+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Produk Berasaskan Bijirin Mengandungi Serbuk Besi? Ya, Namun Ia Tidak Berbahaya Kerana Kandungannya Adalah Rendah

Benarkah...

Kebanyakan produk bijirin mengandungi serbuk besi dan berbahaya kepada manusia.

Sumber : Instagram / Februari 2023

Hasil

Terdapat makanan termasuk produk bijirin mempunyai unsur logam berat, namun selamat untuk dimakan kerana kandungannya adalah rendah.

15/03/2023 12:16 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa kebanyakan produk berasaskan bijirin di pasaran mengandungi serbuk besi.
  • Ia dikatakan berbahaya kepada kesihatan manusia.
  • Kebanyakan makanan termasuk produk bijirin mempunyai unsur logam berat, namun selamat untuk dimakan kerana kandungannya adalah rendah.
  • Pengilang juga ada menambah beberapa jenis mikronutrien ke dalam beberapa produk makanan termasuk bijirin bertujuan mengatasi masalah kekurangan zat dalam makanan tersebut.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang adalah penting bagi memenuhi keperluan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan, sekali gus mengelakkan diri kita berisiko mendapat penyakit berbahaya.

Pengambilan bijirin yang mengandungi pelbagai khasiat kepada tubuh badan menjadi pilihan utama masyarakat di seluruh dunia.

Pelbagai produk bijirin bukan sahaja daripada luar negara, malahan pengilang tempatan turut menghasilkan produk bijirin bagi memenuhi permintaan daripada pengguna domestik.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Instagram mazliana.mazlan

 

Seorang individu dikenali sebagai Mazliana Mazlan telah memuat naik satu hantaran di Instagram mendakwa sebuah produk bijirin yang dijual di pasaran mengandungi logam berat seperti serbuk besi tambahan.

Menurut  wanita itu yang sering berkongsi mengenai pengambilan makanan sihat dan gaya hidup seimbang dalam kalangan kanak-kanak di laman sosial, kebanyakan produk bijirin telah ditambah dengan zat besi tiruan seakan serbuk besi.

Beliau membuat dakwaan berkenaan dengan merujuk sebuah video di laman YouTube yang dimuat naik oleh seorang individu, Henry Hargreaves yang mendedahkan mengenai kehadiran serbuk besi dalam bijirin.

Hargreaves yang merupakan seorang jurugambar makanan telah membuat satu ujian dengan memasukkan sekotak bijirin yang dicampurkan dengan air kosong ke dalam mesin pengisar.

Beliau kemudiannya meletakkan sebatang magnet ke dalam sekeping plastik yang dimasukkan ke dalam hasil kisaran bijiran tersebut.

Magnet yang berada di dalam plastik berkenaan menarik beberapa serbuk halus dipercayai serbuk besi.

Namun benarkah dakwaan itu? MyCheck semak kesahihannya.

 


Sumber: YouTube Henry Hargreaves

 

APA YANG KAMI TEMUI

Siapa Mazliana Mazlan?

Jika anda menatal (scrolling) laman sesawang MyCheck Malaysia, anda pasti pernah melihat satu laporan bertajuk Pakar Perubatan, Saintis Sahkan Radiasi Wi-fi Tidak Beri Kesan Kepada DNA Dan Sel Otak Kanak-Kanak.

Apa kaitannya dengan laporan mengenai serbuk besi dalam bijirin ini?

Jika anda membaca laporan itu sampai habis, anda pasti tidak asing dengan nama Mazliana Mazlan.

Ini kerana laporan yang MyCheck keluarkan itu juga mengandungi nama Mazliana Mazlan.

Mazliana Mazlan pernah membuat perkongsian mengenai kesan radiasi wi-fi terhadap anak dan MyCheck telah membuat semakan mengenai dakwaan itu yang mana hasil semakan kami boleh dibaca menerusi laporan tersebut.

Siapa Mazliana Mazlan ini?

Berdasarkan apa yang dimaklumkan beliau di laman sosial Facebook, beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mula menulis mengenai kanak-kanak dan pemakanan sihat sejak 2017.

