+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minuman Pop Dringk Mengandungi Dadah? Tidak, Pop Dringk Disahkan Bebas Bahan Terlarang

Benarkah...

Pelajar kolej didapati positif dadah selepas dilaporkan minum bancuhan serbuk minuman Pop Dringk.

Sumber : WhatsApp & TikTok / Februari 2023

Hasil

Pop Dringk merupakan serbuk minuman berperisa buah-buahan yang dibancuh dengan air kosong dan tidak mengandungi sebarang bahan terlarang seperti dadah.

27/02/2023 02:50 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di media sosial bahawa ada pelajar kolej yang menjalani ujian air kencing yang dilaksanakan oleh kolej dan pihak berkuasa tempatan didapati positif dadah.
  • Dakwaan itu timbul selepas pelajar kolej berkenaan dikatakan telah meminum air yang dicampur dengan serbuk minuman Pop Dringk.
  • Pop Dringk sebenarnya sejenis serbuk minuman berperisa buah-buahan yang dibancuh dengan air kosong.
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sahkan Pop Dringk tidak mengandungi bahan berunsur dadah.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Penjualan minuman segera dalam bentuk paket semakin mendapat sambutan sejak kebelakangan ini kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa bahkan ia cukup mudah untuk disediakan oleh sesiapa sahaja.

Minuman pracampur 3 dalam 1, serbuk minuman berperisa buah-buahan, serbuk kopi dan sebagainya merupakan antara minuman paket yang mudah didapati di kedai serbaneka malahan turut dijual di laman e-dagang seperti Shopee dan Lazada.

Permintaan yang tinggi daripada masyarakat tempatan turut mendorong pengilang di negara ini untuk menghasilkan minuman dalam bentuk paket selain pengimportan produk yang sama daripada pelbagai negara termasuk dari negara jiran.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

Tular satu mesej berantai menerusi WhatsApp mendakwa ada pelajar kolej didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing yang dilaksanakan pihak kolej dengan kerjasama AADK dan PDRM bagi mengesan mereka yang terlibat dalam pengambilan dadah.

Menerusi mesej berkenaan, beberapa pelajar kolej itu dikatakan telah meminum sejenis serbuk minuman dikenali sebagai Pop Dringk yang didakwa mengandungi bahan berunsur dadah.

Selain WhatsApp, kami turut menemukan dakwaan yang hampir sama menerusi hantaran di media sosial yang dimuat naik pengguna TikTok antaranya di sini, di sini dan di sini serta  pengguna Facebook seperti di sini, di sini dan di sini.

 


Sumber: TikTok, Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Latar Belakang Pop Dringk

Mungkin ramai yang belum tahu apakah minuman Pop Dringk ini.

Pop Dringk merupakan minuman berbentuk serbuk berperisa buah-buahan yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat pengeluar produk makanan dari Indonesia, PT Forisa Nusapersada.

Menurut laman sesawang syarikat berkenaan, mereka menghasilkan pelbagai jenis makanan dalam bentuk paket seperti pasta, serbuk brownies pracampur segera dan serbuk adunan doh.

Kilang syarikat berkenaan yang terletak di Tangerang, pinggir bandaraya Jakarta turut mengeluarkan beberapa jenis jenama minuman berperisa buah-buahan seperti Teh Sisri, serbuk susu pelbagai jenis perisa selain beberapa minuman serbuk segera yang dibungkus dalam bentuk paket segi empat.

 

Sebuah Syarikat Makanan Di Ipoh Dilantik Pengedar Tunggal Pop Dringk Di Malaysia

Semakan kami mendapati sebuah syarikat pengeluaran makanan ringan iaitu Syarikat Perniagaan Lamzhuan Sdn Bhd di Perak telah dilantik sebagai pengedar tunggal oleh PT Forisa Nusapersada untuk membawa masuk produk serbuk minuman Pop Dringk ke negara ini.

