+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Malaysia Tidak Hantar Pasukan Tentera Ke Palestin, Video Tular Adalah Pasukan MALBATT Ke Lubnan

Benarkah...

Malaysia menghantar pasukan tentera ke Palestin.

Sumber : TikTok / Oktober 2023

Hasil

Pasukan tersebut adalah Kontinjen Malaysia MALBATT 850-10 yang dihantar ke Lubnan pada 2022.

30/10/2023 03:07 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video menunjukkan pasukan tentera Malaysia sedang bersiap sedia untuk berlepas ke misi di Palestin.
  • Pada video tersebut turut tertera ikon bendera Malaysia dan Palestin.
  • Semakan MyCheck mendapati video tular tersebut adalah rakaman lama.
  • Ia diambil ketika penghantaran misi pasukan MALBATT 850-10 ke Lubnan pada tahun lepas.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Pergolakan antara Palestin dan Israel bukanlah isu baharu.

Konflik yang berlarutan sejak tujuh dekad dan sedang memuncak ketika ini semakin mendapat perhatian ramai.

Bukan sahaja di Malaysia, seluruh penduduk dunia menzahirkan rasa simpati dengan apa yang terjadi di Palestin kini.

Tidak kurang juga ulasan daripada pelbagai pihak serta perkongsian pendirian di media sosial.

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini tular beberapa video di TikTok yang memaparkan satu batalion tentera Malaysia telah dihantar ke Palestin bagi misi pengaman.

 


Sumber: TikTok

 

Video berdurasi 1 minit 36 saat itu menunjukkan pejuang negara sedang mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga masing-masing sebelum berangkat ke misi terbabit.

Tertera tulisan di dalam video yang meminta rakyat Malaysia mendoakan mereka agar selamat pergi dan pulang bersama ikon bendera Malaysia dan Palestin. 

Turut terpapar ayat “Satu Batalion sudah siap sedia (anggaran 1000.00 x anggota Otw (on the way) To Palestin,”.

Meskipun rata-rata warganet menzahirkan rasa terharu dan bangga, namun, adakah benar tentera Malaysia menyertai misi ke Palestin? Jom MyCheck semak kesahihannya dulu!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pakaian Seragam Pasukan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu

Kami telah meneliti video tular tersebut dan mendapati beberapa petunjuk yang boleh membantu dengan carian seterusnya.

1. Warna Dan Logo Pada Beret

Berdasarkan pemerhatian kami, beret yang digunakan oleh anggota tentera terbabit berwarna biru dan mempunyai lambang pada bahagian hadapan.

Carian imej berbalik di Google Image menunjukkan lambang itu milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali sebagai United Nations (UN).

 


Sumber: Google

 

PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang ditubuhkan pada 1945 dan dianggotai sebanyak 193 negara.

Antara tugas utama PBB adalah untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

 

Beret Biru Lambang Keamanan

Menurut artikel History of the United Nations, Emblem, Flag and Blue Beret, PBB memilih warna biru kerana ia melambangkan keamanan berbanding warna merah yang membawa maksud peperangan.

Malah, terdapat acara khas bagi pemakaian beret biru kepada pegawai yang anggota pengamannya akan bertugas ke negara berkonflik antaranya di sini dan di sini

2. Tampalan pada lengan

Satu lagi petunjuk yang mengukuhkan carian kami adalah tampalan (patch) yang terdapat pada bahagian lengan uniform pasukan tersebut.

 


Sumber: TikTok

 

Dengan menggunakan teknik zum, kami mendapati tampalan pada bahagian lengan uniform anggota tentera itu adalah sama dengan lambang PBB.

Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pembaca, kami berikan gambar yang diperoleh hasil carian di Internet.

 


Sumber: Malaysia Gazette dan Berita Harian

 

Kami turut mengesahkannya dengan pihak ATM. Menurut sumber, selain kad identiti anggota PBB (UN ID), beret serta tampalan pada pakaian seragam, pemakaian mafla biru juga melambangkan identiti pasukan pengaman PBB.

Namun, apakah tugas pasukan pengaman ini?

 

Sejarah Penghantaran Pasukan Pengaman

Menurut portal rasmi Tentera Darat Malaysia, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai sebuah negara merdeka dalam membantu menjaga keamanan dunia sejak 1960.

Malaysia sebelum ini pernah menghantar pasukan ke Congo, Namibia, Cambodia, Somalia, Bosnia dan Herzegovina, Timur Timor, Ethiopia dan Timor Leste.

Memetik laporan Sinar Harian, Malaysia berada di tangga ke-25 daripada 123 negara dari segi penyertaan ke misi pengaman PBB setakat Mac 2023.

 

Pasukan Sebenarnya Dihantar Ke Lubnan

Bagi mengenal pasti pasukan mana yang dihantar bagi misi kali ini, kami membuat carian secara rawak jika ada pasukan pengaman yang dihantar baru-baru ini.

Hasilnya, kami menemui maklumat bahawa pasukan terakhir yang dihantar Malaysia bagi misi pengaman PBB adalah pada Oktober 2022.

Ia adalah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) yang terdiri daripada 84 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP).

Ini jelas menunjukkan bahawa pasukan pengaman Malaysia bersama PBB tidak dihantar ke Palestin seperti yang ditularkan.

