Pewarna makanan tiruan penyebab kanak-kanak menjadi hiperaktif.
Sumber : Facebook / Mei 2023
Tiada bukti kukuh sahkan dakwaan itu namun beberapa pakar perubatan menyatakan penggunaan pewarna tiruan memberi kesan buruk pada tubuh.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Penggunaan pewarna makanan dalam sesuatu sajian bukan sahaja untuk menampakkan ia lebih menarik di mata malahan turut mengubah rasa dan tekstur makanan itu.
Pelbagai jenis pewarna makanan semula jadi dan tiruan digunakan pada zaman kini dalam pelbagai jenis masakan terutama kuih-muih dan pastri seperti kek dan biskut.
Penggunaan pewarna makanan tiruan dikatakan boleh memberi kesan kesihatan yang serius kepada kesihatan manusia berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan di luar negara.
MENGENAI DAKWAAN
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Nor Fikrah telah memuat naik satu hantaran mendakwa penggunaan pewarna sintetik atau tiruan boleh menyebabkan seorang kanak-kanak itu menjadi hiperaktif.
Beliau menjelaskan walaupun penggunaan pewarna sintetik dapat mencantikkan makanan selain mengeluarkan bau yang lebih harum, namun ia membahayakan kesihatan.
Sehubungan itu, wanita berkenaan telah menggunakan pewarna semula jadi yang lebih selamat dan sihat dalam penghasilan kuih-muih.
Setakat laporan ini ditulis (3 Mei 2023), hantaran wanita tersebut telah dikongsi lebih 180 kali selain menerima 349 tanda suka.
APA YANG KAMI TEMUI
Hiperaktif
Sebelum MyCheck membuat semakan lanjut, kami jelaskan dahulu apa maksud hiperaktif.
Menurut laman sesawang MyHealth, hiperaktif merupakan masalah perkembangan pada kanak-kanak dan ia berlaku apabila kanak-kanak yang dikenal pasti mempunyai masalah tumpuan selain bersifat amat aktif pada masa yang sama.
Dari segi bahasa perubatan ia dipanggil Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
ADHD berlaku di antara salah satu keadaan sama ada kanak-kanak itu bersifat hiperaktif sahaja atau bermasalah tumpuan.
Punca
Tiada sebab khusus berlakunya masalah ADHD namun terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi penyumbang seperti persekitaran, genetik, pemakanan dan sosial.
Berdasarkan kajian, sembilan hingga 20 peratus daripada varian adalah mereka yang mempunyai simptom-simptom ADHD yang dicetuskan oleh faktor persekitaran seperti terdedah kepada asap rokok, alkohol atau terdedah kepada plumbum.
Selain itu, kajian turut mendapati 75 peratus anak-kanak yang mengalami ADHD adalah diwarisi atau bahasa mudah, penyakit daripada keturunan.
Dari aspek sosial, ketidakfungsian keluarga atau lahir daripada keluarga bermasalah dan kurangnya pendidikan turut dikatakan menjadi punca berlakunya hiperaktif selain keganasan atau penderaan ke atas kanak-kanak itu sendiri.
Karakter Kanak-Kanak ADHD
Merujuk kepada DSM-IV (Diagnostic and Statistical Manual and Mental Disorder-4 th Edition) yang banyak diguna pakai di Amerika Syarikat, terdapat tiga kumpulan kanak-kanak ADHD iaitu jenis kombinasi, predominan tumpuan dan predominan hiperaktif-kompulsif.
Isu Kaitan Pewarna Makanan Dan ADHD Bukan Perkara Baharu
Berbalik kepada dakwaan. Mungkin ramai yang menganggap isu ini adalah perkara baharu.
Namun semakan kami dapati kesan penggunaan pewarna tiruan dalam makanan sudah lama ditimbulkan di media sosial sejak beberapa tahun lepas sama ada oleh individu atau kumpulan tertentu berdasarkan pelbagai kajian.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Ainini Zainal pernah berkongsi bahaya penggunaan pewarna tiruan dalam makanan menerusi satu hantaran pada 2014 dengan merujuk kepada artikel yang dikeluarkan oleh laman sesawang foodbeast.com yang mendedahkan mengenai bahaya penggunaan pewarna tiruan.
