+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Caj Perkhidmatan Klinik Kesihatan Dinaikkan Hingga RM15? Tidak Benar. Caj Masih Kekal RM1

Benarkah...

Caj perkhidmatan klinik kesihatan dinaikkan kepada RM10 hingga RM15.

Sumber : WhatsApp/ Oktober 2023

Hasil

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah mengeluarkan sebarang maklumat rasmi berhubung kenaikan caj perkhidmatan kesihatan awam. 

10/10/2023 01:29 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menyatakan terdapat kenaikan caj bagi perkhidmatan klinik kesihatan kerajaan.
  • Dikatakan caj tersebut telah dinaikkan daripada RM1 kepada RM10 hingga RM15.
  • Tinjauan MyCheck mendapati, setakat ini caj perkhidmatan Klinik Kesihatan masih kekal RM1.
  • Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang maklumat rasmi berhubung kenaikan caj perkhidmatan tersebut.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Dalam mendepani dunia teknologi yang semakin bergerak pantas, pelbagai perubahan sedang dibangunkan sekali gus memberi tamparan hebat terhadap cabaran ekonomi yang perlu diadaptasi.

Justeru, pelbagai inisiatif telah diberikan bagi membantu meringankan beban termasuklah pemberian subsidi kepada rakyat.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp yang dihantar orang awam seperti dalam gambar berikut.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Mesej itu disertakan dengan satu tangkap layar yang dipercayai dimuat naik di platform TikTok.

Pada tangkap layar terbabit tertera kapsyen yang mendakwa terdapat kenaikan caj bagi perkhidmatan klinik kesihatan kerajaan.

Dikatakan caj tersebut telah dinaikkan daripada RM1 kepada RM10 hingga RM15.

Apabila dakwaan seperti ini tular, ia pastinya membawa impak yang besar membabitkan semua pihak terutamanya orang awam yang menerima rawatan dan perkhidmatan di klinik kerajaan.

Namun, benarkah dakwaan tersebut?

 

APA YANG KAMI TEMUI

Carian Video Asal

Bagi menentukan kesahihan video, MyCheck membuat carian di platform TikTok untuk mencari video tular tersebut dengan menggunakan kata kunci ‘caj klinik kerajaan naik’.

 


Sumber: TikTok

 

Hasilnya, kami menemukan beberapa video yang diolah semula oleh pengguna TikTok yang mana rata-rata mereka menyangkal dakwaan tersebut.

Anda boleh lihat di sini dan di sini.

Namun, kami tidak menjumpai video sebenar seperti dakwaan yang kami terima, berkemungkinan video tersebut telah dipadam atau berada dalam tetapan (settings) privasi.

Berdasarkan carian di platform TikTok, kami tidak menjumpai sebarang petunjuk, justeru kami beralih pula ke Facebook bagi mendapatkan perspektif yang berbeza.

 


Sumber: Facebook

 

Kami dapati dakwaan terbabit sudahpun disebarkan di Facebook sehingga ada segelintir pengguna media sosial mempersoalkan kebenaran dan kesahihan isu tersebut sekali gus mengatakan caj tersebut sudah pun dikenakan.

 

Tiada Kenaikan Caj Perkhidmatan Klinik Kesihatan

Bagi mengukuhkan semakan, kami mengambil inisiatif untuk turun padang bagi melihat sendiri sama ada benarkah klinik kesihatan kini sudah dinaikkan caj.

MyCheck ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur untuk melakukan tinjauan dan mendapati tiada sebarang tanda atau pemakluman secara bertulis dalam premis kesihatan tersebut.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Jadi, MyCheck mengambil langkah untuk bertanyakan kepada salah seorang petugas di kaunter klinik tersebut mengenai fi yang dikenakan.

Menurut petugas itu, setakat ini fi atau caj bagi Klinik Kesihatan kekal RM1 bagi perkhidmatan pesakit luar manakala bagi rawatan perkhidmatan pakar adalah RM5.

Maka berdasarkan tinjauan kami setakat ini, dakwaan kenaikan caj seperti yang digembar-gemburkan itu sememangnya tidak berlaku.

 

Kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Seterusnya, bagi mendapatkan kesahihan, kami telusur pula media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan sebarang maklumat atau pengumuman rasmi berhubung isu ini.

