+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan SPR Jual 800,000 Data Pengundi Di Laman Penggodam Adalah Palsu Dan Ditularkan Semula

Benarkah...

SPR jual 800,000 data peribadi pengundi termasuk gambar di laman penggodam.

Sumber : WhatsApp & Twitter / November 2022

Hasil

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang menyiasat dakwaan tersebut menyangkal perkara itu berlaku kerana data dikumpul Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat terhad tidak termasuk gambar pengundi.

21/11/2022 08:27 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular hantaran di WhatsApp mendakwa SPR telah menjual 800,000 data pengundi di laman penggodam.
  • Data SPR yang bocor itu dikatakan mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka yang mana SPR telah mengumpul gambar-gambar pengundi terbabit dalam laman web Daftar MySPR.
  • Pihak NACSA yang menyiasat dakwaan tersebut menafikan perkara ini berlaku.
  • Menurut NACSA, data yang dikumpul SPR sangat terhad dan tidak termasuk maklumat gambar pengundi.
  • Hasil semakan mendapati dakwaan itu adalah tuduhan lama yang diulang sebar pihak tidak bertanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Setiap kali tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU), orang ramai akan mengemas kini maklumat daftar pemilih masing-masing di laman rasmi SPR.

Trafik kepada laman sesawang SPR akan meningkat kerana para pengundi silih berganti memasuki laman tersebut termasuk bagi menyemak status daftar pemilih dan kawasan tempat mereka akan mengundi.

Orang ramai juga boleh menyemak lain-lain maklumat seperti lokasi pusat pengundian dan nombor saluran yang disediakan pihak SPR.

Namun ada informasi menyatakan maklumat peribadi pengundi telah bocor dan disalah guna.

Isu seperti ini akan menimbulkan kebimbangan awam dan tidak mustahil merencatkan hasrat para pengundi baharu untuk mendaftar sebagai pemilih bagi melindungi maklumat peribadi mereka.

Jika benar isu sebegini berlaku, ia amatlah tidak wajar kerana negara kita mempunyai undang-undang di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) di bawah agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang ditubuhkan pada 16 Mei 2022 selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang berkaitan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 Akta 709.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: MyCheck

 

MyCheck menerima satu hantaran mesej di aplikasi WhatsApp berkenaan dakwaan 800,000 maklumat dan data pengundi dijual oleh SPR di laman penggodam.

Mesej terbabit bertanyakan sama ada benarkah pihak SPR menjual data tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan pendaftar yang masih belum mendaftar sebagai pemilih bagi PRU di Malaysia.

Salam MyCheck, kalau macam ni memang menakutkan. Betul ke? Lain kali yang belum daftar was-was nak daftar macam ni? Boleh check ke betul ke ni?,” menurut mesej individu terbabit.

Sejauh mana kebenaran dakwaan ini? Jom MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat semakan melalui carian enjin di Google dengan  menggunakan kata kunci ‘data SPR bocor 800,000’.

Apa yang kami temukan adalah seperti berikut.

 


Sumber: Google

 

Hasil carian tersebut menunjukkan terdapat banyak artikel tempatan yang melaporkan berkenaan isu terbabit.

Kami meneliti satu persatu pautan yang sepadan bagi mengumpul semua maklumat.

Menurut portal Malaysiakini berdasarkan artikel bertajuk ‘Data SPR bocor: ‘Maklumat 800,000 pengundi dijual di laman penggodam’ menjelaskan satu bahagian kebocoran telah berlaku melibatkan pangkalan data SPR.

Pangkalan data itu merujuk kepada data SPR yang mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka yang mana SPR telah mengumpul gambar-gambar pengundi terbabit dalam laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.

 

Daftar MySPR

Seterusnya kami cuba meneliti laman sesawang SPR untuk membuat semakan serta melihat sendiri bagaimana platform itu berfungsi.

 


Sumber: MySPR

 

Sebelum itu MyCheck terangkan apa itu MySPR.

MySPR adalah satu platform sistem SPR yang boleh diakses melalui laman sesawang SPR, mysprsemak.spr.gov.my.

Platform itu digunakan bagi pengundi mendaftar sebagai daftar pemilih atau menukar maklumat masing-masing seperti alamat terkini dan sebagainya.

Pengundi  juga boleh mencari informasi berkenaan PRU di platform terbabit.

Menurut laporan Malaysiakini, pendaftar yang ingin mendaftar sebagai daftar pemilih perlu mengesahkan identiti mereka serta memuat naik gambar memegang kad pengenalan.

 

Data Dimiliki SPR Adalah Terhad Tidak Termasuk Gambar Pengundi

Daftar MySPR telah dilancarkan pada 2019 yang mana masyarakat boleh mendaftar sebagai pengundi melalui laman web MySPR.

Namun, awal tahun ini pihak SPR telah melaksanakan sistem automatik bagi pengundi baharu yang ingin mendaftar.

Ini bermakna, pengundi baharu tidak perlu mengisi butiran peribadi termasuk nombor telefon ke dalam sistem SPR kerana sistem terbabit mempunyai maklumat sedia ada berkenaan pengundi berserta tempat pengundian mereka.

