MyCheck Malaysia adalah inisiatif semakan fakta secara bebas oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sebuah agensi berita yang ditubuhkan pada 1967 sebagai badan berkanun di bawah Akta Bernama 1967.
Kami beroperasi di Wisma Bernama menggunakan sumber tenaga dan aset yang disediakan oleh Bernama. Setakat ini kami belum pernah menerima sumber kewangan daripada mana-mana pihak.
Pihak pengurusan Bernama telah memberi komitmen untuk membenarkan MyCheck Malaysia beroperasi secara 'editorially independent' dan mematuhi piawaian oleh International Fact Checking Network (IFCN).
Bukti ketelusan semakan fakta oleh MyCheck dapat dilihat dalam laporan-laporan yang dihasilkan.
Walau bagaimanapun sekiranya anda merasakan MyCheck tidak telus dalam melakukan semakan, kami mohon ditegur dengan cara menghantar emel ke mycheckofficial@mycheck.my.
Bersama, kita boleh lakukan yang terbaik untuk masyarakat Malaysia!
Fokus kami adalah isu-isu yang memberi impak kepada kehidupan (live and livelihood) masyarakat terutamanya yang tinggal di Malaysia.
Oleh itu isu yang memberi impak kepada keharmonian masyarakat, keselamatan, rutin kehidupan dan kesan ekonomi menjadi bahan yang kami utamakan untuk disemak.
Buat masa ini MyCheck tidak memberi fokus kepada bahan-bahan terkait dengan isu politik. (Namun kami sedia maklum ada perkara dalam kehidupan kita yang tidak dapat lari daripada kaitan dengan politik).
Kami berharap platform ini benar-benar dapat memberi pencerahan kepada isu yang menjadi kerisauan segenap lapisan masyarakat.
Proses semakan kami bermula daripada pemantauan sumber yang berpotensi tempat sebaran maklumat tidak benar.
Kami mengutamakan proses perbincangan dan kerja berkumpulan dalam setiap semakan yang dilakukan. Bagi kami, setiap laporan adalah hasil kerja bersama, walaupun pada artikel diberikan byline penyedia laporan.
Selepas artikel diterbitkan, kami sedia untuk menerima komentar atau teguran daripada pembaca. Sekiranya perlu, kami akan lakukan pembetulan fakta tanpa mengubah artikel asal.
Pembetulan fakta akan disenaraikan di bawah artikel asal untuk memudahkan pembaca merujuk laporan dan pembetulan yang dilakukan.
LANGKAH | TINDAKAN | SASARAN HASIL |
1 |
Pemantauan Sumber |
Memantau saluran yang berpotensi menjadi sebaran maklumat tidak benar seperti (dan tidak tertakluk kepada): a. Media sosial b. Portal berita/blog c. Laman sembang |
2 |
Senarai |
Menyenaraikan bahan yang ditemui tanpa prejudis. |
3 |
Klasifikasi |
Menilai bahan yang ditemui untuk disenaraikan tahap keperluan untuk disemak. |
4 |
Bincang Awal |
Perbincangan bersama ahli pasukan untuk menentukan bahan yang akan disemak. |
5 |
Semakan Awal |
Menjalankan proses semakan fakta untuk menentukan keperluan kerja untuk menjalankan semakan fakta. |
6 |
Bincang Penuh |
Membincangkan semula langkah kerja seterusnya untuk menjalankan semakan fakta. |
7 |
Semakan Penuh |
Menjalankan semakan sehingga siap dan menyediakan laporan. |
8 |
Sunting - Semak |
Menjalankan proses suntingan laporan. Editor melakukan semakan semula pada laporan yang disediakan. |
9 |
‘Peer Review’ |
Ahli pasukan membaca laporan yang siap untuk penambah baikan/pembetulan sekiranya ada. |
10 |
Terbit |
Artikel diterbitkan. |
Kami faham semua orang mempunyai minat dan cara masing-masing untuk mendapatkan, memahami dan menghadam maklumat.
Oleh itu kami mencipta format ‘5 Lapis Maklumat’ dengan harapan ia dapat memudahkan para pembaca.
Tajuk yang kami gunakan bersifat ‘direct to the point’ jadi hanya dengan membaca tajuk pun anda boleh memahami apa yang kami mahu sampaikan.
Ia diikuti dengan ringkasan maklumat dalam dua kotak ‘Benarkah’dan ‘Hasil’ diikuti dengan ‘meter kebenaran’ berdasarkan empat kriteria penarafan yang kami gunakan.
Jika pembaca berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam, kami sediakan juga ringkasan isu dalam bentuk ‘bullet point’ dan untuk maklumat lanjut, kami persembahkan laporan penuh diikuti senarai rujukan kami untuk tatapan pembaca.
MyCheck mahu memainkan peranan aktif dalam mendidik pembaca untuk memahami proses semakan fakta langkah demi langkah.
Oleh itu kami berasa gembira sekiranya pembaca mahu membuat semakan semula terhadap laporan-laporan kami. Itulah antara tujuan kami senaraikan sumber rujukan agar pembaca boleh membuat semakan silang.
Jika ada mana-mana bahagian laporan kami yang dirasakan tidak tepat atau menyimpang, bantulah kami untuk memperbaiki diri dengan menghantar emel ke mycheckofficial@mycheck.my.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.