+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pesawat Putih Yang Mendarat Di KKIA BUKAN Pesawat Misteri, Ia Merupakan Pesawat Milik AirAsia

Benarkah...

Pesawat putih tanpa indentiti mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Sumber : TikTok / Mei 2023

Hasil

Pesawat tersebut merupakan pesawat AirAsia X D7 (9M-XBF).

19/05/2023 04:55 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video di TikTok mendakwa terdapat pesawat misteri berwarna putih tanpa sebarang tanda nama sedang mendarat.
  • Kejadian dikatakan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.
  • Menerusi ruangan komen ada yang mengaitkan pesawat misteri dengan agenda illuminati namun ada juga yang mengatakan ia pesawat AirAsia X.
  • Ciri-ciri yang terdapat pada pesawat misteri itu menunjukkan ia adalah pesawat penumpang.
  • Sebenarnya, pesawat serba putih bukanlah sesuatu yang janggal kerana ia sering terlihat di lapangan terbang luar negara.
  • Hasil pengesahan MyCheck menerusi pramugara AirAsia X mendapati ia merupakan pesawat AirAsia X D7 (9M-XBF) yang belum dicat.


Sumber: TikTok @sabah_info

 

LATAR BELAKANG

Setelah hampir dua tahun masyarakat global berkurung bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini orang ramai bebas bergerak ke mana-mana.

Tambahan pula, sejak pintu sempadan negara dibuka pada 1 April 2022, lapangan terbang yang sebelum ini sunyi kembali sibuk dengan pengumuman panggilan penumpang dan penerbangan yang silih berganti.

Bukan sahaja rakyat Malaysia boleh ke luar negara, malah kita juga sering menerima kunjungan pelancong asing.

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini terdapat satu rakaman video tular mengenai sebuah pesawat misteri yang dikatakan mendarat di KKIA.

Video tersebut telah dimuat naik oleh pengguna TikTok yang menggunakan nama akaun @sabah_info. Ia telah mendapat lebih 1.3 juta tontonan dan meraih lebih 65,000 tanda suka (likes).

Rata-rata pengguna hairan melihat video pesawat serba putih itu kerana setiap pesawat kebiasaannya mempunyai logo atau warna yang melambangkan identiti syarikat mereka.

Malah, di ruangan komen ada yang mengaitkan pesawat misteri ini dengan agenda illuminati yang mana komen sebegini mampu untuk mengganggu gugat ketenteraman negara.

Namun, betul ke ada pesawat misteri yang mendarat di lapangan terbang Malaysia? Mari MyCheck semak!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Perbezaan Pesawat Kargo Dan Pesawat Penumpang

Langkah pertama MyCheck adalah meneliti video serta ruangan komen dan mendapati ramai yang mengatakan pesawat tersebut adalah jenis pesawat kargo.

Bagaimanapun, kapsyen video terbabit mengatakan ia bukanlah pesawat kargo sebaliknya kelihatan seperti pesawat penumpang.

 


Sumber: TikTok @sabah_info

 

Memandangkan ramai yang bertanya apa perbezaan antara pesawat kargo dan pesawat penumpang, kami akan jelaskan kepada anda.

 

Pesawat Kargo

Berdasarkan perkongsian artikel ‘What’s The Difference Between Passenger & Cargo Airplanes?’ oleh Azimi Cargo and Aviation Services di Linkedin, perbezaan asas di antara kedua-dua pesawat adalah pesawat penumpang lazimnya membawa pelancong manakala pesawat kargo membawa barangan dan muatan besar.

Ciri-ciri lain pesawat kargo adalah tiada tingkap pada badan pesawat, tiada pintu kecemasan serta mempunyai pintu bersaiz besar untuk tujuan muat naik dan pengisian barangan dalam kapal terbang, yang tidak seperti pesawat penumpang.

 

Terdapat Tingkap Pada Pesawat Misteri

Namun, menerusi video pesawat misteri itu, kami dapati terdapat tingkap di bahagian badan pesawat.

Anda boleh rujuk gambar di bawah.

 


Sumber: TikTok @sabah_info

 

Ini menunjukkan bahawa pesawat misteri itu merupakan pesawat penumpang dan bukannya pesawat kargo.

Bagaimanapun identiti sebenar pesawat masih belum kami ketahui. Bagi merungkai persoalan pesawat ini, MyCheck membuat semakan seterusnya.

 

Pesawat ‘Putih’ Bukan Misteri

Kami membuat carian rawak di enjin carian Google menggunakan kata kunci ‘Do all white planes exist?’ dan menemukan laporan berkaitan.

Memetik laporan Simple Flying, pesawat serba putih wujud bagi tujuan pemajakan pesawat dipanggil Aircraft, Crew, Maintenance and Insurance (ACMI).

ACMI membekalkan pesawat, anak kapal, penyelenggaran dan insurans kepada syarikat penerbangan Eropah demi menepati  jumlah pelanggan mengikut musim.

Beberapa syarikat penerbangan memilih pajakan ACMI kerana ia menjadi pilihan yang kos efektif selain menyelamatkan syarikat daripada membeli pesawat baharu.

Oleh itu, pesawat serba putih bukan sesuatu yang misteri dan biasa dilihat di lapangan terbang di luar negara.

 

Logo Tidak Boleh Dikenal Pasti

MyCheck mendapati terdapat satu logo di bahagian hadapan pesawat misteri tersebut.

Namun, disebabkan videonya yang kabur, kami tidak dapat melihat logo tersebut dengan jelas.

