+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pengeluaran Khas KWSP Sehingga RM50,000 Sempena Aidilfitri? KWSP Sahkan Dakwaan Tular Adalah Palsu

Benarkah...

Kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP berjumlah antara RM1,000 hingga RM50,000 sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023.

Sumber : Facebook / Mac 2023

Hasil

KWSP Sahkan dakwaan tular adalah palsu. Kerajaan tidak membenarkan pengeluaran caruman KWSP disebabkan penyusutan jumlah simpanan ahli KWSP.

28/03/2023 04:33 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di laman sosial bahawa kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP antara RM1,000 hingga RM50,000 sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023.
  • KWSP sahkan dakwaan berkenaan adalah palsu.
  • Orang ramai dinasihati jangan mudah percaya dan terpedaya dengan perangkap scammer.
  • KWSP mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih hanya di laman sesawang dan media sosial rasmi KWSP.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan keperluan menyebabkan rakyat di negara ini mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebanyakan daripada mereka percaya pengeluaran caruman KWSP sedikit sebanyak mampu menampung bebanan kos sara hidup yang terpaksa dihadapi mereka ketika ini.

Selain rakyat, desakan sama turut dikeluarkan oleh beberapa ahli politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar iaitu kepada individu yang benar-benar layak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan sebarang pengeluaran caruman KWSP setelah empat kali pengeluaran dibenarkan oleh kerajaan terdahulu.

 

MENGENAI DAKWAAN

Kami menerima satu dakwaan di Facebook bahawa pihak kerajaan memberi ‘lampu hijau’ kepada KWSP untuk membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran simpanan mereka antara RM1,000 hingga RM50,000.

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Syafiqah Al Al-Amin telah membuat satu hantaran berkenaan dengan mendakwa individu yang layak boleh mengeluarkan caruman KWSP masing-masing sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut umat Islam pada 22 April nanti.

Hantaran berkenaan bagaimanapun dipercayai telah dipadam oleh pengguna Facebook berkenaan.

Dakwaan hampir sama boleh ditemukan di laman Facebook antaranya di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

 


Sumber: Facebook

 

Ramai yang gembira dan tidak sabar untuk membuat pengeluaran caruman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri.

Bahkan beberapa ahli keluarga kami di MyCheck sendiri pun turut teruja dengan berita ini namun mengambil langkah bertanyakan MyCheck kebenarannya.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Jadi, jangan gembira dulu ya, biar MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Peranan KWSP

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita perlu mengetahui apakah fungsi dan objektif penubuhan KWSP kepada rakyat Malaysia.

Menurut laman sesawang KWSP, agensi di bawah Kementerian Kewangan itu ditubuhkan pada 1951 dan merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia.

Penubuhan KWSP adalah selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 iaitu bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja untuk menabung bagi membantu kewangan mereka selepas mereka bersara kelak.

Berdasarkan statistik terkini, seramai 15,716,213 telah mendaftar caruman mereka dengan KWSP dan daripada jumlah tersebut, seramai 8,392,031 merupakan pencarum aktif sehingga suku keempat 2022.

 

Perkhidmatan Ditawarkan KWSP

Mungkin ramai di antara kita yang beranggapan bahawa KWSP sekadar menjadi tempat menyimpan caruman wajib daripada majikan yang menggaji kita, namun sebenarnya agensi berkenaan turut menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan seperti pelaburan, penamaan tadbir urus kewangan waris, khidmat nasihat persaraan dan beberapa perkhidmatan lain.

Selain itu, KWSP turut menawarkan perkhidmatan i-Lindung yang merupakan sebuah platform layan diri di dalam i-Akaun (Ahli) yang digunakan untuk tujuan pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA).

Melalui PPA, ahli dibenarkan membeli produk insurans/ takaful daripada Syarikat Insurans & Takaful (SIT) yang diluluskan oleh KWSP dan bermatlamat menyediakan pilihan kepada ahli dalam mendapatkan perlindungan bagi membantu ahli berdepan dengan tempoh sukar atau kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan.

 

Siapa Individu Diwajibkan Mencarum Dan Berapa Jumlah Caruman?

Menurut laman sesawang KWSP, individu yang diwajibkan mencarum adalah orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan yang perihalnya tidak dimasukkan di dalam Jadual Pertama, Seksyen 2, Akta KWSP 1991 iaitu golongan yang tidak bekerja.

Pengecualian melakukan caruman KWSP diberikan kepada beberapa golongan seperti orang asli nomad, orang gaji domestik,pekerja luar (sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273]).

Selain itu, pengecualian mencarum turut diberikan kepada beberapa golongan lain termasuk tahanan penjara, individu yang diambil bekerja dan negara beliau berasal adalah di luar Malaysia atau warganegara asing yang tidak memilih untuk mencarum selain pekerja yang telah mencapai umur 75 tahun.

