Jambatan kedua Pulau Pinang retak.
Sumber : WhatsApp / October 2023
Rakaman tular bukan jambatan kedua Pulau Pinang sebaliknya Jambatan Rio-Niterói di Brazil yang dirakam pada 2014.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Sebut sahaja Pulau Pinang, pasti terbayang dua jambatan yang panjang dan tersergam yang menjadi mercu tanda Pulau Mutiara itu.
Dua jambatan iaitu Jambatan Pulau Pinang (JPP) adalah sepanjang 13.5 kilometer manakala panjang Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau lebih dikenali sebagai jambatan kedua Pulau Pinang adalah 24 (km).
JPP dan JSAHMS menjadi laluan alternatif bagi ramai penduduk terutama untuk ke bahagian utama pulau.
MENGENAI DAKWAAN
Tular video menerusi WhatsApp memaparkan rakaman sebuah jambatan mengalami keretakan pada sebahagian strukturnya.
Dikatakan keretakan itu berlaku di jambatan kedua Pulau Pinang.
Pada video itu turut kedengaran suara seorang individu sedang bercakap namun bukan dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.
Video itu telah menimbulkan kebimbangan orang ramai terutama mereka yang tinggal di Pulau Pinang dan menggunakan jambatan itu setiap hari.
Namun jangan panik, biar MyCheck semak dahulu!
APA YANG KAMI TEMUI
Video Asal Dari TikTok
MyCheck mulakan semakan dengan menatal media sosial TikTok.
Ia berikutan dakwaan tular disertakan dengan rakaman video.
Kebiasaannya sesuatu perkara tular terutama dalam bentuk video akan dimuat naik di TikTok, aplikasi media sosial yang paling banyak digunakan di seluruh dunia ketika ini dengan lebih 1 bilion pengguna aktif setakat April 2022, menurut portal berita Astro Awani.
Hasil carian MyCheck menemukan rakaman video yang sama dimuat naik oleh seorang individu menggunakan nama akaun eduardocid793.
Ramai pengguna TikTok meninggalkan komen pada video itu dengan ada antaranya mendakwa ia adalah jambatan kedua Pulau Pinang.
Pemilik Video Dari Brazil, Rakaman Suara Dalam Bahasa Portugis
Berikutan terdapat rakaman suara pada video namun tidak dapat ditentukan bahasa apakah yang digunakan individu itu, justeru MyCheck menggunakan Google Translate untuk mengenal pasti.
Hasil semakan mendapati bahasa yang digunakan individu dalam video itu adalah Bahasa Portugis.
Bahasa Portugis adalah bahasa rasmi yang digunakan oleh rakyat Brazil.
Jambatan Retak Sebenarnya Di Brazil
Berdasarkan petunjuk itu, kami membuat carian menggunakan gambar jambatan yang tular tersebut di Yandex dan menemukan beberapa artikel luar negara yang melaporkan isu tersebut.
Memetik artikel MontelRacing.com bertarikh 9 Julai 2015, gambar tular itu adalah Jambatan Rio-Niterói yang terletak di Rio de Janeiro, Brazil.
Setelah meneliti gambar tersebut ia didapati sama seperti rakaman pada video tular, namun gambar yang dimuat naik di laman web MontelRacing.com dirakam pada sudut (angle) lain.
Rakaman Lama Tular Semula
Bagi mencari lebih informasi, kami kemudian membuat carian rawak di Google dengan menggunakan kata kunci “jambatan Pulau Pinang retak”.
Perkara itu banyak dilaporkan oleh portal berita tempatan bagaimanapun kebanyakannya menyatakan bahawa kejadian jambatan retak itu bukan membabitkan jambatan kedua Pulau Pinang.
Kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia
Semakan lanjut kami turut menemukan kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung dakwaan jambatan kedua Pulau Pinang retak itu.
LLM menjelaskan kejadian tersebut bukan berlaku di JPP mahupun JSAHMS, iaitu jambatan kedua Pulau Pinang.
“Hasil siasatan oleh PLUS Malaysia Berhad dan Jambatan Kedua Sdn Bhd, kejadian tersebut tidak berlaku di mana-mana bahagian struktur JPP dan JSAHMS,” menurut LLM.
Pihak JKSB juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu tersebut dan meminta orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih.
Retakan Sebenarnya ‘Extension’
Berdasarkan semakan, jelas bahawa jambatan retak bukanlah jambatan di Pulau Pinang tetapi Jambatan Rio-Niterói di Brazil.
Jadi apa sebenarnya yang berlaku di Jambatan Rio-Niterói itu?
Kami kemudian membuat carian mengenai Jambatan Rio-Niterói yang dikatakan retak pada 2014.
Hasilnya, kami menjumpai satu artikel oleh Estimulanet pada 4 Oktober 2014 yang menerangkan bahawa gambar retakan yang tular di media sosial itu telah disalah anggap sebagai keretakan tetapi ia sebenarnya adalah sambungan pengembangan (extension).
Menurut laman web Boatas.org, syarikat konsesi jambatan Rio-Niterói iaitu Companhia de Concessões Rodoviárias menjelaskan, retakan tersebut adalah satu teknik kejuruteraan yang membantu jambatan untuk tidak retak dan rosak.
Dipanggil Pengembangan Haba
Teknik kejuruteraan tersebut dipanggil ‘thermal expand’ atau pengembangan haba yang mana suatu jirim itu meregang atau mengecut sebagai tindak balas kepada perubahan suhu.
Menurut artikel Builder Space, sambungan pengembangan jambatan digunakan oleh jurutera untuk mengurangkan pergerakan haba.
Ia merupakan komponen pembinaan yang digunakan untuk menyatukan struktur semasa berlaku pengecutan atau pengembangan akibat perubahan suhu.
Sambungan pengembangan adalah elemen kunci dalam pembinaan yang mencegah pergerakan termal dan jenis pergerakan berbahaya lain yang boleh merosakkan atau memusnahkan jambatan.
Ia juga dibuat untuk memastikan aliran lalu lintas yang lancar, memudahkan penggantian bantalan jambatan, menyokong berat dan membantu mengurangkan pergerakan termal.
KESIMPULAN
Dakwaan bahawa jambatan kedua Pulau Pinang retak adalah tidak benar sebaliknya rakaman tular adalah jambatan di Brazil.
LLM juga telah mengesahkan tiada sebarang keretakan berlaku di mana-mana dua jambatan utama yang menjadi penghubung penduduk di Pulau Pinang.
Semak segala informasi di platform yang tepat dan sahih sebelum anda berkongsi sesuatu dakwaan.
Jangan sebar maklumat palsu yang mencetuskan panik sekali gus boleh menjejaskan ketenteraman awam.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.