Fenomena cuaca panas luar biasa sehingga mencecah 40 darjah Celsius sepanjang Mac 2021 akan berlaku di Malaysia.
Sumber : Sumber: WhatsApp/ Mac 2021
Tidak berlaku fenomena cuaca panas luar biasa seperti yang tular di aplikasi laman sembang dan media sosial.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada 3 Mei memberitahu negara ketika itu berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.
Artikel Utusan Malaysia yang bertarikh 3 Mac 2021 memetik kenyataan Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon memberitahu fenomena cuaca panas itu merupakan perkara biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.
Malah MET Malaysia juga tidak menjangka berlaku cuaca panas luar biasa pada tahun ini.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu ‘pesanan kepada orang ramai’ di aplikasi laman sembang dan media sosial bahawa cuaca panas dijangka akan mencecah sehingga 40 darjah Celsius yang boleh menyebabkan strok haba disebabkan badan terlalu panas akibat pendedahan yang berpanjangan kepada tenaga dalam suhu tinggi.
Mesej berkenaan turut mengulas bahawa mandi dan minum air sejuk ketika badan masih dalam keadaan hangat selepas terdedah dengan cuaca panas terik akan menyebabkan pecahnya saluran darah.
APA YANG KAMI TEMUI
Berdasarkan semakan MyCheck, terdapat beberapa perkara yang boleh dipecah dan dijelaskan dalam laporan ini. Pertama adalah mengenai cuaca, kedua mengenai dakwaan mesej tular dan ketiga adalah mengenai bahaya akan minum air sejuk terhadap kesihatan semasa badan dalam keadaan hangat.
1. Kenyataan dari MET Malaysia
Pada 15 Februari 2021, MET Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa cuaca panas luar biasa tidak akan berlaku pada tahun ini yang mana cuaca panas tidak akan mencecah sehingga 40 darjah Celsius seperti yang tular selain memberitahu cuaca panas dialami negara adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun. Anda boleh lihat di bawah.
2. Mesej kitar semula saban tahun.
Hasian carian, kami dapati mesej tersebut pernah beberapa kali tular yang dipercayai sejak 2019. Seorang doktor perubatan keluarga yang menerima ijazah perubatan di USM dan Master Perubatan Keluarga di UKM Dr Suhazeli Abdullah telah membuat hantaran facebook berkenaan penyataan ini.
Dr Suhazeli Abdullah banyak menulis isu-isu perubatan di Facebook beliau fb.com/drsuhazeli dan laman web suhazeli.com.
Malah, kami juga turut menemui bahawa mesej tersebut tular dalam pelbagai bahasa. Setakat ini kami menjumpai Bahasa Melayu dan Bahasa Cina seperti gambar dibawah.
3. Tiada kemudaratan minum dan membasahkan diri dengan air sejuk
Melalui hantaran berkenaan, Dr Suhazeli memberi komen bahawa tiada sebarang kemudaratan untuk membasahkan diri dan minum air sejuk semasa cuaca panas terik dimana ia sebenarnya membantu memulihkan hidrasi badan.
Melalui catatan tersebut, Dr Suhazeli turut menyarankan untuk meletakkan ais di kawasan tengkuk, celahan ketiak dan paha sekiranya seseorang itu terkena strok haba.
Dr Suhazeli menyatakan badan manusia akan beradaptasi dengan segera apabila diletakkan ais di badan dan kulit.
Turut dilampirkan bersama hantaran tersebut adalah semakan yang telah dibuat oleh Dr Suhazeli tentang mesej berkenaan. Anda boleh lihat di bawah.
Malah, beliau turut menambah di ruang komen bahawa di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), petugas perubatan menggunakan selimut air batu (cooling blanket) dan menyalurkan air sejuk menerusi wayar ke dalam salur darah badan pesakit untuk mengelakkan terjadinya sawan atau strok.
4. Perbezaan strok haba dengan strok angin ahmar
Dr Suhazeli turut menambah bahawa strok haba juga berbeza dengan Strok Angin Ahmar dimana strok haba tidak akan menyebabkan terjadinya face droping atau raut wajah jatuh seperti keadaan yang digambarkan dalam mesej ini.
Kami kongsikan disini infografik yang diperoleh di laman blog kesihatan mengenai tanda-tanda strok atau angin ahmar:
KESIMPULAN
Maka jelaslah disini bahawa ‘pesanan khidmat masyarakat’ ini adalah tuduhan kitar semula dan maklumat yang disampaikan tidak tepat.
Kami menyeru anda semua untuk semak fakta terlebih dahulu. Moga kita semua tidak mudah cemas.
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.