+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Pemberian ‘Elaun MADANI’ Kepada Penjawat Awam Adalah Palsu

Benarkah...

Kerajaan akan memberikan Elaun MADANI kepada semua penjawat awam dengan pembayaran minimum RM800?

Sumber : WhatsApp / Julai 2023

Hasil

Poster tular adalah palsu. Sebaliknya, bantuan yang diumumkan kerajaan pada 27 Julai ialah bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

27/07/2023 05:04 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular poster bahawa kerajaan akan memansuhkan pemberian Elaun Sara Hidup dan Bayaran Insentif Wilayah kepada kakitangan kerajaan dan memberikan elaun baharu berjumlah RM800.
  • Elaun berkenaan dinamakan ‘Elaun MADANI’.
  • Kementerian Kewangan sahkan poster tular adalah palsu.
  • Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kajian gaji dan elaun penjawat awam masih dalam perincian.
  • Namun kerajaan menyediakan bantuan khas penghargaan berjumlah RM300 kepada penjawat awam dan pesara.


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Isu elaun atau bayaran kepada penjawat awam merupakan antara berita yang mencuri perhatian umum.

Baru-baru ini media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam masa terdekat.

Tidak dinafikan cabaran ekonomi serta peningkatan kos sara hidup ketika ini membuatkan ramai yang menanti dan berteka-teki mengenai jumlah serta jenis elaun yang bakal diumumkan kelak.

Malah, apabila muncul sahaja apa-apa poster yang berkaitan dengan kos sara hidup ia akan dikongsikan di pelbagai media sosial sehingga menjadi tular.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu poster mendakwa terdapat bayaran dinamakan Elaun MADANI untuk kakitangan awam.

Poster yang kami terima menerusi laman sembang WhatsApp itu disertakan dengan kapsyen berbunyi, “untunglah kakitangan kerajaan dapat elaun lagi”.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Dalam poster berkenaan juga turut menyebut :

  1. Pemansuhan ‘Elaun Sara Hidup’ dan ‘Bayaran Insentif Wilayah’.
  2. ‘Elaun MADANI’ diwujudkan bagi meraikan kesamarataan antara negeri.
  3. Pembayaran minimum RM800 akan diperkenalkan. 

Turut terpampang wajah Anwar pada poster terbabit termasuk jata negara serta lambang Malaysia Madani, yang membuatkan ia kelihatan seakan daripada sumber rasmi.

Persoalannya, benarkah ada pengumuman sedemikian oleh kerajaan baru-baru ini?

MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI


Sumber: TikTok

 

MyCheck mulakan semakan dengan membuat carian di platform media sosial TikTok menggunakan kata kunci ‘elaun MADANI kakitangan awam’ bagi mencari poster tular.

Hasilnya kami temui video mengenai poster Elaun MADANI yang dimuat naik seorang pengguna menggunakan nama akaun @mencarisufi.

Setakat laporan ini ditulis, video tersebut telah mendapat 888,000 tontonan, 7,813 tanda suka dan 4,010 komen.

 

Gambar Perdana Menteri Yang Sama Dijadikan ‘Umpan’ Untuk Pelbagai Bantuan Palsu

Berdasarkan laporan semakan fakta yang dihasilkan MyCheck berkaitan isu bantuan palsu yang tular sebelum ini, kami dapati ia menjadi seumpama trend apabila gambar Perdana Menteri banyak digunakan dalam poster tersebut.

Kami turut membuat perbandingan antara poster-poster bantuan palsu yang menggunakan gambar sama sebagai umpan untuk meyakinkan rakyat Malaysia.

Anda boleh lihat di bawah.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MOF Sahkan Poster ‘Elaun MADANI’ Adalah Palsu

Lazimnya, sebarang pemakluman rasmi berkaitan hebahan bantuan kerajaan diumumkan melalui platform rasmi seperti Kementerian Kewangan (MOF) dan media sosial Perdana Menteri sendiri.

Justeru, MyCheck membuat semakan di media sosial MOF bagi mendapatkan pengesahan.

Hasil carian kami membawa kepada hantaran Facebook oleh MOF yang mengesahkan bahawa maklumat mengenai ‘Elaun MADANI’ adalah palsu.

MOF juga meminta orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya mempercayai berita yang tidak sahih sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi terlebih dahulu.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kewangan

 

Anwar lancar Ekonomi MADANI : Memperkasa Rakyat

MyCheck turut melakukan semakan di Twitter rasmi Perdana Menteri.

Berdasarkan ciapan yang dibuat Anwar di Twitternya, beliau akan melancarkan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ pada 27 Julai yang mana beliau akan mengumumkan berkenaan hala tuju ekonomi negara.

Menurut Anwar, kerajaan akan terus komited menyelaraskan gaji penjawat awam melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Maka, sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Selain itu, RM200 akan diberi kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

 


Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

 

Bantuan khas ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara.

Anda boleh lihat siaran langsung di sini dan di sini.

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan pemberian Elaun MADANI itu sebagai tidak benar berikutan kajian gaji dan elaun penjawat awam masih dalam perincian.

Malah, pihak MOF juga mengesahkan bahawa poster Elaun MADANI tersebut adalah palsu.

Pesanan kami di MyCheck, jangan terburu-buru mempercayai sebarang hebahan daripada sumber yang tidak rasmi dan pastikan anda membuat semakan di platform yang betul.

Sekiranya anda keliru atau tidak pasti dengan maklumat yang diterima, anda boleh ke portal rasmi MOF bagi menyemak dokumen serta ucapan rasmi Perdana Menteri.

Proses semakan ini penting bagi memastikan informasi yang diterima adalah sahih dan tepat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. PM dijangka umum berita gembira buat penjawat awam 8 Ogos ini l Kosmo Digital 

  2. @mencarisufi | TikTok 

  3. MOF l Facebook 

  4. Anwar Ibrahim l Twitter

  5. Ekonomi MADANI l Facebook

  6. BERNAMA l Twitter

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.