+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pautan Semakan Bagi Menuntut Wang RM1,000 Dalam MyKad Adalah Palsu

Benarkah...

Terdapat wang berjumlah RM1,000 yang dikreditkan dalam MyKad boleh dituntut orang ramai menerusi satu pautan.

Sumber : WhatsApp / September 2023

Hasil

Pautan tersebut adalah palsu yang bertujuan memperoleh data orang awam.

16/09/2023 11:21 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu mesej mendakwa terdapat wang berjumlah RM1,000 dikreditkan dalam MyKad dan boleh dituntut orang ramai melalui satu pautan (link).
  • Pautan tersebut dibawa ke satu laman semakan status yang mempunyai logo Sumbangan Asas Rahmah (SARa).
  • MyCheck mendapati pautan terbabit adalah palsu yang bertujuan memperoleh data orang awam seperti nombor telefon.
  • Malah menurut Kementerian Kewangan, bantuan tersebutlah bukanlah berjumlah RM1,000 tetapi RM600 yang dikreditkan melalui MyKad mengikut kawasan.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Kebiasaannya sebarang tawaran atau peluang yang mendapat ganjaran lebih-lebih lagi dalam bentuk wang ringgit sememangnya menjadi tarikan ramai untuk mencuba nasib.

Bak kata pepatah, “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”.

Namun, adakah kita menyedari bahawa setiap tawaran sedemikian benar-benar wujud atau ‘legit’.

Baru-baru ini terdapat dakwaan kononnya terdapat wang yang boleh dituntut secara percuma.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima tangkap layar melalui WhatsApp mendakwa terdapat wang berjumlah RM1,000 dikreditkan dalam MyKad yang boleh dituntut orang ramai.

Tangkap layar itu menyatakan terdapat cara untuk menuntut wang tersebut secara percuma iaitu melalui pautan (link) yang tertera.

Benarkah dakwaan itu? Jom ikut MyCheck semak!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Setelah meneliti keseluruhan dakwaan yang diterima, MyCheck mendapati terdapat elemen yang dikenal pasti boleh dijadikan petunjuk awal bagi menentukan kesahihan sesuatu dakwaan itu.

Antara petunjuk yang boleh dikesan adalah seperti:

1. Kesalahan ejaan “Cek”

SALAH: “Cek Mykad boleh…”

BETUL: “Semak MyKad boleh..”

 

2. Kesalahan tatabahasa

SALAH: “Sila anda semak sekarang…”

BETUL: “Anda boleh semak sekarang...”

Kebiasaannya, mesej atau hantaran daripada sumber rasmi jarang sekali mempunyai kesalahan ejaan atau tatabahasa.

Bagaimanapun, kami beralih pula dengan klik kepada pautan yang mendakwa wang tersebut boleh dituntut.

 

Laman Web Semakan Status Mencurigakan

Pautan tersebut membawa kami ke sebuah laman sesawang yang mana tertera ruangan semakan status.

Kami dapati laman web tersebut seakan-akan laman web bantuan.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Laman itu memaparkan logo Kementerian Kewangan (MOF) selaku peneraju dan logo MyKasih Foundation sebagai rakan kerjasama dan juga logo Sumbangan Asas Rahmah (SARa).

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Laman tersebut meminta kami untuk mengisi nombor telefon bagi membuat semakan status bantuan.

Bagi memastikan keabsahan dan ketulenan pautan tersebut, kami membuat percubaan dengan mengisi nombor telefon untuk semak status berkenaan.

Bagaimanapun setelah klik butang semak status, kami diminta mengisi kata laluan satu kali (OTP).

Namun, kami tidak menerima sebarang kod OTP tersebut.

Justeru, timbul sedikit keraguan mengapa nombor telefon ini diambil.

 

Butang (Web Button) Tidak Berfungsi

Seterusnya, untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kami cuba untuk klik di bahagian butang ‘Soalan Lazim, Senarai Kedai dan Hubungi Kami’ yang tertera di bahagian bawah laman tersebut.

Namun tiada paparan yang keluar seolah-olah butang berkenaan tidak berfungsi.

Bagi mendapatkan jawapan, kami mencari petunjuk lain.

Oleh kerana tertera logo Sumbangan Asas Rahmah laman sesawang tersebut, kami membuat carian berkenaan bantuan itu.

 

Nilai Bantuan Ditawarkan Hanya RM600

Menurut laman sesawang MOF, SARa adalah sebuah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bertujuan meringankan beban sara hidup golongan miskin tegar yang akan disalurkan kepada isi rumah penerima STR mengikut data eKasih.

Bantuan berkenaan diberikan dalam bentuk barang keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM600 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad sebanyak RM100 sebulan.

Anda boleh lihat butirannya di bawah.

 


Sumber: Kementerian Kewangan

 

Ini bermakna bantuan tersebut bukanlah berjumlah RM1,000 seperti yang diuar-uarkan tetapi berjumlah RM600 yang diberikan secara berperingkat iaitu RM100 sebulan dalam tempoh enam bulan.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, kami membuat carian rawak di Google menggunakan kata kunci ‘MyKad Sumbangan Asas Rahmah (SARa)’.

 


Sumber: Google

 

Hasilnya, kami temui laman sesawang rasmi MyKasih yang memperincikan mengenai bantuan tersebut.

