+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Penamaan Calon PRN Enam Negeri Lancar, Dakwaan Rusuhan Hanya Salah Faham

Benarkah...

Berlaku rusuhan semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri pada 29 Julai 2023.

Sumber : WhatsApp / Julai 2023

Hasil

Insiden yang disangka rusuhan itu sebenarnya simulasi amal ketenteraan kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM).

29/07/2023 10:20 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan menyatakan berlaku rusuhan semasa proses penamaan calon bagi PRN enam negeri.
  • Dakwaan itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan awam.
  • Bagaimanapun pihak berwajib telah mengesahkan tiada insiden luar jangka berlaku pada hari penamaan calon tersebut.
  • Semakan MyCheck mendapati insiden yang didakwa rusuhan itu sebenarnya adalah latihan amal ketenteraan PDRM yang bersiap siaga bagi hari pengundian PRN pada 12 Ogos ini.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Selepas kejayaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lepas, Malaysia sekali lagi akan melalui pemilihan wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila enam negeri mengadakan PRN secara serentak pada 12 Ogos ini.

Ia sekali gus mencatat sejarah buat pertama kalinya apabila Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengundi secara berasingan dengan PRU lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh telah mengumumkan proses pengundian awal diadakan pada 8 Ogos manakala penamaan calon bagi PRN itu berlangsung pada 29 Julai 2023.

Pastinya semua pihak mengharapkan proses tersebut yang bermula dari hari penamaan calon sehinggalah hari pengundian akan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima dakwaan daripada orang awam memaklumkan terdapat rusuhan berlaku semasa proses penamaan calon PRN enam negeri pada 29 Julai.

Mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp itu turut meminta kami menyemak di manakah lokasi kejadian tersebut berlaku seperti yang terpapar dalam gambar di bawah.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Namun apakah fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian rawak berhubung isu berkenaan menerusi enjin carian Google bagi mendapatkan lebih banyak maklumat, terutamanya jika insiden berkenaan sudah pun dilapor oleh mana-mana portal berita.

Pastinya perkara berkaitan PRN akan mendapat liputan meluas pihak media.

Justeru, MyCheck menggunakan kata kunci ‘Rusuhan semasa penamaan calon PRN-15’ dan hasil carian kami adalah seperti berikut.

 


Sumber: Google

 

Berdasarkan hasil carian kami, maklumat terkini yang melaporkan berkaitan kejadian rusuhan ketika proses penamaan calon pilihan raya adalah pada November 2022 iaitu insiden kekecohan di Parlimen Tenom, Sabah.

Senarai carian berkenaan membuktikan tiada sebarang laporan terbaharu mengenai insiden sedemikian yang dikatakan berlaku pada hari penamaan calon PRN enam negeri.

 

Kenyataan Pihak Berwajib

Bagi mengukuhkan lagi semakan, MyCheck seterusnya mendapatkan pula kenyataan daripada pihak berwajib berhubung urusan penamaan calon PRN enam negeri oleh pihak SPR dan PDRM.

Menurut kenyataan rasmi SPR, Pengerusinya Tan Sri Abdul Ghani Salleh  merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut memaklumkan proses penamaan calon di keenam-enam negeri terbabit terkawal tanpa insiden tidak diingini.

Ini bermakna tiada sebarang kekecohan atau rusuhan berlaku sepanjang proses penamaan calon bagi PRN enam negeri ini.

 

Gambar Simulasi Latihan Ketenteraan

Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik gambar tular?

Bagi mendapatkan petunjuk dalam gambar dakwaan yang kami terima, MyCheck cuba mengesan foto berkenaan melalui semakan imej berbalik.

Hasilnya kami menjumpai satu gambar yang kelihatan sepadan seperti berikut.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Apa yang boleh kami jelaskan berdasarkan penemuan berikut, kedua-dua gambar di atas adalah lokasi yang sama.

Anda boleh lihat pada bulatan berwarna merah dan kuning yang kami tandakan.

Berdasarkan maklumat yang telah kami periksa, gambar dakwaan tersebut bukanlah insiden rusuhan yang berlaku semasa proses penamaan calon PRN enam negeri.

Sebaliknya ia merupakan gambar simulasi latihan ketenteraan oleh PDRM pada 27 Julai lepas semasa persediaan keselamatan menjelang hari pengundian PRN tidak lama lagi yang dijalankan di pekarangan parkir Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Walaupun lokasi tersebut turut dijadikan pusat penamaan calon bagi DUN N33 Taman Medan, namun Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilapor telah mengesahkan proses berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan di semua pusat penamaan calon bagi 56 kerusi DUN dipertandingkan di seluruh negeri.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang kami telah periksa, dakwaan berlakunya insiden rusuhan adalah tidak benar.

MyCheck ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang diterima serta membuat andaian sehingga menimbulkan persepsi tidak aman dalam kalangan masyarakat.

Biasakan diri untuk memeriksa sebarang maklumat yang anda peroleh sebelum berkongsi dengan orang lain supaya kita tidak menjadi antara pihak yang menyebar maklumat palsu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA KENYATAAN MEDIA Bil. 17 / 2023 

  2. Proses penamaan calon PRN lancar, tiada insiden tak diingini - KPN 

  3. PRN: Polis Selangor terima 15 laporan khianat bendera, kain rentang - Sinar Harian 

  4. SPR sedia 56 pusat penamaan calon, penjumlahan undi DUN Selangor 

  5. PRN: Proses penamaan calon Selangor lancar

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.