Kami juga tidak dapat memastikan sama ada logo tersebut merupakan lambang bendera sesebuah negara.

Bagi menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, MyCheck menggunakan kaedah Artificial Intelligence (AI) iaitu Replicate untuk mempertingkatkan kualiti gambar.

Meskipun dengan bantuan teknologi AI, logo tersebut masih tidak jelas dan kabur.

 


Sumber: TikTok @sabah_info

 

Oleh itu, MyCheck menatal semula ruangan komen dan tertarik pada satu komen oleh pengguna TikTok bernama @addam yang mengatakan pesawat putih itu adalah jenis pesawat Airbus yang dipanggil AirAsia X A330 (9M-XBF).

 


Sumber: TikTok @addam

 

Justeru, kami meneruskan penelitian dengan menyemak pesawat AirAsia X.

 

Terdapat Pesawat Malaysia Yang Serba Putih

Menggunakan kata kunci ‘AirAsia X A330 (9M - XBF)’, kami membuat carian rawak di engin carian Google dan berjaya menjumpai beberapa pautan yang berkaitan.

Salah satu daripada carian tersebut membawa kami kepada laman sesawang Plane Spotters.

Bagi mengenal pasti latar belakang laman sesawang Plane Spotters, kami membuat carian di laman who.is untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kredibiliti portal tersebut.

Kami dapati laman sesawang tersebut telah beroperasi sejak Mac 2004.

Carian di laman web Plane Spotters mendapati sebenarnya memang wujud pesawat AirAsia X A330 (9M-XBF) seperti yang disebut di ruangan komen yang anda boleh lihat di sini.

Berdasarkan pangkalan data yang diberikan, gambar tersebut di ambil di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 


Sumber: Plane Spotters

 

Jika kita lihat pada gambar tersebut, pesawat itu mempunyai tingkap pada bahagian badan pesawat, yang menunjukkan ia adalah pesawat penumpang dan mempunyai lambang bendera Malaysia.

Namun, penyiasatan ini masih tidak kukuh untuk mengenal pasti sama ada pesawat dalam video itu adalah pesawat AirAsia X.

 

Pesawat Misteri Merupakan Pesawat AirAsia X

MyCheck beralih pula ke media sosial untuk mencari klu dan petunjuk mengenai pesawat ini.

Kami membuat carian ‘AirAsia X (9M - XBF)’ dan menjumpai satu video yang memaparkan sebuah pesawat serba putih sama seperti pesawat di video tular.

Video itu dimuat naik oleh @joshua_jtt di TikTok dengan kapsyen “Selamat datang ke pesawat kami AirAsia X (9M - XBF)”.

Ketika kami membuat semakan profil TikTok @joshua_jtt, kami dapati beliau banyak memuat naik hantaran mengenai pesawat AirAsia X.

Salah satu video yang dimuat naik dalam akaun @joshua_jtt turut menunjukkan beliau memakai uniform lengkap berwarna hitam dan tertera perkataan ‘Cabin Crew AirAsia X’ menunjukkan beliau merupakan seorang pramugara AirAsia X.

Persoalannya, adakah pesawat misteri tersebut adalah AirAsia X (9M - XBF) seperti yang dimuat naik oleh @joshua_jtt?

MyCheck mengambil inisiatif untuk menghubungi @joshua_jtt bagi mendapatkan pengesahan identiti pesawat misteri.

Pramugara tersebut memberi respons dengan meninggalkan komen di video tular tersebut serta mengesahkan bahawa pesawat misteri itu memang pesawat milik AirAsia X.

Beliau juga memaklumkan bahawa pesawat tersebut belum dicat dan dibiarkan putih buat sementara waktu.

 


Sumber: TikTok @joshua_jtt

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul dan semak, ternyata identiti sebenar pesawat misteri tersebut adalah pesawat AirAsia X D7 (9M-XBF).

Ini kerana kami telah mendapat pengesahan daripada pramugara AirAsia X untuk menentukan identiti pesawat misteri tersebut.

Bahkan kami juga telah menyemak kewujudan pesawat ini di laman planespotter.

Malah, pesawat jenis ini juga terdapat diluar negara.

Tuntasnya, tanggapan yang mengatakan ia adalah sebuah pesawat kargo dan juga pesawat berkait dengan isu illuminati adalah tidak benar.

Nasihat kami, seharusnya siasat dahulu perkara tidak pasti agar tidak membuat tanggapan yang salah terutama sekali berkaitan agenda illuminati kerana ia akan menimbulkan panik dan mampu mengganggu gugat keselamatan negara.

Kita juga perlu kekalkan sifat celik media agar kita dapat mempraktikkan penggunaan media sosial yang betul seperti tidak mempercayai perkara yang tidak pasti tanpa usul periksa.

Selain itu, masyarakat hendaklah mengelakkan daripada meninggalkan komen yang tidak benar kerana kuasa media sosial mampu memperbesarkan perkara tersebut walaupun bagi kita itu hanyalah perkara kecil.

--MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN    

  1. @sabah_info | TikTok

  2. @joshua_jtt | TikTok

  3. @joshua_jtt | TikTok

  4. What’s The Difference Between Passenger & Cargo Airplanes? | LinkedIn 

  5. Replicate 

  6. Plane Spotters | who.is

  7. AirAsia X A330 (9M-XBF) | Plane Spotters

  8. Why Your Next Flight Might Be Operated By An All White Plane | Simple Flying ​​​​​

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.