Carian kami ini juga disokong dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera (ATM) seperti di bawah.

 


Sumber: Markas Angkatan Tentera Malaysia

 

ATM turut menegaskan agar masyarakat tidak membuat andaian atau menularkan berita palsu yang boleh mengundang pelbagai spekulasi dan menimbulkan panik dalam kalangan umum.

 

Apa Itu MALBATT 850?

Seperti laporan yang dikeluarkan MyCheck sebelum ini, MALBATT adalah singkatan daripada Malaysian Battalion atau Batalion Malaysia.

Berdasarkan portal rasmi Markas Angkatan Bersama, PBB memberi mandat baharu untuk menubuhkan MALBATT 850 bermula dari 2013.

Tugasan utamanya adalah melaksanakan misi pengaman di Selatan Lubnan dengan penyertaan pegawai dan anggota ketiga-tiga perkhidmatan ATM, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan pegawai kewangan Kementerian Pertahanan.

Tempoh penugasan bagi setiap MALBATT 850 adalah selama satu tahun dan ini menunjukkan bahawa misi terakhir di Lubnan dijadualkan berakhir hanya pada Oktober atau November 2023.

 

Pasukan Kekal Berada Di Lubnan

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman mengesahkan Pasukan MALBATT 850-10 yang terbabit misi pengaman di Lubnan disahkan selamat walaupun keadaan tegang di sempadan negara Lubnan susulan konflik Palestin-Israel.

Menurut Mohammad, apabila pasukan MALBATT 850-10 dihantar ke Lubnan, segala pengarahan dan penugasan mereka adalah tertakluk kepada PBB.

Buat masa ini mereka kekal di negara berkenaan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.

 

Hantar Pasukan Tentera Ke Palestin Bukan Perkara Mudah

Media melaporkan tindakan untuk menghantar tentera ke Palestin sebenarnya mesti disepakati negara jiran Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa keputusan untuk menghantar pasukan tentera bukan keputusan yang boleh dibuat dengan mudah.

“Jika mahu hantar tentera, termasuk pasukan pendamai atau keamanan atau koridor kemanusiaan, ia mesti disepakati negara jiran. Jika tidak, pesawat kita tidak boleh mendarat,” katanya.

Temu bual MyCheck bersama Dr Ahmad El-Muhammady, Penolong Profesor ISTAC-IIUM menjelaskan bahawa Malaysia sebaliknya boleh membantu Palestin melalui dua pendekatan, iaitu menghantar pasukan bantuan kemanusiaan serta pendekatan politik dan diplomasi.

Menurut pakar counter-terrorism itu, pendekatan politik boleh dilakukan melalui seruan kepada negara Islam untuk bersatu dan sebulat suara mengenakan tekanan terhadap Amerika Syarikat dan Israel.

Ini bagi menghentikan serta-merta peperangan yang sedang berlaku dan membenarkan misi kemanusiaan masuk ke Gaza.

Selain itu, beliau berkata pengaruh ‘kuasa minyak’ sebagai ‘soft power’ juga boleh digunakan untuk menghentikan serangan dan melaksanakan rundingan ke arah merealisasikan penyelesaian dua negara ataupun ‘two-state solution’.

 

KESIMPULAN

Sudah semestinya kita bersimpati dengan apa yang menimpa bumi Palestin ketika ini.

Namun, ini tidak bermaksud kita berhak mengambil kesempatan di atas kesengsaraan rakyat Palestin semata-mata untuk meraih perhatian orang ramai demi kepentingan sendiri.

Cuba fikirkan jika anda berada di tempat anggota pasukan pengaman tersebut?

Video yang sebelum ini diambil sebagai kenang-kenangan keluarga pula ditularkan oleh orang lain dengan maklumat yang salah.

Ingat pesan kami, janganlah kerana mahukan ‘content’ atau #FYP di media sosial, anda mencetuskan ketidaktentuan dalam negara.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1.  IUNVA| History of the United Nations, Emblem, Flag and Blue Beret

  2. Official Portal Royal Malaysian Air Force | Majlis Pemakaian beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-9 ke Lubnan 

  3. Facebook Rejimen Semboyan Diraja | Majlis pemakaian beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-7 | 2 Oktober 2019

  4. Portal Rasmi Tentera Darat Malaysia | Misi PBJB

  5. Sinar Harian | Malaysia di tangga ke-25 penyertaan ke Misi Pengaman PBB | 19 Jun 2023

  6. Utusan Malaysia | 854 anggota MALBATT ke Lebanon | 27 Oktober 2022

  7. MyCheck | Kenderaan Berlogo ‘UN’ Yang Tular Adalah Untuk Perarakan Hari Kebangsaan 2022, Tiada Kaitan Dengan Sebarang Ancaman | 1 Sept 2022

  8. Portal Rasmi Markas Angkatan Bersama | MALBATT

  9. Berita Harian | Perang Israel-Palestin: Pasukan MALBATT 850-10 di Lubnan selamat | 23 Oktober 2023 

  10. Berita Harian | Penghantaran tentera bantu Palestin mesti disepakati negara jiran - PM | 16 Oktober 2023

  11. United Nation Peacekeeping | Military

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.