 

Semakan Pelaksanaan Bantuan Hanya Melalui Portal Rasmi MyKasih

Berdasarkan laman sesawang tersebut, penerima yang layak akan menerima RM100 setiap bulan secara automatik melalui MyKad berdasarkan 10 kategori barangan makanan yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.

Proses pembelian tersebut adalah seperti berikut: 

1. Juruwang akan menyemak status Mykad penerima bantuan dan sekiranya layak, juruwang akan imbas setiap barang keperluan makanan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.

2. Penerima bantuan akan memasukkan nombor pin enam digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.

3.  Penerima akan menerima resit sebagai transaksi pembelian.

Seterusnya, kami telusur laman sesawang terbabit bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.

Di bahagian ‘home page’ laman terbabit memaparkan butang semakan status bagi pelaksanaan SARa untuk penerima.

Setelah kami klik ‘Semak Status’ kami dibawa ke satu halaman yang serupa dengan pautan di dalam dakwaan.

Namun, apa yang berlainan adalah di bahagian semakan status itu penerima perlu mengisi nombor MyKad.

Setelah kami mengisi maklumat tersebut dan menekan butang ‘semak status’ ia membawa kepada rekod semakan status.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Berdasarkan gambar di atas, anda boleh lihat dengan jelas templat laman web rasmi MyKasih yang digunakan kelihatan sama dengan pautan palsu, namun memerlukan maklumat yang berbeza.

Menurut portal MyKasih, semakan kelayakan SARa hanya boleh dilakukan menerusi portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  dan semakan pelaksanaan SARa bagi penerima adalah melalui portal rasmi MyKasih.

Kami turut temui laporan The Star yang menyatakan sebarang informasi berkenaan pelaksanaan bantuan SARa boleh disemak melalui portal rasmi MyKasih.

Menurut kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, bantuan SARa berjumlah RM600 tersebut disokong oleh Yayasan Hasanah dan rakan kerjasama Yayasan MyKasih Foundation yang menyediakan sistem penggunaan MyKad bagi penerima bantuan SARa.

 

Data Nombor Telefon Boleh Dijual

Berbalik kepada dakwaan pautan yang kami terima, apakah tujuan pautan tersebut diwujudkan?

Adakah sememangnya pautan tersebut sengaja dirangka tanpa sebarang objektif?

Menurut ‘Gogolook 2022 Annual Fraud Report’, sebanyak 73 peratus nombor telefon di Malaysia telah dibocorkan dan dijual kepada penjenayah scammer.

Gogolook adalah sebuah organisasi yang menawarkan perkhidmatan pengurusan risiko bagi menyelesaikan masalah membabitkan rangkaian digital.

Kajian yang dijalankan Gogolook juga mendapati nombor telefon adalah maklumat sulit yang kedua terbesar dibocorkan di Malaysia, Thailand dan Taiwan.

Ketirisan maklumat nombor telefon ini tidak boleh dianggap remeh kerana sekiranya sindiket penipuan dalam talian memperoleh nombor telefon mangsa, scammer akan memulakan serangan panggilan telefon dan mesej bagi melakukan jenayah.

Bahkan, data nombor telefon yang diperoleh ini juga boleh dijual kepada orang ramai menerusi platform e-dagang bagi tujuan kegiatan penipuan.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya kami mengklasifikasikan dakwaan terdapat pautan mengenai bantuan berjumlah RM1,000 yang dikreditkan melalui MyKad adalah tidak benar.

Hal ini jelas dinyatakan MOF bahawa bantuan SARa menggunakan MyKad itu bukanlah berjumlah RM1,000 tetapi RM600.

Semakan mengenai bantuan itu juga sudah kami perincikan di atas yang mana hanya boleh disemak melalui platform rasmi dan sah.

Menjadi tanggungjawab kita sebagai pengguna siber untuk sering berhati-hati dalam melakukan sebarang aktiviti dalam talian kerana penjenayah semakin licik melakukan pelbagai taktik sehingga boleh menyebabkan kita alpa dan terjerumus dengan perangkap mereka.

Dalam konteks ini, pautan yang disediakan itu antara taktik memperoleh data seperti maklumat nombor telefon.

Walaupun kelihatan seperti pautan yang sama disebabkan reka bentuk laman web itu kelihatan serupa, namun anda jangan mudah tertipu, semaklah terlebih dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Pautan | Semakan Status 

  2. Kementerian Kewangan | Sumbangan Asas Rahmah (SARa) 

  3. MyKasih | Sumbangan Asas Rahmah (SARa)

  4. MyKasih | Semakan Status SARa

  5. MyKasih | Soalan lazim SARa

  6. Lembaga Hasil Dalam Negeri | Sumbangan Tunai Rahmah

  7. MyKasih | Semakan Pelaksanaan SARa Bagi Penerima 

  8. The Star | RM600 Sara aid accessible using MyKad at over 600 outlets nationwide | 17 Julai 2023 

  9. MyKasih | Cerita Ringgit & Poket Rakyat - Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 

  10. Gogolook | Gogolook 2022 Annual Fraud Report 

  11. Dagangnews | 73% Nombor Telefon Bimbit Rakyat Malaysia Alami Kebocoran Maklumat-Gogolook | 6 April 2023

  12. MalaysiaGazette | Waspada sindiket penipuan jual nombor telefon guna nama telco popular | 7 April 2021

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.