+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bunga Cengkih Tidak Terbukti Menyembuhkan Covid-19

Benarkah...

Hidu wap air rebusan bunga cengkih mampu mengubati pesakit Covid-19

Sumber : Facebook/Twitter/Tiktok Mei 2021

Hasil

Tiada kajian saintifik membuktikan menghidu wap air rebusan bunga cengkih mampu menyembuhkan pesakit Covid-19

01/07/2021 02:50 PM

SEKILAS FAKTA

  1. Bunga cengkih merupakan sejenis rempah ratus yang digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional  seperti mengurangkan sakit gigi selain salah satu cara mengatasi rambut gugur dan berkelemumur.
  2. Bunga cengkih turut digunakan bagi menambah kelazatan makanan terutamanya dalam pembuatan kek dan biskut selain menjadi bahan penting dalam penyediaan teh tarik di kalangan masyarakat India.
  3. Penggunaan bunga cengkih juga digunakan dalam penghasilan rokok kretek oleh pengilang rokok di Indonesia.



Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Bunga cengkih atau nama saintifiknya iaitu Syzygium aromaticum adalah putik bunga daripada pokok cengkih yang juga dikenali sebagai cengkih dan ia boleh didapati di pasaran dalam bentuk serbuk dan biji.

Rempah ratus berkenaan dikatakan berasal dari berasal dari Indonesia, namun ditanam secara meluas di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia kerana ia mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh badan manusia.

Menurut laman sesawang Root Science, terdapat 10 khasiat utama yang terdapat pada bunga cengkih termasuk mengandungi vitamin dan mineral yang penting untuk kesihatan tubuh badan, malah cengkih juga kaya dengan antioksidan. 

Tekanan oksidatif ini berpunca daripada radikal bebas seperti proses metabolik tubuh badan (penjanaan tenaga), asap rokok, melakukan senaman, pencemaran udara, penggunaan dadah dan racun perosak serta terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari.

Antara khasiat lain yang terdapat pada bunga cengkih adalah membantu mencegah penyakit kanser dan keracunan makanan, memperbaiki kesihatan mulut, membantu mengawal gula di dalam darah.

Manfaat lain yang terdapat pada bunga cengkih adalah ia menggalakkan kesihatan tulang, membantu meredakan ulser di perut, digunakan sebagai ubat penahan sakit, membantu melegakan penyakit pernafasan, selain mempunyai sifat anti-trombotik yang mampu membuat pembekuan darah menjadi lambat kerana mempunyai eugenol (antioksidan).

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai dakwaan seorang lelaki yang memaklumkan individu yang dijangkiti Covid-19 boleh sembuh dengan menghidu wap air rebusan bunga cengkih.

Dalam video yang berdurasi dua minit lebih tersebut, lelaki berkenaan mendakwa ahli keluarganya telah dijangkiti Covid-19 dan sembuh setelah menghidu wap air rebusan bunga cengkih.

Beliau turut menunjukkan cara penyediaan air rebusan bunga cengkih dan menyeru orang ramai supaya mengikuti tips yang dikongsi itu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

 

Pengaruh Selebriti

Tindakan lelaki berkenaan jelas menarik perhatian beberapa individu di negara ini yang bertindak meniru aksi yang sama termasuk bekas penyanyi nasyid In-Team, Suhaimi Saad.

Suhaimi menerusi laman instagramnya @suhaimi saad mendakwa telah sembuh daripada demam, selsema serta batuk berpanjangan setelah menghidu wap air rebusan bunga cengkih.

Beliau turut menerangkan langkah-langkah untuk membuat air rebusan bunga cengkih kepada pengikutnya di laman instagram berkenaan.

“Ini merupakan satu kaedah atau teknik rawatan alternatif selain pengambilan vaksin. Saya dah cuba, alhamdulillah baik sebab sebelum ini ada kena batuk dan selesama serta macam demam tak demam 3, 4 hari lepas.

“Masukkan air separuh periuk dan segenggam bunga cengkih selepas itu rebuskan kemudian guna corong atau penapis dan sedut wapnya ketika panas. Dah dibuktikan oleh pesakit yang positif COVID-19,” jelasnya menerusi penerangan pendek berhubung video berkenaan.

 


Sumber: Instagram Suhaimi Saad

 

Pengguna Tiktok dikenali dengan nama @haikal_gorgeous turut berkongsi video pendek mengenai tindakan bapanya yang merebus air bunga cengkih sebelum menghidu wap air rebusannya setelah mempercayai dakwaan yang dibuat oleh lelaki yang tular dalam video berkenaan.

 


Sumber: TikTok: Haikal Gorgeous


Selain Malaysia, terdapat dakwaan di India yang mengatakan  mereka yang dijangkiti Covid-19 boleh sembuh sekiranya menghidu beberapa rempah ratus termasuk bunga cengkih yang dibungkus dalam kain.

