+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

KKM Tidak Terima Sebarang Laporan Kes Cacar Monyet Di Malaysia Setakat Ini

Benarkah...

Seorang kanak-kanak dijangkiti cacar monyet di Malaysia.

Sumber : WhatsApp & Facebook / Mei 2022

Hasil

Dakwaan dan gambar tular tidak dapat dipastikan kesahihannya. Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menerima sebarang laporan berhubung jangkitan cacar monyet setakat ini.

25/05/2022 03:41 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular sekeping gambar di media sosial mendakwa seorang kanak-kanak dijangkiti cacar monyet.
  • KKM sahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan jangkitan cacar monyet setakat ini.
  • Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa risiko penyakit cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Penyakit cacar monyet sedang melanda dunia ketika ini dan pakar perubatan masih mengenal pasti punca jangkitan penyakit berkenaan.

Pertama kali ditemui pada tubuh badan manusia pada 1970, cacar monyet merupakan satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh penyebaran virus orthopoxviruses daripada haiwan yang dijangkiti virus berkenaan kepada manusia.

Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan virus tersebut disebarkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Selain itu, virus berkenaan juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 20 Mei 2022 sebanyak 80 kes cacar monyet direkodkan setakat ini dan 50 lagi kes masih disiasat dari 11 negara.

Negara-negara berkenaan antaranya lima negara benua Eropah iaitu Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol dan United Kingdom serta Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima tangkap layar di WhatsApp mendakwa seorang kanak-kanak telah dijangkiti penyakit cacar monyet.

Tangkap layar berkenaan menunjukkan gambar seorang kanak-kanak dengan kedua-dua tangannya dipenuhi bintik-bintik.

Gambar berkenaan turut disertakan dengan kapsyen :

His my mom’s friend punya anak buah.. dia kena monkey pox.. monkey pox dah masuk malaysia.. so hati2 bawa anak2 keluar.. please balik rumah terus mandi.. take care of yourself and kids.. tak abis dgn hfmd, now monkey pox pulakk.. pastu berita tk keluarkan pun.. dasar malaysia betul.. nnti kes dah beratus baru nk masuk berita..,

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Carian Imej Berbalik Tidak Menemukan Imej Sama

Langkah pertama MyCheck cuba mencari maklumat lanjut menggunakan carian imej berbalik menerusi InVid bagi mendapatkan dari mana dan siapakah individu yang membuat dakwaan itu.

Bagaimanapun hasil yang keluar adalah ‘no similar image found’ dan kami tidak berjaya menemukan maklumat lanjut.

Kami juga tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengesahkan gambar yang tular itu adalah asli atau telah disunting.

 

Semakan di Facebook

Kami kemudian beralih ke media sosial Facebook dan dengan menggunakan kata kunci ‘cacar monyet malaysia’, kami menemukan beberapa hantaran berkaitan dakwaan itu berserta gambar sama yang tular.

Beberapa pengguna Facebook telah memuat naik dakwaan antaranya anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.

 

Maklum Balas KKM

Hasil semakan lanjut di Facebook turut menemukan maklum balas KKM menerusi satu hantaran di Facebook pada 24 Mei 2022.

Menerusi hantaran itu KKM mengesahkan tidak menerima sebarang laporan mengenai kes berkenaan.

Sehingga 24 Mei 2022 jam 5.00 petang, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial,” menurut kenyataan KKM.

KKM turut meminta waris kepada kanak-kanak tersebut untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sekiranya dakwaan itu benar.

Orang ramai turut dinasihati tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya dan mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kenyataan sama turut dikeluarkan KKM menerusi laman Instagram dan dikongsikan oleh beberapa media arus perdana termasuk Astro Awani, Berita Harian dan Harian Metro.

 


Sumber: Instagram Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Respons Pengamal Perubatan

Selain warganet, beberapa pengamal perubatan turut memberi respons berhubung dakwaan itu.

Seorang pakar bius dikenali dengan nama Nurilyani Bujang menerusi hantaran di Facebook turut meragui kesahihan gambar berkenaan.

Beliau mendakwa penyakit cacar monyet kebiasaannya dihadapi oleh golongan remaja.

