MENGENAI MYCHECK MALAYSIA

Bermula Mac 2020 inisiatif menubuhkan semakan fakta dimulakan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), agensi berita negara yang ditubuhkan pada 1967.

Di peringkat awal ia bergerak dalam fasa ad-hoc dengan tiga petugas (seorang editor dan 2 penyemak fakta).

Beberapa siri latihan dan konsultansi dilakukan agar usaha ini dapat dijalankan sehinggalah pada bulan Julai 2020, inisiatif ini dilaksanakan secara rasmi dengan kekuatan lima petugas. (seorang editor dan empat penyemak fakta).

Pada bulan Ogos 2020 laman sesawang mycheck.my beroperasi sepenuhnya. Ia diharap dapat menjadi platform semakan fakta yang beroperasi secara bebas untuk membanteras maklumat palsu dalam konteks Malaysia, terutamanya berkaitan isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat.

MyCheck beroperasi secara 'editorially-independent'. Meskipun ditubuhkan oleh Bernama, pasukan MyCheck bebas menjalankan tugas dengan telus dan patuh kepada piawaian antarabangsa.

Rangka kerja (framework) operasi MyCheck berpandukan piawaian yang ditetapkan oleh International Fact Checking Network (IFCN).

Kami akan berusaha sedaya mungkin untuk mematuhi standard yang tinggi ditetapkan IFCN agar rakyat Malaysia mendapat laporan semakan fakta yang berkualiti.

PASUKAN KAMI

Ali Imran

Terjun ke dunia kewartawanan 10 tahun lalu daripada bidang logistik, Imran secara peribadi mempunyai minat untuk membantu masyarakat melawan sebaran maklumat palsu. Jika dahulu beliau menggunakan platform peribadi, kini beliau melakukan usaha ini sepenuh masa.

Imran terlibat dalam proses penubuhan MyCheck yang bermula sejak Mac 2020. Pada bulan Ogos 2020 portal MyCheck Malaysia mula beroperasi secara 'live'. Tahap demi tahap operasi MyCheck ditambah baik. Bermula dengan skala satu laporan per dua minggu kini meningkat kepada 2 laporan seminggu.

Memiliki Advance Diploma in Logistics dari Chartered Insitute of Logistics and Transport (UK), Imran sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di sebuah universiti tempatan.

Selain menyemak fakta, beliau turut meminati topik berkaitan sejarah, teologi dan pertanian.

Erwan Othman

Berpengalaman selama 7 tahun bekerja sebagai wartawan Bernama di biro Terengganu dan Perak, Erwan percaya kewartawanan digital adalah satu bidang penting dalam era limpahan informasi hari ini.

Beliau percaya dengan kemahiran komunikasi, mengurus konflik, merangka urusan harian pejabat dan menulis berita termasuklah membuat artikel berkaitan 'human interest' yang beliau miliki dapat membantu menghasilkan laporan semakan fakta yang bermanfaat buat pembaca.

"Kini saya menjadi salah seorang penyelidik Fact Check di MyCheck.my. Saya bersemangat untuk menggunakan kemahiran penulisan yang ada dalam menyediakan perkhidmatan terbaik berkaitan semak fakta; - suatu proses yang bertujuan untuk mengesahkan maklumat fakta, mempromosikan kebenaran dan ketelusan dalam pelaporan,"kata beliau.

Suziy Che Mat

Mula berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan di bahagian Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Bernama sejak 2014, Suziy pernah ditugaskan di biro Perlis selama hampir dua tahun dan pernah juga berkhidmat di biro Kedah.

Menyertai pasukan MyCheck Malaysia sejak Julai 2020 sebagai penyemak fakta, beliau yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi di Open Univerisity Malaysia gemar mengisi masa lapang dengan membaca dan pada musim bukan PKP, mengembara.

Najmi Shah

Graduan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Komunikasi. Memulakan kerjaya di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri setelah tamat pelajaran peringkat Sarjana muda.

Menerima tawaran sebagai Pegawai Berita di Bernama pada tahun 2015, ditempatkan di bahagian penyelidikan Perpustakaan Bernama dan kini berada di Meja Fact Check.

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.