+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan ‘Pengundi Hantu’ Dari China Di Pulau Pinang Dimuat Naik Akaun Facebook Palsu

Benarkah...

‘Pengundi hantu’ dibawa masuk ke Pulau Pinang semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos.

Sumber : WhatsApp, Facebook / Ogos 2023

Hasil

Dakwaan tersebut adalah propaganda pihak tidak bertanggungjawab menggunakan akaun palsu.

14/08/2023 04:21 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan seorang pengguna Facebook mengatakan terdapat pelancong China dibawa masuk sebagai pengundi hantu semasa PRN enam negeri.
  • Dikatakan pelancong terbabit menggunakan alamat penduduk tempatan berdasarkan alamat di kepala surat yang dibandingkan dengan bil elektrik penduduk tempatan.
  • Semakan MyCheck mendapati dakwaan itu dimuat naik oleh pengguna Facebook yang menggunakan akaun palsu dengan nama ‘John Franco’.
  • Terdapat dua akaun Facebook dikesan menggunakan nama John Franco tanpa identiti jelas serta didapati menyebarkan propaganda politik.
  • Malah gambar profil pada akaun John Franco itu adalah gambar rawak (random) menggunakan wajah seorang lelaki yang banyak digunakan sebagai mim (meme) di pelbagai platform Internet.
  • Kesahihan maklumat yang disebarkan pengguna itu juga meragukan kerana tanpa fakta yang kukuh selain hantaran yang dimuat naik dipercayai telah dipadam.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Setiap kali tiba waktu mengundi bagi memilih wakil rakyat di negara ini, tidak kira sama ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) pasti ada isu berkenaan 'pengundi hantu'.

Pengundi hantu merupakan istilah politik yang merujuk kepada pengundi yang datang membuang undi di tempat mengundi menggunakan kad pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Persoalannya benarkah wujud 'pengundi hantu' ini?

Jangan buat spekulasi dan sebar melulu, biar MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej melalui WhatsApp yang dihantar oleh orang awam seperti dalam gambar berikut:

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Pesanan itu disertakan dengan tangkap layar yang mendakwa terdapat ‘pengundi hantu’ dibawa masuk ke Pulau Pinang semasa PRN enam negeri pada 12 Ogos 2023.

Dakwaan itu juga memaparkan hantaran pengguna Facebook menggunakan nama akaun ‘John Franco’.

Individu itu memuat naik gambar bil elektrik pengguna tempatan berserta kepala surat yang didakwa kepunyaan seorang pelancong dari China tetapi memiliki alamat kediaman serupa.

Persoalannya benarkah perkara seperti ini berlaku? MyCheck semak kesahihannya terlebih dahulu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Kami mencari hantaran serupa yang ditularkan di Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dakwaan tersebut.

Memandangkan tiada pautan yang disertakan bersama mesej yang dihantar, MyCheck membuat carian rawak di Facebook dengan menggunakan kata kunci ‘main kotor’ seperti yang tertera dalam kapsyen hantaran berkenaan.

Hasilnya kami menjumpai hantaran serupa seperti dakwaan yang kami terima itu  oleh pengguna Facebook bernama Mohd Akramun Nazilin, seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: Facebook

 

Bagaimanapun, hantaran berserta gambar surat dan bil elektrik itu bukan dimuat naik oleh pengguna Facebook tersebut.

Beliau sebenarnya telah berkongsi hantaran yang dibuat oleh pengguna Facebook, John Franco.

 

Dakwaan Dimuat Naik Akaun Facebook John Franco

Seterusnya kami cuba menjejaki akaun John Franco di Facebook untuk memastikan hantaran itu benar-benar dibuat oleh pemilik akaun yang sama.

Selain itu kami boleh cuba mendapatkan maklumat penting lain daripada individu asal yang memuat naik hantaran berkenaan.

Bagaimanapun hantaran tersebut tidak dapat dipaparkan buat masa ini.

 


Sumber: Facebook

 

Ramai Pengguna Facebook Berkongsi Hantaran Daripada John Franco

Seterusnya kami cuba membuat carian rawak di laman Facebook berhubung hantaran yang serupa bagi mengesan kemungkinan terdapat hantaran oleh pengguna lain yang memuat naik kandungan serupa.

Hasil carian kami antaranya seperti dalam gambar berikut.

 


Sumber: Facebook

 

Rata-rata pengguna Facebook nampaknya memang menularkan hantaran dari Facebook John Franco.

MyCheck kemudiannya cuba mendapatkan maklumat individu yang menggunakan akaun Facebook berkenaan.

Kami dapati ada dua akaun Facebook yang menggunakan nama John Franco serta gambar profil yang juga sama.

Anda boleh lihat di sini dan di sini. Kami kongsikan juga hasil carian kami dalam gambar berikut.

