+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Isu Warga China Miliki MyKad Berlaku Pada 2019. MyKad Bukan Diperoleh Secara Sah Tetapi Melalui Sindiket Haram

Benarkah...

Seorang lelaki warganegara China peroleh MyKad secara sah?

Sumber : Platform X / Februari 2024

Hasil

Individu tersebut memiliki MyKad melalui sindiket penjualan MyKad secara haram. Lelaki itu telah diusir, manakala pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat sudah didakwa.

05/03/2024 05:53 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular ciapan di platform X mendakwa terdapat individu warganegara China memiliki kad pengenalan Malaysia (MyKad).
  • Semakan MyCheck mendapati isu itu berlaku pada 2019 dan ditularkan semula. Warga China terbabit membayar RM400,000 bagi mendapatkan MyKad, lesen memandu dan pasport melalui sindiket haram.
  • Pegawai JPN yang terlibat telah pun didakwa di mahkamah manakala warga China terbabit diusir pulang ke negara asalnya.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Pemberian kad pengenalan kepada mana-mana individu bukan warganegara tidak dibuat secara semberono, bahkan sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terjamin.

Setiap permohonan akan melalui tapisan ketat yang sangat menyeluruh dan teliti. Ini bagi memastikan hanya yang benar-benar layak sahaja dianugerahkan taraf kewarganegaraan tersebut.

Justeru ada yang mengambil jalan singkat dengan 'membeli' MyKad melalui sindiket haram. Ia menimbulkan kemarahan dan kegusaran ramai, lebih-lebih lagi apabila sindiket tersebut melibatkan pegawai yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang berkaitan.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej berserta satu pautan (link) menerusi WhatsApp mengenai dakwaan terdapat seorang lelaki warganegara China yang mempunyai kad pengenalan diri Malaysia.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Orang awam yang berkongsi mesej itu turut bertanyakan sama ada benarkah individu warga asing boleh memiliki MyKad dengan mudah.

Sudah tentu, isu seperti ini boleh menimbulkan kekecohan dan kemarahan orang ramai kerana taraf kewarganegaraan Malaysia tidak seharusnya diberikan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya.

Namun, benarkah dakwaan itu? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Setelah meneliti mesej yang diterima, MyCheck mulakan semakan dengan mengklik pada pautan yang disertakan. Pautan itu membawa kepada satu hantaran di platform X.

 


Sumber: Platform X

 

Kami dapati hantaran tersebut mengundang reaksi ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak berpuas hati, sekiranya benar terdapat lambakan pendatang tanpa izin di Malaysia diberi dokumen sah seperti MyKad.

 

Kes Sebenarnya Berlaku Pada 2019

MyCheck seterusnya membuat carian di Google bagi mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh.

Menggunakan kata kunci “warga China dapat Mykad”, kami dapati isu ini telah dilaporkan oleh beberapa media tempatan seperti di sini, di sini dan juga di sini dengan memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menerusi hantaran di laman sosial miliknya termasuk di platform Twitter (kini dikenali sebagai X) pada 17 Jun 2023, Saifuddin Nasution menafikan kes tersebut berlaku ketika di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan bahawa kes tersebut berlaku pada 2019 dan sengaja ditularkan semula bagi mencalarkan imej kerajaan.

 


Sumber: Platform X

 

Beliau turut menegaskan pegawai JPN yang terlibat juga sudah ditangkap, disiasat dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Pemegang MyKad itu pula telah diusir balik ke negara asalnya,” menurutnya.

 

JPN Tidak Akan Lindungi Kakitangan Terlibat Komplot

Disebabkan isu ini melibatkan pegawai JPN sendiri,  kami seterusnya mencari kenyataan rasmi daripada pihak berwajib tersebut. Kami menemukan kenyataan media JPN yang turut dimuat naik di akaun Facebook jabatan itu bertarikh 16 Jun 2023.

Menerusi hantaran yang merujuk kepada kes tangkapan seorang pegawai JPN di Pulau Pinang pada 2019 itu, JPN berkata perbicaraan kes berkenaan sedang berjalan dan tertuduh masih ditahan di penjara.

“Siasatan telah dilakukan oleh pihak berwajib ketika itu dan pegawai telah pun ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“JPN ingin mengulangi pendirian tegas, jabatan ini tidak akan sama sekali melindungi mana-mana kakitangan yang didapati terlibat dalam sebarang kegiatan yang menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara,” menurut hantaran itu.

 


Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara

 

Isu Sindiket Haram Pengeluaran Dokumen Palsu Kepada Warga Asing

MyCheck turut membuat carian maklumat bagi mengetahui latar belakang kes sindiket penjualan MyKad ini. 

Menggunakan beberapa kata kunci di carian Google, kami menemukan laporan berita berhubung isu ini. 

