+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Isi Minyak Percuma Di Seluruh Stesen Petronas Pada 29 Dan 30 Februari Ini? Dakwaan Tular Adalah Satira

Benarkah...

Orang ramai boleh mengisi minyak secara percuma di seluruh stesen minyak Petronas pada 29 dan 30 Februari 2023.

Sumber : Facebook / Februari 2023

Hasil

Poster tular mengenai perkara tersebut hanyalah satira atau bahan jenaka kerana bulan Februari hanya mempunyai 28 hari sahaja. 

28/02/2023 02:58 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu poster berhubung pengisian minyak secara percuma di stesen minyak Petronas pada 29 dan 30 Februari 2023.
  • Menurut poster berkenaan minyak secara percuma itu adalah sempena 100 hari pemerintahan kerajaan baharu.
  • Turut terpapar gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Poster itu sebenarnya adalah satira atau ‘troll’ yang dijadikan sebagai bahan jenaka.
  • Ia berikutan bulan Februari hanya mempunyai 28 hari sahaja.
  • Poster berkenaan juga disunting dan ditularkan semula.


Sumber: BERNAMA

 

LATAR BELAKANG

Pada 24 November 2022 negara sekali lagi menyaksikan detik bersejarah sejurus pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Di bawah payung Malaysia MADANI, kerajaan pimpinan Anwar sedang memeta hala tuju negara bagi memenuhi aspirasi Malaysia untuk bergerak maju, terampil dan terangkum.

Pastinya, rata-rata rakyat Malaysia menantikan perubahan dan pembaharuan yang dibawa pimpinan Anwar dalam masa yang sama memantau kerajaan baharu ini.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima hantaran poster melalui aplikasi Whatsapp mengenai pengisian minyak secara percuma di seluruh stesen petronas pada 29 dan 30 Februari 2023 sempena 100 hari kerajaan baharu.

Perkara ini pastinya menimbulkan kekeliruan ramai yang boleh membuatkan rata-rata rakyat Malaysia mempercayainya.

Namun, benarkah dakwaan itu? Jom ikut MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti poster yang tular itu.

Kami dapati latar belakang poster berkenaan memaparkan gambar stesen minyak Petronas serta gambar Anwar.

Memandangkan poster berkenaan tular di media sosial, kami beralih pula ke platform media sosial yang lain bagi menelusuri maklumat yang lebih terperinci.

MyCheck membuat carian di Facebook menggunakan kata kunci ‘isi minyak secara percuma seluruh stesen Petronas 29 & 30 Februari 2023’.

Kami menemukan pelbagai hantaran berserta poster yang sama dimuat naik pengguna Facebook.

 


Sumber: Facebook

 

Seterusnya, kami juga menjumpai hantaran Facebook yang menggunakan nama akaun Dikli KL yang berkongsi poster tersebut di laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers (MSBC).

 


Sumber: Facebook

 

Hantaran itu mendapat 158 komen, 782 tanda suka dan dikongsi (share) lebih 90 individu.

Kami kemudian membuat semakan di akaun Malaysia-singapore Border Crosser (MBSC) dan mendapati kebanyakan hantaran dan kandungan yang dimuat naik di akaun terbabit adalah mengenai urusan rakyat yang menyeberang sempadan Singapura dan Malaysia.

Apabila kami menelusuri dan menatal bahagian komen hantaran terbabit, ada juga pengguna Facebook yang turut memberikan komen menyatakan, "Moto Singapore boleh?".

 


Sumber: Berita Harian

 

Perkara ini boleh menimbulkan kegusaran ramai ekoran sebelum ini media pernah melaporkan berkenaan isu kereta bernombor pendaftaran Singapura telah mengisi minyak petrol RON95 di sebuah stesen minyak seperti yang dilaporkan Berita Harian. 

Kami turut membuat carian di TikTok bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Semakan mendapati poster itu juga tular di TikTok yang mana satu akaun TikTok dengan nama __phatmayan__ telah memuat naik poster berkenaan.

Poster tersebut mendapat 1008 ribu tanda suka serta 158 komen.

Berdasarkan komen di hantaran terbabit, ramai pengguna TikTok menyatakan bahawa tiada tarikh 29 & 30 dalam kalender bulan Februari dan poster tular itu hanya jenaka semata-mata.

 

Tahun Lompat, Tiada 29 Dan 30 Februari 2023


Sumber: MyCheck

 

Februari boleh dikatakan antara bulan unik kerana mempunyai jumlah hari yang sedikit berbanding bulan yang lain iaitu sebanyak 28 hari selain daripada ‘tahun lompat’.