Facebook Ini Sains Beb turut mengulas mengenai isu ini pada tahun 2019, namun mereka mempunyai pendapat yang berbeza.
Facebook Ini Sains Beb merupakan sebuah komuniti sains bersekutu yang membincangkan pelbagai topik berkaitan kesihatan dan beberapa pakar termasuk pensyarah universiti atau mereka yang mahir dalam bidang tertentu diberi peluang berkongsi pandangan mereka menerusi artikel yang diterbitkan di dalam laman Facebook tersebut.
Pandangan Pakar
Namun benarkan penggunaan pewarna tiruan akan menyebabkan kanak-kanak hiperaktif?
Bagi mengupas isu ini dengan lebih lanjut, kami merujuk kepada kajian dan pandangan beberapa pakar perubatan.
Pandangan Bercampur
Kami turut merujuk pandangan ahli perubatan luar selain badan perubatan luar negara bagi mendapatkan kepastian mengenai isu ini.
Tiada bukti yang kukuh
i) Seorang pakar perubatan bidang psikiatri forensik, Dr Michael Craig Miller yang dipetik menerusi laman sesawang Sekolah Perubatan Harvard mendedahkan bahawa kajian dapatan panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mendapati tiada bukti kukuh membuktikan pewarna tiruan dalam makanan menjadi penyumbang hiperaktif, gangguan atau masalah kelakuan kanak-kanak.
Beliau memaklumkan panel FDA itu mendapati hanya sesetengah kanak-kanak yang mengalami masalah ADHD sahaja yang mudah terdedah kepada kesan sampingan bahan tambahan tiruan makanan.
ii) Seorang pakar psikologi kesihatan klinikal Dr Rizal Abu Bakar menerusi laman Facebook menjelaskan terdapat beberapa kajian yang mengaitkan penggunaan pewarna tiruan dalam makanan menjadi penyumbang berlakunya beberapa masalah kesihatan dalam kalangan kanak-kanak seperti ADHD, disleksia dan autisme.
Namun beliau juga berkata kajian berkenaan boleh dikategorikan agak lemah kerana tidak disertakan dengan bukti saintifik yang kukuh.
iii) Seperti yang disebut sebelum ini, gabungan pakar-pakar dalam bidang sains di Malaysia melalui Facebook Ini Sains Beb juga mengulas mengenai isu ini.
Mereka menjelaskan penggunaan pewarna tiruan dalam makanan adalah selamat sekiranya mematuhi julat atau kadar yang ditetapkan.
Hantaran Facebook berkenaan turut memaklumkan bahawa kanak-kanak yang sudah ada kondisi genetik atau sudah mengalami ADHD akan mengalami reaksi negatif terhadap sesetengah pigmen pewarna sintetik atau tiruan.
Dalam erti kata mudah, pengambilan pewarna tiruan dalam makanan akan memberi kesan kepada kanak-kanak yang sudah menunjukkan simptom-simptom ADHD.
Ada kaitan penyebab hiperaktif
i) Laman sesawang Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom pula mendedahkan berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Food Standards Agency, enam jenis pewarna makanan berkait rapat dengan hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.
Enam jenis pewarna makanan berkenaan adalah E102 (tartrazine), E104 (quinoline yellow), E110 (sunset yellow FCF), E122 (carmoisine), E124 (ponceau 4R) dan E129 (allura red).
Kebanyakan pewarna ini digunakan dalam beberapa jenis makanan seperti minuman ringan, manisan, kek dan aiskrim.
Food Standards Agency merupakan sebuah jabatan bukan kementerian di bawah kerajaan United Kingdom dan mereka bertanggungjawab melindungi kesihatan awam berkaitan makanan di England, Wales dan Ireland Utara.
ii) Selain itu, kajian daripada Universiti California Davis dan Universiti California Berkeley dan disiarkan di laman sesawang Sekolah Kesihatan Awam Universiti California juga mendapati wujud kaitan bahawa penggunaan pewarna tiruan menjadi penyebab seseorang kanak-kanak menjadi hiperaktif selain tingkah laku “neurobehavioral”.