Jadi, perkongsian mengenai petua kesihatan dan pemakanan daripada doktor ini bukanlah satu perkara baharu.

 

Kajian Mengenai Kehadiran Besi Dalam Bijirin Sudah Lama Dijalankan

Namun, adakah dakwaan Dr Mazliana bahawa adanya serbuk besi di dalam produk bijirin adalah benar dan adakah ujian kehadiran serbuk itu merupakan perkara baharu atau sebaliknya?

Menggunakan kata kunci ‘heavy metal cereals’ di Internet, kami menemukan pelbagai jenis ujian yang hampir serupa dilakukan di laman YouTube bagi mengesan kehadiran logam berat di dalam produk makanan berasaskan bijirin.

Antaranya adalah hantaran video di sini, di sini, di sini dan di sini, selain penerangan dalam bentuk teks di beberapa laman sesawang seperti scientificamerican.com dan sciencfocus.com.

 


Sumber: scientificamerican.com dan sciencefocus.com

 

Pandangan Pakar

Kembali semula kepada persoalan utama, adakah produk bijirin mengandungi logam berat seperti serbuk besi sebagaimana yang didakwa Dr Mazliana?Kami menemukan pandangan seorang ahli kimia, Dr Che Puteh Osman mengenai kehadiran logam berat di dalam makanan.

Menerusi sebuah artikel bertajuk “KENAPA LOGAM BERAT ADA DI DALAM MAKANAN? yang diterbitkan di laman sesawang drcheputeh.com, kehadiran kandungan logam dalam buah, sayur dan bijirin adalah disebabkan oleh pengambilan bahan mentah makanan itu sendiri daripada tanah.

Ia bermaksud sesuatu bahan makanan berkenaan yang diambil daripada tanah sudah pun dicemari dengan bahan kimia sebelum pemprosesan bahan makanan mentah berkenaan dijalankan di sesebuah kilang.

Mengambil contoh beras, beliau memaklumkan walaupun makanan harian rakyat Malaysia itu mengandungi beberapa jenis logam, ia masih berada pada paras yang rendah dan selamat.

Menurutnya, kajian ke atas beberapa jenis beras di pasaran di Malaysia menunjukkan kandungan logam adalah dalam paras yang selamat.

Selain itu, mengambil contoh perladangan organik, Dr Che Puteh berkata walaupun hasil tanaman organik dikatakan bebas daripada sebarang pencemaran unsur-unsur kimia kerana ia tidak menggunakan racun dan baja sintetik, namun ia masih boleh mengandungi unsur kimia.

Jelasnya hasil tanaman organik berkenaan boleh tercemar dengan unsur kimia daripada laluan air hujan yang mengalir dari ladang berhampiran yang berkemungkinan besar bukan ladang organik.

“Jadi, tetap akan ada sisa racun walaupun mungkin tidak sebanyak ladang konvensional. Jadi, basuhlah bersih walaupun hasil dari ladang organik,” jelasnya.

 


Sumber: drcheputeh.com

 

Ada Logam Berat Tapi Tidak Bahaya

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (US FDA) laman sesawang mereka pula mendedahkan pencemaran terhadap makanan secara semula jadi boleh hadir di dalam bahan makanan disebabkan ia sudah berada di dalam tanah, air atau udara di mana makanan berkenaan ditanam dan dibaja.

US FDA menerusi satu kenyataan yang diterbitkan pada 2021 turut menjelaskan unsur-unsur toksik seperti Arsenik dan Plumbum secara semula jadinya hadir dan memasuki rantaian makanan seperti tanah, air dan udara.

Disebabkan ia hadir secara semula jadi, maka unsur-unsur kimia yang dinyatakan tidak boleh dielakkan dalam penghasilan buah-buahan, sayur-sayuran atau bijirin yang merupakan bahan asas dalam penghasilan makanan dan bijirin bayi, minuman jus atau bijirin.

Pemantauan rapi bagaimanapun tetap dijalankan oleh saintis US FDA bagi memastikan tahap kehadiran unsur-unsur kimia berkenaan selamat digunakan oleh pengguna akhir.

