Periuk, Kuali ‘non-stick cookware’ Selamat Jika Diguna Dengan Cara Yang Betul

24/08/2021 08:26 AM

Benarkah...

'Non-stick cookware' penyebab kanser kerana disalut plastik polimer.

Sumber : YouTube, Facebook, WhatsApp/ Mac 2021

Hasil

Penggunaan sebarang jenis periuk memasak adalah selamat jika betul penggunaannya.

Penyelidik : Suziy C. Mat

SEKILAS FAKTA

  • Semua jenis periuk dan kuali memasak perlu digunakan dengan betul bagi mengelak risiko kontaminasi makanan.
  • Risiko kanser boleh berlaku jika alatan diguna pada suhu terlalu tinggi (lebih 300 °C) dalam jangkamasa panjang.

 


Sumber: YouTube

 

LATAR BELAKANG

Periuk atau kuali yang bersifat tidak melekat (non-stick) sememangnya menjadi pilihan keranan memudahkan kerja-kerja memasak.


Sumbre: Canva

 

Ciri-ciri alatan memasak itu memang sangat membantu khususnya para isteri yang rata-ratanya pada hari ini menghadapi kekangan masa disebabkan kesibukan melaksanakan tuntutan pekerjaan atau rutin harian.

Selain itu, bentuk rekaannya juga lebih moden dengan warna-warna yang menambat hati selain menjimatkan masa dan tenaga kerana  mudah dibersihkan.

Namun, adakah bahan yang digunakan untuk menghasilkan alatan memasak itu selamat?

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: YouTube

MyCheck Malaysia menerima satu pautan video di laman YouTube bertajuk  'Kanser! Cookware Yang Wajib Dibuang! Kami menyemak pautan itu untuk mengetahui sumber dan kandungan video yang tular itu.

Mycheck mendapati video tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun dengan lebih 390K langganan (subscribers), beliau merupakan pakar perubatan dan kesihatan yang aktif berkongsi tips kesihatan di platform media sosial beliau.

Dr Noordin Darus dalam videonya itu menjelaskan 'non-stick cookware' harus dielakkan kerana mengandungi bahan kimia berbahaya. Video berdurasi lebih 20 minit itu, menjelaskan wap yang terhasil ketika memasak dengan alatan itu boleh melumpuhkan otak dan merosakkan paru-paru.

Hah! Tidak mustahil para pengguna tegar perkakas memasak jenis berkenaan dalam kegusaran selepas mendengar pendedahan begini.

Daripada reaksi pengguna media sosial dapat dilihat ada yang keliru dan tertanya-tanya benarkah dakwaan ada bahan kimia berbahaya sehingga periuk belanga yang sedia ada perlu dibuang? 

Jika tidak benar, apakah justifikasinya pula? Semakan MyCheck juga mendapati video Dr Noordin itu telah ditonton lebih 700 ribu orang, 36 ribu tanda suka dan hampir 2,000 komen. 

 


 

APA  YANG KAMI TEMUI

Kami mendapati banyak bahan saintifik  serta laporan kajian oleh pakar-pakar  tempatan mahupun luar negara dalam bidang berkaitan yang dapat diakses secara dalam talian.

Kemudian MyCheck meneliti satu persatu bahan rujukan berkaitan bagi merungkai dakwaan yang memberi impak besar dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Beberapa orang pakar dalam bidang kimia dan perubatan telah menjadi rujukan MyCheck antaranya Ahli Kimia Profesional Malaysia (ChM.) Dr. Fatimah Salim dan Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Datuk Dr.Mohd Rushdan Md Noor.

 

Bahan Membuat Periuk dan Kuali

Dr Fatimah menjelaskan peralatan memasak seperti kuali dan periuk umumnya dihasilkan berasaskan tiga komponen utama iaitu logam besi atau iron (Fe), kuprum atau tembaga (Cu), aluminium (Al) serta kimia.

