+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Aidilfitri Pada 2022 Tidak Sah? Tidak Benar! Dakwaan Dibuat Tanpa Merujuk Sumber Sahih

Benarkah...

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 /1443H  sebenarnya tidak sah.

Sumber : WhatsApp, Facebook / April 2023

Hasil

Pengerusi Jawatankuasa Melihat Anak Bulan mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal adalah menepati kriteria, sekali gus menyebabkan 1 Syawal diisytiharkan pada 2 Mei 2022.

20/04/2023 05:40 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun lepas bersamaan 2 Mei 2022 adalah tidak sah.
  • Ia berikutan timbul desas-desus menyatakan pencerapan anak bulan di Labuan adalah terbatal.
  • Disebabkan itu, pelbagai spekulasi dalam kalangan sesetengah masyarakat Islam timbul kerana mereka waswas adakah perlu diganti puasa.
  • Jakim menjelaskan dakwaan dibuat portal berita berkenaan yang menyatakan bahawa hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal adalah tidak benar.
  • Setiausaha Jawatankuasa Cerapan Hilal Syawal di Labuan pada 2022 menegaskan proses dibuat adalah menepati kriteria dengan 30 saksi melihat kenampakan hilal.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

"Sah ke wuduk saya?, puasa saya sah atau tidak? Solat saya batal ke?,"  begitulah antara persoalan yang biasa kita dengar apabila melibatkan perkara-perkara berkaitan ibadah di dalam Islam.

Umat Islam dituntut untuk mempelajari ilmu fiqah (ilmu pengetahuan tentang hukum dalam agama Islam) atau ibadah supaya amalan yang diwajibkan kepada seseorang muslim itu 'sah' seterusnya mendapat keredaan serta ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

Lebih-lebih lagi apabila memasuki bulan Ramadan pada setiap tahun, ramai yang berlumba-lumba memperbanyakkan amal ibadah bagi merebut ganjaran pahala berlipat ganda.

Pada akhirnya, umat Islam akan meninggalkan bulan penuh rahmat tersebut bagi merayakan kemenangan serta menyambut 1 Syawal dengan rasa syukur dan gembira setelah sebulan menahan lapar dan dahaga.

Apa yang pasti, setiap daripada kita mengharapkan agar semua amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan sah mengikut syarak dan diterima di sisi Allah.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Facebook

 

MyCheck menerima dakwaan tular di laman sosial Facebook menyatakan bahawa Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada tahun lepas iaitu pada 2 Mei 2022 adalah tidak sah.

Berdasarkan tangkap layar yang kami terima seperti gambar tersebut, hantaran itu dibuat oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Rogers Soleh.

Menurut pengguna media sosial itu lagi, pencerapan anak bulan yang berjaya di Labuan juga adalah terbatal.

Dakwanya, melihat anak bulan sepatutnya dilakukan dengan mata kasar dan bukan teropong.

Selain itu individu tersebut menyatakan bagi sesiapa yang menyambut hari raya awal pada tahun lepas perlu menggantikan semula puasa mereka atau 'qada’ puasa.

Secara amnya dakwaan seperti ini dilihat amat serius selain boleh menimbulkan rasa was-was pada sesetengah orang.

Tambahan pula ia melibatkan soal amal ibadat bagi orang Islam.

Apa pun, lebih baik kita bertenang terlebih dahulu dan tidak terburu-buru dalam menilai.

MyCheck akan mengumpul maklumat dan periksa kesahihan dakwaan ini untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Laporan Asal Oleh Portal Berita Utusan

Langkah pertama yang kami lakukan ialah menjejaki hantaran yang dibuat oleh individu berkenaan di Facebook.

Ia bagi melihat keseluruhan hantaran dan memastikan tiada ralat atau kemungkin hantaran asal tidak sama dengan tangkap layar yang kami terima.

MyCheck membuat carian di Facebook dengan menggunakan kata kunci 'hari raya 2022 tidak sah' untuk menjejaki hantaran dibuat oleh Rogers Soleh.

Apa yang kami temukan adalah sama dengan tangkap layar yang diterima seperti di sini.

Namun, hantaran dibuat Rogers Soleh itu turut disertakan dengan pautan laporan berita bertajuk Cerapan anak bulan lebih ketat teliti- Utusan.

Laporan itu menyatakan proses pencerapan anak bulan Syawal pada petang 20 April tahun ini akan jauh lebih ketat dan paling teliti, sekali gus kadar penampakan hilal juga amat sukar dibuktikan.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, kekhilafan itu mula di­sedari pakar falak tempatan setelah melihat semula rakaman temu bual eksklusif RTM dengan pegawai pencerapan di pulau tersebut.

