorang johan menunggu.

"Seramai 84 orang pula akan menyertai kategori hafazan iaitu masing-masing 42 peserta lelaki dan wanita," beliau dilaporkan berkata selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk majlis itu pada Februari lalu.

Dalam laporan itu, beliau turut menyifatkan pemilihan Pahang selaku penganjur sebagai penghormatan oleh kerajaan persekutuan menerusi JAKIM kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, kami turut temui hantaran yang dimuat naik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan yang menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

 


Sumber: Facebook

 

“Saya tegaskan bahawa kenyataan ini adalah sama sekali tidak benar. JAKIM telahpun menetapkan bahawa Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei 2024 di Kuantan, Pahang.

“…dan Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Antarabangsa akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober 2024,” katanya menerusi hantaran Facebook pada 3 April.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk bersama-sama menyemak kebenaran fakta sebelum menyebarkannya.

Selain itu, kami temui hantaran yang dimuat naik JAKIM selaku pengelola penganjuran MTHQK.

Anda boleh lihat hantaran itu di bawah.

 


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Mula Diadakan Di Luar Ramadan Sejak 1981

Berbalik kepada dakwaan tular, ada yang mempersoalkan penganjuran majlis itu yang tidak dilangsungkan pada bulan Ramadan.

Bagi menjawab persoalan ini, kami ke portal rasmi penganjur MTHQK bagi mendapatkan latar belakang majlis tersebut.

 


Sumber: MTHQK

 

Menurut sejarah MTHQK, bermula pada 1981, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa diadakan secara berasingan. Mulai tahun itu juga Majlis Tilawah diadakan pada luar bulan Ramadan.

Bagaimanapun bagi mengukuhkan semakan, MyCheck mendapatkan maklum balas mereka yang ahli.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd tiada masa tertentu yang dikhususkan untuk membaca dan mempelajari kitab suci berkenaan.

“Tidak semestinya majlis Tilawah al-Quran diadakan dalam bulan Ramadan. Cuma, sesetengah umat Islam lebih suka majlis tilawah al-Quran diadakan pada bulan puasa sempena dengan penurunan kitab suci pada bulan Ramadan,” katanya ketika dihubungi MyCheck.

Selain itu difahamkan penyertaan MTHQK disertai para Qari dan Qariah yang mewakili negeri-negeri di Malaysia, iaitu johan Qari dan johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri berkenaan.

Kemudian johan Qari dan Qariah peringkat tersebut akan dibawa bertanding pada MTHQK 2024.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dakwaan bahawa Majlis Tilawah Al-Quran 2024 tidak dianjurkan sama sekali pada tahun ini adalah tidak benar.

Majlis itu telah dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 28 Mei 2024 bagi peringkat kebangsaan, manakala bagi peringkat antarabangsa akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober 2024 di Kuantan, Pahang.

Berdasarkan himpunan maklumat yang telah kami semak, MyCheck dapati dakwaan yang dibangkitkan tidak berasas. Ini kerana pencerahan tentang isu ini boleh diakses dengan mudah melalui carian di Google dan laman web rasmi pihak berkaitan.

Tambahan pula, laman web rasmi MTHQK jelas menyatakan tiada pengkhususan masa yang ditetapkan bagi penganjuran majlis tilawah dan ia tidak semestinya diadakan pada bulan Ramadan.

Malah, setiap tahun tarikh yang ditetapkan bagi majlis itu juga berlainan. Ia berdasarkan tarikh-tarikh yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Elakkan berkongsi hantaran bersifat sensitif tanpa menentusahkan maklumat itu terlebih dahulu. Ini demi menjaga keharmonian masyarakat sejagat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook | Sna Jya | 3 April 2024

  2. MTHQK I Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 

  3. Astro Awani I Pahang tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kebangsaan 2024 |  Februari 2024 

  4. Facebook I Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM I 3 April 2024 

  5. Facebook I YB Senator Dr. Zulkifli Hasan I 3 April 2024 

  6. MTHQK | PERATURAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN (Pindaan 2016) 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.