+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bantuan Sokongan Komputer Riba Percuma? Hati-Hati Ia Adalah Umpan Penipuan Phishing

Benarkah...

Terdapat tawaran bantuan komputer riba percuma kepada pelajar.

Sumber : WhatsApp / Mac 2023

Hasil

Tawaran itu tidak wujud. Pautan yang diberikan adalah penipuan memancing data (phishing) bagi mencuri maklumat peribadi seseorang.

27/03/2023 09:40 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu hantaran menerusi WhatsApp berhubung tawaran pemberian komputer riba percuma khusus kepada pelajar bagi tahun 2023.
  • Sesiapa yang berminat harus mengisi borang dengan cara klik kepada pautan yang diberikan.
  • Hasil semakan MyCheck mendapati pautan tersebut merupakan penipuan phishing atau penipuan memancing data (phishing scam) bertujuan untuk mencuri maklumat peribadi seseorang.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Pasca pandemik COVID-19, sesi pengajaran dan pembelajaran kini banyak menggunakan teknologi dalam kehidupan seharian.

Penggunaan komputer riba sebagai alat bantu belajar kini bukan sahaja melibatkan pelajar di peringkat universiti, malah juga di peringkat sekolah menengah dan rendah.

Bagaimanapun tidak kesemua pelajar berkemampuan untuk memperoleh alat peranti canggih tersendiri, malah ada antara mereka yang terpaksa berkongsi peralatan dengan adik-beradik lain.

Maka apabila wujudnya perkhabaran terdapat skim bantuan peranti oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan, ramai para pelajar di Malaysia menzahirkan rasa gembira dan syukur mereka.

Namun dalam keterujaan, jangan kita lupa untuk fikir sejenak benarkah wujudnya bantuan ini.

Jom MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu dakwaan tular di aplikasi WhatsApp menyatakan terdapat skim bantuan komputer riba bagi pelajar tahun 2023.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Berdasarkan mesej itu, skim tersebut dibuka kepada golongan pelajar yang tidak berkemampuan untuk membeli komputer riba bagi kegunaan pendidikan mereka.

Menurut ia lagi, lebih 960,000 pemohon akan menerima bantuan gajet itu dengan cara mendaftar dan membuat permohonan di pautan yang disediakan dalam mesej terbabit.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Langkah pertama MyCheck bagi mendapatkan maklumat mengenai bantuan berkenaan adalah membuat carian di enjin Google menggunakan kata kunci ‘sokongan laptop pelajar 2023’.

Bagaimanapun, tiada laporan terbaharu yang dikeluarkan setakat ini selain laporan berita Harian Metro mengenai Belanjawan 2023 yang mana pelajar sekolah dan institusi akan dibekalkan dengan 50,000 komputer riba.

Kami kemudiannya membuat semakan pada pautan di mesej tular itu dan kami dibawa ke sebuah laman sesawang permohonan bantuan komputer riba.

 

Penyumbang Merahsiakan Identiti Dan Menggunakan Logo Palsu

Hasil penelitian kami mendapati laman tersebut agak mencurigakan kerana pemberi atau penyumbang komputer riba ini tidak menunjukkan identiti sebenar mereka.

Malah jika anda teliti logo di sebelah kiri yang kami telah tandakan di gambar, anda akan dapati bahawa logo yang digunakan itu adalah logo sebuah laman e-dagang.

 


Sumber: Dakwaan

 

Jadi apa kaitan logo tersebut dengan skim bantuan ini?

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan salah satu cara untuk anda semak fakta!

 

Kelulusan Permohonan Bukan Berdasarkan Syarat Kelayakan Umum

Kecurigaan kami semakin bertambah apabila kami diminta untuk mematuhi syarat-syarat seperti gambar di bawah termasuklah berkongsi maklumat laman tersebut kepada rakan lain sebelum permohonan kami dikira berjaya.

 


Sumber: Dakwaan

 

Kebiasaannya sesuatu permohonan bantuan akan ‘diluluskan’ sekiranya pemohon mematuhi syarat umum kelayakan yang ditetapkan.

Contohnya, pemohon merupakan warganegara Malaysia, daripada golongan keluarga B40, masih lagi seorang pelajar dan seterusnya.

Selepas menekan butang kongsi di atas, kami dikatakan telah memenangi beberapa hadiah peranti lain seperti tablet, telefon pintar dan banyak lagi.

 


Sumber: Dakwaan

 

Namun untuk memiliki hadiah tersebut kami perlu membuat pengesahan terakhir terlebih dahulu dengan cara memasukkan dan mengesahkan nombor telefon, memuat turun aplikasi tertentu, menjawab soalan tinjauan dan sebagainya.

Langkah-langkah yang diarahkan itu kelihatan sangat meragukan dan seakan-akan seperti teknik penipuan phishing.

 

Apa Itu Penipuan Phishing?

Mari kami jelaskan kepada anda makna dan kaedah penipuan phishing.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia MCMC, penipuan phishing adalah percubaan untuk mencuri maklumat peribadi seseorang seperti nombor kad kredit, nombor akaun atau nama-nama log masuk (login) dan kata laluan.

Penjenayah phishing biasanya akan mengarahkan anda klik pada pautan (link) untuk ke laman web yang kelihatan seolah-olah seperti sebuah laman perbankan, e-dagang dan bantuan yang sah namun ia adalah palsu.

Mereka seterusnya akan meminta anda untuk mengisi butiran peribadi dan sejurus anda tekan butang hantar, penjenayah siber ini telah berjaya mengakses kesemua akaun perbankan Internet anda.

 

Skim Bantuan Itu Sebenarnya Adalah Penipuan Phishing

Bagi memastikan sama ada laman sesawang itu selamat ataupun tidak, kami menggunakan satu perisian anti virus  percuma (antivirus software) dipanggil Bitdefender Traffic Light.

 


Sumber: Bitdefender

 

Selepas kami cuba buka semula laman tersebut melalui perisian ini, tertera di situ satu amaran menyatakan laman tersebut adalah laman penipuan phishing dan telah disekat bagi melindungi kebocoran data peribadi pengguna.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kami mengklasifikasikan dakwaan skim bantuan komputer riba itu adalah tidak wujud dan sebenarnya merupakan umpan bagi penipuan phishing.

MyCheck berharap agar rakyat Malaysia tidak terburu-buru untuk memberikan maklumat peribadi tanpa menyelidik kesahihan tawaran bantuan itu terlebih dahulu.

Ingatlah, peribahasa melayu ada menyebut sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna iaitu fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara agar tidak menyesal di kemudian hari.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Belanjawan 2023: Bekal 50,000 komputer riba kepada sekolah 

  2. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) - 1. Apa itu Phishing?

  3.  Bitdefender TrafficLight - Free Add-on for Secure Web Browsing

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.