+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kad Pengenalan Diguna Individu Lain Untuk Mengundi Pada PRN? Polis Kedah Buka Kertas Siasatan

Benarkah...

Seorang wanita tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah ekoran kad pengenalannya telah digunakan individu lain untuk mengundi.

Sumber : Facebook / Ogos 2023

Hasil

Ketua Polis Kedah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. 

14/08/2023 07:32 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan terdapat pengundi di Kedah yang tidak dapat mengundi kerana kad pengenalannya dipercayai telah digunakan oleh individu lain.
  • Kejadian itu dikatakan berlaku ketika hari pengundian PRN Kedah pada 12 Ogos 2023.
  • Dakwaan dimuat naik di Facebook milik Rozana Mokhtar yang merupakan mangsa kejadian terbabit.
  • Rozana turut berkongsi kepada MyCheck laporan polis yang dibuat di Balai Polis Padang Serai.
  • Ketua Polis Kedah mengesahkan pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes serupa dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
  • Laporan ini akan dikemas kini sekiranya terdapat perkembangan terbaharu daripada pihak polis.


Sumber: BERNAMA

 

LATAR BELAKANG

MyKad adalah kad pengenalan diri yang mengandungi maklumat kerahsiaan individu dan ia sering digunakan bagi melakukan sebarang urusan.

Malah, kad pengenalan diri ini juga sulit dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikongsi kepada individu lain berikutan ia mempunyai rekod identiti diri yang lengkap khususnya melibatkan maklumat pendidikan, kesihatan dan data-data lain.

Bagaimanapun, akses kepada maklumat menerusi nombor pada kad pengenalan boleh menimbulkan kebimbangan ekoran ia boleh disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini timbul dakwaan terdapat individu lain menggunakan kad pengenalan diri seorang pengundi PRN menyebabkan beliau tidak dapat mengundi.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat pengundi hantu ketika hari pengundian PRN enam negeri.

Hantaran itu disertakan dengan satu pautan Facebook bersama persoalan sama ada benarkah terdapat pengundi hantu ketika hari mengundi tersebut.

Jom ikut MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti dakwaan yang kami terima.

 


Sumber: Facebook

 

Kami dapati ia merupakan hantaran yang dimuat naik pengguna Facebbok Rozana Mokhtar ketika hari pengundian PRN bagi enam negeri.

Setakat laporan ini ditulis, hantaran itu mendapat lebih 2,000 tanda suka, 604 komen serta 3,900 perkongsian.

Hantaran itu menjadi tular ketika hari pengundian baru sahaja bermula.

 

Tidak Dapat Mengundi Kerana Nama Pengundi Telah Dipotong

 


Sumber: Sinar Harian

 

Menurut Sinar Harian, kejadian terbabit dikatakan berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mahsuri yang mana Rozana meminta bantuan petugas untuk ke saluran yang betul bagi membuang undi.

Namun Rozana terkejut kerana dimaklumkan nama beliau telah ditanda sekali gus mendakwa terdapat individu yang menggunakan kad pengenalan beliau untuk mengundi.

Menurut Rozana, mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas merupakan pengalamannya kali pertama berikutan sebelum ini beliau mengundi di Gunung Semanggol, Perak.

Rozana berkata beliau turut bertanyakan kepada petugas tidakkah mereka melihat wajah pengundi dan paparan wajah pada kad pengenalannya terlebih dahulu, petugas itu memberikan alasan bahawa wajah sebenar dan paparan wajah pada kad pengenalan kebanyakan individu kini banyak perbezaannya.

Petugas itu turut memaklumkan bahawa Rozana tidak boleh mengundi kerana namanya sudah dipotong.

 

Mangsa Buat Laporan Polis

MyCheck menghubungi Rozana bagi mendapatkan penjelasan bagi mengetahui perkembangan terkini.

Menurut Rozana, beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Beliau turut berkongsi laporan polis tersebut dengan MyCheck. Anda boleh lihat di bawah.

 


Sumber: Rozana Mokhtar

 

PDRM Buka Kertas Siasatan

Bagi mengukuhkan lagi maklumat yang dikumpul, MyCheck seterusnya cuba mendapatkan pengesahan rasmi berhubung laporan polis yang dibuat Rozana.

Setakat laporan ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis berkaitan kes ini.

MyCheck turut mendapatkan perkembangan terkini daripada rakan di Biro Kedah.

Berikut merupakan kenyataan daripada pihak polis yang kami terima pada sebelah petang hari pengundian.

