+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Skim Perubatan Madani Masih Wujud, Ia Ditambah Baik Dan Tertumpu Di 10 Daerah Terpilih

Benarkah...

Skim Perubatan Madani Telah Ditamatkan?

Sumber : WhatsApp, platform X (Twitter) / Februari 2024

Hasil

Skim itu diteruskan dan diperkemaskan dengan memberi tumpuan kepada 10 daerah terpilih bagi memantapkan operasi serta meningkatkan keberkesanannya.

08/03/2024 03:48 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di media sosial kononnya inisiatif Skim Perubatan Madani yang membabitkan rawatan percuma di klinik perubatan swasta (GP) telah ditamatkan.
     
  • Skim itu sebenarnya masih diteruskan. Ia ditambah baik dengan ditumpukan kembali kepada 10 daerah memerlukan dan mempunyai masalah kesesakan kritikal.
     
  • Langkah itu bagi memantapkan operasi selain mengimbangi dan mengambil kira kemampanan pembiayaan kewangan semasa kerajaan.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sistem kesihatan di Malaysia mengenakan bayaran perubatan dan kesihatan yang termurah di dunia, meskipun nilai kos rawatan semakin meningkat.

Apa tidaknya, dengan hanya RM1 sahaja, rakyat Malaysia boleh mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik kesihatan dan hospital-hospital kerajaan, manakala RM5 untuk berjumpa dengan doktor pakar. Ubat-ubatan pula diberikan percuma.

Caj yang rendah itu menyaksikan berlakunya kesesakan di premis-premis kesihatan kerajaan kerana menjadi tumpuan rakyat terutamanya bagi golongan B40 untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Oleh sebab itu pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mendepani masalah tersebut, termasuklah pengenalan Skim Perubatan Madani.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej melalui WhatsApp mengenai desas-desus kononnya Skim Perubatan Madani telah ditamatkan.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Dakwaan sebegini sudah pasti kedengaran agak janggal kerana jika skim berkenaan benar-benar memberi manfaat besar kepada rakyat terutamanya untuk golongan sasar, mengapa dengan tidak semena-mena, ia tidak diteruskan?

Namun, benarkah dakwaan itu? Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Skim Perubatan Madani?

Sebelum kita menelusuri isu ini dengan lebih mendalam sekali gus bagi mendapatkan pemahaman yang lebih jelas, MyCheck terangkan terlebih dahulu apakah sebenarnya skim ini.

Pada 24 Feb 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif Skim Perubatan Madani ketika membentangkan Belanjawan 2023.

Skim itu bertujuan untuk mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan, selain membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik-klinik swasta yang berdaftar.

Skim itu ditawarkan secara automatik untuk kemudahan golongan yang berkelayakan dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula 15 Jun 2023 hingga 31 Dis 2023, mengikut kategori iaitu Isi Rumah Berkeluarga (RM250), Warga Emas (tanpa pasangan) (RM125) dan Bujang (RM75).

Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk skim itu yang dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah.

 


Sumber: Bernama

 

Skim Perubatan Madani Adalah Projek Rintis

Berdasarkan carian maklumat di Google berhubung isu ini, kami dapati program Skim Perubatan Madani adalah projek rintis yang diwujudkan oleh KKM bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital awam.

Projek rintis adalah kajian awal berskala kecil yang dijalankan untuk menilai kebolehlaksanaan, tempoh, kos atau penambahbaikan reka bentuk kajian sebelum melaksanakan projek berskala penuh.

Justeru, kerelevanan untuk memahami skim ini sebagai suatu projek rintis adalah cukup  penting sebelum kita membuat sebarang penilaian menyeluruh.

Jika anda teliti siaran media bertarikh 15 Jun 2023 sewaktu inisiatif skim ini bermula, projek ini sepatutnya hanya dilaksanakan sehingga 31 Dis 2023 yang membabitkan 10 buah daerah bagi fasa satu.

Namun, pelaksanaan skim itu diperluaskan ke fasa dua yang melibatkan pertambahan 11 lagi buah daerah pada Ogos 2023.

 


Sumber: Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

 

Sementara itu bagi fasa tiga, KKM menyasarkan pelaksanaannya bermula pada September 2023 dengan menambah lokasi lain.

Bagaimanapun pada 26 Feb 2024, memetik kenyataan daripada anak syarikat KKM iaitu ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) yang merupakan pelaksana Skim Perubatan Madani, skim tersebut akan hanya memberi penumpuan kepada 10 daerah terpilih.

Daerah itu membabitkan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya dan Klang (Selangor), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), kawasan Timur Laut Pulau Pinang, Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

 


Sumber: Facebook ProtectHealth

 

Selain itu menurut ProtectHealth, kelayakan penerima juga akan difokuskan kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah yang ditetapkan sahaja.

Klinik swasta yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan itu boleh terus menyediakan perkhidmatan di bawah skim tersebut, manakala pesakit yang pernah menerima rawatan boleh menggunakan kemudahan tersebut sehingga peruntukan skim digunakan sepenuhnya.

Berdasarkan pemerhatian ProtectHealth, kesesakan di fasiliti KKM telah bertambah baik sejak skim ini dilancarkan.

 

SPM Tidak Dihentikan Sepenuhnya, Hanya Ditumpukan kepada 10 Daerah

Disebabkan isu ini tular di media sosial, MyCheck seterusnya mencari respons atau kenyataan rasmi daripada KKM sendiri.

 


Sumber: Berita Harian

 

Pada 29 Feb 2024 ketika di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan bahawa inisiatif tersebut dihentikan sepenuhnya, malah menyifatkan dakwaan yang kononnya skim itu dibatalkan adalah kenyataan mengelirukan.

