+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Insiden Kebakaran Tren LRT. Percikan Api Pada Gerabak Disebabkan Kerja Penyelenggaraan Landasan

Benarkah...

Sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati terbakar di atas landasan.

Sumber : TikTok / Ogos 2023

Hasil

Percikan api yang kelihatan pada gerabak adalah disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan landasan.

10/08/2023 02:47 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video memaparkan sebuah tren LRT yang sedang bergerak menuju Stesen LRT Wangsa Maju mengalami kebakaran.
  • Semakan MyCheck di lokasi mendapati LRT di lokasi itu berfungsi seperti biasa.
  • Pengendali perkhidmatan LRT sahkan tiada sebarang insiden kebakaran tren berlaku sebaliknya percikan api adalah disebabkan kerja penyelenggaraan landasan.
  • Penghasilan percikan api ketika proses pencanaian dan penjajaran landasan adalah perkara normal dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam.
  • Individu muat naik video turut memohon maaf dan mengaku tersalah memberi maklumat.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat.

Transit awam seperti teksi, bas, kereta api dan kapal terbang digunakan secara maksimum terutama di kawasan yang tinggi kepadatan penduduknya.

Selain membantu untuk ke sesuatu destinasi, ia juga mampu mengurangkan masalah lain seperti kesesakan lalu lintas, kemalangan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.

Justeru, apabila berlakunya gangguan, kerosakan atau kemalangan membabitkan pengangkutan awam, perjalanan orang ramai yang bergantung pada perkhidmatan tersebut akan turut tergendala.

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini, tular satu video di TikTok memaparkan sebuah tren LRT yang sedang bergerak terbakar di atas landasan.

Menerusi video berdurasi 38 saat itu, kelihatan percikan api dari bawah gerabak tersebut dipercayai pada bahagian roda.

Turut kedengaran bunyi siren bomba sepanjang video itu dimainkan sebelum muncul kelibat jentera tersebut di hujung video.

Berdasarkan kapsyen video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok menggunakan nama akaun @anakmuda92, kejadian itu dikatakan berlaku di Stesen LRT Taman Melati.

Setakat laporan ini ditulis, video itu telah meraih hampir 646,000 tontonan.

Ramai pengguna TikTok meninggalkan komen bertanyakan keadaan penumpang LRT berkenaan dan ada juga yang mengeluh kerana terpaksa mencari alternatif lain untuk ke tempat kerja.

Namun betulkah ada kejadian kebakaran tren LRT itu? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Tiada Berita Terkini Mengenai Kebakaran Tren

Kebiasaannya apabila berlaku sesuatu kemalangan besar, sudah pastinya ia akan mendapat liputan meluas daripada media arus perdana dalam masa yang singkat.

Bagaimanapun semakan awal kami tidak menemukan sebarang laporan terkini berkaitan kebakaran tren LRT, terutama di Stesen LRT Taman Melati seperti dakwaan tular.

Apa yang kami temui hanyalah berita mengenai kejadian kebakaran eskalator di Stesen LRT Ampang Park di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022.

 

MyCheck Cuba Kenal Pasti Lokasi

MyCheck kemudian meneruskan semakan lanjut untuk mengenal pasti di manakah lokasi kejadian yang dirakam menerusi video tersebut.

Berdasarkan penelitian kami pada video tular, terdapat beberapa petunjuk yang boleh dijadikan panduan carian lokasi.

 


Sumber: TikTok

 

Berikut adalah petunjuk yang kami kenal pasti :

  1. Logo bangunan
  2. Reka bentuk tempat letak kereta
  3. Tempat pengumpulan sampah
  4. Tembok landasan LRT

Bagi mendapatkan lokasi yang lebih tepat, kami menggunakan aplikasi Google Maps untuk melihat laluan di sepanjang landasan LRT Taman Melati menuju ke LRT Wangsa Maju.

Jika anda lihat pada video, terdapat satu pangsapuri yang berhadapan dengan landasan LRT Melati dan semakan kami mendapati pangsapuri yang terdekat adalah Pangsapuri Vista Wirajaya.

 


Sumber: Google

 

Bagaimanapun, selepas meneliti kami dapati struktur tempat letak kereta pangsapuri tersebut agak berbeza dengan pangsapuri di dalam video.

 


Sumber: Google

 

Namun, kami bernasib baik kerana dapat mengesan sebuah lagi pangsapuri berdekatan dengan Vista Wirajaya tersebut.

Setelah kami zum (zoom) kepada pangsapuri itu, kami dapati reka bentuk bangunannya serupa dengan video tular.

Turut kelihatan nama bangunan iaitu Vista Wirajaya 2.

Bagi mengukuhkan lagi carian, kami beralih pula ke sudut pandangan yang lain dan kelihatan sebuah tempat pengumpulan sampah terletak tidak jauh dari pangsapuri tersebut.

Kami cuba fokus kepada lokasi berkenaan namun pemandangan sekitar kawasan itu terhalang oleh penghadang serta pokok-pokok yang menyukarkan kami untuk memastikan lokasi.

 

Memang Benar Kejadian Berlaku Berhampiran Stesen LRT Taman Melati

Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk turun padang mencari lokasi berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

Menggunakan petunjuk yang diperoleh dari Google Maps, tinjauan kami menemukan bangunan dan lokasi yang sama seperti dalam video tular yang mana ia terletak berhampiran Stesen LRT Taman Melati.

Di bawah adalah gambar yang kami rakamkan sendiri di lokasi.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Bagaimanapun, semakan ini belum menjawab persoalan kami iaitu kenapa terdapat jentera bomba di sana dan apa punca kebakaran tren LRT tersebut.

