+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Laporan Malaysia Bakal Dilanda Gempa Tidak Benar, Isu Dilapor Di Luar Konteks

Benarkah...

Malaysia bakal dilanda gempa bumi berukuran 6 dan 7 magnitud pada skala Richter serta telah memasuki Lingkaran Api Pasifik.

Sumber : WhatsApp / November 2023

Hasil

Pengkaji gempa bumi menegaskan bencana gempa bumi tidak boleh diramal bila dan di mana akan berlaku. Hanya magnitud gempa sahaja boleh dijangka menggunakan alat ukuran seismik. Kedudukan Malaysia juga masih jauh dari Lingkaran Api Pasifik.

24/11/2023 01:17 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan seorang pakar seismologi mengatakan Malaysia bakal dilanda gempa bumi besar serta telah memasuki Lingkaran Api Pasifik.
  • Laporan itu dipetik dan diolah di luar konteks sehingga mengelirukan orang ramai.
  • Pengkaji gempa bumi menegaskan kejadian gempa bumi tidak boleh diramal bila dan di mana ia akan berlaku.
  • Malah, ia mengambil masa jutaan tahun untuk Malaysia memasuki lingkaran tersebut.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Tahukah anda, gempa bumi berlaku hampir setiap hari di seluruh dunia?

Bezanya, ada gempa bumi yang berskala besar (kuat) dan ada yang berskala kecil (perlahan).

Fenomena gempa bumi terjadi apabila dua tektonik plat bergeser menyebabkan gegeran pada muka bumi.

Adakalanya, ia terjadi akibat daripada letusan gunung berapi yang dahsyat atau gempa dari dasar laut yang menyumbang kepada bencana lain seperti tsunami.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu mesej berbentuk video di WhatsApp bertajuk ‘Pakar Beri Amaran Malaysia Bakal Dilanda Gempa Besar’.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Menerusi video yang telah dikongsikan banyak kali (forwarded many times) itu, seorang pakar seismologi dan gempa bumi berkata negara bakal dilanda gempa bumi sekuat 6 magnitud di Semenanjung Malaysia.

Gempa di Sabah dan Sarawak pula dikatakan boleh mencecah sehingga 7 magnitud.

Ini tentunya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat terutamanya selepas kejadian gempa bumi bersiri di Turki, Maghribi, Jepun serta negara jiran seperti di Indonesia.

Namun adakah benar Malaysia akan turut mengalami nasib yang sama?

Jangan panik, biar MyCheck semak dahulu!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Sebagai langkah permulaan, MyCheck membuat pencarian sumber asal video tular di aplikasi TikTok.

Menggunakan kata kunci ‘pakar beri amaran gempa’, kami mengesan beberapa video yang serupa namun kebanyakannya telah digabungkan dengan kandungan video lain.

Setelah menatal kesemua video terbabit, kami menemukan video tular itu yang asalnya telah dimuat naik oleh akaun TikTok @xsamudera dan turut dilaporkan di portal mereka, Samudera.my.

Bagi pengetahuan anda, kami telah beberapa kali menyemak maklumat yang ditularkan oleh akaun tersebut yang kesahihannya diragui.

 

Laporan Bercanggah Dengan Artikel Sebenar

Semasa meneliti laporan Samudera, kami dapati ia telah memetik ayat daripada artikel Sinar Plus.

 


Sumber: Sinar Plus

 

Namun setelah membaca kedua-dua artikel, kami dapati laporan Samudera menggunakan beberapa perkataan yang mampu menimbulkan kekeliruan.

Anda boleh lihat perbezaan ayat seperti di bawah:

Artikel Sinar Plus: Bahkan kata Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azlan Adnan, susulan siri gempa bumi yang berlaku baru-baru ini, rantau Asia Tenggara turut berisiko mengalami gempa skala besar.

“Bagi Malaysia pula, kawasan Semenanjung dijangkakan boleh berlaku gempa sehingga 6 magnitud sementara di Sabah boleh mencecah 7 magnitud,” katanya.

Artikel Samudera.my: Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azlan Adnan memberi amaran Malaysia bakal dilanda gempa besar sehingga 7 magnitud susulan siri gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Maka di sini, terdapat kontradiksi maksud di antara kedua-dua laporan.

Malah, terdapat penulisan portal-portal lain yang juga menggunakan perkataan ‘turut berisiko’ berbanding ‘bakal dilanda’ seperti yang digunakan oleh Samudera.my. Anda boleh baca laporan tersebut di sini dan di sini.

