+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bantuan Lesen Memandu Memang Wujud Tetapi Hanya Untuk B40 Dan Bukan Percuma

Benarkah...

Terdapat tawaran iklan menerusi WhatsApp berhubung panggilan akhir Bantuan Lesen Memandu percuma untuk semua golongan.

Sumber : WhatsApp & Laman Sesawang / September 2022

Hasil

Bantuan itu memang wujud namun ia hanya membabitkan lesen motosikal untuk golongan B40 sahaja. WhatsApp tular adalah palsu.

11/10/2022 01:50 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular iklan Bantuan Lesen Memandu percuma buat semua golongan, melalui aplikasi WhatsApp dengan menggunakan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • Turut disertakan pautan https://www.motif.my/bantuan-lesen/ bagi mempromosikan lesen memandu percuma itu.
  • Pautan itu kini tidak dapat dibuka dipercayai telah diturunkan dari laman sesawang.
  • Iklan tersebut adalah palsu dan berkemungkinan merupakan sindiket penipuan.
  • Bantuan lesen sememangnya wujud dan telah beberapa kali melalui penjenamaan.
  • Terbaharu ia dinamakan Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM).
  • BLKM dikhususkan untuk golongan B40 bagi mendapatkan lesen memandu motosikal kelas B2.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini semakin hangat diperkatakan dan menarik perhatian orang ramai terutama parti politik untuk menjalankan kepentingan dan agenda masing-masing.

Antara pihak yang didapati cuba menangguk di air keruh adalah sindiket penipuan.

Mereka kini semakin kreatif dengan menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdaya mangsa antaranya menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, WeChat, Facebook serta laman sesawang.

Terbaharu tular iklan bantuan lesen memandu yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat.

Semua sedia maklum lesen memandu adalah salah satu syarat yang diperlukan untuk memandu kenderaan.

Pengguna motosikal diharuskan memiliki lesen memandu B2 atau B manakala lesen D atau DA bagi kereta.

Sebelum boleh memiliki lesen secara sah, setiap individu terlebih dahulu perlu melalui ujian berkomputer, menghadiri kelas di institut memandu dan ujian memandu yang dikelolakan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Setakat Julai 2022, kadar harga yang ditetapkan bagi mendapatkan lesen memandu adalah seperti berikut :

Lesen motosikal B2 (tidak lebih 250 cc) – RM350 hingga RM450

Lesen motosikal B FULL (lebih 500 cc) – RM900 hingga RM1100

Lesen kereta Manual D – RM1150 hingga RM1300

Lesen kereta Automatik DA – RM1250 hingga RM1500

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

Satu iklan berkaitan bantuan lesen memandu secara percuma tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada iklan itu terpampang tajuk ‘PANGGILAN AKHIR BANTUAN LESEN MEMANDU SEMUA GOLONGAN, MASIH BANYAK KEKOSONGAN’ bersama gambar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut disertakan satu pautan iaitu https://www.motif.my/bantuan-lesen/ untuk orang ramai membuat permohonan.

Menerusi iklan itu, orang ramai turut dipelawa menyertai kumpulan WhatsApp menerusi pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan.

Benarkah dakwaan itu? Mari MyCheck semak untuk anda.

 

APA KAMI TEMUI?

Pautan Yang Disertakan Menerusi WhatsApp Tular Tidak Dapat Dibuka

Langkah pertama MyCheck adalah menekan pautan yang diberi menerusi WhatsApp itu.

Kami dibawa ke satu laman sesawang iaitu Motif.My.

Namun apa yang terpapar adalah :

 ‘Oops! That page can’t be found.

It looks like nothing was found at this location. Maybe try searching?’

Kami tidak dapat menemukan sebarang maklumat lanjut. Berkemungkinan maklumat berhubung tawaran lesen memandu percuma itu telah diturunkan dari laman sesawang berkenaan.

 


Sumber: Laman sesawang Motif.my

 

Mungkinkah Pautan Itu Daripada Sindiket Penipuan?

Seterusnya kami cuba mencari maklumat mengenai portal Motif.my ini dan adakah ia sindiket penipuan atau scammer?

Kami dapati laman sesawang Motif.my ini memang wujud.

Ia bukanlah scammer tetapi merupakan portal yang menyediakan informasi berkaitan kerajaan termasuk diselitkan juga gosip-gosip selebriti dalam portal itu.

Kami menyemak satu persatu artikel yang diterbitkan portal itu bagi mencari maklumat berhubung bantuan lesen tersebut namun tidak menemuinya.

MyCheck juga turut klik pada pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan ke kumpulan (group) WhatsApp yang disertakan.

Kami dapati kumpulan WhatsApp itu wujud dan dinamakan Info Semasa Malaysia.