Tahun lompat adalah tahun yang mempunyai lebih satu hari daripada tahun biasa yang mempunyai hari bertarikh 29 Februari dan tahun istimewa itu berlaku setiap empat tahun sekali.

Menurut History.com kalender moden mengandungi 365 hari yang mana ia adalah tempoh dan masa yang diperlukan untuk bumi mengorbit matahari.

Tahun lompat adalah tambahan tempoh 24 jam dalam kalender bagi memastikan ia selari dengan pergerakan bumi mengelilingi matahari.

Memetik History.com lagi, walaupun kalender moden mengandungi 365 hari, masa sebenar yang diperlukan untuk bumi mengorbit bintang adalah lebih lama iaitu 365.2421 hari.

Jadi, bagi mengisi jurang perbezaan yang sering kali tidak diambil kira selama beberapa dekad dan berabad tempohnya maka ia menjadi keperluan untuk menambah hari tambahan secara berkala bagi mengisi masa yang hilang serta mengembalikan kalender yang selari.

Jika kita telusuri sejarah tahun lompat ini, orang Mesir antara yang terawal menyingkap kepentingan tahun lompat.

Menurut iluminasi, oleh kerana Julius Caesar yakin dengan kelebihan kalendar suria Mesir yang mempunyai 365 hari dan bulan interkalari apabila ahli astronomi memerhatikan keadaan yang betul dalam bintang.

Julius dan ahli astronominya merombak kalendar rom bagi memasukkan 12 bulan dan 365 hari serta menambah satu hari lebih yang dikenali sebagai tahun lompat.

Berbalik kepada poster tular terbabit, tahun ini bulan Februari hanya mempunyai 28 hari sahaja dan tiada tarikh 29 dan 30 Februari seperti yang didakwa.

Kami pasti jika anda menyelak kalendar anda, anda tidak akan menjumpai tarikh tersebut pada bulan Februari ini.

 

Hantaran Lama Yang Ditularkan Semula


Sumber: Facebook

 

Semakan lanjut MyCheck juga mendapati dakwaan pengisian minyak percuma ini isu bukanlah ‘cerita’ baharu yang tular tetapi pernah dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial yang lain pada 2018.

Kami juga menjumpai hantaran yang dikongsi pemilik akaun Facebook menggunakan nama Fikry Shafie yang menyatakan sesiapa yang ingin mengisi minyak petrol secara percuma boleh datang ke Petronas seluruh Malaysia pada 29 dan 30 Februari 2018.

Hantaran itu juga turut menyatakan pengisian minyak percuma itu terbuka kepada semua pemilik kenderaan dan mereka boleh mengisi minyak sehingga penuh tangki.

Selain itu, kami juga turut menemukan satu lagi hantaran di Facebook dengan nama akaun Borneo Netizen yang memuat naik hantaran sama.

Hantaran itu dimuat naik pada 14 Februari 2018.

Gambar yang dikongsikan adalah gambar stesen minyak Petronas.

Ini bermakna gambar itu disunting semula dengan ditambah wajah Perdana Menteri dan dijadikan sebagai poster sebelum ditularkan semula pada Februari tahun ini.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan itu sebagai tidak benar ia berikutan bulan Februari tahun ini hanya mempunyai 28 hari sahaja.

Malah, berdasarkan semakan kami poster tersebut telah disunting untuk kandungan satira serta dijadikan bahan jenaka semata-mata.

Poster itu juga merupakan poster lama yang ditularkan semula.

Semakin ramai kini yang menyebarkan sesuatu dakwaan dengan alasan ia hanyalah satira.

Satira yang menggabungkan maksud jenaka, kritik dan sindiran ini memang bagus jika ditulis dengan baik.

Satira yang baik jenisnya, bukan sahaja menghiburkan malah boleh mengajak masyarakat berfikir, mencetuskan idea dan inspirasi yang boleh dikongsi bersama bahkan memberi perubahan terhadap sesuatu perkara.

Namun satira juga boleh menjadi ‘senjata’ yang mencetuskan ketegangan dan ‘membunuh’ keharmonian masyarakat jika membabitkan perkara yang serius sehingga menimbulkan fitnah.

Jadi, berhati-hatilah kerana tidak semua perkara boleh dijadikan satira.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1.  Facebook -  Dikli KL

  2.  Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers (MSBC)

  3.  Berita Harian 

  4. TikTok-__phatmayan__

  5.  5 Things You May Not Know About Leap Day - HISTORY

  6.  Mengapa kita ada tahun lompat? | Iluminasi

  7.  Facebook Fikry Shafie

  8.  Facebook  Borneo Netizen

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.