 


Sumber: fda.gov

 

Selain itu, sebuah laman sesawang berkaitan kekeluargaan iaitu theasianparent.com memaklumkan bahawa tahap kehadiran logam berat atau unsur-unsur kimia seperti besi, magnesium dan potasium terutamanya dalam makanan bayi berada pada tahap rendah.

 

Mikronutrien Juga Dimasukkan Ke Dalam Produk Bijirin

Selain kehadiran logam berat secara semula jadi di dalam makanan, sebenarnya pihak pengilang produk makanan ada melakukan proses penambahan mikronutrien atau ‘food fortification’.

Pasti ada antara kita yang tertanya-tanya mengapa pengilang produk makanan terutamanya bijirin memasukkan beberapa mikronutrien tambahan seperti zat besi ke dalam produk mereka?

Bukankah produk-produk yang mengandungi pelbagai khasiat mudah didapati sama ada di pasar raya dan kedai serbaneka?

Ia sebenarnya berikutan isu kekurangan zat besi dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan wanita berusia.

Satu kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik yang diterbitkan di dalam pelbagai jurnal termasuk The American Journal of Clinical Nutrition mendedahkan bahawa kekurangan zat besi dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan wanita berusia terutamanya di negara membangun merupakan satu masalah kesihatan global.

Sehubungan itu, proses penambahan mikronutrien dijalankan oleh pengilang berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Kajian itu turut mendedahkan proses berkenaan terutamanya ke atas produk berasaskan bijirin merupakan satu perkara efektif selain menjadi pendekatan jangka panjang dalam mencegah masalah kekurangan zat besi terutamanya melibatkan kanak-kanak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mikronutrien adalah vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang sedikit dan mempunyai pelbagai fungsi termasuk membolehkan tubuh menghasilkan pelbagai jenis enzim dan hormon selain zat-zat tertentu yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan normal sebagai manusia.

WHO turut mengakui proses penambahan mikronutrien ke dalam bijirin telah berjaya mengawal masalah kekurangan mikronutrien terutamanya di negara-negara membangun.

Seorang pakar dietetik Dr Felicia Stoler yang dipetik menerusi laman sesawang purewow.com turut mendedahkan bahawa produk bijirin yang telah diperkayakan dengan mikronutrien tambahan boleh menjadi sebahagian diet sihat.

“Sekiranya ada tidak mengambil multivitamin setiap hari atau mengamalkan pemakanan diet yang seimbang, pengambilan bijirin yang diperkayakan adalah cara mudah untuk anda memperoleh vitamin dan mineral harian yang dicadangkan.

“Ini juga memberi manfaat kepada wanita hamil, kanak-kanak dan mereka yang vegetarian. Hampir kesemua bijirin telah diperkayakan, jadi persoalan menjadi lebih sihat menjadi salah satu pilihan. Apa yang anda cari pada label makanan,” katanya.

 

Apa Itu Zat Besi Dan Kepentingannya Kepada Manusia?

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa badan kita secara azali tidak mempunyai zat besi secara semula jadi dan pengambilan makanan yang mengandungi zat besi amat penting untuk tubuh menghasilkan sel darah merah.

Namun apa itu zat besi sebenarnya?

Menurut portal MyHealth KKM, zat besi merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sel darah merah.

Kekurangan zat besi mengakibatkan badan tidak boleh menghasilkan hemoglobin (Hb) iaitu protein penting dalam sel darah merah yang mencukupi untuk membawa oksigen ke seluruh badan.

Ini mengakibatkan badan kita kekurangan sel darah merah dan  menyebabkan seseorang individu mengalami tanda-tanda seperti pucat dan mudah keletihan.

Seorang doktor perubatan, Dr Rizal Abu Bakar menerusi laman sesawang neuroversiti.com menjelaskan zat besi semula jadi berasal daripada dua sumber iaitu heme (haiwan) dan non-heme (tumbuh-tumbuhan).

Heme bermaksud zat besi berkenaan daripada haiwan seperti daging, ayam, ikan, dan organ dalaman manakala non-heme pula bersumberkan produk berasaskan tumbuhan seperti kekacang, sayur dan buah namun ada segelintirnya daripada haiwan.

