+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Kajian Klinikal Buktikan Air Berkarbonat Sarsi Boleh Rawat Batuk

Benarkah...

Minum air berkarbonat berperisa sarsi boleh menyembuhkan batuk.

Sumber : Facebook / September 2023

Hasil

Tiada mana-mana kajian klinikal yang membuktikan bahawa air berkarbonat sarsi dapat merawat dan menyembuhkan batuk.

17/11/2023 10:58 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di Facebook menyatakan pengambilan minuman berkarbonat berperisa sarsi boleh merawat dan menghilangkan masalah batuk.
  • Seorang individu mendakwa batuk dialami anaknya hilang serta-merta setelah minum dua gelas air sarsi yang direbus.
  • Pakar perubatan sahkan kenyataan tersebut tidak benar kerana tidak disokong mana-mana kajian klinikal.
  • Pengambilan minuman berkarbonat untuk jangka masa panjang boleh meningkatkan pelbagai risiko penyakit terutama obesiti dan kencing manis.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Batuk adalah tindak balas semula jadi untuk menyingkirkan bendasing dan kuman yang membantu menghalang saluran pernafasan daripada terkena sebarang jangkitan yang boleh memasuki paru-paru.

Menurut portal MyHEALTH, batuk boleh disebabkan pelbagai faktor termasuk penyakit berkaitan virus, jangkitan saluran pernafasan dan alahan kepada sesuatu benda.

Walaupun terdapat pelbagai kaedah perubatan moden untuk menyembuhkan batuk, namun masih ada segelintir individu yang percaya dengan petua tradisional bagi merawat batuk.

Antaranya adalah memakan nanas dan asam, mengamalkan pengambilan jus herba serta minuman berkarbonat.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Mozairina Mohd memuat naik hantaran mendakwa minuman berkarbonat berperisa sarsi boleh menghilangkan masalah batuk.

Menurutnya masalah batuk yang dialami anaknya hilang serta-merta selepas meminum dua gelas air sarsi yang dimasak di atas dapur gas.

Kapsyen yang tertera pada hantaran itu adalah:

Last guna petua ni. Panaskan air sarsi bagi minum untuk hilangkan batuk. Alhamdulillah batuk cik mia dah hilang. Demam dah baik. Harini dah boleh kembali ke asrama/sekolah. Semoga anak ibu baik-baik sahaja ya.

P/s: sempat bagi 2 cawan jer batuk hilang serta merta,”.

Setakat laporan ini ditulis, hantaran itu telah dikongsi lebih 18,000 pengguna Facebook, selain menerima lebih 3,400 komen.

Ada beberapa warganet membuat komen pada hantaran itu dengan menyatakan cara tersebut berkesan dalam menyembuhkan batuk.

 


Sumber: Facebook

 

Dakwaan yang hampir sama boleh ditemukan di sini, di sini, di sini dan di sini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Minuman Berkarbonat?

Menurut Pegawai Dietetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia Er Ying Ting, minuman berkarbonat merupakan sejenis air yang dimasukkan dengan gas karbon dioksida dalam tekanan yang tinggi.

Beliau yang dipetik menerusi portal berita Sinar Harian menjelaskan minuman berkarbonat mengandungi air, pemanis dan perasa semula jadi atau tiruan.

Pemanis minuman tersebut boleh terdiri daripada gula, sirap jagung fruktosa tinggi, jus buah dan pengganti gula seperti pemanis tiruan selain turut mengandungi beberapa bahan lain seperti kafein, pewarna dan bahan pengawet tambahan.

 


Sumber: Sinar Harian

 

Kandungan Gula Yang Tinggi

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Ying Ting mendedahkan satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga tujuh sudu teh gula dalam setiap hidangan bersaiz 320 mililiter (ml).

Selain itu, minuman berkenaan dianggarkan membekalkan tenaga sebanyak 120 hingga 140 kalori.

Jelas Ying Ting, setiap individu disyorkan tidak mengambil gula melebihi 10 peratus sehari daripada jumlah pengambilan tenaga.

Hal ini berdasarkan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2003 yang mencadangkan pengambilan gula tidak melebihi 10 peratus daripada pengambilan tenaga harian atau 10 teh sudu sehari (50 gram).

 

Air Berkarbonat Bagi Aktiviti Sukan Intensiti Tinggi

Ying Ting turut menjelaskan bahawa air berkarbonat kebiasaannya diambil oleh atlet yang terlibat dalam sukan berintensiti tinggi bagi menggantikan cecair bendalir yang hilang daripada tubuh badan selepas melakukan aktiviti sukan.

Jelasnya air berkenaan tidak sesuai diambil setiap hari terutamanya bagi individu yang tidak terlibat dengan aktiviti sukan berintensiti tinggi.