Semakan Pihak Lain
Kami turut mendapati beberapa badan semakan fakta pernah mengeluarkan laporan semakan fakta berhubung isu yang sama dan mendedahkan tiada bukti kukuh yang mengaitkan pengambilan pewarna tiruan menjadi faktor kanak-kanak menjadi hiperaktif.
Badan semakan fakta itu antaranya adalah Merdeka.com liputan6.com, suara.com selain sebuah laman sesawang berkaitan gaya hidup iaitu lifestyle.
Laman sesawang merdeka.com umpamanya memetik laporan daripada sebuah akhbar dari United Kingdom yang mendedahkan badan kesihatan di negara tersebut mendesak supaya penggunaan pewarna tiruan makanan dihentikan.
Bagaimanapun, tiada bukti kukuh mengesahkan kaitan di antara penggunaan pewarna tiruan dengan kanak-kanak yang mengalami ADHD.
Begitu juga dengan laman sesawang liputan6.com yang menegaskan bahawa tiada bukti kaitan di antara penggunaan pewarna tiruan makanan dengan kanak-kanak yang mengalami ADHD.
Kesimpulan berkenaan diputuskan berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat.
Laman sesawang suara.com pula melaporkan bahawa kajian daripada University of Southampton mendapati pengambilan pewarna makanan tiruan yang mengandungi meningkatkan seseorang kanak-kanak menjadi hiperaktif.
Gunakan Pewarna Semula Jadi
Pakar psikologi kesihatan klinikal Dr Rizal Abu Bakar yang dirujuk sebelum ini turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pewarna makanan semula jadi yang lebih baik berbanding tiruan.
“Kalau kita hendak pewarna kuning, ambillah daripada sumber kunyit kerana ia asli, kalau hendak warna hijau, kita ambillah daripada (daun) pandan, bau dan rasa pun lagi sedap,” jelas Dr Rizal.
Seorang pakar bedah bariatrik, Dr Abdul Gafoor Mubarak menerusi TikTok turut menasihatkan orang ramai mengelakkan daripada menggunakan pewarna tiruan kerana ia jelas memberi kesan negatif kepada kesihatan berbanding pewarna semula jadi.
Beliau menjelaskan kandungan dalam pewarna tiruan seperti Benzine merupakan bahan yang tidak elok kerana boleh mencetuskan sel kanser.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai untuk bertukar kepada pewarna semula jadi atau menggunakan pewarna tiruan pada kadar minimum sekiranya terpaksa.
“Kalau kita pilih pewarna organik atau pewarna daripada tumbuh-tumbuhan yang banyak di pasaran, sebenarnya itu lebih sihat dan elok,” jelasnya.
Jadi, jika ada bahan semula jadi yang lebih sihat dan lebih baik, adalah lebih baik kita menggunakan bahan tersebut bukan?
KESIMPULAN
MyCheck mengklasifikasikan dakwaan ini adalah bercampur kerana ada pihak yang mendakwa pengambilan pewarna tiruan dalam makanan menjadi punca kanak-kanak menjadi hiperaktif dan ada yang mengeluarkan kenyataan sebaliknya.
Kami berpandangan ramai pihak yang melakukan kajian dalam isu ini gagal mencari punca sebenar kaitan atau hubung kait di antara pewarna tiruan dalam makanan dengan kanak-kanak yang mengalami masalah hiperaktif atau ADHD.
Bagaimanapun, kebanyakan kajian yang dijalankan di luar negara mempunyai satu persamaan nyata iaitu penggunaan pewarna tiruan dalam makanan atau minuman jelas membawa kemudaratan kepada tubuh badan berbanding pewarna semula jadi.
Makanan yang nampak berwarna-warni dan ‘cantik’ di mata belum tentu bagus untuk kesihatan kita.
Maka, terapkan amalan pemakanan sihat dan seimbang selain elakkan makanan yang menyumbang kepada masalah kesihatan seperti makanan diproses dan makanan segera demi kesihatan anak-anak kita.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.