+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada ‘Lockdown’ Di Beberapa Negara Eropah, Hanya Syarat Kemasukan Tertentu Elak Penularan Covid-19

Benarkah...

Beberapa negara di benua Eropah melaksanakan ‘lockdown’ atau perintah berkurung dan menutup pintu sempadan kepada pengembara asing.

Sumber : WhatsApp, Facebook / Januari 2023

Hasil

Kebanyakan negara Eropah sudah membuka pintu sempadan kepada pengembara asing namun masih melaksanakan beberapa peraturan ketika berada di tempat awam.

02/02/2023 01:46 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa beberapa negara di Eropah masih menguatkuasakan perintah berkurung susulan gelombang ketiga COVID-19 dan ada negara yang menutup pintu masuk kepada pengembara asing.
  • Dakwaan berkenaan adalah tidak benar memandangkan kebanyakan negara di benua Eropah sudah membuka pintu sempadan kepada pengembara asing sejak tahun lepas.
  • Negara-negara Eropah itu juga turut mewajibkan ujian calitan COVID-19 bagi pengembara dari China disebabkan peningkatan kes mendadak di negara tembok besar itu.
  • Pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam masih diwajibkan di beberapa negara Eropah.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Masyarakat dunia masih lagi berdepan dengan gelombang pandemik COVID-19.

Banyak negara masih menguatkuasakan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam terutamanya ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital.

Peningkatan kes COVID-19 di China yang dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa sebelum ini menyebabkan pelbagai negara dilaporkan mula mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mewajibkan ujian calitan kepada pelancong dari negara Tembok Besar itu.

Laporan yang dikeluarkan oleh pelbagai media antarabangsa itu menyebabkan ada penduduk di beberapa buah negara yang mengadakan protes bagi menuntut kerajaan masing-masing untuk tidak membuka sempadan negara mereka kepada pengembara dari China.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

Kami menerima satu mesej tular menerusi WhatsApp yang mendakwa bahawa beberapa negara Eropah seperti Jerman, Austria, United Kingdom, Perancis dan Itali sedang melaksanakan perintah berkurung susulan gelombang ketiga COVID-19 lebih besar daripada gelombang pertama dan kedua.

Mesej berkenaan mendakwa kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menutup pintu kepada pengembara dari India bermula 1 Disember 2022 selain kerajaan Arab Saudi turut membatalkan penerbangan masuk dan keluar ke negara tersebut.

Kerajaan Tanzania pula dilaporkan menutup sepenuhnya pintu masuk dan keluar kepada pengembara luar negara.

Selain itu mesej berantai berkenaan turut mendakwa bahawa kerajaan Kanada mengharamkan penerbangan masuk dan keluar kerana jumlah kematian harian akibat jangkitan COVID-19 melebihi 1,000 orang setiap hari.

Dakwaan berkenaan turut menyebut bahawa Brazil mencatatkan kematian lebih 4,100 individu pada setiap hari.

Individu berkenaan mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah gelombang ketiga COVID-19 kerana ia memberi ancaman yang hampir sama dengan Selesema Sepanyol yang berlaku pada awal 1900.

Pandemik selesema 1918 yang disebut sebagai Selesema Sepanyol (Spanish Flu) adalah merupakan pandemik influenza kategori lima yang bermula di Amerika Syarikat, Afrika Barat dan Perancis lalu tersebar hampir ke seluruh dunia.

Pandemik ini difahamkan yang pertama disebabkan oleh virus influenza A subjenis H1N1 dan kebanyakan yang terkorban akibat selesema ini adalah golongan belia.

Selesema Sepanyol melanda seluruh dunia sejak Mac 1918 hingga Jun 1920.

Kira-kira 50 hingga 100 juta orang di seluruh dunia terkorban dan secara tidak langsung telah menjadikannya antara pandemik paling membawa maut di dunia.

Mesej tular berkenaan juga boleh ditemukan di laman sosial Facebook antaranya di sini, di sini dan di sini, selain versi bahasa Inggeris yang boleh ditemukan di sini.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Memandangkan mesej berkenaan melibatkan pelbagai negara dan langkah pencegahan penularan COVID-19 yang diambil oleh setiap negara dinyatakan dalam mesej tular adalah berbeza-beza, kami membuat semakan satu per satu negara tersebut.

Dakwaan pertama yang menyatakan bahawa beberapa negara Eropah seperti Jerman, Austria, United Kingdom, Perancis dan Itali masih melaksanakan perintah berkurung adalah tidak benar.

Ini kerana perintah berkurung berkenaan telah dilaksanakan di negara-negara yang dinyatakan antara 2020 sehingga 2022.

Pengenalan vaksin COVID-19 oleh beberapa syarikat farmaseutikal beberapa tahun lepas menyaksikan pengurangan kes jangkitan di peringkat global dan hampir semua negara sudah membuka pintu sempadan negara masing-masing kepada pengembara luar.