Selain Pop Dringk, syarikat berkenaan yang mempunyai kilang di Chemor, Ipoh itu turut mengeluarkan pelbagai jenis makanan ringan yang lain seperti biskut dan gula-gula, snek serta permainan untuk kanak-kanak.

 


Sumber: Facebook, Shopee

 

Pop Dringk Tidak Mengandungi Bahan Berunsur Dadah

Adakah Pop Dringk mengandungi bahan berunsur dadah seperti yang ditularkan dalam mesej WhatsApp berkenaan?

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, mereka tidak menerima sebarang laporan berhubung minuman jenama Pop Dringk yang didakwa mengandungi dadah seperti yang ditularkan.

Memetik laporan Harian Metro, Urusetia Komunikasi Korporat PDRM mengesahkan bahawa JSJN tidak pernah membuat siasatan serta rampasan minuman berkenaan.

Laporan yang sama turut memaklumkan bahawa pihak AADK telah membeli beberapa sampel minuman berkenaan sebagai  'test buy' bagi menyemak kesahihan mesej tular itu.

"Setakat ini, ujian yang dijalankan pada minggu lalu itu didapati negatif dan tidak terkesan unsur dadah seperti yang ditularkan,” menurut AADK yang dipetik menerusi laporan berkenaan.

 


Sumber: Harian Metro

 

Isu Dadah Diletakkan Dalam Paket Minuman Bukan Perkara Baharu

Kehadiran bahan terlarang seperti dadah dalam serbuk minuman berbentuk paket bukanlah isu baharu.

PDRM sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan bagi membanteras penyalahgunaan dadah yang dicampurkan ke dalam makanan dan minuman.

Selain itu, media massa turut membuat pelbagai pendedahan mengenai taktik yang digunakan oleh sindiket dadah tempatan yang mencampurkan dadah ke dalam paket minuman sebelum diedarkan kepada pelanggan terutama di pusat hiburan dan karaoke.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh seperti yang dipetik menerusi portal dalam talian bebas thereporter.my yang diterbitkan pada 2018 mendedahkan, terdapat 30 jenis paket minuman yang diubah suai oleh sindiket dadah tempatan dan kebanyakan daripada paket minuman berkenaan merupakan paket minuman serbuk berperisa buah-buahan.

Pelbagai laporan berkaitan isu sama turut diterbitkan beberapa media tempatan yang lain seperti Sinar Harian dan Malaysia Gazette.

 

Adakah Pop Dringk Halal?

Memandangkan Pop Dringk merupakan produk minuman yang dihasilkan di luar negara, ramai pihak mempersoalkan adakah ia halal untuk diminum oleh umat Islam?

Menurut seorang pengguna TikTok yang menggunakan nama akaun Rara Abrah, minuman berkenaan telah mendapat pengesahan halal daripada Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Selain MUI, proses pengesahan status halal produk yang dijual di Indonesia ditentukan oleh dua lagi pihak iaitu Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal yang terletak di bawah Kementerian Agama Republik Indonesia serta Lembaga Pengkajian Pangan Obat Obatan dan Kosmetika (LPPOM).

Semakan kami di laman sesawang LPPOM mendapati produk berkenaan tidak mempunyai sebarang pengesahan halal.

Namun semakan di laman sesawang PT Forisa Nusapersada mendapati mereka meletakkan logo pengesahan halal MUI selain mendapat pengiktirafan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

GMP merupakan peraturan, kod dan garis panduan yang mengawal keadaan operasi dalam sesebuah premis makanan bagi membolehkan penghasilan makanan yang selamat.

 


Sumber: Laman sesawang LPPOM, laman sesawang PT Forisa Nusapersada

 

Pop Dringk Minuman Berkhasiat?

Berbicara daripada aspek kesihatan, serbuk minuman Pop Dringk sebenarnya mengandungi pelbagai jenis aditif makanan atau penambah rasa seperti pemanis tiruan, pewarna selain pengawal keasidan yang bertindak untuk mengekalkan nilai pH sesuatu produk makanan atau minuman.

