+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Polis Sahkan Mid Valley Southkey, Johor Bahru Selamat Dikunjungi

Benarkah...

Pusat beli-belah Mid Valley Southkey, Johor Bahru tidak selamat dikunjungi selepas insiden ancaman bom?

Sumber : WhatsApp / November 2023

Hasil

Dakwaan tular bukan insiden baru, ia kejadian lama pada 14 Oktober lepas yang disebarkan semula di WhatsApp.

09/11/2023 11:12 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular mesej mendakwa sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru kini sudah tidak selamat untuk dikunjungi orang awam.
  • Semakan kami mendapati pusat beli-belah yang dimaksudkan adalah Mid Valley Southkey, Johor Bahru yang pernah berlaku kejadian ancaman keselamatan pada Oktober lepas.
  • Mesej yang tular berserta pautan video dalam Bahasa Mandarin itu sebenarnya memaparkan kejadian lama pada 14 Oktober 2023 dan bukan kejadian baru.
  • Kekeliruan timbul dalam kalangan sesetengah pihak apabila kejadian lama itu ditularkan semula menerusi mesej di WhatsApp.
  • Pihak polis telah mengesahkan pusat beli-belah itu selamat dikunjungi seperti biasa selepas insiden ancaman bom pada 14 Oktober lepas.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Faktor keselamatan dan keamanan adalah asas keharmonian sesebuah negara.

Suasana tenteram membolehkan masyarakat bebas menjalani kehidupan seharian tanpa rasa takut.

Sebaliknya jika wujud sebarang unsur keganasan atau ancaman terhadap keselamatan dalam negara, pastinya mencetus kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Rentetan insiden ancaman bom yang berlaku di pusat beli-belah Mid Valley Southkey, Johor Bahru tempoh hari, masih ada yang waswas akan tahap keselamatan di tempat terbabit.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej daripada orang awam yang bertanya sama ada benarkah pusat beli-belah Mid Valley Southkey, Johor Bahru tidak selamat dikunjungi selepas insiden ancaman bom yang berlaku pada 14 Oktober lepas.

Menerusi WhatsApp yang dihantar kepada kami, warganet mendakwa tempat tersebut adalah berbahaya untuk dikunjungi berdasarkan komen pada tangkap layar seperti berikut:

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Mesej itu disertakan dengan pautan kepada satu video yang telah dimuat naik di laman TikTok.

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Kami klik ke pautan berkenaan untuk melihat kandungan sebenar video berdurasi  33 saat yang dimuat naik oleh pengguna TikTok yang menggunakan nama akaun @8world.news.

Penelitian kami mendapati akaun TikTok berkenaan menggunakan Bahasa Mandarin sebagai medium pengantara.

Akaun itu juga mempunyai 67,000 pengikut (setakat laporan ini ditulis) serta banyak berkongsi maklumat berkaitan isu semasa melibatkan negara-negara di Asia Tenggara.

Seterusnya kami cuba meneliti pula hantaran berdasarkan pautan yang diterima bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan kandungan video yang ditonton lebih 146,000 pengguna itu.

 

Video Adalah Tulen, Dirakam Pada Hari Kejadian Di Mid Valley Southkey

Gambar berikut adalah tangkap layar yang kami ambil daripada paparan video yang diterima.

Pemerhatian kami mendapati video yang dikongsikan dengan MyCheck itu memang memaparkan insiden sebenar di pusat beli-belah terbabit pada 14 Oktober.

 


Sumber: TikTok

 

Kami cuba mendapatkan terjemahan kapsyen dalam bahasa Mandarin pada video tersebut daripada individu yang fasih dan mahir bahasa tersebut.

Maksud kapsyen yang tertera pada video itu antaranya menyebut pihak pengurusan pusat beli-belah menerima panggilan ancaman bom daripada individu tidak dikenali dan pihak bomba mengarahkan orang ramai supaya beredar keluar dari bangunan.

Selain itu, kapsyen pada hantaran video berkenaan juga langsung tidak menyatakan bahawa lokasi tersebut disahkan sudah tidak selamat dikunjungi selepas insiden tersebut yang berlaku pada Oktober lepas.

 


Sumber: TikTok

 

Kenyataan Pihak Berwajib

Seterusnya kami membuat carian di Google bagi mengumpul lebih banyak maklumat khususnya kenyataan rasmi pihak polis.

