+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Benar, JPJ Keluarkan Poster Tujuh Kesalahan Utama Yang Tidak Akan Dikompaun Namun Terus Dibawa Ke Mahkamah Sempena Aidilfitri Ini

Benarkah...

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengeluarkan poster tujuh kesalahan utama trafik yang tidak boleh dikompaun sebaliknya akan didenda di mahkamah sempena Hari Raya Aidilfitri 2023.

Sumber : TikTok / April 2023

Hasil

Pelaksanaan itu merupakan pelaksanaan tahunan yang dikeluarkan bagi semua jenis perayaan.

21/04/2023 10:38 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video di TikTok memaparkan poster JPJ mengenai tujuh kesalahan utama trafik yang tidak boleh dikompaun sempena Hari Raya Aidilfitri 2023.
  • Menerusi video tersebut dikatakan pemandu yang melanggar mana-mana kesalahan itu akan disaman terus di mahkamah.
  • Ramai yang keliru kerana poster tersebut tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai pendakwaan di mahkamah.
  • Muncul juga dakwaan lain seperti peraturan itu adalah pelaksanaan baharu dan sengaja dikeluarkan sempena Aidilfitri dan tidak pada perayaan bangsa lain.
  • Pemilik video TikTok tersebut sebenarnya seorang pegawai JPJ yang sering membuat video berkaitan maklumat terkini daripada JPJ.
  • Menurut sumber JPJ juga maksud ‘tidak boleh dikompuan’ bermakna saman yang dikenakan tidak boleh dibayar di kaunter JPJ dan hanya boleh diselesaikan di mahkamah sahaja.
  • Pelaksanaan tersebut bukanlah pelaksanaan baharu sebaliknya ia dijalankan setiap tahun semasa musim perayaan termasuk perayaan lain antaranya Tahun Baharu Cina.


Sumber: BERNAMA

 

LATAR BELAKANG

Menjelang Aidilfitri ini, ramai yang teruja untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Syawal pertama bersama keluarga tersayang.

Ada yang telah menempah tiket bas dan kereta api sebulan lebih awal daripada tarikh perayaan demi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Bagi mereka yang tidak berpeluang membeli tiket pengangkutan awam pula, terpaksalah pulang dengan kenderaan sendiri.

Disebabkan ramai yang pulang secara serentak maka kebanyakan jalan raya akan sesak dengan kenderaan bahkan tempoh masa perjalanan juga mengambil masa yang lama ekoran kepadatan trafik.

Namun, terdapat segelintir pemandu yang sanggup melanggar peraturan trafik supaya cepat sampai ke destinasi mereka sehingga membahayakan pemandu yang lain.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima satu pesanan berbentuk video di aplikasi WhatsApp mendakwa JPJ mengeluarkan tujuh kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun sempena Hari Raya Aidilfitri 2023.

Antara kesalahan yang disebutkan di dalam video adalah:

1. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

2. Gagal mematuhi lampu isyarat merah

3. Memandu di lorong kecemasan

5. Memotong di garisan berkembar

6. Memotong barisan

7. Tidak pakai tali pinggang keledar

Sekiranya pemandu didapati melakukan mana-mana kesalahan terbabit pada tarikh 18 hingga 27 April 2023, maka mereka akan terus dibawa ke di mahkamah.

Jadi betul ke pemandu tidak boleh membayar saman di kaunter JPJ sebaliknya akan terus didakwa di mahkamah? Jom MyCheck semak!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Individu Muat Naik Video Adalah Pegawai JPJ

MyCheck membuat semakan pada video tersebut dan hasil penelitian kami mendapati video itu merupakan sebuah video TikTok yang dimuat naik oleh pengguna TikTok menggunakan nama akaun @akhiakmal.

Kami kemudiannya membuat carian nama pengguna tersebut di TikTok dan menerusi pemerhatian kami pengguna ini sering memuat naik video berkaitan dengan maklumat terkini yang dikeluarkan dari JPJ.

Selain itu, jika anda lihat di akhir video tersebut @akhiakmal turut memaparkan gambarnya berpakaian uniform menunjukkan dia sebenarnya adalah seorang pegawai JPJ yang bertugas di JPJ Teluk Intan.

 


Sumber: Sumber: TikTok @akhiakmal

 

Namun, berdasarkan pemerhatian kami di bahagian komen, ramai yang masih bertanya sama ada dakwaan itu adalah benar dan ada juga yang mendakwa pihak JPJ sengaja mengeluarkan peraturan baharu pada Hari Raya Aidilfitri dan tidak pula pada perayaan bangsa lain.

Justeru, MyCheck cuba membuat carian di media sosial bagi mendapatkan kepastian.

