+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Malaysia, Singapura Dan Indonesia Dilanda Gelombang Haba? MetMalaysia Sahkan Dakwaan Itu Tidak Benar. Ia Dakwaan Kitar Semula

Benarkah...

Malaysia, Singapura dan Indonesia sedang mengalami gelombang haba ekoran cuaca panas melampau. Orang ramai diingatkan tidak minum air sejuk atau ais yang boleh mengakibatkan saluran darah pecah.

Sumber : Facebook / April 2023

Hasil

MetMalaysia sahkan dakwaan gelombang haba adalah tidak benar. Ketika ini negara sedang mengalami musim peralihan monsun. Pakar perubatan turut mengesahkan minum air sejuk tidak berbahaya.

13/04/2023 04:50 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa Malaysia, Singapura, Indonesia dan beberapa negara ASEAN lain sedang mengalami gelombang haba.
  • Dakwaan sama turut mendedahkan minum air sejuk ketika cuaca panas melampau boleh menyebabkan saluran darah pecah atau meletup.
  • Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan pakar kesihatan  sahkan kedua-dua dakwaan itu tidak benar.
  • Malaysia sedang mengalami tempoh peralihan antara dua monsun utama melibatkan Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.
  • Dakwaan sama pernah tular dan telah dikitar semula tahun ini.
  • MyCheck pernah mengeluarkan laporan berhubung dakwaan sama pada 2021.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Fenomena cuaca panas melampau yang berlaku pada setiap tahun merupakan situasi normal disebabkan perubahan iklim.

Namun, keadaan tersebut boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia.

Pendedahan kepada sinaran matahari terik dan gelombang haba berterusan boleh menyebabkan seseorang individu terkena strok haba (heat stroke).

Bahkan ia boleh mengancam nyawa jika tiada rawatan awal diberikan kepada mereka yang terkena strok haba terutama membabitkan golongan warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular dakwaan di media sosial Facebook berhubung dakwaan  bahawa Malaysia, Singapura, Indonesia dan beberapa negara ASEAN lain sedang menghadapi gelombang haba.

Beberapa pengguna Facebook memuat naik hantaran mengenai situasi itu selain menasihati orang ramai untuk tidak meminum air sejuk atau ais ketika cuaca panas kerana dikatakan boleh menyebabkan saluran darah pecah.

Antara hantaran yang dikongsi oleh pengguna Facebook anda boleh lihat di sini, di sini, di sini, di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

Kami di MyCheck juga merasai bahang cuaca panas ketika ini, namun benarkah ia ekoran gelombang haba?

MyCheck semak kesahihannya.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Gelombang Haba?

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita patut tahu apakah yang dimaksudkan dengan gelombang haba.

Menurut laman sesawang Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia, gelombang haba adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang panas.

Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celcius untuk tempoh tiga hari berturut-turut.

Gelombang haba menjadi lebih kerap disebabkan perubahan iklim, yang mana apabila suhu global meningkat dari semasa ke semasa, fenomena ini dijangka menjadi lebih teruk.

 


Sumber: Institut Pengajian Sains Sosial UPM

 

Golongan Berisiko Berdepan Gelombang Haba

Menurut laman sesawang infosihat, semua individu berisiko menjadi mangsa cuaca panas namun terdapat kumpulan yang lebih berisiko, terutamanya mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.

Antara golongan lain yang turut berisiko tinggi mendapat strok haba adalah kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, penghidap penyakit sistem pernafasan selain darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Orang dewasa yang berusia 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding mereka yang lebih muda.

Risiko tersebut akan bertambah sekiranya mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada penyejatan atau pengeringan peluh.

Seorang pakar kesihatan pekerjaan, Dr Shawaludin Husin berkata individu yang kurang meminum air masak, gemar mengambil minuman bergula, berkafein dan beralkohol antara yang berisiko tinggi diserang strok haba jika terdedah kepada cuaca terlalu panas.

Beliau yang dipetik menerusi laporan Harian Metro mendedahkan pekerja tapak pembinaan merupakan antara yang berisiko diserang strok haba berikutan mereka terdedah terus kepada cahaya matahari selain berpeluh sehingga menyebabkan dehidrasi.

