+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

MyKid Tidak Dimansuhkan, Ia Dikeluarkan Secara Berperingkat Mengikut Bekalan Mikrocip

Benarkah...

Kad pengenalan kanak-kanak, MyKid dimansuhkan.

Sumber : WhatsApp / Disember 2023

Hasil

MyKid masih dikeluarkan secara berperingkat mengikut bekalan mikrocip.

07/12/2023 04:09 PM

SEKILAS FAKTA

  • MyCheck menerima mesej mengenai dakwaan bahawa kad pengenalan kanak-kanak, MyKid telah dimansuhkan.
  • Perkara itu tular di media sosial berikutan ibu bapa terpaksa menunggu tempoh yang lama sekali gus menyukarkan mereka melakukan sebarang urusan dokumentasi.
  • Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat penangguhan pengeluaran MyKid ekoran masalah kekurangan bekalan mikrocip.
  • JPN akan mengeluarkan MyKid secara berperingkat mengikut bekalan mikrocip.
  • Tambah JPN, ibu bapa boleh membawa sijil kelahiran untuk melakukan sebarang urusan berkaitan.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Sijil atau surat adalah dokumentasi penting yang menunjukkan suatu legitimasi atau keabsahan dalam melakukan sebarang urusan rasmi mahupun tidak rasmi.

Lazimnya, kad pengenalan (MyKad) adalah dokumen sah yang mudah dibawa kemana-mana berbanding sijil kelahiran yang berbentuk sekeping kertas.

Bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, kad pengenalan diri, MyKid juga diperlukan bagi melaksanakan urusan seperti di klinik, hospital dan lain-lain.

Ini kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri itu kadangkala boleh menyebabkan sesuatu urusan tergendala atau tidak dapat dilaksanakan.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej daripada orang awam melalui WhatsApp mengenai dakwaan bahawa MyKid telah dimansuhkan.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Menerusi WhatsApp itu orang awam bertanyakan kesahihan dakwaan berkenaan kerana dikatakan tidak menerima MyKid sehingga kini.

Adakah benar JPN sudah tidak mengeluarkan kad pengenalan diri kanak-kanak?

Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Ibu Bapa Masih Menunggu Pengeluaran MyKid

Memandangkan dakwaan yang kami terima memaparkan tangkap layar seakan hantaran di Facebook, MyCheck beralih ke platform tersebut bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci.

Menggunakan kata kunci ‘MyKid dimansuhkan’ kami temui hantaran yang sama seperti tangkap layar.

 


Sumber: Facebook

 

Berdasarkan komen pada hantaran, pelbagai reaksi dilontarkan pengguna Facebook terhadap dakwaan pemansuhan tersebut, rata-rata menyatakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka.

Dikatakan, pengeluaran Mykid telah melebihi tempoh yang ditetapkan dan menyebabkan ibu bapa perlu menunggu lama sekali gus menyukarkan mereka melakukan sebarang urusan yang memerlukan penggunaan kad identiti.

 

Pengeluaran MyKid Ditangguhkan

Ketika kami membuat semakan, kami dapati sebenarnya pihak JPN telah pun mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini.

Pada 14 Jan 2023, bekas Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan pengeluaran MyKid bagi bayi yang baru lahir ditangguhkan selama enam bulan.

Beliau berkata isu pengeluaran MyKid itu berlaku sejak bermulanya pandemik Covid-19, ekoran kekurangan bekalan mikrocip.

 


Sumber: Sinar Harian

 

Ruslin berkata mikrocip tersebut turut mendapat permintaan di peringkat global termasuk penggunaan tinggi dalam bidang automotif.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah pemohon yang masih belum mendapat MyKid tidak ramai dan akan membuat penangguhan sementara pengeluaran MyKid sehingga bekalan itu diperoleh sebelum diserahkan kepada penerima secara berperingkat.

Tambahnya, ibu bapa boleh menggunakan surat beranak bagi urusan harian anak-anak mereka kerana sijil kelahiran adalah dokumen pengenalan diri yang sah dikeluarkan oleh kerajaan.

Berdasarkan kenyataan JPN, ini bermakna terdapat kelewatan pengeluaran MyKid susulan penangguhan sementara terutama bagi kanak-kanak yang lahir ketika tempoh pandemik Covid-19 sehingga pasca pandemik seperti pada 2020, 2021 dan 2022.

Pada 11 Mac 2023, Harian Metro melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan hampir 30 peratus MyKid belum dituntut oleh ibu bapa.

Namun, dalam masa yang sama beliau turut mengakui pihak JPN berdepan kekurangan stok kad pengenalan sehingga menjejaskan pengeluaran MyKid.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan JPN pada Januari, kami dapati sehingga Disember ini masih ada ibu bapa yang tidak menerima MyKid, walaupun telah melebihi tempoh enam bulan penangguhan.