 

Tajuk Poster Mengelirukan 

Pertama sekali kami membuat carian di laman rasmi Facebook JPJ dan menemui hantaran poster ‘7 kesalahan utama tidak boleh dikompaun’ itu.

 


Sumber: Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

 

Bagaimanapun tajuk dan kepsyen hantaran tersebut masih mengelirukan kerana ia tidak menjelaskan kenapa kesalahan terbabit tidak boleh dikompaun.

Tidak berputus asa, kami seterusnya menggunakan satu aplikasi semakan fakta yang dipanggil ‘Who posted What’ dan berjaya mengesan beberapa hantaran yang sama mengenai poster itu di sini dan di sini.

Menurut hantaran Hamdan Misai, dia mengatakan perkataan ‘tidak boleh dikompaun’ bermaksud saman hanya boleh diselesaikan di mahkamah sahaja.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Tiada Saman Tetapi Terus Ke Mahkamah

Untuk mendapatkan kepastian kenyataan di atas, MyCheck berhubung dengan sumber daripada JPJ dan mereka menjelaskan bahawa ‘saman yang boleh dikompaun’ bermaksud boleh dibayar di kaunter JPJ dalam tempoh yang ditetapkan dalam saman tersebut.

‘Saman yang tidak boleh dikompaun’ pula hendaklah diselesaikan di mahkamah yang ditetapkan dalam notis saman.

Kenyataan ini juga disokong oleh laporan Harian Metro.

Oleh itu, poster yang tular ini sebenarnya membawa maksud mana-mana individu yang melanggar kesalahan yang disenaraikan akan terus dirujuk ke mahkamah.

 

Bukan Pelaksanaan Baharu Dan Untuk Semua Jenis Perayaan

Bagi dakwaan yang menyatakan peraturan ini adalah pelaksanaan baharu, carian MyCheck di Google menemui satu poster yang sama pernah dikeluarkan oleh JPJ sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2017.

 


Sumber: Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

 

Seperti yang anda boleh lihat pada poster di atas, tujuh kesalahan yang tertera di situ adalah sama dengan poster yang dikeluarkan bagi Hari Raya Aidilfitri tahun 2023.

Bezanya, tajuk poster ini jelas menyatakan yang pemandu akan dikenakan denda di mahkamah sekiranya didapati melanggar tujuh kesalahan utama tersebut pada 18 Jun hingga 2 Julai 2017.

Memetik laporan Berita Harian, MyCheck mendapati bahawa peraturan ini turut dilaksanakan semasa perayaan Tahun Baharu Cina 2023.

Perkara ini juga dibahas oleh @akhiakmal di dalam videonya.

 

Larangan Trafik Yang Lain

Pihak JPJ turut mengeluarkan hantaran poster di Facebook mengenai ‘Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023’.

Menurut maklumat poster itu, kenderaan berat seperti lori, jentera atau mana-mana kenderaan yang disenaraikan tidak dibenarkan berada di jalan raya pada 20, 21, 24, 25 April 2023 dan hanya dibenarkan untuk bergerak pada waktu tertentu mengikut kategori kenderaan.

 


Sumber: Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

 

Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dan ringan sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan.

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan JPJ ada mengeluarkan tujuh kesalahan utama trafik yang tidak boleh dikompaun sempena Aidilfitri 2023 sebaliknya akan terus didenda di mahkamah sebagai benar.

Bagaimanapun, dakwaan yang menyatakan ia adalah pelaksanaan baharu dan sengaja dikeluarkan pada Hari Raya Aidilfitri adalah tidak benar kerana pelaksanaan ini merupakan pelaksanaan tahunan dan turut dilaksanakan pada perayaan lain antaranya Tahun Baharu Cina yang lepas.

Sebelum berundur MyCheck mendoakan semoga anda selamat sampai ke destinasi masing-masing serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. @akhiakmal l TikTok

  2. Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia l Facebook

  3. Whopostedwhat

  4. Bahagian Penguatkuasa JPJ Sabah l Facebook 

  5. Honda SAG Semenyih l Facebook 

  6. Hamdan Misai l Facebook 

  7. Tujuh kesalahan terus ke mahkamah

  8. Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia - 7 KESALAHAN UTAMA YANG AKAN DIDENDA DI MAHKAMAH (Sepanjang OPS Hari Raya Aidilfitri 2017) | Facebook

  9. 7 kesalahan jalan raya dikuatkuasakan tanpa kompaun

  10.  7 kesalahan tak boleh dibayar sempena Ops Tahun Baru Cina. Kena saman,... | TikTok 

  11. Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia l Facebook

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.