 

Muncul Dakwaan Baharu

Ketika MyCheck sedang membuat semakan mengenai dakwaan di atas, kami turut mengesan satu lagi dakwaan baharu.

 


Sumber: I Love Borneo

 

Menurut portal I Love Borneo, kajian Profesor Dr Azlan Adnan yang dipetik mengatakan Malaysia kini bukan lagi di luar Lingkaran Api Pasifik sebaliknya sudah berada di dalam lingkaran api tersebut.

Tambah portal itu lagi, negara ini perlu bersiap siaga untuk menghadapi gempa bumi terutamanya di kawasan Semenanjung Malaysia seperti Kuala Lumpur, Kuala Pilah di Negeri Sembilan, Manjung dan Temenggor di Perak dan Kenyir di Kuala Terengganu.

Turut terlibat adalah kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak seperti di Ranau, Lahad Datu, Kudat, Bintulu, Niah dan Miri.

 

Apa Itu Lingkaran Api Pasifik?

Sebelum itu, mari kami terangkan maksud ‘Lingkaran Api Pasifik’.

 


Sumber: Borneo Post

 

Memetik National Geographic, istilah Lingkaran Api Pasifik atau Ring of Fire merujuk kepada lingkaran gunung berapi dan plat tektonik aktif yang mengelilingi lembangan Lautan Pasifik.

Lingkaran tersebut berbentuk seperti ladam kuda dan mempunyai jarak sepanjang 40,000 kilometer. Ia bermula dari New Zealand dan antara lain turut melibatkan kepulauan Indonesia, Jepun, Alaska, Mexico sehingga ke Chile.

Aktiviti tektonik, iaitu pertembungan atau pergerakan plat meluncur ke bawah atau ke atas satu sama lain, di sepanjang Lingkaran Api Pasifik itu dikatakan menyumbang kepada kira-kira 90 peratus kejadian gempa bumi di dunia.

Kejadian pergerakan plat tektonik juga boleh mengakibatkan fenomena seperti letusan gunung berapi dan jurang lautan menjadi dalam.

 

Hanya Separa Daripada Laporan Ditularkan

Berdasarkan pemerhatian kami, penulisan portal itu ternyata telah diambil daripada laporan dayakdaily yang kemudiannya ditafsir kepada Bahasa Melayu.

Bahkan apabila kami semak pada laporan dayakdaily, kami dapati ia juga telah bersumberkan artikel Harian Metro.

Setelah diteliti penulisan Harian Metro terbabit, kami dapati artikel asal itu terbahagi kepada dua bahagian.

Namun, hanya bahagian pertama sahaja diambil dan ditularkan.

 


Sumber: Harian Metro

 

Pendapat Yang Berbeza Dalam Satu Artikel

Menurut bahagian kedua artikel terbabit, Pensyarah Kanan Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Hatta Roselee menafikan bahawa Malaysia kini telah berada di dalam Lingkaran Api Pasifik.

Sebaliknya, Malaysia terletak kira-kira 500km hingga 600km daripada garisan Lingkaran Api Pasifik. Malah, ia mengambil masa jutaan tahun untuk berada di dalam lingkaran tersebut.

Maka di sini, terdapat percanggahan pendapat antara pakar mengenai kedudukan Malaysia dalam Lingkaran Api Pasifik.

 

Gempa Bumi Tidak Boleh Diramal

Justeru, MyCheck telah mengambil inisiatif melawat Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) dan menemu bual seorang ahli penyelidik geologi gempa bumi, Navakanesh M Batmanathan untuk mendapatkan lagi kepastian.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Beliau yang juga penjelajah muda di National Geographic menjelaskan bahawa agak mustahil untuk menentukan dengan tepat lokasi dan masa gempa bumi itu bakal berlaku.

Meskipun ada kajian lepas menunjukkan terdapat tren kejadian gempa bumi berlaku di Sabah pada setiap 25 tahun, namun beliau menegaskan ia bukannya ramalan sebaliknya adalah corak gempa bumi di Malaysia.

 

Tiada Perubahan Muka Bumi Semasa Gempa Bumi 2015 Di Sabah

Menurut artikel rangkaian berita antarabangsa CNN, plat tektonik biasanya bergerak beberapa sentimeter setiap tahun.

Namun, gempa bumi boleh mengakibatkan plat tersebut bergerak beberapa meter dalam sesaat.

Apabila kami mengajukan soalan sama ada Sabah telah bergerak banyak disebabkan kejadian gempa bumi pada 2015, beliau berkata kejadian tersebut hanya memberi kesan tanah runtuh dan banjir koseismik (co-seismic) namun, tiada perubahan pada permukaan bumi di negeri itu.