 

Petua Dikongsi Ramai

Berbalik kepada dakwaan, MyCheck memulakan carian mengenai kaedah ini dengan menatal informasi di Internet.

Kaedah ini banyak dikongsikan di pelbagai platform maya terutama media sosial.

Selain Facebook, anda boleh lihat perkongsian mengenainya di laman TikTok seperti di sini, di sini, di sini dan di sini.

Namun, sejauh mana keberkesanan air berkarbonat sarsi ini terhadap individu yang mengalami batuk?

MyCheck mendapatkan pandangan mereka yang arif dalam bidang perubatan dan kesihatan.

 

Pandangan Pengamal Perubatan

Seorang pengamal perubatan, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris menerusi e-mel kepada MyCheck berkata dakwaan bahawa air berkarbonat sarsi dapat merawat dan menyembuhkan batuk adalah tidak tepat.

Beliau yang merupakan pengasas dan penasihat laman Facebook Medical Mythbusters Malaysia menjelaskan, pengambilan minuman berkarbonat ketika batuk tidak digalakkan kerana ia bersifat asidik (berasid) dan boleh menyebabkan keradangan di saluran pernafasan dan perut.

Ia sekali gus menyebabkan gejala batuk bertambah teruk.

Medical Mythbusters Malaysia merupakan sebuah laman Facebook yang dibarisi pengamal perubatan daripada pelbagai cabang kesihatan.

Ia membincangkan isu kesihatan semasa dan mitos mengenai rawatan dalam perubatan.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Firdaus menjelaskan kandungan gula yang tinggi dalam minuman berkarbonat boleh menyebabkan kenaikan paras gula yang mendadak bagi pesakit diabetes.

“Gula yang tidak terkawal dalam badan pesakit diabetes boleh menyebabkan jangkitan kuman yang lebih teruk jika batuk adalah disebabkan oleh jangkitan kuman di paru-paru,” katanya.

Ditanya mengenai pengambilan bahan semula jadi seperti madu, halia dan lemon, Dr Ahmad Firdaus memaklumkan ia boleh digunakan dalam membantu mengurangkan gejala batuk.

Namun beliau menjelaskan sekiranya batuk tersebut merupakan gejala atau petunjuk kepada penyakit lain, individu berkenaan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor bertauliah.

“Jika terdapat tanda-tanda bahaya seperti nafas laju, demam tinggi atau batuk berdarah, segera mendapatkan rawatan daripada doktor yang bertauliah.

“Gejala batuk berpanjangan juga boleh menjadi tanda kepada penyakit seperti tuberkulosis (atau batuk kering) dan barah paru-paru yang perlu mendapat perhatian lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan mana-mana individu bebas untuk mendapatkan rawatan tradisional, namun ia perlulah berdasarkan tertib dan fakta yang kukuh. 

Katanya sempadan batas ilmu perlu ada bagi mereka yang merawat individu yang mengalami masalah kesihatan bagi memastikan rawatan yang tepat dan betul dapat diberikan untuk mengelakkan penyakit mereka bertambah serius.

 

Kaedah Pencegahan Individu Mengalami Batuk

Jadi, apakah kaedah atau pencegahan yang sesuai untuk individu yang mengalami batuk?

Menurut Dr Ahmad Firdaus, mereka yang mengalami masalah batuk perlu mengamalkan “cough hygiene” ataupun tertib semasa batuk.

Antara tertib itu adalah menutup mulut dan hidung dengan menggunakan tisu atau tangan ketika batuk dan bersin untuk mengelakkan sebarang jangkitan daripada tersebar.

Selain itu katanya, penggunaan pelitup muka sangat digalakkan apabila terdedah kepada kawasan yang tertutup dan ramai orang.

“Basuh tangan dengan kerap setiap kali menyentuh mana-mana permukaan untuk elakkan jangkitan penyakit berjangkit,” jelasnya.

 

Dakwaan Perlu Dibuktikan Melalui Kajian Klinikal

Selain itu MyCheck juga menemukan penjelasan daripada seorang pempengaruh kesihatan di media sosial, Dr Muhamad Hazwan Nazri mengenai dakwaan tular.

Beliau yang popular di laman TikTok dengan nama akaun drwanshare menjelaskan tiada kajian saintifik yang membuktikan minuman berkarbonat berkesan dalam menyembuhkan batuk.

Menurut beliau petua berkenaan memerlukan kajian lanjut untuk memastikan ia berkesan dalam mengatasi masalah batuk.

Dr Muhamad Hazwan turut merujuk kepada satu kajian perubatan yang dijalankan oleh seorang pakar dietetik bertauliah, Peggy Pletcher.

