+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Malaysia Tidak Pernah Latih Pejuang Hamas, Dakwaan Adalah Kitar Semula

Benarkah...

Pejuang Hamas menerima latihan luncur udara (paragliding) di Malaysia untuk melakukan serangan terhadap Israel.

Sumber : WhatsApp / Oktober 2023

Hasil

Dakwaan adalah kitar semula yang diterbitkan pada 2014. Malaysia tidak pernah menawarkan sebarang latihan kepada mana-mana pejuang Hamas atau kumpulan gerakan.

20/10/2023 02:12 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular forum dalam talian mendakwa pejuang Hamas menerima latihan luncur udara di Malaysia untuk melakukan serangan terhadap Israel.
  • Semakan MyCheck mendapati kandungan forum tersebut diambil daripada laporan The Coverage yang memetik artikel lama iaitu pada 2014 dan 2015.
  • Namun laporan tersebut diterbitkan semula seolah-olah ia adalah kejadian baru.
  • Pada 2014, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia tidak pernah menyediakan tempat mahupun menawarkan sebarang latihan kepada mana-mana pejuang Hamas atau kumpulan gerakan.
  • Kerajaan juga tidak pernah membenarkan sebarang unsur pusat latihan seumpama itu diwujudkan di negara ini.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Malaysia kekal dengan pendirian terbuka berhubung kepentingan melindungi rakyat Palestin dan hak mereka untuk menubuhkan negara sendiri berpandukan sempadan sebelum perang 1967.

Justeru, Malaysia juga tidak pernah mengiktiraf kezaliman yang berlaku ke atas rakyat Palestin oleh tentera Israel.

Susulan serangan membabitkan Palestin-Israel pada 7 Oktober 2023, tular video di platform media sosial memaparkan individu yang dikatakan anggota Pejuang Hamas sedang membuat luncur udara bagi melakukan serangan memasuki Israel.

 

MENGENAI DAKWAAN

Sebuah pautan forum dalam talian tular baru-baru ini di WhatsApp, mendakwa pejuang Hamas menerima latihan di Malaysia untuk melakukan serangan terhadap Israel.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Menurut forum Lowyat.Net terbabit, Haaretz, salah satu akhbar di Israel mendakwa kumpulan Hamas di Malaysia secara aktif merekrut pelajar Palestin tempatan untuk latihan ketenteraan.

Akhbar tersebut turut mendakwa anggota Hamas telah mendapat latihan luncur udara di Malaysia untuk melakukan pembunuhan dan penculikan di Israel.

Sebuah lagi akhbar, The Jerusalem Post menyokong tuduhan ini dan turut mendakwa seorang pejuang Hamas di bawah tahanan Israel mendedahkan bahawa dia dilatih di Malaysia untuk melakukan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berkuasa tinggi (powered parachute).

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck memulakan semakan dengan membuat penelitian pada penulisan forum berkenaan dan mendapati ia adalah laporan The Coverage yang dikeluarkan pada 13 Oktober 2023.

Setelah menatal laporan The Coverage, kami dapati hanya separa daripada laporan berkenaan telah ditularkan. Namun, laporan penuh tersebut juga mencurigakan.

 

Laporan Adalah Kitar Semula

Berdasarkan pemerhatian kami, laporan dibahagikan kepada beberapa subtopik dan bersumberkan kepada artikel seperti The Diplomat, Astro Awani dan lain-lain.

Apabila kami klik pada setiap artikel tersebut, kami dapati kesemuanya adalah artikel lama yang pernah diterbitkan pada 2014 dan 2015. Namun, ia diolah dan dikeluarkan semula seakan ia adalah kejadian baru.

Berikut adalah tarikh-tarikh artikel yang telah digunakan dalam laporan The Coverage.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

The Coverage juga telah mencedok ayat daripada artikel-artikel terbabit dan dicantumkan sebagai laporan mereka. Persamaannya boleh dilihat di bawah.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Laporan Bersumberkan Portal Propaganda

Lebih mencurigakan apabila kami klik salah satu sumber laporan The Coverage iaitu Israel Defence Forces (IDF) dan kami dibawa ke portal yang dipanggil ‘The Hamas Terrorist Organization’.

 


Sumber: Laman IDF

 

Semakan kami mendapati portal tersebut seolah direka untuk menyebarkan ideologi keganasan yang kononnya diperjuangkan Hamas.

Bagi memastikan kesahihan laman ini, kami membuat semakan menggunakan aplikasi Whoislookup untuk mengetahui  latar belakangnya.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Kami dapati laman berkenaan sebenarnya dicipta dan didaftar di Amerika Syarikat (AS) pada 2011 itu diragui kerana tidak jelas identitinya.