 


Sumber: Facebook

 

Identiti John Franco Tidak Dapat Disahkan

Sebaik meneliti kedua-dua akaun Facebook John Franco, kami dapati tiada sebarang maklumat yang menunjukkan individu di sebalik nama tersebut.

Ini kerana setiap hantaran yang dibuat semuanya berbentuk propaganda politik.

Jika pengguna Facebook tersebut berkempen bagi mana-mana parti politik, kebiasaannya tentu ada hantaran berkaitan kempen serta aktiviti parti yang disertai serta mendedahkan diri beliau yang sebenar di khalayak umum.

Tambahan pula semakan kami mendapati gambar profil yang digunakan pemilik akaun John Franco itu adalah gambar rawak (random) menggunakan wajah seorang lelaki yang banyak digunakan sebagai mim (meme) di pelbagai platform Internet.

Portal Sebenarnya.my juga turut meminta orang ramai agar berwaspada dengan akaun palsu yang menyebar kandungan meragukan berkaitan pendaftaran pelancong China sebagai pengundi iaitu merujuk kepada akaun Facebook yang serupa.

 

Kenyataan Penafian SPR

Carian seterusnya membawa kepada penemuan maklumat mengenai kenyataan SPR.

Menurut laporan portal berita FMT, SPR menafikan dakwaan tular bahawa pihaknya telah menangkap salah seorang daripada 1.2 juta pelancong China yang menjadi pengundi hantu pada PRN 12 Ogos 2023.

SPR menegaskan dakwaan tersebut palsu dan orang ramai diminta tidak mudah terpedaya dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak pasti kesahihannya, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Laman Facebook Rasmi SPR turut memaklumkan perkara yang sama.

Walaupun suruhanjaya itu telah menafikannya, namun isu ‘pengundi hantu’ paling popular setiap kali musim pilihan raya.

Jadi apa inisiatif SPR untuk memastikan isu ini telus?

 

Usaha SPR Pastikan Daftar Pemilih Bersih Daripada Pengundi Hantu

Menurut portal rasmi SPR, suruhanjaya itu sentiasa menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih Induk (DPI) bersih dan dikemas kini terutama daripada senarai mereka yang telah meninggal dunia yang sering kali dipolitikkan oleh pihak tertentu sebagai pengundi hantu.

SPR juga telah menghantar pasukan penyemak ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur bagi mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia.

Suruhanjaya itu juga menerusi Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di seluruh negara sentiasa mengeluarkan pengumuman supaya waris pemilih yang telah meninggal dunia mengemukakan salinan sijil kematian waris mereka kepada SPR bagi tujuan pembersihan DPI.

Bukan itu sahaja, malah di Sarawak, SPR menghantar pasukan penyemak ke rumah-rumah panjang untuk mengenal pasti mana-mana anggota masyarakat rumah panjang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, dakwaan terdapat ‘pengundi hantu’ dibawa masuk ke Pulau Pinang semasa PRN di enam negeri pada 12 Ogos lepas adalah tidak benar.

Maklumat yang ditularkan itu didakwa oleh pihak yang tidak diketahui identitinya, tambahan pula pemeriksaan kami mendapati pemilik akaun Facebook palsu itu kerap memuat naik hantaran yang bersifat propaganda tanpa penjelasan yang kukuh.

Individu tersebut juga dilihat meragukan apabila telah ‘memadam’ hantaran yang dibuat mengenai pengundi hantu tersebut.

Sebagai pengguna media sosial yang rasional, periksa terlebih dahulu kesahihan sesuatu perkara terutama isu yang tidak pasti dan jangan terus dikongsikan dengan orang ramai.

Tambahan pula jika isu berkenaan berkaitan politik dan muncul pada musim pilihan raya.

Jika sesuatu perkara itu dilihat menyalahi undang-undang, laporkan terus kepada pihak berwajib ya!

Ingat pesan kami di MyCheck, spekulasi dan persepsi juga merupakan antara bentuk maklumat palsu yang tidak seharusnya disebarkan.

Kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan tidak bermakna kita boleh menyuarakan perkara-perkara yang boleh menimbulkan bibit-bibit perbalahan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Berita Harian | PRN: Pemuda PAS dakwa ada pihak cuba bawa pengundi hantu di P Pinang | 9 Ogos 2023 

  2. Sinar Harian | Ada usaha bawa pengundi hantu pada Sabtu ini | 9 Ogos 2023 

  3. Utusan Malaysia | Pemuda Pas P.Pinang dakwa ada cubaan manipulasi undi, bawa 'pengundi hantu' ketika PRN | 9 Ogos 2023

  4. RTM | Berita palsu “pengundi hantu” disalah guna, JPN tingkat perkhidmatan | 9 Ogos 2023 

  5. Sebenarnya.my | Waspada Akaun Media Sosial Palsu | Ogos 2023 

  6. Pengundi Hantu | Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

  7.  Free Malaysia Today (FMT) | SPR nafi tangkap pelancong China bakal pengundi hantu | 10 Ogos 2023 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.