 


Sumber: WhatsApp

 

Bantuan Lesen Memandu Memang Wujud

MyCheck kemudian mencari maklumat lanjut mengenai ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ menerusi enjin carian Google.

Kami mendapati bantuan lesen memandu memang wujud dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia bagi membantu rakyat.

Ia dinamakan Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM).

Namun, melalui semakan lanjut, bantuan berkenaan bukan kepada semua golongan seperti WhatsApp tular, sebaliknya ia khas untuk golongan B40 dan membabitkan permohonan lesen motosikal kelas B2 sahaja.

 

WhatsApp Tular Adalah Palsu

Portal Sebenarnya.my, sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak berita yang tidak ditentukan kesahihannya turut mengklasifikasikan iklan tular itu sebagai palsu.

 


Sumber: Portal sebenarnya.my

 

Malah Berita Harian dan Kosmo! masing-masing bertarikh 29 September 2022 turut mengeluarkan berita tersebut yang dipetik menerusi kenyataan media dan Facebook JPJ.

 

Apakah BLKM?

 


Sumber: Google

 

Untuk pengetahuan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama JPJ telah memperkenalkan BLKM yang dikhaskan untuk golongan B40 bagi mendapatkan lesen memandu motosikal kelas B2.

BLKM merupakan program tanggungjawab sosial korporat MOT melalui JPJ  yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

 


Sumber: Facebook BERNAMA

 

MyCheck dapati CSR ini telah dilaksanakan sejak 1990-an melalui program JPJ Bersama Rakyat sebelum menukar namanya kepada Program Satu Komuniti Satu JPJ dan Program Bantuan Lesen Memandu Prihatin.

Dalam majlis perasmian di Bera, Pahang pada 13 Mac 2022, Perdana Menteri mengumumkan program BLKM adalah khusus untuk keluarga golongan B40 termasuk masyarakat Orang Asli yang mempunyai masalah kewangan untuk mengikuti kelas di institusi latihan memandu dan mendapatkan lesen motosikal B2.

Bagaimanapun, MyCheck mendapati tidak banyak informasi berkaitan BLKM diuar-uarkan menerusi media tempatan mahupun agensi kerajaan, sebaliknya peranan itu banyak dilakukan oleh portal-portal informasi serta peluang kerja seperti di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

Difahamkan menerusi pelaksanaan BLKM ini, individu yang berkelayakan akan menerima diskaun dan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM250 sahaja.

Jika dikira, kos sebenar bagi memiliki lesen ini keseluruhannya sekitar RM750 seorang.

Maka, dengan bantuan BLKM ini, individu yang layak akan jimat sebanyak RM500.

 

Syarat Kelayakan Dan Cara Permohonan BLKM

Setakat ini, pemilihan calon untuk menyertai program bantuan ini terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam e-Kasih.

Tapi sebelum itu, calon yang terpilih itu perlulah terlebih dahulu melalui tapisan yang ditetapkan oleh JPJ iaitu warganegara Malaysia, tidak pernah memiliki sebarang lesen memandu, sihat tubuh badan dan mental, tiada kecacatan fizikal serta tidak disenarai hitam oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Cara permohonan untuk menyertai program ini belum dimaklumkan oleh pihak JPJ.

Namun orang ramai boleh menghubungi JPJ terdekat atau saluran berikut untuk pertanyaan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BLKM, boleh melayari laman rasmi MOT di https://www.facebook.com/motmalaysia.

 

KESIMPULAN

MyCheck kategorikan dakwaan tular sebagai ‘bercampur’.

Ini kerana memang benar kerajaan ada mewujudkan bantuan lesen memandu namun ia bukan kepada semua golongan dan membabitkan semua kelas lesen tetapi khas kepada B40 yang melibatkan permohonan mendapatkan lesen motosikal B2 sahaja.

Terus cakna dengan informasi yang anda terima, terutama menjelang PRU15 yang menjadi perhatian umum termasuklah golongan tidak bertanggungjawab yang ingin memperdaya mangsa dengan pelbagai maklumat palsu.

Gambar pemimpin yang terpapar pada sesuatu maklumat belum tentu ia sahih kerana individu tidak bertanggungjawab ini akan melakukan pelbagai cara termasuk ‘menjual muka’ orang kenamaan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Berita Harian. “Belia catat kematian tertinggi nahas jalan raya” Diterbitkan pada 13 Mac 2022

2.Facebook BERNAMA.

3.Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

4.Sebenarnya.my “Iklan Menawarkan Bantuan Lesen Memandu Percuma Adalah Tidak Benar” Diterbitkan pada September 2022.

5.Berita Harian. “Jangan terpedaya tawaran lesen percuma” Diterbitkan pada 29 September 2022.

6.Kosmo! “Jangan terperdaya iklan lesen terbang salah guna gambar Perdana Menteri” Diterbitkan pada 29 September 2022.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.