Ia jelas dapat dilihat menerusi kandungan yang terpapar di paket serbuk minuman itu.

 


Sumber: Facebook

 

Menurut majalahsains.com, ‘p’ pada pH membawa maksud ‘populasi’ atau ‘kuasa’ ion hidrogen ‘H’.

Skala pH (0 – 14) adalah skala yang mengklasifikasikan sesuatu bahan kepada bersifat asid atau bes yang larut air (aka alkali).

Nilai pH 0 – 6 menunjukkan sesuatu bahan itu bersifat asid, nilai pH 8 – 14 menunjukkan sesuatu bahan bersifat alkali manakala nilai pH ~ 7 pula menunjukkan sesuatu bahan bersifat neutral.

 

Apa Itu Aditif Makanan?

Menurut portal MyHealth KKM, ia merupakan bahan yang selamat dimakan yang ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.

Penambahan aditif makanan bertujuan untuk memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan, meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi), menambah keenakan makanan selain memberi pilihan kepada pengguna.

Kami pernah mengeluarkan artikel mengenai penggunaan aditif makanan bertajuk Produk Dengan Label ‘No Added Sugar’ Bukan Bebas Kandungan Gula. Ia Mengandungi Pelbagai Jenis Pemanis Tiruan dan ia menerangkan mengenai risiko penggunaan pemanis tiruan berbanding pemanis semula jadi seperti gula pasir biasa.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan bahawa Pop Dringk mengandungi dadah adalah tidak benar memandangkan produk minuman berkenaan telah dipasarkan secara meluas di negara ini termasuk di kedai serbaneka dan juga laman e-dagang seperti Shopee.

Sekiranya minuman Pop Dringk dikatakan mengandungi dadah seperti yang didakwa, pihak berkuasa tempatan seperti PDRM, AADK atau kerajaan sendiri sudah pasti mengharamkan penjualan produk minuman berkenaan sejak sekian lama.

Bagaimanapun nasihat kami sentiasalah berhati-hati ketika membeli mana-mana produk makanan dan minuman berbentuk paket kerana dibimbangi ia dicampurkan dengan bahan terlarang.

Seeloknya, elakkan pengambilan produk makanan dan minuman dalam bentuk paket kerana ia sebenarnya tidak memberi sebarang manfaat kesihatan, malah pakar kesihatan dan pemakanan sendiri tidak menggalakan pengambilan produk sedemikian.

Amalkan gaya hidup sihat dengan rajin bersenam dan elakkan makanan yang tidak memberi sebarang khasiat kepada tubuh badan.

Pemakanan yang sihat penting untuk kesihatan badan bak kata peribahasa, badan sihat, otak pun cerdas!.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok irfan_hakimi 447

  2. TikTok orangroblox334

  3. TikTok qif241

  4. Facebook Ameera

  5. Facebook Yeman Daa

  6. Facebook Matden Liklau

  7. laman sesawang PT Forisa Indonesia

  8. Bukit Aman tidak terima laporan mengenai Pop Dringk.Diterbitkan oleh Harian Metro

  9. TikTok raraabrah

  10. Polis kesan 30 jenis peket minuman pelbagai jenama diisi dengan dadah oleh sindiket dadah.Diterbitkan oleh Thereporter.my

  11. Dadah dalam paket serbuk minuman terkenal dirampas.Diterbitkan oleh Sinar Harian

  12. Taktik lelaki edar ekstasi guna paket serbuk perisa minuman terbongkar.Diterbitkan oleh Malaysia Gazette

  13. Apakah Itu Skala pH?Diterbitkan oleh majalahsains.com

  14. Aditif Makanan – Apa yang perlu anda tahu?Diterbitkan oleh portal MyHealth KKM

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.