 


Sumber: Twitter

 

Pandangan Pakar

Perunding Pembedahan Ortopedik Hospital Kemaman, Terengganu,  Dr Mahyuddin Mohammad menerusi hantaran di laman Facebooknya pada 14 Mei lalu menegaskan tiada bukti kukuh yang mengaitkan amalan menghidu wap air rebusan bunga cengkih mampu mengubati mereka yang dijangkiti Covid-19, selain menyatakan amalan sedemikian boleh menyebabkan kerosakan pada saluran penafasan individu berkenaan.

Dr Mahyuddin pada masa sama turut menasihatkan individu yang mempunyai simptom-simpton seperti selsema, sakit tekak, batuk dan kesukaran bernafas yang merupakan antara tanda awal seseorang mendapat jangkitan Covid-19 untuk segera mendapatkan rawatan di hospital.

 


Sumber: Facebook Dr Mahyuddin Mohamed


 

Pandangan sama turut dipersetujui pakar kimia Dr Che Puteh Osman yang mendakwa sehingga hari ini tiada kajian pada tabung uji, model haiwan mahupun kajian klinikal pada manusia yang membuktikan bahawa wap air rebusan bunga cengkih mampu merawat jangkitan Covid-19

Pensyarah kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menerusi blognya DrChePutehOsman yang diterbitkan pada 15 Mei lalu turut menegaskan secara tradisinya, wap air rebusan bunga cengkih digunakan bagi melegakan simptom batuk, bronchitis, selsema, dan asma.

Beliau turut menasihatkan mereka yang mengalami simptom Covid-19 untuk mendapatkan rawatan segera kerana virus berkenaan bukan demam selsema biasa, selain risiko seseorang untuk mendapat komplikasi sehingga memerlukan bantuan oksigen dan rawatan yang lebih intensif adalah jauh lebih tinggi sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal di hospital.

 


Sumber: Laman sesawang Dr. Che Puteh Osman

 

Seorang lagi doktor perubatan iaitu Dr Ahmad Samhan Awang yang pernah bertugas di Hospital Kuala Lumpur menerusi laman Facebooknya Ahmad Samhan Awang turut mendedahkan wap air rebusan bunga cengkih adalah bagus untuk mengurangkan keradangan selain melegakan simptom-simptom seperti batuk, sakit tekak dan selsema, namun ia tidak boleh merawat Covid-19 ataupun penyakit lelah.

Dr Samhan yang mempunyai lebih daripada 873,000 ribu pengikut di laman media sosial Tiktok turut menasihatkan mereka yang sah dijangkiti Covid-19 untuk melakukan kuarantin kendiri bagi mengelakkan penyebaran jangkitan kepada orang ramai.

 


Sumber: Facebook: Dr. Ahmad Samhan Awang

 

Berdasarkan pandangan pakar perubatan yang dinyatakan di atas, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan menghidu wap air rebusan bunga cengkih mampu mengubati mereka yang dijangkiti Covid-19 adalah tidak benar memandangkan tiada kajian saintifik yang menyokong dakwaan berkenaan.

Program suntikan vaksin Covid-19 yang sedang dilaksanakan di serata dunia ketika ini, termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Malaysia, merupakan antara langkah terbaik bagi mengurangkan risiko seseorang daripada dijangkiti Covid-19 yang kini telah meragut jutaan nyawa manusia ketika ini.

Selain itu, langkah-langkah lain yang sepatutnya diamalkan seseorang individu berkenaan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 adalah dengan mengamalkan penjarakan sosial, mengelakkan tempat sesak selain sentiasa membasuh tangan secara kerap.

Tidak salah sebenarnya untuk kita mencuba sebarang kaedah tradisional, namun kita sepatutnya tidak terlalu taksub dengan kaedah berkenaan sehingga menolak sebarang kaedah moden termasuk suntikan vaksin Covid-19 yang telah dibuktikan secara klinikal.

 

--MYCHECKMY--

TAG:wap air rebusan bunga cengkih, Covid-19, menghidu, kaedah tradisional, Dr. Mahyuddin Mohammad, Dr. Che Puteh Osman, Dr. Ahmad Samhan Awang

 

RUJUKAN

  1. 10 khasiat bunga cengkih.Diterbitkan oleh Root of Science

  2. Benarkah wap bunga cengkih mampu merawat Covid-19 oleh Dr Che Puteh Osman.Diterbitkan pada  15 Mei 2021

  3. Facebook Dr. Mahyuddin Mohamed

  4. Facebook Dr. Ahmad Samhan Awang

  5. Tiktok Haikal Gorgeous

  6. Instagram Suhaimi Saad

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.