Hasilnya, kami temui kenyataan KKM yang menafikan dakwaan tersebut.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

 

Menurut KKM, pihaknya memandang serius terhadap penyebaran maklumat palsu berhubung caj di Klinik Kesihatan Kerajaan serta menegaskan KKM tidak pernah mengeluarkan sebarang maklumat rasmi berkaitan kenaikan caj perkhidmatan.

KKM juga turut menasihatkan semua pihak untuk menghentikan sebarang perkongsian maklumat palsu dan tidak menghebahkan maklumat yang tidak sah yang boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sekiranya KKM sudah mengeluarkan kenyataan serta menafikan dakwaan tersebut bagaimana pula isu ini boleh timbul?

 

Cadangan Kenaikan Caj Perkhidmatan Klinik Kesihatan


Sumber: Samudera.my

 

Seperti yang dilaporkan media Doktor Mahu Caj RM1 Klinik Kesihatan Dinaikkan sebelum ini, isu caj perkhidmatan klinik kesihatan telahpun dibangkitkan oleh beberapa pihak yang menyarankan kerajaan untuk menaikkan caj klinik kesihatan.

Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata ia berikutan caj yang sedia ada sudah tidak relevan dengan masa kini disebabkan kos rawatan semakin meningkat.

Menurutnya, kenaikan caj itu adalah suatu keperluan kerana kos yang semakin tinggi ini akan membebankan kerajaan untuk menampung sepenuhnya dan boleh menjejaskan perkembangan perkhidmatan, penambahbaikan fasiliti serta kemudahan dan kebajikan kakitangan.

Begitu juga dengan pendapat pakar perubatan lain yang menyarankan kerajaan untuk meneliti semula kadar caj rawatan yang bersesuaian sekali gus memastikan perkhidmatan rawatan yang disediakan adalah berkualiti.

 

Caj Rawatan Perkhidmatan Kesihatan Tidak Dinaikkan Sewenang-Wenangnya

Seperti yang kita ketahui, Malaysia antara negara yang mempunyai yuran perubatan terendah di dunia iaitu kira-kira 40 peratus lebih rendah daripada Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Malah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang mempunyai sistem perubatan terbaik dunia menurut artikel Malaysia ranks 1st in world's best healthcare category berikutan kerajaan Malaysia memperuntukkan sehingga hampir 98 peratus subsidi kesihatan bagi setiap pesakit.

Ini bermakna bayaran yang dikenakan bagi pesakit juga hanyalah sebanyak satu hingga dua peratus sahaja yang jelas murah berbanding di perkhidmatan swasta.

Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sebarang perubahan struktur bayaran bagi perkhidmatan kesihatan awam tidak akan dijalankan dengan segera dan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya ia akan diteliti secara rapi dan telus dengan analisis wajar membabitkan libat urus pihak berkepentingan.

Ia bagi memastikan rakyat terutama golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan tidak akan terkesan, serta terus menikmati akses perkhidmatan kesihatan yang berpatutan.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dakwaan bahawa terdapat kenaikan caj perkhidmatan klinik kesihatan kepada RM10 hingga RM15 adalah tidak benar.

Hal ini kerana  masih tiada lagi ketetapan atau pengumuman rasmi berhubung kenaikan caj tersebut seperti yang diuar-uarkan.

Pesanan kami di MyCheck, semak segala informasi di platform yang tepat dan sahih.

Jangan sebar maklumat palsu yang mencetuskan panik sekali gus boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian awam.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok | Ummi | 26 September 2023

  2. TikTok | Mindwave | 25 September 2023

  3. Facebook | Mofahis Sulaiman | 26 September 2023

  4. Facebook | Kementerian Kesihatan Malaysia | 25 September 2023

  5. Samudera | Doktor Mahu Caj RM1 Klinik Kesihatan Dinaikkan | 2 Jun 2023

  6. Asean Briefing | Malaysia’s Healthcare Sector: A Rising Giant in ASEAN | 6 Oktober 2020

  7. New Straits Times | Malaysia ranks 1st in world's best healthcare category | 6 Februari 2019

  8. Astro Awani | Bayaran Perkhidmatan Kesihatan Tak Naik Segera Sewenang-wenangnya-Dr Zaliha | 15 Jun 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.