Bahan-bahan logam ini bersifat ringan lembut dan mudah dilentur, kemudian dicampur dengan sedikit kromium, nikel, strontium atau molybdenum mengikut peratusan tertentu untuk bagi pembentukan aloi.

Aloi berfungsi menjadikan struktur logam utama ini lebih stabil dan tahan lasak secara kimia yang  tidak bersifat reaktif (bertindak balas dengan bahan masakan) serta menjadi berkarat apabila dibasuh. Aloi yang paling terkenal ialah keluli tahan karat atau ‘stainless steel’.

Logam jenis keluli ini juga adalah sejenis pengalir haba amat baik dan bagus untuk kegunaan memasak kerana kuali menjadi cepat panas serta makanan dapat dimasak dengan sekata. 

Bagaimanapun, adakah penggunaan alatan memasak yang mengandungi logam ini benar-benar selamat serta tidak mempunyai risiko terhadap kesihatan manusia?

 

Risiko Kontaminasi Kimia 

Menurut portal Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan memasak yang diperbuat daripada apa-apa jenis bahan sekali pun tetap mempunyai risiko tersendiri bergantung kepada faktor tertentu.

Risiko kontaminasi daripada periuk atau kuali sewaktu memasak memang boleh berlaku dan masuk ke dalam makanan bukan hanya spesifik pada  jenis perkakas 'non-stick'  sahaja.

Proses kontaminasi ini berlaku kerana sifat bahan yang digunakan untuk membuat peralatan memasak kebanyakannya terdiri daripada beberapa campuran bahan logam yang bertindak balas semasa proses pemanasan ketika memasak.

Keadaan ini disebabkan sifat logam yang menarik elektron yang kuat semasa berlaku pemanasan sehingga bertindak balas dengan makanan yang bersifat asid tinggi seperti jus limau, asam keping, dan cuka yang kuat.

Semasa dipanaskan, logam yang membentuk peralatan memasak mengembang sedikit disebabkan tenaga kinetik (pergerakan) elektron meningkat seterusnya menghasilkan ruang yang boleh menyebabkan makanan yang dimasak melekat pada permukaan kuali. 

Ini terutamanya makanan yang bersentuhan secara terus dengan permukaan kuali atau periuk ketika menggoreng atau memanggang. Keadaan ini seterusnya menyebabkan logam pada permukaan periuk yang bersentuhan dengan makanan berasid atau luntur sedikit ke dalam masakan.

Pencemaran bahan seperti aluminium, plumbum dan kadmium boleh berlaku dalam keadaan tertentu namun, jika kita tahu jenis bahan digunakan sebagai asas membuat periuk dan kuali yang ada di rumah kontaminasi terhadap makanan boleh dielakkan.

 

Cara Penggunaan Kuali dan Periuk mengikut Jenis 

Dr Fatimah yang juga menulis di dalam  portal Majalah Sains menghuraikan bagaimana peralatan memasak ini boleh memberi risiko terhadap kesihatan jika tidak digunakan sesuai dengan jenis-jenis periuk dan kuali berkenaan.

Jadi, bukan hanya perlu pandai memasak, perlu juga kenal jenis dan ciri-ciri periuk yang hendak digunakan. Baiklah, sepintas lalu MyCheck huraikan mengenai beberapa jenis periuk atau kuali yang 'intrend' ketika ini dan sering digunakan oleh kebanyakan orang.

 

a. Periuk/Kuali 'Non-Stick'

Peralatan dapur jenis ini biasanya  mengandungi bahan kimia polytetrafluoroethylene (PTFE) yang menghasilkan selaput (coating) pada permukaan dalam periuk atau kuali supaya licin dan tidak melekat. 

Apabila peralatan ini dipanaskan melebihi 350 darjah Celsius (°C), ia mungkin boleh menyebabkan komplikasi kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan. 

