+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bas Bawa ‘Pengundi Hantu’ Ke Kedah Tidak Benar. Kenderaan Itu Sebenarnya Membawa Petugas Polis Sempena PRN

Benarkah...

Terdapat beberapa buah bas didapati membawa ‘pengundi hantu’ ke Kedah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.

Sumber : Facebook, TikTok / Ogos 2023

Hasil

Polis sahkan bas itu tidak membawa ‘pengundi hantu’ sebaliknya membawa pegawai dan anggotanya yang bertugas di Kedah sempena PRN.

14/08/2023 03:48 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular sebuah video mendakwa terdapat beberapa buah bas didapati membawa ‘pengundi hantu’ bagi PRN Kedah.
  • Video itu tular di TikTok ketika hari pengundian pada 12 Ogos 2023.
  • Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mengesahkan dakwaan itu tidak benar.
  • Polis menjelaskan bas yang dirakam dalam video berkenaan sebenarnya membawa pegawai dan anggota polis untuk bertugas sempena PRN Kedah.
  • Menurut portal rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya juga hanya warganegara Malaysia yang layak serta telah berdaftar sebagai pemilih dan namanya terdapat dalam Daftar Pemilih sahaja yang boleh mengundi.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Setiap kali musim pilihan Raya ada sahaja isu yang kita dengar,  kad pengenalan palsu, ‘pengundi hantu’, ‘blackout’, masalah di pusat pengundian dan macam-macam lagi.

Biasanya sepanjang musim tersebut, orang ramai lebih cakna dengan isu semasa khususnya bagi perkara yang berkaitan pengundian kerana rata-rata rakyat mahukan proses pemilihan wakil rakyat di kawasan mereka dibuat secara telus dan adil.

Oleh sebab itu ada sahaja isu yang timbul sehingga menjadi faktor yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat beberapa buah bas dipercayai membawa ‘pengundi hantu’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri seperti dalam gambar berikut.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Tangkap layar itu memaparkan gambar bas beserta kapsyen ‘Undi hantu, Kantoi sudah’.

Mesej yang kami terima itu turut disertakan dengan satu pautan video di TikTok.

Video itu dilihat mendapat hampir 70,000 tanda suka serta ribuan komen dan perkongsian (setakat laporan ini ditulis).

Namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan hantaran video Tiktok itu? Apakah kaitannya dengan ‘undi hantu’? Jom MyCheck semak kesahihannya terlebih dahulu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci, MyCheck mulakan semakan dengan klik pautan video yang kami terima.

Kami dapati ia merupakan video yang dimuat naik di TikTok pada 12 Ogos 2023, iaitu pada hari pengundian.

Video berdurasi 1.25 saat itu memaparkan situasi orang awam sedang merakam bas-bas persiaran yang kononnya membawa pengundi hantu.

 

Siapa Penumpang Sebenar Di Dalam Bas?

Bagi mendapat maklumat lanjut, kami cuba menatal ribuan komen oleh pengguna TikTok berkenaan video tersebut seperti dalam tangkap layar di bawah.

 


Sumber: TikTok

 

Berdasarkan ribuan komen tersebut, kami dapati ada dua klu atau petunjuk yang sangat membantu dalam proses semakan kami.

Ada di antara warganet yang menjelaskan bahawa bas-bas tersebut membawa pegawai dan anggota polis yang bertugas di Kedah.

Selain itu, maklumat penting yang kami perolehi berdasarkan komen tersebut menyatakan proses pengundian bukanlah semudah yang disangka.

Jika tiada nama dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) maka seseorang itu memang tidak boleh menerima kertas undi.

 

Kenyataan Rasmi PDRM

Seterusnya berdasarkan petunjuk pertama kami cuba mendapatkan kenyataan pihak polis berkenaan maklumat tersebut.

Menurut laporan portal Majoriti Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata beberapa bas yang dirakam kononnya membawa 'pengundi hantu' itu sebenarnya membawa 7,160 pegawai dan anggota polis.

Menurutnya polis telah menyewa sebanyak 34 buah bas yang mana 24 daripadanya datang dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini untuk menyelaras pergerakan kesemua anggota polis terlibat.

Pihaknya juga telah menyemak nombor pendaftaran kenderaan di dalam video tersebut, didapati bas-bas tersebut merupakan sebahagian daripada kenderaan yang disewa polis.

Tambahnya rakaman kejadian itu dipercayai berlaku di Sungai Petani dengan kesemua pemandu bas tersebut adalah orang awam.

 

Maklumat Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Seterusnya berdasarkan petunjuk kedua, kami membuat semakan di laman rasmi SPR untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Menurut laman rasmi SPR secara umumnya kita dapat fahami terdapat beberapa kategori pemilih atau pengundi  yang telah diklasifikasikan oleh suruhanjaya berkenaan secara terang dan jelas seperti dalam rajah berikut.

 


Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Berdasarkan maklumat di laman rasmi SPR itu juga, jelas dinyatakan di situ terdapat lima kategori pengundi. Bagi pengundi biasa mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi dalam rekod daftar pemilih SPR sahaja yang perlu hadir ke pusat pengundian untuk mengundi.

SPR ada menjelaskan bahawa hanya warganegara Malaysia yang layak serta telah berdaftar sebagai pemilih dan namanya terdapat dalam Daftar Pemilih yang digunakan dalam pilihan raya sahaja yang layak mengundi.

Secara logiknya, tidak munasabah jika tak semena-mena ada pihak yang dengan mudah membawa ribuan ‘pengundi hantu’ yang entah dari mana, tidak pernah berdaftar serta telah memenuhi kelayakan sebagai pengundi untuk di bawa ke tempat pengundian untuk ‘tiba-tiba’ mengundi.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, dakwaan terdapat beberapa buah bas didapati membawa ‘pengundi hantu’ ke Kedah ketika PRN enam negeri pada 12 Ogos lepas adalah Tidak Benar.

Video yang disebarkan juga dilihat hanya memaparkan secara rawak, tanpa menunjukkan bukti siapa sebenarnya penumpang di dalam kenderaan yang dimaksudkan.

Suara latar individu mengatakan keadaan tersebut tidak pernah berlaku, dan penumpang di dalam bas tersebut akan ke pusat pengundian untuk mengundi,  jelas hanya persepsi yang tidak berasas.

Nasihat kami di MyCheck sekiranya anda menerima rakaman video yang tiada hujung pangkal, tidak jelas keadaanya, janganlah disebarkan. Perbuatan menyebar kandungan tidak sahih seperti itu hanya menimbulkan keresahan umum kerana mempunyai unsur propaganda yang negatif kepada pihak-pihak tertentu.

Jadilah pengguna media sosial yang bijak, berpengetahuan, bertanggungjawab serta rasional.

Jom semak fakta bersama MyCheck!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok | majoritiofficial | 12 Ogos 2023

  2. Sinar Harian | Bukan Bawa Pengundi Hantu Tapi Petugas Polis | 12 Ogos 2023

  3. Berita | Majoriti [VIDEO] Kehadiran 3 bas 'hantu' di pusat undi PRN Kedah rupanya bawa polis  

  4. Sinar Harian | 'Bukan bawa pengundi hantu tapi petugas polis' | 12 Ogos 2023

  5. Utusan Malaysia | Bukan pengundi ‘hantu’, bas bawa polis bertugas sempena PRN Kedah | 12 Ogos 2023

  6. Umum | Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) 

  7. Penjalanan Pilihan Raya | Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.