+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Terdapat Juga Jalur Gemilang Pada Perarakan Replika Naga, Ia Simbolik Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China

Benarkah...

Perarakan replika naga terpanjang di Malaysia hanya berbendera China?

Sumber : Twitter, Facebook & TikTok / Feb 2024

Hasil

Video tular hanya papar satu sisi replika naga. Bendera Malaysia turut dibawa berarak bersama pada sebelah kanan replika tersebut.

10/02/2024 11:35 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di media sosial sebuah klip video memaparkan perarakan replika naga dengan bendera negara China yang dikatakan berlaku di Malaysia.

  • Semakan MyCheck mendapati perarakan itu berlaku di Melaka dan ia adalah sebagai simbolik meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

  • Video yang disebarkan itu mengelirukan dan adalah cubaan untuk menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat kerana hanya menunjukkan sebelah kiri replika naga yang diletakkan bendera China.

  • Hasil penelitian MyCheck mendapati turut terdapat bendera Malaysia di sebelah kanan replika naga tersebut dan juga di baju peserta.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Malaysia sememangnya terkenal sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum. Selain itu, Malaysia adalah antara negara anggota ASEAN yang banyak membuat hubungan diplomatik terutamanya dengan negara-negara Asia lain.

Justeru, banyak program serta aktiviti dijalankan bagi memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan negara-negara terbabit dalam pelbagai sektor antaranya perdagangan, multilateral dan keselamatan serantau.

Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat penganjuran program dalam negara ini melibatkan mana-mana negara luar yang mempunyai hubungan diplomatik kukuh dengan Malaysia.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di kebanyakan platform media sosial, sebuah klip video yang menunjukkan satu perarakan replika naga bersama bendera negara China yang berlaku di Malaysia.

 


Sumber: Twitter, Facebook, TikTok

 

Penelitian Mycheck di ruangan komen pada hantaran-hantaran tersebut mendapati rata-rata warganet ingin mengetahui kesahihan video berkenaan.

Tambahan pula, ada juga komen yang mengaitkan video itu dengan isu 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalty (institusi diraja) yang boleh mengancam keselamatan negara.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berpandukan semakan awal MyCheck mengenai topik ini, kami dapati kebanyakan hantaran video tular itu telah dipadam atau diturunkan daripada laman media sosial pemilik akaun berkenaan.

Justeru, kami perlu mencari semula video tersebut di pelbagai platform untuk meneruskan semakan serta mengumpul lebih banyak maklumat. Hasilnya, kami berjaya mengesan tiga akaun media sosial yang masih memaparkan video terbabit di sini, sini dan sini.

 

Video Perarakan Replika Naga Dirakamkan Di Melaka

Kami memulakan semakan dengan menonton serta meneliti kandungan keseluruhan video yang ditularkan tersebut.

 


Sumber: Twitter

 

Hasilnya, kami mengesan terdapat satu papan tanda ‘Medan Selera Golden Circle Food Court’. Papan tanda tersebut turut ditulis dalam Bahasa Inggeris dan Cina. 

Selain itu, turut kelihatan sebuah bangunan berpapan tanda dan berlogo biru yang kelihatan seperti sebuah bank di Malaysia.

Menerusi petunjuk itu, kami membuat carian lokasi restoran berkenaan di Google Map dengan menggunakan kata kunci ‘Medan Selera Golden Circle Food Court’.

 


Sumber: Google Map

 

Hasil carian kami menunjukkan bahawa video itu dirakamkan di hadapan sebuah restoran yang terletak di Melaka. Malah bangunan dengan papan tanda biru itu sebenarnya adalah bank RHB Malaysia. 

Jika anda perasan terdapat sedikit perbezaan pada papan tanda medan selera tersebut seperti yang dirakam oleh Google Street View pada 2020. Jadi, kemungkinan besar rupa papan tanda yang terkini telah diperbaharui. Namun, lokasi perarakan adalah sama. 

Jadi persoalannya, mengapa perarakan naga berserta bendera China itu boleh berlaku di Malaysia?

 

Perarakan Sebenarnya Melibatkan Dua Negara

Bagi mendapatkan pencerahan, kami membuat carian rawak di Google menggunakan kata kunci ‘Perarakan Naga di Melaka’ dan muncul beberapa artikel yang melaporkan isu berkenaan.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang diterbitkan pada 7 Februari 2024, perarakan naga itu sebenarnya melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan China. 