“Pada masa sama, warga emas, pesakit jantung, kencing manis dan darah tinggi perlu lebih berhati-hati. Kanak-kanak serta mereka yang demam selain cirit-birit perlu sentiasa peka dengan mengawasi perubahan yang berlaku terhadap badan bagi mengelak diserang strok haba,” jelas Dr Shawaludin.

 


Sumber: infosihat.gov.my

 

Dakwaan Tular Di Facebook Adalah ‘Kitar Semula’

Kami melakukan semakan semula dengan lebih teliti dan mendapati dakwaan yang tular dalam hantaran Facebook berkenaan adalah isu kitar semula.

Kenapa kami katakan dakwaan berkenaan adalah isu kitar semula?

Ini kerana MyCheck pernah mengeluarkan laporan yang sama pada Jun 2021 bertajuk TIADA ramalam cuaca luar biasa panas di Malaysia. Meminum air sejuk dalam cuaca panas juga TIDAK merbahaya.

Laporan berkenaan dikeluarkan bagi menafikan dakwaan yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp yang antara lain mendakwa bahawa Malaysia sedang mengalami gelombang haba.

Selain itu, dakwaan yang tular menerusi WhatsApp itu turut mendakwa minum air sejuk boleh menyebabkan saluran darah pecah atau meletup.

Menerusi laporan yang sama, MyCheck turut menyertakan pandangan daripada seorang pakar perubatan, Dr Suhazeli Abdullah yang berkongsi tangkap layar mengenai dakwaan sama dan mengesahkan dakwaan itu adalah tidak benar menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada 19 Mac 2019.

Kami membuat perbandingan di antara mesej yang ditularkan di antara aplikasi WhatsApp serta Facebook.

Hasilnya kami mendapati individu yang menularkan mesej di laman Facebook berkenaan hanya membuat penambahan beberapa negara seperti Singapura dan Indonesia berbanding nama Malaysia yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp.

 

Pandangan Pihak Berwajib

Namun, benarkah cuaca panas melampau ketika ini disebabkan gelombang haba?

Memandangkan dakwaan yang ditularkan berkenaan melibatkan hal berkaitan perubahan cuaca dan kesihatan awam, kami mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kaji Cuaca Malaysia dan juga pakar kesihatan.

 

MetMalaysia Sahkan Dakwaan Gelombang Haba Tidak Benar

Bagi mendapatkan pengesahan sahih berhubung dakwaan itu, MyCheck menghubungi MetMalaysia.

Menurut MetMalaysia, dakwaan bahawa Malaysia dan beberapa negara jiran sedang mengalami gelombang haba adalah tidak benar.

MetMalaysia menjelaskan negara ketika ini sedang mengalami tempoh peralihan dua monsun iaitu Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.

“Sekarang negara sedang mengalami musim peralihan monsun dan bukannya gelombang haba,” jelas MetMalaysia kepada MyCheck.

 


Sumber: MetMalaysia

 

MetMalaysia turut meminta orang ramai untuk merujuk kepada media sosial rasmi MetMalaysia serta laman sesawang MetMalaysia bagi melihat perkembangan semasa cuaca di negara ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah yang dipetik menerusi laporan BERNAMA pada 11 Mac lepas turut memaklumkan Malaysia mengalami peralihan monsun bermula 13 Mac hingga pertengahan Mei ini.

Sinar Harian turut menyiarkan laporan mengenai peralihan monsun yang sedang berlaku ketika ini.

 


Sumber: BERNAMA dan Sinar Harian

 

Langkah Menghadapi Gelombang Haba

Jadi, jelas di sini, cuaca panas melampau yang dialami ketika ini bukan disebabkan gelombang haba tetapi peralihan monsun.

Bagaimanapun, kita perlu juga mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan cuaca panas ini memberi risiko kepada kesihatan.

Walaupun ketika ini negara tidak dilanda gelombang haba, tidak salah kita mengguna pakai beberapa langkah yang disarankan untuk menghadapi gelombang haba.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman sesawang Institut Penyelidikan Klinikal, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh orang ramai bagi menghadapi suhu panas yang ekstrem.

Antara langkah tersebut adalah menangguhkan atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, maraton, memanjat gunung dan lain-lain aktiviti semasa berlakunya gelombang haba ini sehinggalah keadaan kembali reda.