 

Terdapat Balai Bomba Berdekatan Kawasan Pangsapuri

Masih menggunakan aplikasi yang sama, MyCheck cuba membuat carian lokasi balai bomba terdekat di sekitar pangsapuri terbabit.

Hasil carian kami menunjukkan terdapat satu balai bomba berdekatan iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, yang terletak kira-kira 1.3 kilometer (empat minit) dari lokasi pangsapuri tebabit.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Jadi, tidak hairanlah jika terdapat lori bomba yang lalu-lalang di kawasan tersebut.

 

Percikan Api Disebabkan Penjajaran Semula Landasan LRT

Menerusi pemerhatian pada video tular, kami dapati tren tersebut hanya mempunyai tiga koc berbanding tren LRT yang biasa dinaiki.

Kami kemudian menelusuri semula ruangan komen dan menemukan satu komen oleh pengguna akaun dengan nama @sow fei yan yang menarik perhatian.

Menurut individu itu, punca percikan api adalah disebabkan kerja penjajaran semula landasan LRT yang sering dilakukan pada waktu malam.

Berdasarkan informasi tersebut, kami membuat carian di Google menggunakan kata kunci ‘kerja penyelenggaraan LRT’ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

Laporan Khas Penyelenggaraan Landasan LRT

Kami menemukan laporan khas oleh portal berita Free Malaysia Today yang menunjukkan kerja-kerja penyelenggaraan landasan termasuk proses pencanaian dan penjajaran.

Laporan khas itu menceritakan mengenai ‘wira tidak didendang’ yang bertugas menyelenggara landasan LRT pada larut malam bagi memastikan tren LRT berjalan lancar membawa penumpang keesokannya.

Turut disertakan beberapa gambar pekerja sedang melakukan tugasan, peralatan yang digunakan serta kerja-kerja yang dilakukan termasuk gambar sebuah tren khas berwarna kuning yang digunakan oleh pekerja tersebut untuk ke landasan tertentu.

 


Sumber: Free Malaysia Today

 

Kenyataan Pengendali Perkhidmatan LRT

Bagi mendapatkan kepastian, kami menatal lanjut di enjin carian Google untuk mencari lebih banyak maklumat berkaitan.

Hasilnya kami menemukan laporan Buletin TV3 yang menjelaskan mengenai kejadian yang dikatakan kebakaran pada tren itu.

Memetik laporan tersebut, Pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan monorel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa percikan api di dalam video itu adalah ekoran proses pencanaian atau penjajaran landasan LRT.

Ia merupakan kerja penyelenggaraan landasan LRT yang biasanya dilakukan pada waktu malam bermula 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.

Menurut pihak terbabit, orang ramai tidak perlu risau kerana percikan api semasa kerja pencanaian adalah normal dan tidak mendatangkan bahaya.

Bahkan semua kerja penyelenggaraan tren dan landasan mematuhi standard piawaian kejuruteraan dan keselamatan yang telah ditetapkan.

 

Individu Muat Naik Video Mohon Maaf, Akui Salah Sampaikan Maklumat

Selain itu, kami turut menemui satu lagi video susulan daripada video tular yang dimuat naik individu sama.

Individu itu membuat permohonan maaf dan menyatakan bahawa tiada kejadian kebakaran tren LRT seperti yang didakwanya dalam video tular.

Beliau turut mengaku tersilap menyampaikan maklumat apabila menyangka ada kebakaran berlaku setelah melihat kehadiran bomba.

“Saya ingin memohon maaf atas video yang saya post, sebenarnya LRT tidak terbakar,  dia hanya betulkan rim, saya nampak ada bomba tu saya cakap terbakar,” menurut ayat yang tertera pada video tersebut.

Semakan MyCheck pada akaun pemilik video tular itu mendapati beliau gemar membuat kandungan video yang berbentuk ‘clickbait’ atau klik umpan untuk meraih penonton.

Kami juga mendapati akaun @anakmuda92 sebenarnya adalah akaun baharu.

Akaun lama individu tersebut dipercayai telah disekat oleh TikTok berkemungkinan kerana melanggar garis panduan platform media sosial itu ataupun akaun tersebut menerima banyak aduan.

 

KESIMPULAN

Jelas di sini bahawa dakwaan berlakunya kebakaran tren LRT di Taman Melati adalah tidak benar.

Pengendali perkhidmatan LRT sendiri telah menjelaskan bahawa percikan api pada tren yang dirakam menerusi video tular adalah disebabkan kerja penyelenggaraan landasan.

Bahkan individu yang memuat naik video juga telah memohon maaf dan mengakui kesilapannya yang memberi maklumat tidak benar disebabkan anggapan sendiri tanpa menyelidik mahupun mendapatkan pengesahan daripada pihak yang sewajarnya.

Suka MyCheck ingatkan, jika kita kurang cakna dengan berita terkini, tanamkan rasa waswas setiap kali menerima sesuatu maklumat tular.

Sedikit waswas boleh melindungi kita daripada mudah mempercayai maklumat palsu seterusnya menjadi penyebar tidak bertanggungjawab.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok | @anakmuda92

  2. Google Maps l Taman Melati

  3. Google Maps l Vista Wirajaya

  4. Google Maps l Vista Wirajaya 2 

  5. Google Maps l tempat pengumpulan sampah 

  6. Google Maps l Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju 

  7. TikTok l @sow fei yan

  8. BULETIN TV3 Malaysia | Tren LRT ‘keluar api’, hanya kerja-kerja penyelenggaraan 

  9. Free Malaysia Today (FMT) l Midnight at the LRT tracks

  10. TikTok l @anakmuda92

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.