Bahkan, penularan klip video itu dikatakan adalah cubaan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

Melihat pada laporan Malaysia Gazette pada 3 Februari 2024 pula, kami difahamkan selain menjadi tarikan sempena Tahun Baharu Cina, perarakan naga itu diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Malah, menurut Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo, perarakan itu akan diadakan sekali lagi di Jonker Walk pada 21 Februari 2024 bagi persediaan Hari Pelancongan Dunia 2025 yang bakal disambut di Melaka pada tahun hadapan.

 

Video Tersebar Mengelirukan Kerana Hanya Menunjukkan Sebelah Kiri Replika Naga Dengan Bendera China

Memandangkan video yang tersebar hanya memaparkan sebelah kiri naga yang memperlihatkan bendera China, ramai yang masih keliru apa yang berlaku sebenarnya?

Oleh itu bagi memperkukuhkan semakan, MyCheck membuat carian lanjut di media sosial untuk  mendapatkan video penuh perarakan tersebut.

Hasilnya, kami menemui beberapa video perarakan naga berkenaan yang menunjukkan bahawa bendera Malaysia juga diletakkan pada replika naga itu. Ini bermakna perarakan tersebut bukan melibatkan peserta dari negara China sahaja.

 


Sumber: Google Map

 

Anda boleh lihat paparan dan maklumat lebih jelas menerusi video yang dimuat naik oleh @MelakaTV di TikTok. Ia menunjukkan replika naga sepanjang 179.2 meter itu diarak oleh 180 pelajar sekolah negeri Melaka dan juga China.  

Visual tersebut jelas memaparkan bendera Malaysia pada lengan baju pelajar terbabit, malah Jalur Gemilang turut dipamerkan di sebelah kanan replika naga.

Perarakan replika naga terpanjang yang berlaku pada 2 Februari 2024 ini turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

 


Sumber: YouTube

 

Kami turut menjumpai satu video klip berita Mandarin oleh syarikat penyiaran China Central Television (CCTV) di YouTube, yang ada menunjukkan persiapan replika naga itu sebelum hari perarakan.

 

Perarakan Itu Adalah Sebahagian Daripada Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia dan China

Pada 17 Januari 2024, Wisma Putra mengeluarkan satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka bahawa 2024 adalah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Difahamkan Pemeteraian hubungan dua negara itu berlaku semasa pimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China Chou En-Lai pada 31 Mei 1974.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa siri program dan aktiviti akan dijalankan termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem peringatan, forum perniagaan dan persembahan kebudayaan.

Maka tidak hairan jika terdapat acara atau program melibatkan antara Malaysia dan Tanah Besar tersebut.

 

KESIMPULAN

Jelas di sini, dakwaan kononnya hanya bendera China dibawa berarak, tanpa adanya bendera Malaysia ketika perarakan naga di Melaka itu adalah TIDAK BENAR sama sekali. Malah perarakan yang berlangsung secara harmoni tersebut diadakan bagi meraikan hubungan diplomatik antara dua negara yang sudah terjalin selama 50 tahun. 

Sikap sesetengah pihak yang sengaja menularkan video yang hanya memaparkan satu sisi menampakkan bendera China sehingga menimbulkan spekulasi melibatkan perkauman dan kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab.

Pesan kami di MyCheck hargailah keharmonian yang wujud di dalam negara dengan tidak melontarkan komen-komen berbaur perkauman, apatah lagi sekiranya kita langsung tidak mengambil inisiatif untuk memeriksa terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang tular itu.

Ingat, “Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu”.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. TikTok | @dhanchanneltv | 7 Februari 2024

  2. Facebook | @Fadhli Shaari | 7 Februari 2024

  3. X | @Salim | 7 Februari 2024 

  4. Google Map | Golden Circle Food Court

  5. Google Map | Bank RHB

  6. Utusan Malaysia | Naga tular: Sebelah kiri bendera China, sebelah kanan bendera Malaysia | 7 Februari 2024

  7. MalaysiaGazette | Naga terbesar di dunia semperna tahun baru cina di Malaka | 3 Februari 2024

  8. The Malaysian Reserve | World Tourism Day, World Tourism Conference 2025 projected to generate RM2b | 4 Disember 2023

  9. TikTikTok | @melakatv | 2 Februari 2024

  10. Youtube | 马来西亚最大舞龙“现身” 为中马建交50周年献礼 |《今日环球》CCTV中文国际 | 3 Februari 2024 

  11. Facebook Wisma Putra | Ulang tahun ke 50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China | 17 Januari 2024

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.