Saranan lain adalah minum air secukupnya dan minumlah air yang telah dimasak, pakai pakaian yang ringan, cerah dan elakkan pakaian berwarna gelap, tebal dan ketat.

Selain itu, orang ramai disarankan kerap berada di dalam rumah atau bangunan serta memastikan kediaman masing-masing mempunyai pengudaraan yang cukup atau kelengkapan pendingin hawa sekiranya mampu.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa dan mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya berdepan beberapa tanda-tanda awal kelesuan badan akibat strok haba.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Minum Air Sejuk Tidak Beri Kesan Kepada Saluran Darah Kecil

Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa meminum air yang sangat sejuk atau ais boleh menyebabkan saluran darah pecah sekali gus mengakibatkan strok?

MyCheck menemukan pandangan seorang pensyarah perubatan sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menyangkal dakwaan itu.

Menurut Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof menerusi laporan Berita Harian, hanya ada dua kajian menunjukkan kesan buruk minuman ais kosong kepada status kesihatan.

Kajian di China pada 2012 mendapati pesakit yang mengalami achalasia sukar untuk menelan makanan jika mereka meminum minuman sejuk.

Achalasia iaitu satu keadaan menyebabkan saluran bawah esofagus (saluran menelan) yang tertutup dan makanan tidak boleh masuk ke perut.

Kajian tersebut turut mendapati pesakit yang mengalami achalasia lebih mudah menelan makanan apabila diberi minuman panas.

Satu lagi kajian di Sweden pada 2001 turut mendapati minuman ais menggunakan penyedut minuman boleh menyebabkan sakit kepala bagi mereka yang ada migrain iaitu salah satu punca sakit kepala.

Mengulas lanjut, Dr Barakatun Nisak berkata minum air banyak termasuk yang mengandungi ais tidak kira keadaan cuaca dan suhu membantu mengekalkan suhu badan, membuang toksik atau kotoran di dalam badan, memudahkan penghadaman serta mengurangkan risiko sembelit.

 

Punca Minuman Sejuk Jadi Tidak Berkhasiat

Jadi kenapa masih ramai yang percaya bahawa meminum air sejuk boleh menjejaskan kesihatan?

Dr Barakatun Nisak mendedahkan punca minuman sejuk atau disajikan bersama ketulan ais lebih berisiko kepada kesihatan adalah disebabkan campuran gula yang terlalu tinggi dalam sesuatu minuman dan bukannya disebabkan tabiat meminum air yang sejuk.

Seperti yang diketahui umum, pengambilan gula yang terlalu tinggi akan memberi kesan negatif kepada tubuh badan seperti meningkatkan berat badan sekali gus menyebabkan obesiti, meningkatkan risiko serangan jantung selain risiko kanser dan kemurungan.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan di atas adalah tidak benar berdasarkan pengesahan oleh MetMalaysia.

Dakwaan bahawa minum ais boleh menyebabkan saluran darah kecil pecah atau meletup juga tidak benar.

Nasihat kami dapatkan pandangan daripada mereka yang arif dalam sesuatu bidang, contohnya kajian cuaca lebih sesuai anda rujuk kepada MetMalaysia.

Usah kongsi fakta kesihatan terutamanya di media sosial sekiranya anda sendiri tidak pasti kerana ia merupakan satu isu umum yang sentiasa ditularkan daripada semasa ke semasa walaupun tiada rujukan daripada pakar perubatan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Fifiain Najwa Elias

  2. Facebook Sacha Inchi

  3. Facebook Hafiz Hamizan

  4. Facebook Ham Mack

  5. Facebook Mohd Ridzwan Ghani

  6. Facebook Cuckoo Avengers

  7. Institut Pengajian Sains Sosial UPM

  8. Kesan El Nino.Diterbitkan oleh Berita Harian

  9. Cuaca Panas : Nasihat Kepada Orang Ramai.Diterbitkan oleh infosihat.gov.my

  10. Risiko strok haba.Diterbitkan oleh Harian Metro

  11. Penjagaan Kesihatan Ketika Cuaca Panas Dan Gelombang Haba.Diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Klinikal KKM

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.