Tetapi untuk mencapai suhu tinggi seperti itu hanya pada keadaan apabila  kuali dipanaskan sehingga berasap-asap tanpa air atau minyak. Keadaan ini agak mustahil berlaku kerana menu apakah yang memerlukan kaedah masakan seperti ini?

Selain itu, pembuatan periuk dan kuali jenis Teflon atau PTFE juga membimbangkan kerana didakwa terdapat bahan kimia perfluorooctanoic acid (PFOA) dalam pembuatan PTFE yang dikatakan kerana penyebab atau penyubur sel kanser.

Sehubungan itu penggunaan PFOA ini dihentikan kerana mengambil kira isu bahaya kepada pekerja industri berkenaan dan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Jadi PFOA TIDAK lagi digunakan dalam pembuatan PTFE sejak tahun 2015.

Isu lain berkenaan lapisan PTFE ini pula ialah bahan tersebut boleh terkopek dan bercampur dalam masakan jika peralatan itu tidak dijaga dengan baik. Bagaimanapun,  jika termakan, ianya tidak bahaya dan akan dikumuhkan dalam najis. Cuma fungsi kalis lekat pada periuk atau kuali itu sudah tiada, tertanggal atau luntur.

 


Sumber: Google

Jika fungsi kalis lekat tersebut sudah 'haus' maka makanan yang dimasak akan mudah melekat pada periuk atau kuali. Ini adalah tidak baik kerana boleh menyebabkan kontaminasi (kimia) daripada logam pada makanan yang dimasak.

Namun pengguna tidaklah sampai perlu membuang alatan memasak tersebut, tetapi boleh mengendalikannya dengan cara menambah minyak (sama ada pada kuali atau makanan) bertujuan menyaluti lapisan permukaan kuali agar makanan tidak melekat semasa dimasak.

 

b. Periuk/Kuali Silikon

Disebabkan kebimbangan penggunaan perkakas memasak kalis lekat seperti itu, maka para pemain industri muncul dengan inovasi konsep persekitaran hijau dengan menghasilkan periuk atau kuali kalis lekat berasaskan silikon dan seramik.

Lapisan silikon diperbuat daripada bahan kimia polysiloxane atau 'siliconized polyester' sama seperti pembuatan hibrid lapisan seramik namun ianya lebih kepada ciri organik. 

Sifat silikon pula tidak teguh secara fizikal, maka ia lebih sesuai digunakan dalam peralatan pastri jika dibandingkan sebagai peralatan memasak biasa.

Seperti yang diterangkan di atas, masalah dalam peralatan yang diselaputi dengan bahan kimia kalis lekat ialah kadar aliran haba yang rendah atau tinggi. Maka, para pengusaha datang pula dengan konsep seramik dan ‘graniteware’.

 

c. Periuk/Kuali Seramik

Saduran seramik dan enamel keduanya berasal daripada asas yang sama iaitu tanah liat yang mengandungi bahan kimia utama SiO2 atau pasir. 

Apa yang membezakannya adalah kekuatan suhu yang digunakan pada tanah liat dalam penghasilan kedua komponen ini di mana enamel bersifat fizikal lebih gelap / opaque, manakala seramik pula lebih seperti kaca.

Penambahbaikkan mengikut kesesuaian kemudiannya dibuat dengan mencampurkan bahan kimia lain dalam pembuatan selaput ini menjadikannya berstruktur kimia hibrid.

Saduran jenis ini terdapat pada produk Le Creuset, Thermolon, GreenPan, Rachael Ra, GreenLife, EarthPan, Cuisinart, Orgreenic, GreenGourmet dan banyak lagi.

Seperti juga PTFE, jika cara penjagaan salah ia boleh menyebabkan selaput seramik dan enamel tertanggal lalu tidak lagi menjalankan fungsi optimum kalis lekat periuk atau kuali tersebut.

