+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minta Tangkap Layar Mesej Di Telegram Taktik Baharu Scammer? Ya, Ia Bertujuan Mendapatkan Kod Nombor Bagi Mengakses Akaun Telegram Mangsa

Benarkah...

Taktik terbaharu penjenayah siber (scammer) adalah meminta mangsa tangkap layar (screenshot) mesej di Telegram.

Sumber : Facebook / Mac 2023

Hasil

Taktik itu bertujuan mendapatkan kod nombor untuk log masuk dan mengakses akaun Telegram mangsa seterusnya memperdaya kenalan mangsa bagi mendapatkan wang.

10/04/2023 02:26 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan mengenai taktik baharu penjenayah siber (scammer) di aplikasi Telegram yang meminta mangsa memberikan tangkap layar mesej.
  • Tangkap layar itu tertera kod nombor Telegram untuk di log masuk ke akaun mangsa.
  • Penjenayah akan menggunakan kod nombor itu dan log masuk Telegram dengan menyamar menjadi kenalan atau rakan mangsa yang lain bagi meminjam wang.
  • Sekiranya tidak berjaya mendapatkan wang, penjenayah akan cuba mendapatkan tangkap layar untuk memperoleh akaun mangsa lain.
  • Sasaran baharu mangsa lain bagi scammer itu adalah senarai kenalan (contact) di Telegram mangsa.


Sumber: BERNAMA

 

LATAR BELAKANG

Lumrah kehidupan setiap individu akan berkomunikasi bagi menjalinkan silaturrahim sesama manusia.

Tidak kira jalinan persaudaraan mahupun persahabatan, setiap daripada kita  pastinya akan mempunyai rasa tanggungjawab ingin membantu individu yang dikenali sekiranya mereka berada dalam kesusahan.

Bahkan dek kepercayaan juga mendorong kita untuk terus menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

Namun, di sebalik kemajuan dunia pendigitalan, bukan sahaja kepercayaan malah hampir semua perkara yang berlaku dalam alam siber semakin ‘diragut’.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Facebook

 

MyCheck menerima satu dakwaan bahawa terdapat taktik baharu penjenayah dalam talian atau scammer menggodam aplikasi Telegram.

Dikatakan scammer akan menyamar sebagai ‘kenalan’ dan meminta mangsa memberikan tangkap layar mesej masing-masing di Telegram.

Akaun mangsa yang memberikan tangkap itu akan digodam dan scammer akan menggunakannya akaun itu untuk menghubungi kenalan mangsa yang lain bagi meminta bantuan seperti pinjaman wang.

Sekiranya dakwaan itu benar, ia adalah salah satu taktik baharu scammer yang perlu diambil perhatian dan tindakan segera ekoran perkara ini boleh menggugat keselamatan dan privasi orang ramai.

Benarkah taktik baharu itu? Jom ikut MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti hantaran berserta link yang dikongsikan.

Kami telah klik pada link tersebut dan ia terus membawa kami ke laman Facebook yang berkongsi hantaran terbabit.

Menurut hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Aina Ania, terdapat taktik scammer menggodam aplikasi Telegram orang ramai dengan cara meminta tangkap layar mesej di Telegram.

Beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati sekiranya mendapat mesej daripada sahabat atau kenalan di Telegram dan turut memberi pesanan untuk tidak memberikan tangkap layar sekiranya ada mesej yang meminta.

Sekiranya mangsa memberi tangkap layar tersebut seperti yang diminta, Telegram mangsa akan digodam dan penjenayah siber itu akan memberi mesej kepada kenalan dan rakan-rakan mangsa untuk meminjam wang.

Beliau turut memaklumkan bahawa rakannya telah menjadi mangsa yang mana Telegramnya telah digodam.

 


Sumber: Facebook

 

Berdasarkan gambar yang dimuat naik Aina Ania, tertera mesej Telegram menyatakan “Tolong screenshot jap messej dalam telegram, sebab na tengok username sya, Sbab Telegram error,”

Ketika kami menatal di bahagian komen kami dapati ada beberapa individu yang telah menjadi mangsa dengan modus operandi yang sama.