Dalam pada itu, semakan kami turut mendapati ini bukan kali pertama The Coverage menerbitkan laporan kitar semula yang mengelirukan.

Anda boleh semak di sini dan di sini.

 

Malaysia Tidak Pernah Melatih Anggota Hamas

MyCheck meneruskan proses untuk mencari kesahihan dan sumber rasmi lain.

 


Sumber: Astro Awani

 

Kami temui artikel Astro Awani pada 2014 yang mengulas dakwaan The Jerusalem Post bahawa pejuang Hamas menerima latihan di Malaysia.

Ia memetik kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengesahkan Malaysia tidak pernah menyediakan tempat mahupun menawarkan sebarang latihan kepada mana-mana pejuang Hamas atau kumpulan gerakan yang berjuang di negara bergolak.

Tambah Wan Junaidi, Malaysia juga tidak pernah membenarkan sebarang latihan mahupun unsur pusat latihan seumpama itu diwujudkan.

 

Bekas Ketua Polis Negara Nafi Dakwaan

Perkara ini juga turut disokong bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, rakyat Palestin yang datang ke Malaysia adalah mahasiswa yang menuntut di universiti tempatan Malaysia seperti di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan mengikuti pengajian biasa yang ditawarkan.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada mana-mana individu atau kumpulan yang memberi sebarang bentuk latihan ketenteraaan kepada anggota Hamas atau penuntut Palestin di Malaysia.

Tuduhan bahawa Malaysia memberikan bantuan persenjataan pernah dilontarkan pada 2010 seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Oleh itu, tuduhan seperti ini bukanlah kali pertama berlaku yang dikaitkan dengan Malaysia.

 

Hamas Nafi Malaysia Latih Anggotanya

Lebih penting lagi, pergerakan Hamas sendiri telah menafikan tuduhan liar sebegini ke atas Malaysia seperti yang dilontarkan oleh agensi keselamatan Israel, Shin Bet.

Laporan Astro Awani Israel penipu besar, tuduh Malaysia yang diterbitkan pada 31 Julai 2014 itu memetik kenyataan pegawai Perhubungan Antarabangsa Hamas Dr Khaled Qadoumi.

Menurut beliau, tuduhan tersebut adalah propaganda yang diolah untuk menutup kekejaman yang dilakukan terhadap Gaza.

Tambahnya tuduhan yang dilemparkan ke atas Malaysia itu adalah disebabkan Malaysia sebuah negara Islam yang proaktif, bebas, berani dan sentiasa menyokong hak serta kebebasan warga Palestin.

Hamas turut menyifatkan Malaysia sebagai sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa negara ini dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan bahawa Malaysia melatih pejuang Hamas sebagai tidak benar.

Tiada fakta kukuh dan jelas yang membuktikan bahawa negara ini menyediakan latihan dalam apa jua bentuk kepada pejuang Hamas, mahupun gerakan daripada mana-mana negara yang sedang bergolak.

Malah, laporan yang dikeluarkan The Coverage itu bersumberkan laporan lama dan ditularkan semula seolah-olah ia adalah dakwaan baru ekoran konflik Palestin-Israel yang sedang berlangsung.

Oleh sebab isu membabitkan konflik Palestin-Israel ini masih memuncak, pesan kami di MyCheck, sebarkan maklumat sahih dan tepat di media sosial.

Usah sewenang-wenangnya mencurah minyak ke dalam api hanya untuk menjadi pembawa maklumat terawal.

Ingat, anda mungkin menyebar berita palsu yang hanya akan menimbulkan kegusaran dan keresahan orang ramai.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Lowyat.net | HAMAS Fighter Revealed He Was Trained In Malaysia | 13 Oktober 2023

  2. The Coverage | Israeli Intelligence Accused Hamas Received Advanced Training In Malaysia For Attack – Hamas Fighter Revealed He Was Trained In Malaysia | 13 Oktober 2023

  3. The Diplomat | Is Hamas Training Operatives in Malaysia | 30 April 2015

  4. Astro Awani | Hamas Fighter Revealed He Was Trained In Malaysia | 31 Julai 2023

  5. The Hamas Terrorist Organization | Hamas Terror Cell Received Advanced Training in Malaysia | 31 Julai 14

  6. Who Is Lookup | IDF 

  7. Twitter | Syahredzan | 15 Oktober 2023

  8. Medium | Uncover “TheCoverage” | 51 Oktober 2020 

  9. Astro Awani | Malaysia tidak pernah latih pejuang Hamas - Wan Junaidi | 31 Julai 2023

  10. The Sun Daily | IGP denies Hamas rumour | 30 April 2015

  11. Berita Harian | Zahid perjelas pertemuan dengan Ehud Barak | 3 Mei 2010 

  12. Astro Awani | Israel Penipu Besar, Tuduh Malaysia | 31 Julai 2014

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.