+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Berita PM Menghadap Agong Untuk Bubar Parlimen Adalah Palsu. Istana Negara Nafi PM Menghadap Agong Hari Ini

Benarkah...

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini (3 Oktober 2022) bagi memohon pembubaran Parlimen.

Sumber : Portal berita tempatan, laman sesawang / Oktober 2022

Hasil

Istana Negara nafi. Tiada sebarang makluman diterima berhubung sesi sembah menghadap bagi pembubaran Parlimen.

03/10/2022 04:14 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular berita PM Ismail Sabri dilapor akan hadir ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon pembubaran Parlimen.
  • Ia dilaporkan oleh beberapa media arus perdana yang memetik pendedahan oleh penulis blog dan aktivis Datuk Zaharin Mohd Yasin, menerusi catatan Facebooknya pada Ahad (2 Oktober).
  • Istana Negara menafikan PM menghadap Agong pada 3 Oktober.
  • Tiada sebarang makluman diterima pihak Istana Negara berhubung sesi sembah menghadap bagi memohon pembubaran Parlimen seperti dakwaan tular.
  • Ia adalah laporan palsu.


Sumber: Utusan Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Perlukah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal tanpa menunggu pembubaran Parlimen secara automatik pada 16 Julai 2023?

Ini menjadi polemik ramai terutama parti-parti politik.

Sebelum ini, Berita Harian bertarikh 30 September 2022 melaporkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agong UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Lantaran itu, semakin banyak desas-desus PRU15 diperkatakan hingga menarik perhatian segelintir pihak atau parti politik tertentu untuk merencanakan strategi dan kesempatan dalam situasi yang melanda bagi menjalankan kepentingan tertentu.

Apa pun penggal Parlimen semasa akan tamat pada Julai 2023 dan PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan September 2023.

 

MENGENAI DAKWAAN

Bahang pembubaran Parlimen dan PRU15 semakin hangat diperkatakan terutama di dada akhbar tempatan termasuk media dalam talian.

Beberapa media tempatan telah melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon pembubaran Parlimen.

Benarkah dakwaan tersebut? MyCheck semak untuk anda.

 

APA KAMI TEMUI?

MyCheck menyedari isu politik semasa iaitu bahang pembubaran Parlimen dan PRU15 yang semakin hangat diperkatakan ini sudah pasti menjadi perhatian masyarakat.

Jadi, kami mencari maklumat menerusi Google.

Dengan menggunakan kata kunci “Ismail Sabri Menghadap Agong”, kami berjaya menemui dua berita dilaporkan yang kemudiannya telah dinafikan oleh pihak Istana Negara.

Berikut, kami sertakan tangkap layar yang sempat dirakam sebelum berita-berita itu dipadam.

 


Sumber: Google

 

Istana Negara Nafi, Sahkan Tidak Terima Sebarang Makluman Mengenai Sesi Sembah Menghadap Bagi Memohon Pembubaran Parlimen

Sejurus berita-berita itu diterbitkan, Istana Negara menafikan bahawa Perdana Menteri akan menghadap yang di-Pertuan Agong hari ini.

Anda boleh lihat antaranya di sini, di sini dan di sini.

Memetik portal berita Astro AWANI, sumber Istana Negara memberitahu bahawa pihaknya tidak menerima sebarang makluman berhubung sesi sembah menghadap bagi memohon pembubaran Parlimen seperti yang didakwa.

 

Ia Berita Palsu

Sementara itu, memetik laporan Free Malaysia Today, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin turut mengesahkan laporan tersebut adalah palsu kerana Al-Sultan Abdullah ketika ini masih berada di Singapura.

 

Dari Mana Datangnya Sumber?

MyCheck telah membaca kesemua berita tersebut dan mendapati mereka telah mengambil sumber daripada seorang penulis blog dan aktivis bernama Datuk Zaharin Mohd Yasin menerusi catatan Facebooknya pada Ahad (2 Oktober).

Zaharin mendakwa Ismail Sabri akan ke Istana Negara bagi menghantar surat meminta pembubaran Parlimen diadakan segera.

Menurut laporan itu lagi, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO akan diiringi oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bagi mewakili Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hantaran penulis blog itu berbunyi :

Khabar cerita esuk pagi Dsri Ismail Sabri Yaakob akan di iringi oleh Dseri Ahmad Maslan mewakili Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana Negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera,”.

 


Sumber: Facebook

 

Siapa Individu Bernama Zaharin?

Zaharin sebelum ini merupakan Ketua Cawangan Umno Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan.

Namun pada 1 Oktober 2022, memetik Berita Harian, beliau telah dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kerana didakwa lantang menentang pemimpin partinya termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui media sosialnya.

Mei lepas, Zaharin mengkritik Zahid susulan kononnya wang yang diterima dari Singapura bagi tujuan kepentingan UMNO.

 

KESIMPULAN

Untuk mendapatkan kestabilan politik, MyCheck sememangnya menyokong pendapat penganalisis yang dipetik dari laporan Astro Awani bahawa pilihan raya sememangnya perlu diadakan bagi membantu negara berhadapan cabaran ekonomi yang tidak menentu.

Apa yang ingin kami tekankan di sini, janganlah kerana dek nak mengejar populariti dan nak menjadi yang pertama mengeluarkan berita atau dipanggil ‘scoop’, media yang terlibat itu sanggup menggunakan sumber yang tidak sahih dan belum boleh dipercayai (unreliable source).

Kita sebagai pengamal media yang berintegriti seharusnya semak dahulu dan mendapatkan pengesahan daripada pihak yang sepatutnya.

Nasihat kami di MyCheck, sekiranya anda menerima sebarang maklumat terutamanya dalam bentuk kenyataan tanpa ada sumber rujukan, lebih baik semak informasi tersebut terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya kepada orang lain.

Ingat pesan MyCheck, jangan sebar melulu, semak fakta anda terlebih dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Astro Awani. “Bubar Parlimen: Istana Negara nafi Perdana Menteri menghadap Agong hari ini” Diterbitkan pada 3 Oktober 2022.

2.Berita Harian. “UMNO Pecat Zaharin” Diterbitkan pada 1 Oktober 2022.

3.Berita Harian. “MKT UMNO putuskan PRU-15 tahun ini’ Diterbitkan pada 30 September 2022.

4.Free Malaysia Today. “PM Tak Hadap Agong Hari Ini, Kata Istana Negara” Diterbitkan pada 3 Oktober 2022.

5.Astro Awani. “Rakyat mahu kestabilan politik, PRU awal bantu negara berhadapan cabaran ekonomi tidak menentu - Penganalisis” Diterbitkan pada 29 Ogos 2022.

6. Sinar Harian. “Istana Negara nafi PM menghadap Agong hari ini” Diterbitkan pada 3 Oktober 2022.

7. Utusan Malaysia. “Istana nafi PM menghadap Agong minta bubar Parlimen” Diterbitkan pada 3 Oktober 2022.

8. Berita Harian. “Istana Negara nafi PM menghadap Agong hari ini” Diterbitkan pada 3 Oktober 2022.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.