 

Jumlah Caruman KWSP

Menurut laman sesawang KWSP, pekerja dikenakan caruman wajib sebanyak 11 peratus, majikan dengan pendapatan bulanan RM5,000 ke bawah sebanyak 13 peratus, manakala 12 peratus bagi majikan dengan pendapatan bulanan RM5,000 ke atas.

 


Sumber: Laman sesawang KWSP

 

Tiada Kenyataan Rasmi Mengenai Pengeluaran Caruman KWSP Sempena Aidilfitri 2023

Berbalik kepada dakwaan tular. Benarkah adanya pengeluaran khas KWSP sempena Aidilfitri ini?

Langkah pertama MyCheck adalah membuat semakan menerusi enjin Google.

Kami meneliti pelbagai laman sesawang kerajaan, media arus perdana atau mana-mana laman sesawang berkaitan bagi mendapatkan maklumat rasmi berhubung kebenaran pengeluaran caruman KWSP.

Namun kami tidak menemukan sebarang kenyataan rasmi sama ada daripada kerajaan atau KWSP sendiri yang membenarkan pengeluaran caruman KWSP bagi kali kelima ini.

Media arus perdana juga tidak ada mengeluarkan sebarang laporan rasmi berhubung pengeluaran ini.

 

KWSP Sahkan Dakwaan Adalah Palsu

Semakan lanjut MyCheck di laman sosial Facebook menemukan kenyataan daripada KWSP berhubung dakwaan itu di  Facebook rasmi mereka.

Menurut KWSP, dakwaan tular adalah palsu.

Orang ramai turut diminta tidak mudah percaya dan terpedaya dengan perangkap scammer dan mendapatkan maklumat sahih hanya di laman web dan media sosial rasmi KWSP.

 


Sumber: Facebook KWSP

 

Pendirian Kerajaan Berhubung Pengeluaran KWSP

Menurut laporan Utusan Malaysia bertarikh 9 Februari 2023, kerajaan kekal keputusan tidak membenarkan pengeluaran KWSP.

Memetik laporan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran caruman KWSP kerana jumlah simpanan ahli KWSP semakin menyusut selepas empat kali pengeluaran dibenarkan sebelum ini.

“Kita sudah perjelaskan, dahulu diminta dikeluarkan, banyak dikeluarkan jadi yang tinggal RM10,000, RM5,000, yang hendak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita, ada RM5,000, RM10,000 hendak keluar, pencen empat tahun lagi apa hendak jadi?

“Betul (pengeluaran untuk kelangsungan hidup) tetapi kalau wang dia ada tak apa, kalau wang tidak ada. Ada RM5,000 tinggal RM3,000, jadi kalau dia pencen esok ada yang hendak pencen dua tahun tiga tahun lagi,” menurut Anwar.

Terbaharu, menerusi laporan Berita Harian bertarikh 9 Mac 2023 Anwar memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Beliau mendedahkan kaedah berkenaan boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Dalam bahasa mudah, ahli KWSP yang benar-benar terdesak boleh mengeluarkan caruman mereka yang dijadikan sebagai cagaran pinjaman peribadi kepada pihak bank bagi tujuan pembiayaan peribadi.

Untuk rekod, kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Pengesahan Pihak Berwajib

Sebenarnya.my dan Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut mengesahkan dakwaan tular adalah palsu.

 


Sumber: sebenarnya.my

 


Sumber: Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Digital

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan berkenaan adalah tidak benar.

Tiada sebarang pengumuman rasmi kerajaan berhubung kebenaran pengeluaran caruman KWSP seperti yang digembar-gemburkan di laman sosial.

KWSP sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan tular adalah palsu bahkan turut menasihati orang ramai untuk tidak menekan sebarang pautan yang diletakkan oleh scammer di laman sosial bagi tujuan menipu orang ramai.

MyCheck faham, persiapan pembukaan sesi persekolahan, disusuli Ramadan dan kemudian Aidilfitri tahun ini yang berturutan dalam tempoh yang dekat membuatkan rakyat dihimpit beban kewangan.

Namun, bersederhanalah dan utamakan keperluan.

Ukurlah baju di badan sendiri bermaksud berbuat sesuatu, bertindak atau berbelanja mengikut kemampuan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook info viral

  2. Facebook semakan & permohonan online

  3. Facebook KWSP Berita Terkini

  4. Facebook Info Bantuan Kerajaan

  5. Facebook i-Citra KWSP info (PENGELUARAN)

  6. Mengenai EPF

  7. Kerajaan kekal keputusan tak benarkan pengeluaran KWSP – PM.Diterbitkan oleh Utusan Malaysia

  8. Dakwaan Terdapat Pengeluaran Khas KWSP Sebelum Aidilfitri Adalah Tidak Benar.Diterbitkan oleh sebenarnya.my

  9. Kerajaan setuju KWSP jadi cagaran pinjaman bank - Anwar.Diterbitkan oleh Berita Harian

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.