“Akak dah kena. Buat report la juga. Risau,” menurut komen terbabit.

 

Modus Operandi Penjenayah Siber

Kami beralih pula ke Twitter bagi mendapatkan sebarang informasi berkaitan isu ini.

Hasilnya, kami menemui ciapan dikongsi seorang pengguna akaun dengan nama @HIVIizie.

Beliau telah memuat naik hantaran video berkenaan taktik scammer yang menggodam mangsa dengan cara meminta tangkap layar mesej Telegram tersebut.

Menurutnya, terdapat dua taktik digunakan penjenayah dalam talian bagi menggodam Telegram tersebut antaranya adalah :

Penjenayah akan menghantar mesej di Telegram yang kononnya daripada “kenalan” bagi meminta pinjaman wang.

Sekiranya gagal, penjenayah akan menggunakan taktik yang seterusnya iaitu memberitahu “kenalan” mangsa bahawa kononnya dia telah digodam dan akan meminta tangkap layar telegram.

Menurut @HIVIizie, selama tiga hari berturut-turut beliau telah menerima mesej Telegram yang seolah-olah daripada “kenalan” yang mana percubaan penipuan ‘scam’ dilakukan.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan isu ini kami membuat carian di Google.

Menggunakan kata kunci “taktik baru scammer telegram”. Kami menjumpai video yang dimuat naik di YouTube.

 


Sumber: Google

 

Melalui carian rawak di enjin Google, kami klik satu video dan terus dibawa ke platform YouTube.

 


Sumber: YouTube

 

Kami temui satu video yang dimuat naik di YouTube dengan tanda nama Cikgu Rashid.

Cikgu Rashid banyak menghasilkan video di YouTube mengenai pendidikan dan isu-isu berkaitan.

Beliau berkongsi video berkenaan modus operandi atau taktik digunakan scammer bagi menggodam Telegram seseorang mangsa.

Berdasarkan hantaran video yang dikongsi, anda dapat lihat modus operandi yang sama juga digunakan penjenayah ini bagi melakukan penipuan di aplikasi Telegram iaitu meminta tangkap layar mesej Telegram mangsa kononnya dirinya telah digodam.

Apabila mangsa kongsikan tangkap layar mesej di Telegram itu, sebenarnya secara tidak langsung mangsa akan berkongsikan kod telegram kepada pemangsa.

Bagaimana ia terjadi?

Kami perincikan kepada anda.

 

Kod Log Masuk Telegram

Secara teknikal, aplikasi telegram akan memberikan kod mesej kepada pengguna jika terdapat cubaan daripada pihak lain untuk masuk ke Telegram pengguna.

Scammer memerlukan kod nombor tersebut untuk menggodam (hack) masuk akaun telegram anda.

Jadi, scammer akan mengambil kesempatan ini untuk meminta mangsa tangkap layar ‘chatting’ daripada peranti mangsa bagi mendapatkan kod number tersebut.

 

Perkongsian Orang Awam

Seterusnya, kami temui hantaran pengguna Facebook dengan nama akaun Bahruddin Bekri yang turut berkongsi pengalamannya menghadapi scammer menggunakan taktik sama di Telegram.

Menurutnya, tangkap layar itu digunakan untuk memasukkan nombor kod Telegram bagi set semula kata laluan (reset password).

Oleh kerana itu, beliau kaburkan (blur) gambar tangkap layar mesej tersebut agar scammer tidak dapat melihat kod nombor tersebut.

 


Sumber: Facebook

 

Bagaimanapun, setelah beliau berkongsi tangkap layar yang disunting secara kabur itu, scammer tersebut meminta beliau tangkap layar mesej itu sekali lagi.

Menurut hantaran Bahruddin, walaupun sudah memberikan tangkap layar seperti yang diminta namun scammer terbabit masih memintanya berulang kali.