Langkah itu sebagai pengajaran ekoran pengisytiharan tarikh Aidilfitri pada 2 Mei 2022 lepas adalah tidak sah malah pencerapan yang berjaya di Labuan juga terbatal.

Malah sumber itu menyatakan semakan me­lalui laman sesawang rasmi Majlis Raja-Raja turut mendapati nama Labuan tidak dimasukkan dalam laporan kejayaan penampakan hilal Syawal.

Ini bermakna dakwaan pengguna Facebook berkenaan merujuk kepada sumber seperti dilaporkan oleh portal berita Utusan.

Kami juga menatal profil Rogers Soleh dan mendapati ramai warganet menzahirkan kebimbangan dan kekesalan berhubung isu hari raya 2022 tidak sah itu.

Berikut kami kongsikan tangkap layar tersebut.

 


Sumber: Facebook

 

Isu Raya Tidak Sah Mendapat Perhatian Media

Seterusnya kami turut membuat carian rawak menerusi enjin carian Google untuk mengumpul lebih banyak maklumat.

Menggunakan kata kunci ‘isu raya 2022 tidak sah’ kami dapati banyak hasil carian yang sepadan dengan isu berkenaan seperti dalam tangkap layar berikut.

 


Sumber: Google Search

 

Ternyata isu ini menjadi perhatian ramai pihak dan turut dilaporkan oleh kebanyakan media arus perdana serta portal-portal info semasa yang lain.

Kami meneliti satu persatu laporan media dan portal berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih kukuh.

Berdasarkan laporan-laporan tersebut banyak yang menyangkal dakwaan itu.

Antara laporan yang anda boleh rujuk adalah seperti Isu raya 2022 tidak sah: 30 saksi nampak hilal Syawal di Labuan dan JAKIM sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah.

Semakan kami juga mendapati tiada sumber atau portal lain yang melaporkan seperti portal Utusan.

 

Jakim Nafi Laporan Utusan

Memahami isu ini memerlukan bidang kuasa pakar-pakar serta pihak berwajib, kami seterusnya mendapatkan reaksi oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Jakim, dakwaan oleh sebuah portal berita berkenaan hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal adalah tidak benar.

Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan.

Imej yang diperoleh kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

Satu perbincangan khusus juga dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan, sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat.

Seterusnya kenampakan hilal itu kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Jakim turut menyangkal artikel berkenaan yang menyatakan laporan kenampakan hilal Syawal 1443H di Labuan tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia kerana semakan di laman sesawang itu mendapati rekod tersebut boleh diakses di sini.

Kenyataan rasmi Jakim berkenaan isu ini boleh dirujuk di sini.

Pihak Jakim turut mengadakan forum 'Tanya Jakim’ bagi menjelaskan isu ini di laman Facebook rasmi Jakim yang boleh ditonton di sini.

 

Asas Proses Cerapan Anak Bulan

MyCheck seterusnya mencari maklumat tentang bagaimana proses cerapan anak bulan ini dilakukan untuk lebih memahami sama ada kenampakan anak bulan itu sah atau tidak.

Menurut portal Selangorkini yang memetik penjelasan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, melihat anak bulan adalah fardu kifayah dan perlu satu pihak bertanggungjawab melihat hilal pada hari rukyah bagi menentukan kenampakan atau ketidaknampakan anak bulan pada hari tersebut.

Di Malaysia, kaedah untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap hilal menggunakan kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah.

Kaedah ini meliputi gabungan kedua-dua kaedah iaitu rukyah dan hisab.

Melalui Imkanur Rukyah, hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari tiga darjah dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.

Jika syarat dan kriteria dipenuhi ketika hari cerapan 29 hari bulan hijrah, maka keesokan harinya dikira 1 haribulan hijrah. Jika tidak memenuhi syarat, maka keesokan hari dikira 30 haribulan hijrah.

 

Memahami Konsep Rukyah Dan Hisab

Menurut laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah iaitu pertama, ‘rukyah’ iaitu mencerap anak bulan semata-mata.

Kedua, ‘hisab falak’ iaitu kiraan hari semata-mata dan ketiga, ‘rukyah dan hisab’ dengan menggunakan ‘kriteria imkanur rukyah’ iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.

Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah. Justifikasi pemilihan kaedah tersebut adalah sebagai penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.

Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan ‘qamariah’ berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.

Kriteria imkanur rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26 hingga 29 November 1978 dengan dua ketetapan iaitu pertama; ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam, kedua; jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam.

