+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Lelaki Amuk Bersenjata Kayu Di Sekolah? Ia Hanyalah Latihan Demonstrasi Keselamatan

Benarkah...

Seorang lelaki bersenjatakan sebatang kayu mengamuk di sekolah kerana berang anaknya dipukul oleh seorang guru di sekolah terbabit.

Sumber : Sumber: TikTok / Februari 2023

Hasil

Ia sebenarnya latihan demonstrasi keselamatan bagi para pelajar dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Warisan Puteri, Seremban sekiranya berhadapan situasi orang mengamuk.

21/02/2023 02:54 PM

Penyelidik : Ummu Khalidah Hamzah

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video di TikTok memaparkan seorang lelaki bersenjatakan sebatang kayu sedang mengamuk di dalam kawasan sekolah.
  • Lelaki terbabit dikatakan berang kerana anaknya dipukul oleh salah seorang guru di sana.
  • Bagaimanapun, kejadian amuk itu sebenarnya adalah latihan demonstrasi keselamatan bagi para pelajar dan guru-guru di SK Taman Warisan Puteri.
  • Lelaki terbabit merupakan individu luar yang dijemput oleh pihak sekolah untuk melakonkan situasi terbabit supaya ia lebih realistik.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

‘Guru’ adalah gelaran diberi kepada individu yang berkhidmat sebagai pengajar atau pendidik.

Namun, tanggungjawab seorang guru hari ini tidak terbatas hanya kepada definisi itu, bahkan tugasnya jauh lebih banyak dan mencabar.

Peranan utama mereka adalah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing serta mampu menyumbang bakti kepada pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara.

Malangnya, guru kini dihimpit dengan tugasan yang bukan sahaja berbentuk akademik tetapi juga kerja perkeranian, membawa pelajar ke klinik atau harus menangani masalah disiplin pelajar yang kadangkala menjadi rumit apabila berlakunya campur tangan oleh sesetengah ibu bapa.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki bersenjata mengamuk di tengah-tengah tapak perhimpunan sekolah.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @epinmusa, kedengaran jelas lelaki terbabit berang selepas anaknya dipukul oleh salah seorang guru di sekolah itu.

Turut kelihatan beberapa orang guru cuba menenangkan lelaki tersebut yang menjerit sambil memegang sebatang kayu.

Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi warganet.

 


Sumber: TikTok

 

Namun benarkah berlakunya kejadian amuk itu? Jom MyCheck semak!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pertama sekali, MyCheck membuat penelitian pada laman TikTok @epinmusa dan kami mendapati bahawa video itu mempunyai beberapa rentetan yang lain.

 


Sumber: TikTok

 

Bagaimanapun video-video tersebut tidak mempunyai kepsyen yang menjelaskan situasi yang berlaku dan hanya menunjukkan lelaki terbabit terus mengamuk di pekarangan sekolah.

Tidak berputus asa, kami kemudiannya membuat carian di enjin Google menggunakan kata kunci ‘lelaki mengamuk di sekolah’ dan hasilnya kami menjumpai beberapa laporan berhubung isu berkenaan.

 

Kejadian Berlaku Di SK Taman Warisan Puteri

Memetik laporan Utusan TV, kami difahamkan bahawa kejadian tersebut hanyalah sebahagian daripada program sekolah.

Gambar di bawah menunjukkan tangkap layar pengesahan @epinmusa ketika dihubungi oleh Utusan TV.

 


Sumber: Utusan TV

 

Menerusi laporan yang sama juga dikatakan kejadian itu berlaku di SK Taman Warisan Puteri, Seremban menerusi satu tangkap layar di laman Facebook sekolah terbabit.

 

Video Tular Hanya Demonstrasi Keselamatan Untuk Guru Dan Murid

Kami kemudian membuat carian lanjut berhubung sekolah itu di Facebook dan berjaya menemukan satu hantaran bergambar berserta kapsyen yang menjelaskan situasi tular itu.

 


Sumber: Facebook

 

Menurut hantaran terbabit, kehadiran lelaki mengamuk tersebut sebenarnya adalah untuk latihan demonstrasi keselamatan.

Objektif latihan tersebut bertujuan melatih dan memberi persediaan kepada para pelajar dan guru sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di sekolah.

Gambar di bawah turut menunjukkan para pelajar sedang berlatih kaedah untuk menyelamatkan diri dengan cara meniarap di atas lantai atau duduk di bawah meja dalam keadaan pegun.

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck juga menghubungi pengguna media sosial, @epinmusa untuk mendapatkan kepastian berhubung identiti lelaki terbabit.

 


Sumber: TikTok

 

Menurutnya, lelaki tersebut bukan guru di sekolah itu sebaliknya beliau dijemput untuk melakonkan situasi tersebut agar demonstrasi itu nampak lebih realistik.

MyCheck cuba mendapatkan maklumat lanjut dengan bertanyakan bagaimana beliau memperoleh video tersebut dan adakah beliau merupakan sebahagian daripada warga sekolah yang turut terlibat dalam latihan demonstrasi tersebut, namun kami masih belum menerima sebarang maklum balas setakat laporan ini ditulis.

 

KESIMPULAN

Maka jelas di sini, bahawa dakwaan lelaki mengamuk di sekolah itu hanyalah lakonan untuk latihan keselamatan semata dan bukannya kejadian sebenar.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita pastinya akan menguar-uarkan kepada ibu bapa tentang sesuatu isu terutamanya perkara yang melibatkan keselamatan anak mereka.

Bagaimanapun, sikap suka berkongsi tanpa memastikan kesahihan maklumat itu boleh mencetuskan panik dan marah orang ramai lebih daripada rasa waspada.

MyCheck berharap agar rakyat Malaysia tidak terburu-buru untuk berkongsi maklumat dan lebih bijak semasa menggunakan media sosial.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

 

  1. Lelaki mengamuk pegang kayu hanya lakonan program sekolah - UtusanTV

  2. #Epin4 | TikTok 

  3. Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri l Facebook 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.