Maklumat yang ingin dikemas kini dalam sistem tersebut juga tidak memerlukan pengundi mengisi nombor telefon tetapi hanya melibatkan pengisian nombor kad pengenalan sahaja.

Sistem automatik ini juga menunjukkan bahawa tiada proses yang melibatkan pengundi perlu memuat naik gambar seperti yang didakwa.

Bagi menelusuri dakwaan ini dengan lebih mendalam, kami menemui laporan lowyat.net yang melaporkan berkenaan data pengundi SPR telah dijual di laman penggodam.

 


Sumber: Twitter

 

Menurut ciapan pengguna Twitter @acaiijawe, penggodam telah memperoleh data SPR yang mempunyai maklumat lengkap seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat e-mel dan alamat rumah.

Setakat laporan ini ditulis, ciapan tersebut mendapat lebih 3,000 tanda suka dan 3,076 ulang kicau (retweet).

Bahkan menurut ciapan terbabit,  penggodam tersebut telah memperoleh gambar kad pengenalan dan gambar swafoto pengundi.

Penggodam itu juga mencari pembeli data berkenaan dengan harga RM 9,401 (USD2,000) dan meminta pembeli membuat bayaran menggunakan mata wang digital.

 


Sumber: Twitter

 

Perkara ini dapat dilihat menerusi kenyataan pengguna Twitter @amerhadiazmi yang menyatakan terdapat laman sesawang atau entiti yang tidak diketahui iaitu semak.info yang meminta pengisian nombor telefon bagi membuat semakan daftar pemilih.

 

NACSA Nafi Data Pengundi Dalam Rekod SPR Bocor

Menurut laporan Berita Harian,  NACSA menyiasat dakwaan lebih 800,000 data pengundi dalam sistem MySPR dijual kepada pihak lain.

Bagaimanapun agensi itu berkata dakwaan berkenaan adalah isu lama yang ditularkan semula.

Kami turut menemui laporan Malaysiakini, yang menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dan menyiasat dakwaan kebocoran data berkenaan.

Laporan itu turut memetik Menteri dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengulas jika data yang dibocorkan itu mengandungi maklumat nombor telefon, bermakna ia bukanlah data yang dimiliki daripada SPR.

SPR hanya mempunyai nama dan nombor kad pengenalan sahaja dan memaklumkan bahawa dakwaan itu dilakukan oleh orang yang ingin mencari keuntungan semata-mata.

Ini bermakna sekiranya ada pihak yang mempunyai maklumat individu beserta nombor telefon, ia bukanlah data yang dibocorkan daripada SPR dan berkemungkinan daripada sumber lain.

 


Sumber: Twitter Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

 

Seterusnya, MyCheck terus mencari informasi terkini berkenaan maklum balas terbaharu dari pihak SPR sendiri.

Hasilnya, kami menemui hantaran SPR di Twitter yang memaklumkan bahawa suruhanjaya itu telah bekerjasama dengan NACSA untuk dakwaan terbabit disiasat.

Tindakan SPR itu yang telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan tiada pencerobohan berlaku kepada sistem SPR amatlah wajar dan membuktikan  usaha memastikan keselamatan data-data pengundi telah dibuat melalui pemantauan yang berterusan menggunakan infrastruktur keselamatan yang efektif.

Ciapan SPR yang  dimuat naik pada 14 November 2022 turut menegaskan  dakwaan yang tular itu adalah dakwaan lama dan bukanlah informasi terbaharu yang mendakwa data pengundi telah bocor dan dijual kepada penggodam.

 

KESIMPULAN

Hasil dapatan kami mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar.

NACSA telah mengesahkan dakwaan tersebut adalah dakwaan lama yang ditularkan semula.

Bahkan, SPR juga telah memperoleh kerjasama melalui NACSA bagi menyiasat perkara terbabit.

Pelbagai desas-desus timbul pada PRU15 yang berakhir Sabtu lepas, ekoran banyak dakwaan yang tidak disemak kesahihannya terlebih dahulu.

Pesanan kami di MyCheck, sebelum menyebarkan sesuatu berita, kita perlulah membuat semakan fakta bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut.

Selari dengan perkembangan teknologi, penggodam dalam talian semakin licik dan bijak dengan pelbagai taktik dan teknik baharu bagi melakukan jenayah siber, justeru masyarakat perlu lebih kehadapan dalam isu keselamatan siber agar tidak terpedaya dengan helah mereka.

Pengguna media sosial juga harus bijak dan berhati-hati dalam membuat sebarang urusan melibatkan data dalam talian agar tidak menjadi mangsa penipuan siber.

Sekiranya tidak pasti dengan sebarang maklumat, jom semak fakta dengan MyCheck!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Data SPR bocor: 'Maklumat 800,000 pengundi' dijual di laman penggodam

  2. PRU15: SPR nafi data peribadi pengundi bocor - Sinar Harian

  3. Twitter, @sprgovmy

  4. Twitter, @acaiijawe

  5. Twitter @amerhadiazmi

  6. Kalau ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR - Hamzah

  7. SPR, NACSA siasat kebocoran maklumat data pengundi

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.