 


Sumber: Facebook

 

Menurut kenyataan Ketua Polis Kedah berhubung kes Tidak Puas Hati Kad Pengenalan Telah Digunakan Sebelum Mengundi, pihaknya mengesahkan telah menerima tiga laporan berkaitan isu terbabit.

Kes pertama melibatkan seorang perempuan yang tidak berpuas hati apabila dimaklumkan petugas SPR di tempat mengundi bahawa nama beliau telah ditanda sehingga menyebabkan beliau tidak dapat membuang undi.

Beliau percaya namanya telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mana kejadian dipercayai berlaku di daerah Kulim pada 8.50 pagi.

Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain daripada kes terbabit, terdapat dua lagi kes yang serupa berlaku di daerah Kulim dan daerah Kuala Muda.

Pada masa yang sama, sebanyak 42 laporan polis telah diterima di enam negeri yang terlibat dalam PRN berhubung dakwaan kad pengenalan yang telah digunakan orang lain untuk mengundi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata laporan paling banyak diterima adalah Selangor (16), diikuti Kedah (sembilan) Pulau Pinang (lapan), Terengganu (lima), Negeri Sembilan (tiga) dan kelantan (satu).

Polis juga akan memanggil saksi dan pengadu dalam masa terdekat untuk melengkapkan kertas siasatan.

Penggunaan kad pengenalan atas nama individu lain adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum mengikut perundangan di Malaysia.

MyCheck akan mengemas kini laporan ini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan terbaharu berhubung kes ini daripada pihak polis.

 

Penyalahgunaan Kad Pengenalan Adalah Tindakan ‘Tangan-Tangan Pengundi Hantu’?

Selain itu, berdasarkan kapsyen hantaran Facebook Rozana, kad pengenalan yang disalah guna individu lain untuk mengundi dikatakan tindakan tangan-tangan ‘pengundi hantu’.

Menurut SPR, pengundi hantu bermaksud pengundi yang datang ke tempat pengundian bagi membuang undi menggunakan kad pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih SPR.

 


Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Pengundi Hantu Wujud Dalam Daftar Pemilih SPR?

Persoalannya adakah benar istilah pengundi hantu ini wujud dalam daftar pemilih SPR?

SPR menjelaskan bahawa istilah pengundi hantu sebenarnya tidak benar dan telah dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Hakikatnya, terdapat segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan tidak lagi bermastautin atau menetap di kawasan yang mana mereka telah mendaftar sebagai pemilih.

Kebiasaannya, pengundi ini akan pulang ke kawasan berkenaan dalam tempoh empat atau lima tahun bagi menjalankan tanggungjawab mengundi.

Oleh kerana itu timbul dakwaan penduduk di kawasan terbabit tidak mengenali pemilih tersebut sekali gus membuat tanggapan pemilih itu adalah pengundi hantu sedangkan mereka pemilih berdaftar yang sah dari segi undang-undang.

 

Taraf Kewarganegaraan Anugerah Tertinggi Rakyat

Namun, ramai mengatakan warga asing mudah mendapat kad pengenalan Malaysia.

Stigma ini jugalah yang menguatkan retorik 'pengundi hantu' setiap kali tiba musim pilihan raya. Namun, memang senang ke?

Status kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan kepada seseorang individu yang bukan warganegara.

Sehubungan itu, status warganegara bukanlah perkara yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dengan mudah!

Menurut laporan Portal Media Baharu,  setiap bayi yang dilahirkan di Malaysia akan direkodkan namun, rekod tersebut tidak menjadikan bayi itu sebagai warganegara secara automatik.

Di Malaysia, setiap individu yang berhasrat untuk menjadi warganegara perlulah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pemohon juga perlu mematuhi syarat-syarat diperuntukkan sebelum membuat permohonan warganegara.

Setiap permohonan akan melalui tapisan yang sangat teliti dan keputusannya tertakluk kepada pertimbangan kerajaan secara total.

Jadi, walaupun pemohon memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan, itu bukanlah jaminan kepada kelulusan permohonan.

 

Kewarganegaraan Diperoleh Hanya Dengan Tiga Cara

Sebagai rakyat Malaysia kita juga perlu tahu bahawa status kewarganegaraan ini boleh diberikan kepada pemohon melalui tiga kaedah sahaja.

Kaedah-kaedah tersebut ialah melalui penguatkuasaan undang-undang, pendaftaran dan penaturalisasian yang diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan Bahagian III bermula dari Perkara 14 hingga Perkara 19.

Secara ringkasnya, individu yang dilahirkan di Malaysia berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu atau bapa adalah warganegara melalui penguatkuasaan undang-undang.