Di sini jelas bahawa scammer itu mahukan tangkap layar mesej Telegram yang tidak dikaburkan bagi membolehkan dia membaca kod nombor dengan jelas.

MyCheck turut membuat semakan latar belakang Bahruddin Bekri, kami dapati beliau merupakan seorang editor dan penulis yang telah banyak menerbitkan buku di Malaysia.

 

Simulasi MyCheck

Bagi mendapatkan kesahihan, MyCheck membuat cubaan menggunakan modus operandi yang sama.

Kami cuba log masuk akaun Telegram menggunakan satu nombor dengan dua peranti berbeza bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Setelah melakukan langkah berikut, kami diminta untuk mengisi kod nombor yang dihantar di akaun Telegram yang aktif.

Seperti jangkaan, satu mesej diterima daripada Telegram yang mengandungi nombor kod log masuk.

Anda boleh lihat contoh seperti di bawah.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Berdasarkan gambar di atas anda boleh lihat bagaimana kod nombor Telegram tersebut akan muncul (appear) di ‘Chats’.

Secara jelas nombor kod yang diberi Telegram dapat dibaca walaupun anda tidak membuka keseluruhan mesej tersebut.

Jadi, sekiranya mangsa memberikan tangkap layar tanpa menutup nombor kod tersebut, maka scammer dengan mudahnya dapat membaca sekali gus mengakses akaun Telegram anda.

Ini bermakna, modus operandi itu sememangnya boleh terjadi sekiranya penggodam atau scammer mahu membuat cubaan log masuk.

 

MKN Sahkan Taktik Penipuan Di Telegram Wujud, KKD Ambil Tindakan

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), terdapat taktik penipuan di aplikasi Telegram yang mana mangsa menerima mesej di Telegram kononya rakan mangsa ingin meminjam wang.

MKN turut mengingatkan orang ramai supaya semak terlebih dahulu dengan menelefon terus kenalan yang menghantar mesej tersebut bagi mendapatkan kepastian.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pula akan memanggil penyedia aplikasi Telegram dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan pengguna seperti yang dilaporkan Sinar Harian bertarikh 6 Mac 2023.

Ia berikutan orang ramai telah menjadi mangsa penipuan siber yang semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini adalah benar.

Memang terdapat taktik penjenayah siber melakukan penipuan di aplikasi Telegram dengan meminta tangkap layar mesej Telegram dan kemudian menyamar sebagai rakan yang ada dalam senarai kenalan di Telegram.

Penjenayah juga bertindak meminta tangkap layar mesej mangsa yang mana ia adalah salah satu taktik bagi mendapatkan data iaitu kod nombor Telegram.

Sekiranya kita tidak membuat semakan terlebih dahulu, kita pasti akan terjerat dengan penipuan scammer terbabit.

Pesan kami di MyCheck, berhati-hati dalam melakukan sebarang aktiviti menggunakan perkhidmatan, aplikasi atau platform media sosial.

Paling penting semak dahulu setiap perkara sebagai contoh dalam kes ini, kita perlu menghubungi kenalan itu secara terus untuk mendapatkan kesahihan mesej yang diterima.

Penjenayah siber semakin licik menggunakan pelbagai muslihat dan taktik bagi melakukan penipuan.

Bagaikan peribahasa melayu, untung sabut timbul, untung batu tenggelam,  scammer sering mencuba nasib mendapatkan umpannya.

Namun jika kita waspada dan cakna, tidak mustahil kita pula membuat scammer berputih mata.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Facebook - Aina Ania

  2. Twitter - @HIVIizie

  3. Youtube - Cikgu Rashid

  4. WASPADA TAKTIK PENIPUAN SCAM DI TELEGRAM - Laman Web MKN

  5. Isu scam: KKD akan panggil penyedia aplikasi Telegram - Sinar Harian

  6. Facebook - Bahruddin Bekri 

  7. Linkedin - Bahruddin Bekri

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.