+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pengundi PRN Enam Negeri Diberi Elaun Petrol? Dakwaan Tular Hanyalah Satira

Benarkah...

Pengundi PRN enam negeri akan diberikan elaun petrol untuk pulang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing?

Sumber : WhatsApp / Julai 2023

Hasil

Dakwaan hanyalah satira. Pemberian elaun kepada pengundi menyalahi undang-undang dan merupakan jenayah rasuah. 

08/08/2023 12:43 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video mendakwa pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri akan diberikan wang petrol ketika pulang mengundi.
  • Semakan MyCheck mendapati video tersebut adalah satira yang dikeluarkan semasa musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada akhir 2022.
  • Satira bermaksud karya kreatif yang mempersenda atau mendedahkan keburukan dan kelemahan individu, masyarakat, organisasi mahupun kerajaan.
  • Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pemberian wang atau hadiah kepada pengundi merupakan satu kesalahan rasuah.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Tahun lepas, enam negeri iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan memutuskan untuk mengadakan PRN secara berasingan daripada PRU15.

Sudah pasti ramai pengundi yang terbabit tidak sabar untuk pulang ke kawasan pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sekali lagi.

Ramai juga yang akan memilih untuk pulang menaiki pengangkutan awam seperti bas atau kereta api.

Namun bagi yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket, tiada pilihan selain memandu kenderaan sendiri meskipun perlu menghadapi kesesakan jalan raya.

Ini juga sudah tentu memerlukan perbelanjaan bagi servis kenderaan serta pembelian petrol dan lain-lain lagi di sepanjang perjalanan. Lagi jauh destinasi, lebih banyak perbelanjaan diperlukan.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima tangkap layar melalui aplikasi WhatsApp yang mendakwa elaun petrol akan disediakan untuk mereka yang akan pulang mengundi di kawasan masing-masing.

Tangkap layar itu memaparkan gambar wang ringgit yang dipegang di hadapan stereng kereta bersama ayat dialog yang berbunyi:

Member (kawan): Fad, ada dengar-dengar tak yang balik mengundi dapat duit minyak?

Individu yang menghantar dakwaan itu turut bertanyakan kepada MyCheck bagaimana untuk menuntut wang petrol tersebut.

Namun benarkah terdapat pemberian elaun petrol untuk pengundi seperti yang didakwa?

Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dakwaan Asal Dari TikTok

Setelah meneliti tangkap layar yang diterima, kami mendapati ia memaparkan templat media sosial seakan TikTok.

Dengan menggunakan kata kunci ‘bagi duit sebab mengundi’ di platform tersebut, hasil carian kami menemukan sebuah video yang mengandungi imej tangkap layar berkenaan.

 


Sumber: TikTok

 

Video Dibuat Sebagai Jenaka

Video yang dimuat naik pengguna akaun TikTok Fadz Aziz itu tertulis, “Ada yang dapat duit minyak ke balik mengundi tu? #PRU15 #MARIMENGUNDI”.

Kapsyen tersebut menimbulkan persoalan sekali gus menjadikan kandungannya tular terutamanya bila dikaitkan dengan hari pengundian.

Bagi mengesahkan imej yang diterima, kami memainkan klip video yang berdurasi 15 saat itu dan ternyata ia menunjukkan seorang individu memegang wang ringgit dengan paparan dialog.

 


Sumber: TikTok

 

Dialog tersebut berbunyi :

Member : Fad, ada dengar-dengar tak yang balik mengundi dapat duit minyak?

Aku : dengarnya ada, tapi tak tahu la ambik kat mana, kat sape. Kalau undi aku, aku bagi la duit minyak.

Member : kau bertanding tak?

Aku : Tak

Setelah meneliti video tersebut, boleh disimpulkan bahawa ia dibuat sebagai jenaka terhadap isu pemberian wang petrol semasa pilihan raya.

Terdapat juga emoji yang menunjukkan riak muka senyum serta berpeluh di hujung dialog tersebut, yang menunjukkan ia hanyalah seloroh di antara dua watak.