Keadaan ini  sama dengan Kelemahan kuali kalis lekat PTFE, iaitu apabila selaput seramik tertanggal, ia melemahkan keupayaan kuali untuk mengalirkan haba sepenuhnya menyebabkan makanan dimasak mudah hangus serta tidak baik untuk kesihatan.

 

d. Periuk/Kuali Granit

Apa yang perlu anda tahu, sebenarnya TIDAK ada langsung material daripada granit yang menjadi bahan asas pembuatan alat memasak seperti periuk dan kuali. 

Nama 'Graniteware' ini diberikan kerana struktur rupanya adalah seakan -akan batu granite. Tetapi ianya diperbuat daripada besi karbon (carbon steel) yang diselaputi dengan lapisan porcelain enamel. 

Periuk jenis ini selamat digunakan dan lebih tahan lasak, cuma ialah lebih berat dan tebal kerana memenuhi konsep pengaliran haba yang baik menjadi keutamaan disamping kalis lekat dan ‘green environment'

 

Tiada Kajian PFOA Penyebab Kanser kepada Manusia

Dr. Mohd Rushdan pula menjelaskan, apa yang didedahkan berkaitan periuk atau kuali kalis lekat serta dikaitkan dengan kanser adalah jika berlaku penggunaan pada kadar yang tinggi untuk jangkamasa panjang.

Malah tiada kajian yang menunjukkan pengguna kuali non-stick mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser berbanding dengan pengguna kuali yang lain.

Apa yang penting sebelum membeli dan menggunakan periuk atau kuali tersebut rujuk manual penggunaan alatan berkenaan supaya kita tahu kaedah yang betul tidak kira samada  non-stick ataupun lain-lain jenis. 

Menurut beliau lagi, pengguna perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menggantikan kuali yang lama. Pengguna kuali non-stick dinasihatkan untuk tidak melakukan pemanasan melebihi 300 darjah selsius dalam jangkamasa panjang, kerana ia boleh melepaskan gas yang menyebabkan gejala selesema, demam dan sakit kepala. 

Sebenarnya apa yang mungkin menyebabkan risiko kanser adalah jenis dan kaedah sesuatu makanan itu dimasak. Tidak kira apakah jenis kuali yang digunakan.

Jika makanan yang dimasak mengandungi tinggi lemak, garam dan karbohidrat, digabungkan pula dengan tabiat makan yang buruk serta gaya hidup yang tidak sihat, faktor inilah yang dikaitkan dengan punca menghidap beberapa jenis kanser.
 

KESIMPULAN

Kesemua peralatan dapur yang dihasilkan berisiko kepada kesihatan jika salah penggunaannya tidak kira sama ada tanpa atau dengan selaput kalis lekat. Kami kongsikan beberapa petua untuk menjaga memasak:

• Elakkan mengalirkan air SEJUK (paip) pada peralatan memasak yang mengandungi selaput kalis lekat yang masih lagi PANAS.

• Elakkan mencuci di dalam dish washer atau mengunakan sabun yang kuat untuk peralatan memasak aluminium tanpa selaput kalis lekat. Mencuci dalam dish washer akan menghakis lapisan ini atau memerangkap bahan kimia semasa proses mencuci.

• Untuk membuang kotoran (biasanya carbon) pada peralatan stainless steel, bahan pembersih seperti Carbon-off boleh digunakan.

 --MYCHECKMY--

 

RUJUKAN

Perkakas memasak jenis 'non-stick' punca kanser.

Guna bahan salutan berasaskan plastik polimer 

https://www.mingguanwanita.my/benarkah-mak-mak-terdedah-bahaya-guna-periuk-kuali-non-stick-ini/

https://www.minda2tinta.com/2020/05/benarkah-kuali-non-stick-menyebabkan.html?m=1

http://www.myhealth.gov.my/penggunaan-peralatan-memasak-yang-selamat/

https://www.majalahsains.com/periuk-kalis-lekat-non-stick-cookware-selamat-penggunaan-yang-betul/ 

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.