Terdapat perarakan sambil mengibarkan bendera China di Malaysia?
Sumber : TikTok / Oktober 2023
Perarakan tersebut sebahagian daripada Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa di Negeri Sembilan yang melibatkan enam negara iaitu Thailand, Singapura, Vietnam, China, Indonesia dan Malaysia.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Masyarakat Malaysia terkenal dengan kepelbagaian kaum dan adat resam yang diraikan dengan pelbagai acara dan perayaan.
Kini dengan kehadiran Internet, warna-warni kepelbagaian tersebut dapat dikongsikan secara meluas ke seluruh dunia.
Namun, kadangkala ada pihak yang sengaja menggunakan kepelbagaian ini untuk menggugat keharmonian negara.
MENGENAI DAKWAAN
Baru-baru ini, tular di TikTok beberapa video menunjukkan rakaman satu perarakan yang berlaku di Malaysia yang memaparkan pesertanya mengibarkan bendera China.
Pada video itu tertera dua kapsyen menyatakan “Anda tidak diundang untuk datang, kami tidak terkejut untuk pergi” dan “Jika anda bangga dengan negara anda, silakan keluar dari negara kami”.
Video-video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia, termasuk marah dan takut.
Majoriti merasakan insiden ini bukti kelemahan penguatkuasaan dan undang-undang negara.
Pemilik akaun juga dilihat seperti menggalakkan sentimen sedemikian melalui jawapan kepada komen-komen yang dimuat naik pengguna lain.
Namun, betul ke terdapat perarakan mengibarkan bendera China ini? Jom, MyCheck semak!
APA YANG KAMI TEMUI
Bagi mendapatkan gambaran sebenar, kami menjengah ke ruangan komen untuk mencari petunjuk mengenai insiden terbabit.
Dua komen menarik perhatian kami. Kedua-duanya mengatakan perarakan tersebut sebahagian daripada Pesta Guan Gong Antarabangsa 2023.
Perarakan Pesta Antarabangsa Di Malaysia
Berdasarkan komen tersebut, kami membuat carian rawak di laman carian Google dan menjumpai beberapa poster berkaitan pesta berkenaan di Google Images.
Kami kemudian klik pada salah satu gambar dan dibawa ke laman Facebook Negeri Sembilan Events. Hasilnya, kami menemui satu hantaran gambar yang menjelaskan pesta tersebut.
Berdasarkan pemerhatian kami pada gambar poster, pesta ini sememangnya wujud dan berlangsung di Sg Ujong Walk, Negeri Sembilan pada 14 Oktober 2023.
Bagaimanapun, hasil pengamatan kami mendapati pesta tersebut turut disertai peserta daripada beberapa negara termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Malaysia dan China.
Video Papar Bendera Pelbagai Negara
Bagi mendapatkan kepastian, kami menatal dengan lebih lanjut halaman Facebook tersebut dan berjaya mengesan satu video terbaharu memaparkan suasana pesta itu semasa ia sedang berlangsung.
Video tersebut dimuat naik di halaman Facebook N9 Sg Ujong Walk 花城文化街.
Hasil pengamatan kami pada video tersebut pula menunjukkan satu perarakan besar-besaran yang turut diawasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain daripada perarakan naga dan gong, perarakan itu juga menunjukkan peserta membawa bendera beberapa buah negara seperti China (minit 3:48), Malaysia (4:04), Thailand (4:15), Indonesia dan Vietnam (4:24). Malah, terdapat juga bendera Negeri Sembilan pada minit ke (4:01).
Terdapat banyak lagi hantaran video dan gambar seperti persiapan sebelum acara dan ketika acara itu berlangsung dimuat naik di laman Facebook N9 Sg Ujong Walk 花城文化街.
Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Adalah Pesta Tahunan
Menurut hantaran Persona Seremban, Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa ini diadakan untuk mengenang jasa seorang pahlawan legenda bernama Guan Gong yang terkenal dengan kesetiaan dan keberaniannya untuk melindungi negaranya.
Malah, pesta ini merupakan pesta tahunan dan bukanlah kali pertama diadakan di Malaysia.
Sebelum ini, pesta itu telah diadakan di Pulau Pinang pada 2022 dan disambut bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Penafian Sebenarnya.my
Berdasarkan laporan Sebenarnya.my, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya dimaklumkan mengenai perarakan berkenaan yang turut mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mereka juga turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum, diraja).
KESIMPULAN
Jelas di sini terdapat maklumat salah (misinformation) yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bertujuan untuk memporak-perandakan dan mengganggu-gugat kententeraman kaum di negara ini.
Sebagai warganegara bertanggungjawab, kita seharusnya mempunyai kesedaran sivik yang tinggi untuk menjaga keharmonian negara kita.
Tidak salah meraikan kepelbagaian, bukan?
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.