Beliau berkata ketika ini masih terdapat GP yang melaksanakan inisiatif kesihatan itu membabitkan fasa pertama pelaksanaan di 10 daerah yang dilancarkan pada 15 Jun 2023

“Bermula 26 Feb lepas, Skim Perubatan Madani menumpukan operasi dengan memberi tumpuan kepada 10 daerah bagi tujuan memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi dalam mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti KKM, memandangkan kesesakan di fasiliti KKM daerah lain telah berkurangan,” menurut Dr Dzulkefly. 

Bagi mencapai objektif mengurangkan kesesakan, beliau berkata inisiatif-inisiatif KKM termasuk pelaksanaan waktu operasi tambahan di klinik-klinik kesihatan yang dikenal pasti dan Skim Perubatan Madani, akan diselaraskan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada perkembangan dan keperluan.

 

Peruntukan RM100 Juta Untuk Pelaksanaan Skim

Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa skim itu ditumpukan kembali kepada 10 daerah fasa satu selepas mengambil kira kemampanan pembiayaan kewangan semasa kerajaan.

Beliau berkata berdasarkan perbelanjaan lepas dan unjuran semasa, anggaran perbelanjaan seminggu di 10 daerah dalam fasa satu adalah RM1.7 juta dan kerajaan dijangka memerlukan RM12 juta hingga RM15 juta seminggu jika mahu melaksanakannya di seluruh negara.

Mengenai peruntukan RM100 juta yang disalurkan di bawah Belanjawan 2024 untuk pelaksanaan skim tersebut, Menteri Kesihatan itu berkata sebanyak RM78.73 juta sudah dibelanjakan bagi skim perubatan itu dan masih berbaki RM16.2 juta setakat ini.

Beliau menganggarkan peruntukan perbelanjaan itu dijangka habis pada April 2024 ini.

“Dengan perbelanjaan begitu besar, saya ingin tekankan dalam pembikinan dasar kesihatan, pertamanya mesti memenuhi hasil kesihatan lebih baik, mampan dan juga pembiayaan lebih manfaat serta berjangka jauh," katanya.

 

Tambah Baik Program SPM

Ketika MyCheck mendalami isu ini dengan lebih terperinci, kami dapati terdapat beberapa aspek yang menjadi faktor KKM menumpukan skim ini kepada hanya 10 daerah.

 

1. 10 daerah yang dipilih mengikut trafik kesesakan fasiliti perubatan awam. 

Disebabkan program ini adalah projek rintis, inisiatifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan KKM di kawasan bandar.

Ia juga bertujuan memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi memandangkan kesesakan di fasiliti KKM daerah lain telah berkurangan.

 

2. Penyelarasan program agar tiada pertindihan fungsi. 

Oleh yang demikian, KKM bertindak menambah baik skim ini sekali gus menyelaraskan fungsi agar tidak berlaku pertindihan.

Bagi orang awam atau pesakit selain daripada 10 daerah yang ditetapkan itu, mereka boleh mendapatkan rawatan terus di klinik-klinik kesihatan atau fasiliti awam, khususnya bagi yang membabitkan kes-kes akut.

Malah Dr Dzulkefly sendiri mengesyorkan rakyat khususnya golongan B40 untuk memanfaatkan juga program kesihatan lain seperti PekaB40 dan Program Madani Afiat.

Selain itu, MyCheck turut membuat carian di media sosial bagi mendapatkan perspektif dan reaksi  yang lebih meluas.

Kami menemukan satu hantaran oleh seorang pengguna platform X, @farhaz98 yang menyatakan bahawa hanya 10 daerah kini mempunyai masa menunggu yang kritikal untuk klinik kesihatan dan Klinik Pesakit Luar Hospital Besar kerana bilangan penduduk yang tinggi.

Namun, bagi daerah lain orang ramai boleh ke klinik kesihatan dan klinik pesakit luar masing-masing.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan yang dibuat, dakwaan bahawa Skim Perubatan Madani telah dihentikan sepenuhya adalah tidak benar.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah usaha penambahbaikan sedang dilakukan terhadap pelaksanaan skim sedia ada dengan cara menyelaraskan semula dan memberi tumpuan kepada daerah-daerah yang dikenal pasti.

Tindakan ini juga bagi memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi serta menyeimbangkan kos pelaksanaan skim terbabit.

Malah, hasil semakan MyCheck juga mendapati skim ini adalah projek rintis yang bertujuan mengurangkan kesesakan di fasiliti awam, justeru setelah masalah ini dapat dikurangkan, tumpuan diberi kembali kepada 10 daerah yang memerlukan.

--- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. MalaysiaMadani | Manfaatkan skim perubatan MADANI | 18 August 2023
  2. Protect Health | PROTECTHEALTH MENYAMBUT BAIK PERUNTUKAN BELANJAWAN 2024 UNTUK SKIM PERUBATAN MADANI | 13 Oktober 2023
  3. MREM |  Penerima STR Boleh Dapatkan Rawatan Skim PErubatan Madani Bermula 15 Jun 2023 | 15 Jun 2023
  4. NIH | Introduction of a pilot study | 14 November 2017
  5. Astro Awani | Skim Perubatan MADANI Akan Diperluas | 17 Ogos 2023
  6. Facebook | ProtectHealth Corporation | 26 Februari 2024
  7. Berita Harian | KKM nafi Skim Perubatan MADANI dihentikan, dakwaan inisiatif batal mengelirukan - Dr Dzulkefly | 29 Februari 2024
  8. Harian Metro | RM78.73 juta dibelanja untuk Skim Perubatan Madani setakat ini | 29 Februari 2024 
  9. x | @farhaz98 | 1 Mac 2024

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.