Anda boleh lihat di sini. Namun, apabila kami menelusuri di bahagian komen, MyCheck dapati ada ibu bapa yang sudah pun menerima kad pengenalan kanak-kanak itu.

Seterusnya, MyCheck menghubungi pihak JPN melalui e-mel bagi mendapatkan maklumat terkini.

Menurut JPN, pengeluaran MyKid sememangnya ditangguhkan atas sebab masalah kekurangan bekalan mikrocip.

JPN turut memaklumkan pihaknya berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan permohonan Mykid yang diterima secara berperingkat.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Ketiadaan MyKid Menyukarkan Urusan Dokumentasi

Namun, perkara ini pastinya memberi kesan kepada beberapa pihak, ini kerana ketiadaan MyKid memerlukan ibu bapa untuk membawa dokumen sijil kelahiran yang boleh berisiko hilang atau rosak.

Pada 17 Ogos 2023, Utusan Malaysia menerbitkan artikel berkenaan luahan seorang ibu, Sofea Lisa yang menzahirkan ketidakpuasan hati mengenai perkhidmatan JPN.

“Ketika ditanya mengenai MyKid anak saya, jawapan mereka tidak pasti (bila boleh siap) kerana ketika ini tiada stok dan meminta saya hubungi atau semak dalam laman web setiap bulan.

“Ketiadaan MyKid menyukarkan saya untuk uruskan dokumentasi anak terutama ke klinik atau hospital kerana rata-ratanya meminta kad tersebut, bukannya sijil lahir.

“Persoalannya kini, berapa lama lagi saya harus menunggu?,” katanya.

 

MyKid Hanya Dokumen Tambahan Dan Tidak Diwajibkan

Pada 4 Oktober 2023, Berita Harian menerbitkan laporan MyKid tak Wajib Ada-JPN yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misman menjelaskan MyKid yang dikeluarkan bukanlah dokumen yang wajib dimiliki.

 


Sumber: Berita Harian

 

"Saya hendak menjelaskan bahawa MyKid bukan satu dokumen yang wajib ada. Yang paling penting dan perlu ada ialah sijil kelahiran yang dikeluarkan JPN.

"MyKid adalah dokumen tambahan. Sebenarnya, tidak perlu bimbang dan tidak akan kena tangkap kalau tiada MyKid... tidak ada masalah," katanya.

Menurutnya, kira-kira 160,000 permohonan MyKid diproses JPN sejak 2021 dengan sekitar 40,000 dokumen itu sudah diserahkan, bergantung pada bekalan mikrocip yang diterima jabatan itu.

 

MyKid Masih Dikeluarkan


Sumber: Facebook

 

Kami meneruskan carian bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam.

Pada 8 Nov 2023, seorang pengguna Facebook, Syazatul Johan memuat naik hantaran menyatakan beliau telah menerima MyKid anaknya selepas setahun dua bulan permohonan dibuat.

Menurut Syazatul, sebelum ini beliau perlu membawa sijil kelahiran anaknya kemana-mana dan mengakui ia agak menyukarkan berikutan saiz dokumen itu yang besar.

Syazatul turut menyeru kepada ibu bapa yang tidak menerima MyKid dari tahun lepas atau tahun sebelumnya untuk membuat semakan di laman sesawang JPN.

Hantaran yang dimuat naik itu jelas menunjukkan bahawa MyKid tidak dimansuhkan seperti yang diuar-uarkan namun hanya tempoh pengeluarannya yang lewat.

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan pemansuhan MyKid sebagai tidak benar.

Kebiasaannya, berita atau maklumat berkaitan pemansuhan yang melibatkan dokumen kerajaan pasti akan diumumkan melalui saluran rasmi.

Berdasarkan kronologi berkenaan isu MyKid, kami dapati ia masih dikeluarkan seperti biasa namun terdapat kelewatan dalam proses pengeluaran yang mengakibatkan kesan kepada beberapa pihak.

Namun, setakat ini tiada perkembangan terbaru mahupun kenyataan rasmi berhubung pemansuhan MyKid.

Pihak berkaitan diharap dapat menyelesaikan isu ini dengan lebih efektif agar dapat memudahkan sebarang urusan berkaitan.

Diharap juga, semua pihak bersabar dan bertenang. Anda dinasihatkan untuk semak di laman sesawang rasmi JPN dari semasa ke semasa.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Facebook | Semakan & Permohonan Online | 23 Jun 2023

  2. Sinar Harian | JPN Jamin Isu MyKid Selesai Enam Bulan Lagi | 14 Januari 2023

  3. Facebook | Latifah Ismail | 23 November 2023

  4. Utusan Malaysia | Sudah 8 Bulan tapi MyKid belum dapat | 17 Ogos 2023

  5. Berita Harian | MyKid tak wajib ada - JPN | 4 Oktober 2023

  6. Facebook | Syazatul Johan | 8 November 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.