Secara rasminya yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohon Raja-Raja Malaysia adalah tiga bulan sahaja, iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah.

Pihak berautoriti bertanggungjawab menyusun dan menyemak Takwim Hijrah yang diguna pakai agar betul dan tepat dengan peredaran bulan sebenar. 

Demikianlah, kaedah praktis penentuan anak bulan yang dilaksanakan pada setiap 29 haribulan hijrah oleh pihak berautoriti di Malaysia melalui Jabatan Falak di Pejabat Mufti setiap negeri dengan sinergi pakar dalam bidang astronomi dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi.

 


Sumber: Majlis Keselamatan Negara

 

30 Saksi Lihat Kenampakan Hilal

Menurut laporan Sinar Harian dan beberapa portal media lain menjelaskan tiada isu kekhilafan timbul ketika proses tersebut.

Setiausaha Jawatankuasa Cerapan Hilal Syawal di Labuan pada 2022, Awangku Bolkhizan Ahmad Thani mengesahkan perkara itu.

Pada masa itu menurutnya seramai 30 orang selaku saksi dan semua meluahkan perasaan syukur kerana buat pertama kali dapat lihat anak bulan Syawal muncul tiba-tiba.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia berkata demikian pada slot ‘Tanya Jakim’ disiarkan laman sosial agensi itu baru-baru ini.

Kenampakan hilal bermula pukul 6.38 petang, iaitu 10 minit selepas matahari terbenam dan tempoh itu berlaku selama tujuh minit dengan semua saksi turut puas hati.

 

Pengerusi Jawatankuasa Melihat Anak Bulan

Menurut laporan portal Majoriti  salah satu daripada 29 lokasi cerapan anak bulan telah mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal, sekali gus menyebabkan 1 Syawal diisytiharkan pada 2 Mei 2022.

Memetik penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan selaku Pengerusi Jawatankuasa Melihat Anak Bulan cuaca yang cerah serta tiada sebarang halangan telah memungkinkan anak bulan Syawal dilihat di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah menjelaskan pencerapan pada tahun tersebut agak berlainan kerana hanya satu lokasi daripada 29 lokasi yang diwartakan untuk mencerap anak bulan telah melaporkan kenampakan anak bulan.

Maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah isytiharkan 2 Mei adalah 1 Syawal walaupun ia tidak selaras dengan apa yang telah dijangkakan sebenarnya.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul dan semak, ternyata dakwaan yang dibuat adalah tidak benar.

Pihak-pihak berwajib sudah menyangkal laporan portal berita tersebut dengan penjelasan yang kukuh.

Tambahan pula dakwaan seperti dalam laporan berkenaan tidak kuat dan jelas kerana hanya menyatakan 'menurut sumber'.

Banyak kemungkinan yang tidak dapat ditentukan kesahihannya apabila sesuatu laporan berita itu tidak disertakan dengan sumber yang jelas.

Pihak-pihak berwajib yang terlibat dalam jawatankuasa pencerapan hilal di negara ini juga terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing serta prosesnya bukanlah sambil lewa.

Banyak aspek yang diambil kira berdasarkan garis panduan Imkanur Rukyah serta memerlukan beberapa tahap pengesahan dalam kalangan jawatankuasa pencerapan itu sendiri sebelum diputuskan oleh pihak Majlis Raja-Raja.

Nasihat kami di MyCheck, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menyerahkan urusan fardu kifayah ini kepada pihak berwajib memandangkan proses pencerapan di negara ini telah dibuat sejak sekian lama.

Tentunya pihak berwajib akan berhati-hati kerana jika tidak ia melibatkan dosa dan pahala umat Islam yang juga memberi implikasi terhadap amal ibadah umat Islam di negara ini.

Jadi jangan bimbang! Kita serahkan pada yang ahli dalam bidangnya ya! ‘Jangan sebar melulu, MyCheck dulu’.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Isu raya 2022 tidak sah: 30 saksi nampak hilal Syawal di Labuan 

  2. Rekod Cerapan Mobile 

  3. Cerapan anak bulan lebih ketat teliti- Utusan 

  4. Ada sebab kukuh kenapa raya jatuh 2 Mei, ini penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan - Berita | Majoriti 

  5. Raya terkejut 2022 sah, 30 lihat anak bulan di Labuan - Sinar Harian

  6. Mufti terang kaedah lihat anak bulan, teknologi baharu cerapan - Selangorkini  

  7. BAGAIMANA CARA MENENTUKAN ANAK BULAN? - Laman Web MKN

  8. Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah | Astro Awani 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.