Monkey pox ni biasanya suka remaja. Dia tak berapa suka kat budak budak. Kalau HFMD memang berlambak. Tengah musim sekarang ni...

Sehingga kini, KKM tak terima report lagi pasal monkey pox. Kalau ada, kitaorg dah tau dulu.

Apa apa pun, kita hati hati lah.. Jaga jaga itu lebih baik,” jelas Nurilyani.

Dr Sakinah Sulong menerusi hantaran di Facebook turut mempersoalkan mengenai kehadiran penyakit berkenaan di negara ini memandangkan tiada sebarang kes dilaporkan setakat ini.

Kalau ada yang tahu kes yang didakwa ni berada kat mana, sila alertkan KKM untuk disahkan kes ni. Jangan cetuskan panik yang keterlaluan. Dakwaan sebegini sangat dipandang serius,” antara kapsyen Dr Sakinah menerusi hantaran berkenaan.

Menjawab soalan daripada seorang pengguna Facebook, Dr Sakinah memaklumkan jangkitan penyakit cacar monyet boleh dikurangkan menerusi suntikan vaksin ‘smallpox’ yang telah dihentikan.

 


Sumber: Facebook Dr Sakinah Sulong

 

Komen Seorang Pengguna Facebook Di Hantaran Dr Sakinah Jadi Perhatian

MyCheck turut menatal komen-komen warganet di hantaran yang dimuat naik oleh Dr Sakinah itu.

Terdapat satu komen yang menarik perhatian iaitu daripada seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Rasyidah Rasit.

Rasyidah Rasit telah mendakwa kanak-kanak di dalam gambar berkenaan adalah anak asuhannya dan kanak-kanak itu dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), bukannya cacar monyet.

Dakwaan Rasyidah Rasyit itu kemudiannya dikongsi oleh beberapa pengguna Facebook antaranya anda boleh lihat di sini dan di sini.

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama John Mohamed turut memuat naik tangkap layar komen daripada Rasyidah Rasit di Facebooknya.

Hantaran John Mohamed itu mendapat perhatian dan komen daripada Dr Sakinah yang meminta John Mohamed berkongsi pautan (link) komen asal daripada Rasyidah Rasit.

Namun, semakan MyCheck tidak lama selepas itu mendapati tidak ada lagi hantaran berkenaan di Facebooknya. Tidak pasti John Mohamed telah memadam hantaran itu atau sebaliknya.

MyCheck juga cuba mencari komen asal Rasyidah Rasit di hantaran Dr Sakinah namun tidak menemukannya juga. Berkemungkinan Rasyidah Rasit telah memadam komen berkenaan.

 


Sumber: Facebook

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak pasti walaupun KKM telah mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan diterima pihaknya berhubung dakwaan itu setakat ini.

Ini kerana kami tidak mengetahui sama ada gambar kanak-kanak berkenaan adalah tulen atau sebaliknya.

Penyakit berjangkit merupakan satu perkara serius dan tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak.

Penyebaran gambar atau berita yang belum pasti kesahihannya mengenai jangkitan penyakit berjangkit pastinya mengundang kerisauan dalam kalangan masyarakat.

Jadi, jika benar  wujud sebarang penyakit berbahaya, kita seharusnya memaklumkan kepada pihak berkuasa perubatan seperti KKM untuk tindakan selanjutnya.

Daripada kita menyebarkan perkara yang tidak pasti, seeloknya kita membantu petugas barisan hadapan mencegah sebarang penyakit daripada terus menjadi parah seperti yang berlaku dalam kes jangkitan Covid-19 sebelum ini.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah - Dr Noor Hisham.Diterbitkan oleh Berita Harian

  2. Facebook Siti Salmiah

  3. Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

  4. Instagram Kementerian Kesihatan Malaysia

  5. Facebook Nurilyani Bujang

  6. Facebook Dr Sakinah Sulong

  7. KKM nafi dakwaan rakyat Malaysia dijangkiti cacar monyet.Diterbitkan oleh Astro Awani

  8. Tiada notifikasi cacar monyet di Malaysia.Diterbitkan oleh Berita Harian

  9. Tiada notifikasi kes cacar monyet setakat ini - KKM.Diterbitkan oleh Harian Metro 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.