Selain itu, kewarganegaraan secara penguatkuasaan undang-undang ini juga terpakai kepada individu yang lahir di luar negara dengan mengikut status kewarganegaraan salah seorang ibu atau bapanya.

Bagi kewarganegaraan melalui kaedah kedua iaitu pendaftaran, terdapat empat kategori pemohon yang layak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Kategori pertama ialah Perkara 15A, iaitu kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas.

Kategori kedua pula ialah Perkara 15(1), iaitu permohonan isteri kepada warganegara dengan syarat perkahwinan tersebut masih berterusan dan telah didaftarkan mengikut undang-undang di Malaysia.

Pemohon juga telah bermastautin di Malaysia lebih dari dua tahun sebelum tarikh permohonan dan berniat untuk menjadi warganegara Malaysia serta berkelakuan baik.

Sementara itu, untuk kategori ketiga, Perkara 15(2) menjelaskan tentang permohonan kewarganegaraan bagi anak kepada salah seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia dan berumur di bawah 21 tahun.

Akhir sekali, bagi kategori keempat iaitu Perkara 16 adalah permohonan kewarganegaraan oleh seseorang yang berusia 18 tahun ke atas dan dilahirkan dalam Persekutuan sebelum Hari Merdeka.

Seterusnya, kewarganegaraan melalui kaedah penaturalisasian. Kaedah ini terbahagi kepada dua perkara iaitu Perkara 19(1) dan Perkara 19(2). Perkara 19(1) adalah permohonan bagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan bermastautin dalam Persekutuan.

Bagi Perkara 19(2) pula, permohonan ini adalah untuk mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas serta dalam keadaan khas.

Oleh itu berdasarkan kaedah-kaedah yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, proses memperoleh kewarganegaraan bukanlah perkara yang mudah dan pastinya tidak boleh diberikan kepada mana-mana individu sesuka hati.

Proses ini kompleks dan mengambil masa yang agak panjang untuk diteliti sebelum keputusan dimuktamadkan.

 

Kedah Kekal Di Bawah Parti Pembangkang

Walaupun isu pengundi hantu di Kedah bagi PRN kali ini banyak dimainkan warganet, namun keputusan rasmi PRN Kedah menunjukkan ia kekal dikuasai oleh kerajaan negeri sebelum ini yang mana parti pembangkang berjaya memenangi 19 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus mencatat undi majoriti lebih 50 peratus.

Bahkan, Ahli DUN Jeneri Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 pada 14 Ogos 2023.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak pasti susulan tiada lagi bukti kukuh yang mengesahkan kejadian terbabit.

Malah, pihak polis baru sahaja membuka kertas siasatan yang mana kita perlu akur dan faham bahawa setiap proses penyiasatan yang dilakukan berkemungkinan memperoleh hasil dapatan baharu.

Selain itu, siasatan ini juga boleh membawa kepada isu salah faham atau terdapat kesilapan teknikal di mana-mana bahagian yang kita sendiri sebagai orang awam tidak boleh menilainya sama ada ia adalah benar atau tidak melainkan ia terbukti tepat.

Kami faham, kes ini adalah isu serius dan kritikal yang perlu diambil perhatian sekiranya ia benar-benar berlaku.

Namun, MyCheck juga ingin mengingatkan orang ramai untuk semak dahulu kesahihan dan konteks sebenar sesuatu maklumat dan jangan mudah menjadikan sesuatu isu sebagai asas untuk membuat sebarang andaian atau spekulasi yang masih tidak ditentukan kesahihannya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook | Rozana Mokhtar | 12 Ogos 2023

  2. Sinar Harian | PRN Kedah: Terkejut tak dapat mengundi, nama telah digunakan | 12 Ogos 2023

  3. Facebook | Polis Kedah | 12 Ogos 2023

  4. Bernama | PRN: PDRM Terima 42 Laporan Polis Kad Pengenalan Diguna Orang Lain-KPN | 12 Ogos 2023

  5. SPR | Pengundi Hantu

  6. Media Baharu | Berita Palsu “Pengundi Hantu” disalah guna, JPN tingkat perkhidmatan | 9 Ogos 2023

  7. JPApencen | Perlembagaan Persekutuan 

  8. JPN | Permohonan Taraf Kewarganegaraan 

  9. Sinar Harian | PRN: PN menang 19 kerusi di Kedah catat undi majoriti lebih 50 peratus | 12 Ogos 2023

  10. Astro Awani | PRN: Sanusi angkat sumpah MB Kedah ke-15 | 14 Ogos 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.