Zat besi bukan semula jadi kebiasaannya adalah produk kesihatan seperti suplemen ubat-ubatan yang mengandungi zat besi tambahan bagi menampung kekurangan zat besi semula jadi yang diperoleh seseorang individu.

 

Berapa Jumlah Zat Besi Yang Sesuai?

Keperluan zat besi bagi setiap golongan umur dan jantina adalah berbeza.

Menurut laman sesawang Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, jumlah pengambilan zat besi yang dicadangkan adalah seperti berikut iaitu bayi berusia hingga enam bulan adalah 0.27 miligram (mg), 7 hingga 12 bulan (11mg), kanak-kanak 1 hingga 3 tahun (7mg) dan kanak-kanak 4 hingga 8 tahun (10mg).

Golongan berusia 9 hingga 13 tahun dicadangkan mengambil  8mg zat besi, 14 hingga 18 tahun (11mg bagi lelaki dan 15mg bagi wanita), 19 hingga 50 tahun (8mg bagi lelaki dan 18mg bagi wanita) manakala 8mg bagi lelaki dan wanita untuk golongan berusia 51 tahun dan ke atas.

 


Sumber: Office of Dietary Supplements (ODS)

 

Pengilang Diwajibkan Patuhi Sistem Piawaian Keselamatan Makanan

Sebenarnya, setiap pengilang harus memenuhi beberapa kriteria pensijilan makanan bagi memastikan produk makanan yang dihasilkan mereka bukan sahaja bebas daripada sebarang pencemaran malahan selamat untuk dimakan oleh pengguna.

Antara pensijilan atau kriteria pengeluaran makanan digunakan dalam industri penghasilan makanan adalah Amalan Pengilangan yang Baik (GMP), Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), ISO 22000, FSSC 22000 atau BRC.

Selain itu, setiap pengilang diwajibkan mempunyai jabatan khas iaitu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan bagi memantau sekiranya wujud sebarang kehadiran bahan kimia di dalam sesuatu makanan.

Sehubungan itu, pengguna tidak perlu khuatir terhadap isu keselamatan makanan kerana pemantauan keselamatan produk makanan telah dilakukan oleh pengilang sebelum diedarkan kepada pengguna akhir.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan berkenaan sebagai bercampur.

Memang benar terdapat logam berat di dalam produk bijirin dan makanan lain namun ia tidak berbahaya.

Kehadiran logam berat di dalam sesuatu produk makanan tidak boleh dielakkan kerana ia hadir secara semula jadi daripada sumber asal makanan tersebut disebabkan pencemaran daripada kawasan sekitar.

Sekiranya produk bijirin atau makanan lain mengandungi serbuk besi atau logam berat yang berbahaya, tidak mungkin pelbagai syarikat yang menghasilkan produk itu dapat memasarkannya secara meluas.

Semestinya setiap pengeluar makanan telah menjalankan penyelidikan selain perlu mematuhi prosedur operasi standard jaminan keselamatan makanan di negara masing-masing bagi memastikan ia bebas daripada sebarang pencemaran yang boleh membahayakan kesihatan manusia.

Tidak salah untuk mendengar sebarang pandangan atau perkongsian tetapi dapatkan nasihat mereka yang pakar dalam bidang berkaitan sebelum percaya dan membuat kesimpulan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Instagram Mazliana Mazlan

  2. YouTube Henry Hargreaves

  3. Apa itu anemia kekurangan zat besi?Diterbitkan oleh MyHealth

  4. 19 Makanan Kaya Zat Besi.Diterbitkan oleh neuroversiti.com

  5. Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat

  6. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

  7. Comparison of the efficacy of wheat-based snacks fortified with ferrous sulfate, electrolytic iron, or hydrogen-reduced elemental iron: randomized, double-blind, controlled trial in Thai women.Published by The American Journal of Clinical Nutrition

  8. SIRI 43: KENAPA LOGAM BERAT ADA DI DALAM MAKANAN?Diterbitkan oleh drcheputeh.com

  9. Environmental Contaminants in Food.Published by US FDA

  10. Apa yang perlu anda tahu tentang logam berat dalam makanan bayi:Ini Fakta.Diterbitkan oleh theasianparent.com

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.