Perkara ini boleh dirujuk pada laporan kajian beliau, yang menjelaskan bagaimana gempa bumi tersebut menyebabkan bukan sahaja tanah runtuh di Gunung Kinabalu tetapi juga banjir yang ketara.

Ini kerana serpihan batuan besar dari Gunung Kinabalu telah jatuh terkumpul di Sungai Liwagu yang terletak di lereng gunung terbabit dan menyebabkan air sungai naik.

 

Persediaan Menghadapi Bencana Gempa Bumi

Tambah Navakanesh, kejadian gempa bumi itu juga telah menyebabkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengambil langkah pengesanan awal gempa bumi di negara ini.

Ini termasuk memasang alat mengukur seismik di beberapa stesen rangkaian pemantauan seismik di sekitar Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Orang ramai boleh melayari laman web MyGempa yang diuruskan oleh METMalaysia untuk mendapatkan maklumat gempa bumi semasa dan terdahulu di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau menyimpulkan kebanyakan rakyat Malaysia masih percaya negara ini selamat daripada bencana gempa bumi.

Malaysia memang jarang dilanda gempa bumi, namun, terdapat kawasan aktif gempa bumi di Sabah terutamanya di Ranau yang tetap mempunyai aktiviti gempa walaupun hanya berskala dua hingga tiga magnitud.

Malah, Navakanesh menyatakan adalah lebih baik untuk kita mempunyai gempa bumi kecil ini bagi mengurangkan tekanan dari masa ke masa.

Ini lebih baik berbanding tekanan yang terkumpul sehingga menyebabkan terjadinya gempa bumi berskala besar.

Sebagai persediaan, beliau mencadangkan pihak berkuasa menyediakan pelan pemindahan gempa bumi yang efektif serta mengadakan program kesedaran di peringkat sekolah seperti yang dilaksanakan oleh Indonesia.

 

KESIMPULAN

Justeru, kami mengklasifikasikan dakwaan Malaysia bakal dilanda gempa bumi sebagai tidak benar.

Laporan asal juga tidak mengatakan Malaysia bakal dilanda gempa, sebaliknya hanya berkemungkinan berdepan dengan risiko gempa sahaja.

Dakwaan bahawa Malaysia kini berada dalam Lingkaran Api Pasifik juga tidak benar.

Ini kerana Malaysia terletak kira-kira 600 kilometer daripada lingkaran itu dan perlu mengambil masa jutaan tahun untuk berada di dalam kawasannya.

Sebagai pengamal media yang bertanggungjawab, sentiasa berhati-hati dalam melaporkan sesuatu berita terutamanya isu serius yang melibatkan keselamatan nyawa.

Jika memetik sumber lain, pastikan anda merujuk semula kepada pakar yang diwawancara, agar berita yang dihasilkan tidak mencetuskan kekeliruan dan panik dalam kalangan orang ramai.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok | xsamudera | 10 April 2023
  2. Samudera.my | HATI-HATI! Pakar Beri Amaran Malaysia Bakal Dilanda Gempa Besar |10 April 2023

  3. Sinar Plus |Gegaran Lebih 6 Magnitud Hampiri Kita | 8 April 2023

  4. The Vocket | Pakar Beri Amaran, Malaysia Berisiko Kena Gempa Bumi Berskala Besar |11 April 2023

  5. Era Baru Epoch Times Malaysia | Pakar beri amaran Malaysia perlu pertingkat siap siaga hadapi kemungkinan gempa bumi | 9 April 2023

  6. I Love Borneo | Malaysia Kini Dalam Lingkaran Api Pasifik, Beberapa Kawasan Berisiko Alami Gempa Bumi | 30 Mei 2023

  7. National Geographic |The Ring of Fire | 26 Disember 2017

  8. DayakDaily | Expert claims Malaysia already inside Pacific Ring of Fire as Sarawak, Sabah also at risk of earthquakes | 3 Mei 2023

  9. Harian Metro | 5 kawasan berisiko | 2 Mei 2023

  10. National Geographic | Explorer Profile: Navakanesh M Batmanathan, Earthquake Geologist | 9 Mei 2022

  11. Universiti Malaysia Sabah | Geology professor Dr Felix clocks out to retirement | 11 Januari 2021

  12. Researchgate | Earthquake Education Through the Use of Documentary Movies | 19 Mac 2019

  13. MyGempa | Dashboard Earthquake

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.