 


Sumber: Google

 

Menggunakan kata kunci insiden ‘ancaman bom, polis’, maklumat yang tertera adalah seperti di atas.

Maklumat diperoleh menunjukkan ancaman bom di Mid Valley Southkey adalah panggilan palsu.

Malah, pada 15 Oktober BHOnline melaporkan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kawasan berkenaan selamat beroperasi seperti sediakala.

Unit Pemusnah Bom dan anjing pengesan K9 tidak menemui sebarang objek mencurigakan seperti yang didakwa sepanjang operasi pengesanan dijalankan.

Menurut Astro Awani, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut melawat pusat beli-belah dan hotel yang menerima panggilan ancaman bom itu pada keesokan harinya.

Beliau memaklumkan keadaan di pusat beli-belah dan hotel terbabit adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.

 

Keliru Fakta Sebenar, Tiada Ancaman Terbaru Dilaporkan

Jadi, apa sebenarnya yang membuatkan dakwaan tersebut timbul ketika ini?

Penelitian kami mendapati video tersebut dimuat naik pada hari sama kejadian ancaman bom yang dilaporkan Oktober lepas.

Apabila kami melihat kepada tarikh komen orang awam pada hantaran video tersebut, sebenarnya ia merujuk kepada kejadian yang berlaku pada 14 Oktober lepas.

Anda boleh tonton video tersebut di sini serta meneliti gambar berikut.

 


Sumber: TikTok

 

Dalam masa sama, kami juga membuat semakan sekiranya terdapat kejadian sama berulang kembali.

MyCheck juga telah bekerjasama dengan Black Dot Research, sebuah agensi penyelidikan pasaran dan sosial Singapura dalam membuat semakan berkaitan isu ini.

Bagaimanapun, kami tidak menjumpai sebarang maklumat sedemikian dilaporkan atau kemas kini maklumat menyatakan orang awam tidak dibenarkan ke pusat beli-belah berkenaan kerana masih dalam keadaan berbahaya.

Justeru apa yang dapat kami rumuskan berdasarkan semakan yang telah dibuat, orang ramai sebenarnya keliru kerana insiden ‘lama’ pada Oktober lepas ditularkan kembali menerusi WhatsApp.

Orang ramai menyangkakan berlaku lagi kejadian ancaman bom di pusat beli belah terbabit sehingga tempat itu diklasifikasikan sebagai tidak selamat.

Hakikatnya, impak berikutan kejadian yang lepas itu sudah mulai reda dan orang ramai kembali mengunjungi Mid Valley Southkey seperti biasa.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Pemerhatian kami juga mendapati maklumat yang tular itu telah menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak kerana mesej terbabit tersebar seolah-olah kejadian itu baru berlaku atau berulang kembali.

Bagi sesetengah orang yang tiada akses kepada maklumat yang lebih terperinci, kebarangkalian untuk mereka terkeliru amatlah besar.

Justeru, sebagai pengguna teknologi moden pada hari ini, kita haruslah bijak menilai serta menyemak terlebih dahulu sebarang maklumat yang diterima.

Pesan kami di MyCheck, elakkan berkongsi maklumat yang anda tidak pasti kesahihannya bagi mengelakkan kebimbangan awam kerana perkara berkaitan ancaman keselamatan adalah sesuatu yang serius.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Astro Awani I Keadaan Terkawal, Selamat di Pusat Beli-belah Hotel- MB Johor I 15 Oktober 2023

  2. Malaysiagazette I Pengurusan Mid Valley Southkey Sahkan Terima Ancaman Keselamatan I 14 Oktober 2023 

  3. TikTok I 8worldnews I 14 Oktober 2023

  4. Kosmo I Ancaman Bom Southkey: Kami Takut Tapi Terpaksa Kerja I 16 Oktober 2023

  5. Berita Harian I Ancaman Bom Panggilan Palsu, Pusat Beli Belah dan Hotel Selamat - Polis I 15 Oktober 2023

  6. Harian Metro I Ancaman Bom Dipercayai Dilakukan Lelaki Warga Asing I 14 Oktober 2023

  7. Utusan Malaysia I Ancaman Bom Adalah Palsu - Polis I 15 Oktober 2023

  8. Sinar Harian I Ancaman Bom : Polis Johor Dialog Dengan Pusat Beli-Belah Hotel I 17 Oktober 2023

  9. Black Dot Research I Were There Bombs Found In A Mall In Johor Bahru Malaysia I 17 Oktober 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.