Individu China tersebut, Wang Dequn yang juga merupakan saksi utama sindiket penjualan Mykad itu memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada asalnya beliau hanya berhasrat untuk mendapatkan pasport migrasi pelaburan bagi memudahkan urusan perniagaan di Malaysia.

Beliau membayar sebanyak RM400,000 kepada sindiket berkenaan sebelum diberikan MyKad dengan nama Ewe Chor Beng untuk proses membuat pasport.

 


Sumber: Berita Harian

 

Wang Dequn yang berasal dari Shandong, China dan turut memiliki pasport negara Vanuatu berkata beliau sering berulang-alik antara China dan Malaysia sejak 2017 untuk menguruskan beberapa projek membabitkan syarikat bahan binaan miliknya.

“Saya tidak tahu prosedur yang betul untuk mohon (pasport migrasi pelaburan). Kemudian, saya berjumpa seorang lelaki bernama Liw Ge di Thailand pada sekitar Jun dan Julai 2018 melalui seorang rakan.

“Liw Ge tahu niat saya dan dia beritahu ada satu saluran untuk dapatkan pasport Malaysia yang sah, tetapi perlu bagi sedikit wang,” katanya pada prosiding deposisi yang dijalankan dalam Bahasa Mandarin.

Lelaki warga China itu telah diusir pulang ke negaranya pada 13 Nov 2019.

 

Syarat-Syarat Mohon Kewarganegaraan

Warga asing yang mendapatkan taraf kewarganegaraan melalui sindiket haram adalah jelas menyalahi undang-undang kerana tidak melalui kaedah yang sah mengikut Perlembagaan Negara.

Status kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan, yang hanya boleh diberikan kepada pemohon melalui tatacara di bawah Perlembagaan Persekutuan Bahagian III.

Menurut JPN, syarat asas bagi memperoleh kewarganegaraan adalah seperti berikut:

  1. Pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Warganegara semasa mengemukakan permohonan.
  2. Pemohon hendaklah berumur 21 tahun ke atas pada tarikh permohonan dikemukakan.
  3. Pemohon telah bermastautin dalam Persekutuan selama tempoh kesemuanya tidak kurang daripada 10 tahun dalam 12 tahun termasuk 12 bulan terdahulu pada tarikh permohonan dikemukakan.
  4. Pemohon berniat untuk bermastautin dalam Persekutuan selama-lamanya.
  5. Pemohon berkelakuan baik.
  6. Pemohon mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai.
  7. Pemohon hendaklah ditaja oleh dua orang penyokong bertaraf warganegara berumur 21 tahun ke atas, tiada talian persaudaraan, bukan orang yang diupah atau peguambela atau peguamcara dengan pemohon.
  8. Mengisi Borang C dengan lengkap dan sertakan salinan dokumen yang perlu dibawa bersama.

Bagi memudahkan anda faham, kami lampirkan ringkasan kategori pemerolehan kewarganegaraan seperti di bawah.

 


Sumber: Kementerian Dalam Negeri

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan terdapat warga China memperoleh MyKad secara sah sebagai TIDAK BENAR.

Hasil semakan jelas mendapati individu itu telah mendapatkan MyKad secara haram dengan membuat bayaran hampir setengah juta.

Bahkan mereka yang terlibat mengeluarkan MyKad itu juga telah didakwa manakala lelaki warga China tersebut diusir pulang ke negara asalnya.

Kes yang berlaku ini juga sebenarnya merupakan isu lama yang tular semula.

Kami faham isu ini adalah sensitif kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.  Namun, sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab, usah membuat hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Bak pepatah melayu, ‘api padam puntung berasap’ iaitu perkara yang telah selesai tetapi ditimbulkan kembali, jika disebarkan tanpa semakan menyeluruh boleh menyebabkan  keadaan tidak tenteram sekali gus mencetus lambakan penyebaran maklumat palsu secara meluas dalam talian.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. MKN | Kesalahan Memiliki MyKad Palsu | 18 April 2022
  2. Twitter | @encikmimpizz | 31 Januari 2024
  3. Utusan Malaysia | Warga China Dapat MyKad Kes Lama - Saifuddin | 16 Jun 2023
  4. Berita Harian | Tular warga China dapat kad pengenalan kes 2019, mereka yang terbabit sudah kena tindakan | 16 Jun 2023
  5.  Kosmo Digital | Isu tular warga China dapat MyKad berlaku 2019- Saifuddin | 17 Jun 2023
  6. X | @Saifnasution | 17 Jun 2023
  7. PN | Isu Tular: Kakitangan JPN Pulau Pinang Dicekup Polis | 16 Jun 2023
  8. Berita Harian | Bayar RM400,000 Beli MyKad, Pasport Malaysia | 30 Oktober 2019
  9. JPA | Perlembagaan Persekutuan
  10. KDN | Kewarganegaraan 

 

 

 




 

 

 

 

 

 

 



 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.