Bendera Malaysia dan Israel dikibarkan bersama di atas sebuah kapal layar ketika negara kini lantang bersolidariti dengan Palestin?
Sumber : WhatsApp / Oktober 2023
Video itu merupakan rakaman yang disiarkan semula dan ia adalah sebahagian tentatif pelayaran ‘Trip Mega 1.0 (Umrah DIY Jordan Palestin)’ rakyat Malaysia ke Tasik Galilee pada 2019.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Konflik Palestin - Israel tercetus semula susulan perang yang bermula pada 7 Oktober lepas.
Malaysia bersolidariti mengutuk serangan Israel terhadap Palestin yang sehingga kini mengorbankan ribuan nyawa.
MENGENAI DAKWAAN
Pada 25 Oktober 2023, tular sebuah video di TikTok memaparkan bendera Malaysia dan Israel dikibarkan bersama di atas sebuah kapal layar.
Video berdurasi 47 saat itu turut menunjukkan sekumpulan rakyat Malaysia menyanyikan lagu Negaraku semasa Jalur Gemilang sedang dinaikkan.
Warganet menyuarakan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap kejadian tersebut terutamanya ketika konflik Palestin-Israel kini.
MyCheck menerima WhatsApp dari orang awam yang tidak berpuas hati serta mendakwa sokongan Malaysia terhadap Palestin adalah tidak konsisten setelah melihat video tular itu.
Kami kongsikan tangkap layar mesej berkenaan seperti gambar berikut.
Anda mungkin sedang beremosi. Namun sabar, biar MyCheck semak dahulu!
APA YANG KAMI TEMUI
Video Adalah Siaran Semula
Semasa meneliti video itu, kami seakan pernah menonton rakaman tersebut sebelum ini.
Justeru, kami membuat semakan di Google menggunakan kata kunci ‘Video bendera Malaysia berkibar dengan bendera Israel’ dan muncul beberapa artikel tempatan yang pernah melaporkan isu tersebut.
Pada 30 November 2022, Malaysia Dateline menerbitkan artikel menjelaskan video tersebut sebenarnya dimuat naik oleh rakyat Malaysia yang melawat Tasik Galilee di Bukit Golan anjuran sebuah komuniti yang dikenali sebagai ‘Nota Umrah DIY’ pada 2019.
Penjelasan Nota Umrah DIY
Kami kemudian membuat carian di Facebook untuk mendapatkan maklumat mengenai Nota Umrah DIY.
Hasil penelitian mendapati pengendali akaun tersebut banyak memuat naik kandungan mengenai pelancongan dan umrah.
Semasa menatal halaman Facebook akaun berkenaan, kami menemukan satu hantaran penjelasan berkaitan video tular itu.
Pada 30 November 2022, satu hantaran oleh akaun Facebook Nota Umrah DIY menafikan video tular tersebut diambil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, video tersebut dirakamkan semasa pelayaran ‘Trip Mega 1.0 (Umrah DIY Jordan Palestin)’ yang diadakan pada Disember 2019.
Kejadian berlaku secara spontan yang mana kapten kapal memainkan lagu Negaraku dan penumpang terus bangun untuk menyanyikan lagu tersebut sambil melihat bendera Malaysia dinaikkan, menurut hantaran itu.
Pada 7 Januari 2020, Nota Umrah DIY pernah memuat naik video kejadian yang sama berserta kapsyen yang menyatakan kapten kapal telah memainkan lagu Negaraku, diikuti selawat nabi dan lagu berunsur islamik buat penumpang Malaysia.
Tasik Galilee
Bagaimanapun, apa kaitannya dengan bendera Israel?
Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, kami membuat carian mengenai lokasi Tasik Galilee dengan menggunakan Google Earth.
Kami dapati Tasik Galilee atau dipanggil Tasik Tiberia ini adalah kawasan yang terletak di utara Palestin dengan kedalaman 209 meter paras laut bersebelahan sempadan Jordan dan Syria.
Namun, wilayah yang terletak di Tasik Galilee ini sebahagian besarnya telah ditakluk oleh Israel sejak 1967.
Lazimnya, rakyat Malaysia khususnya Muslim cukup sinonim dengan sejarah atau hadis berkenaan Tasik Galilee seperti dinyatakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Bendera Negara Lain Turut Dinaikkan
Ketika menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, kami dapati bendera negara lain turut dikibarkan di atas kapal tersebut.
Pada 1 Disember 2022, Kosmo melaporkan pengalaman seorang rakyat Malaysia Satirah Hassan yang pernah menaiki kapal itu pada 2018 dalam artikel ‘Kapal melawat laut Galilee ada bendera satu dunia’.
Menurut Satirah, pengusaha kapal sememangnya memiliki semua bendera dari seluruh dunia dan akan memasang bendera mengikut negara pelancong yang menaiki kapalnya.
“Kalau pelancong dari Turkiye, maka bendera Turkiye mereka akan pasang, kalau Indonesia, maka akan dinaikkan bendera Indonesia. Tiada kaitan dengan Malaysia dapat bantuan israel,” katanya.
Bagi mendapatkan kepastian, kami membuat carian di Facebook dan menemukan beberapa gambar bendera seperti di sini dan di sini.
Kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Memandangkan video ini pernah tular ketika PRU15, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran klip video tersebut pada 2022
Pada 1 Disember 2022, Berita Harian Online melaporkan siasatan polis mendapati video tersebut sememangnya dirakam ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang telah ditakluk Israel.
Kes terbabit telah disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
KESIMPULAN
Video yang tersebar ini telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Memandangkan konflik Palestin-Israel sedang berlaku, pelbagai naratif media sering dimainkan dan disebarkan tanpa usul periksa terutama apabila melibatkan isu-isu sensitif.
Pesan kami di MyCheck, semak terlebih dahulu maklumat dan informasi yang berlegar di media sosial, pastikan anda kongsi maklumat sahih dalam konteks yang menyeluruh.
– MYCHECK.MY –-
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.