 

Ulang Siar Isu

Tertera tarikh 19 November 2022 di video tersebut yang menunjukkan ia telah dimuat naik ketika PRU15 lepas.

Motif video seperti ini dibuat tentunya bagi meraih perhatian penonton terutamanya pengundi yang memerlukan wang untuk perjalanan pulang.

Namun berkemungkinan bahawa Fadz Aziz tidak menyedari impak video sebegini, yang mampu mengelirukan orang ramai akan kesahihan pemberian elaun petrol lebih-lebih lagi bila disebarkan semula ketika musim PRN kali ini.

 

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Namun adakah pemberian elaun petrol kepada pengundi salah di sisi undang-undang Malaysia?

Kami meneruskan carian di Google dengan kata kunci ‘kesalahan pilihan raya’ dan menemui dokumen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) pada laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di spr.gov.my.

 


Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Di Bahagian III akta tersebut, kesalahan bagi perkara penyogokan menjelaskan bahawa mana-mana tindakan bersifat penawaran, sumbangan atau pinjaman yang membawa kepada dorongan mengundi atau tidak, adalah kesalahan pilihan raya di bawah perbuatan rasuah.

 

Pemberian Elaun Pengangkutan Pulang Mengundi

Akhbar Sinar Harian turut memuat naik laporan bertajuk PRN: Salah tawar elaun pengangkutan jika bertujuan pengaruh pilihan raya.

Ia menyatakan tawaran elaun pengangkutan pulang mengundi ketika pilihan raya di Malaysia mampu menimbulkan isu salah guna sumber kerajaan negeri dan persekutuan, semata-mata bagi meraih undi yang lebih. 

 


Sumber: Sinar Harian

 

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim, rasuah boleh berlaku apabila terdapat usaha untuk memberi atau menerima sesuatu yang bernilai, dengan tujuan mempengaruhi hasil pilihan raya atau mendapatkan keuntungan tidak sah.

Namun beliau berkata tidak ada salahnya jika pengangkutan disediakan bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi, asalkan ia tidak melibatkan rasuah.

Sekiranya terdapat penyalahgunaan ketika proses pilihan raya, maka ia perlu disiasat dengan segera.

 

Sedekah Atau Sumbangan Tetap Dianggap Rasuah

Dalam konteks ini, pemberian wang atau elaun adalah kesalahan rasuah yang boleh disiasat mengikut perundangan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 


Sumber: MalaysiaGazette

 

Akhbar Berita Harian memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebagai berkata bahawa segala bentuk pemberian seperti sedekah atau sumbangan tetap dianggap rasuah jika diberi kepada pengundi menjelang pilihan raya.

Tambah beliau, pihaknya komited menyiasat sebarang bentuk rasuah berdasarkan undang-undang dan ia tidak tertakluk kepada pemahaman peribadi semata-mata.

Pemberian wang sama ada sebagai sedekah, membayar tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya adalah menyalahi undang-undang kerana boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan sesetengah calon.

Malah, media pernah melaporkan bahawa SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan selepas menerima aduan ketika dan selepas pilihan raya dijalankan.

 

KESIMPULAN

Sehubungan itu, kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar memandangkan video itu adalah sekadar jenaka atau satira yang bertujuan meraih perhatian ramai pada PRU15.

Pembayaran elaun petrol pilihan raya juga adalah kesalahan rasuah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sekiranya menerima dakwaan mengenai pilihan raya yang mengelirukan, pastikan anda semak fakta tersebut dengan organisasi yang sahih seperti SPR di laman rasmi mereka.

Jika menerima atau terdengar perbuatan rasuah seperti penerimaan elaun ketika pilihan raya, segera laporkan ia kepada pihak berwajib seperti SPRM.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Fadaziz - TikTok

  2. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

  3. PRN: Salah tawar elaun pengangkutan jika bertujuan pengaruh pilihan raya - Sinar Harian

  4. Sedekah, biaya tiket bas dan ole-ole kepada pengundi adalah salah - Azam Baki

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.