Menurut kajian tersebut yang diterbitkan di laman sesawang healthline.com, Peggy memaklumkan pokok sarsaparila kebanyakannya digunakan untuk merawat beberapa penyakit berkaitan kulit (psoriasis), tulang sendi (artritis) dan penyakit berkaitan alat kelamin (sifilis).

“Aku tak jumpa lagi (pengambilan sarsi) pasal batuk.

“Kita cuba cari kajian perubatan yang lebih dipercayai, bukti (kajian) itu lebih kukuh dan maaf aku tak jumpa satu kajian pun pasal sarsaparila untuk (rawat) sakit tekak, batuk dan sebagainya,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Hazwan mengakui terdapat beberapa laman sesawang seperti indigo herbs yang mendakwa air sarsi digunakan untuk mengurangkan sakit tekak, batuk dan sebagainya, namun tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan tersebut.

Anda boleh lihat penjelasan lanjut Dr Muhamad Hazwan itu di sini.

 

Kesan Buruk Pengambilan Minuman Berkarbonat

MyCheck turut membuat carian mengenai kajian klinikal terhadap pengambilan minuman berkarbonat untuk menyembuhkan batuk, namun tidak ditemui pada mana-mana laman sesawang berkaitan kesihatan atau jurnal perubatan.

Apa yang kami temui lebih kepada kesan buruk pengambilan minuman berkarbonat secara berterusan.

Antaranya adalah kajian yang dijalankan seorang pakar dietetik dari Australia, Joe Leech yang diterbitkan pada 2019.

Menerusi artikel yang disiarkan di laman sesawang healthline.com, Leech menjelaskan kandungan fruktosa iaitu sejenis gula yang terdapat dalam gula semula jadi akan meningkatkan risiko obesiti atau kegemukan.

Selain itu, pengambilan minuman berkarbonat turut boleh menyebabkan masalah pengumpulan lemak di hati yang membawa risiko kepada penyakit berkaitan hati.

Pengambilan minuman berkarbonat juga boleh menyebabkan berlakunya masalah penyakit kencing manis tahap dua selain risiko mendapat serangan jantung.

Sekolah kesihatan awam Harvard TH Chan, Harvard University menerusi kajian yang diterbitkan di laman sesawang mereka turut mendedahkan pengambilan minuman berkarbonat boleh meningkatkan risiko kesihatan seperti masalah gout, kerapuhan tulang dan beberapa masalah kesihatan lain.

 


Sumber: Laman sesawang hsph.harvard.edu dan healthline.com

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan tular sebagai tidak benar kerana tiada bukti klinikal yang mengesahkan pengambilan minuman berkarbonat berperisa sarsi dapat menyembuhkan batuk.

Malahan pengambilan minuman berkarbonat sarsi atau perisa lain sebenarnya tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan wujudnya beberapa penyakit lain yang berbahaya seperti kencing manis dan obesiti.

MyCheck pernah menerbitkan laporan berhubung dakwaan hampir sama pada Ogos 2022 iaitu petua menyembuhkan batuk dengan minum air berkarbonat Coca-Cola.

Petua itu juga tidak dapat disahkan secara kajian klinikal.

Meskipun petua dikongsi dan diamalkan oleh ramai orang, namun sesuatu kaedah itu yang belum dibuktikan melalui kajian perubatan tidak memberi jaminan ia bagus untuk kesihatan anda.

Justeru jika anda mengalami batuk berlarutan, rujuklah kepada pakar dalam bidang perubatan kerana mereka lebih arif dalam mengenal pasti masalah kesihatan yang anda hadapi.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook | Mozairina Mohd | 2 Julai 2023

  2. myresipi.com | Ibu Kongsi Cara Hilangkan Batuk Guna Air Ini, Terus Sihat Serta Merta! | 9 Ogos 2023

  3. Facebook | Bebe Suria Che Morad | 7 September 2023

  4. Facebook | Hasimah Hayon

  5. Facebook | Noriah Yaacob | 25 Ogos 2023

  6. Facebook | Miera Hasmiera | 15 September 2023

  7. Sinar Harian | Air bergas vs berkarbonat, apa kelebihan dan keburukan? Ramai perlu ambil tahu | 17 Mei 2023

  8. MyHEALTH KKM | Batuk | 28 Ogos 2020

  9. Sinar Harian | KKM belanja RM4.9 bilion rawat pesakit diabetes | 8 Julai 2023

  10. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019

  11. healthline.com | Sarsaparilla: Benefits, Risks, and Side Effects | May 31 2023

  12. indigo-herbs.co.uk | Sarsaparilla Benefits 

  13. healthline.com | 13 Ways That Sugary Soda Is Bad for Your Health | 23 Jun 2023

  14. Harvard TH Chan School of Public Health | Sugary Drinks | August 2023

 

 

 

 

 

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.