Bagaimanapun, beberapa polisi atau langkah pencegahan masih dikekalkan di kebanyakan negara di dunia termasuk di benua Eropah sendiri kepada pengembara luar.

Antaranya adalah pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam selain pengembara luar dari negara yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19 diminta untuk mempamerkan keputusan negatif ujian COVID-19 setibanya di sesebuah negara.

MyCheck pecahkan maklumat setiap negara satu persatu seperti berikut :

 


Sumber: Google

 

Jerman

Sebuah laman sesawang berkaitan informasi negara Jerman, www.deutschland.de yang memetik laporan agensi berita negara tersebut, Deutsche Presse-Agentur memaklumkan bahawa kerajaan Jerman hanya mewajibkan pelancong dari China untuk melaksanakan ujian calitan COVID-19 setibanya di negara tersebut.

 

Austria

Laman sesawang Austria.info pula memaklumkan kerajaan negara berkenaan hanya mewajibkan pemakaian pelitup muka jenis FFP2 sekiranya melawat ibu negara, Vienna atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan pergi membeli ubat di farmasi.

Laman sesawang berkenaan memaklumkan sejak 1 Ogos 2022, kerajaan Austria tidak mewajibkan pengembara luar untuk menjalani kuarantin kendiri sekiranya disahkan positif Covid-19 namun mereka diwajibkan memakai pelitup muka jenis FFP2 ketika berada di tempat awam.

Individu yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan memasuki pusat kesihatan spa dan hospital di negara berkenaan sekiranya tidak memakai pelitup muka.

 

Amerika Syarikat

Bermula 5 Januari 2023, pengembara asing dari China, Hong Kong dan Macau atau pelawat luar tanpa mengira warganegara dan status vaksinasi yang pernah mengunjungi ketiga-tiga negara berkenaan dalam tempoh 10 hari diwajibkan untuk mempamerkan keputusan negatif ujian calitan COVID-19 setibanya mereka di Amerika Syarikat.

Menurut laman sesawang  Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), peraturan berkenaan turut tertakluk kepada pengembara dari Seoul, Toronto dan Vancouver yang pernah mengunjungi China, Hong Kong dan Macau dalam tempoh 10 hari sebelum ketibaan mereka di Amerika Syarikat.

Berdasarkan peraturan baharu mereka, mana-mana individu diwajibkan mempamerkan keputusan negatif ujian calitan COVID-19 kepada pihak berkuasa penerbangan negara masing-masing, dua hari sebelum mereka berlepas ke Amerika Syarikat.

 

Dubai, UAE

Larangan kemasukan pengembara dari India ke UAE seperti yang ditularkan dalam mesej berkenaan telah dilaksanakan pada Jun 2021 susulan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di negara Asia Selatan berkenaan.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa Reuters, larangan berkenaan melibatkan pengembara luar yang pernah melawat India, Afrika Selatan dan Nigeria dalam tempoh 14 hari bermula 19 Jun 2021.

 

Kanada

Dakwaan yang menyatakan bahawa kadar kematian harian di Kanada melebihi 1,000 individu adalah tidak benar kerana berdasarkan statistik aplikasi papan pemuka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian tertinggi dicatatkan Kanada adalah pada Mac 2020 melibatkan 1,174 individu pada 4 Mei 2020 dan pola graf papan pemuka WHO menunjukkan jumlah kematian sentiasa berubah-ubah.

Laman sesawang kerajaan Kanada bagaimanapun memaklumkan pengenalan peraturan sementara yang berkuat kuasa sejak 5 Januari 2023 yang mana pengembara luar dari China, Hong Kong dan Macau yang tiba di Kanada menerusi laluan udara, diwajibkan mempamerkan bukti keputusan negatif ujian COVID-19, dua hari sebelum mereka berlepas dari negara masing-masing.

Penumpang yang disahkan positif COVID-19 lebih dari 10 hari sebelum ketibaan mereka di Kanada, tetapi tidak melebihi 90 hari, perlu mempamerkan keputusan pengesahan ujian calitan COVID-19 kepada pihak berkuasa negara berkenaan.

 


Sumber: Google

 

Arab Saudi

Dakwaan bahawa kerajaan Arab Saudi melakukan sekatan penerbangan keluar masuk adalah pada 2020 dan bukannya pada tahun ini.

Menurut laporan Reuters, kerajaan Arab Saudi, Kuwait dan Oman telah menutup pintu sempadan kepada negara luar selain menggantung penerbangan komersial masing-masing disebabkan kebimbangan terhadap penularan varian baharu COVID-19.

 

Tanzania

Menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan Tanzania, bermula 12 Januari 2023, mana-mana individu yang berhasrat memasuki Tanzania dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Pengembara asing yang berhasrat memasuki negara berkenaan tidak diminta untuk mempamerkan sijil vaksinasi COVID-19, namun pihak kesihatan di negara berkenaan mungkin akan menjalankan ujian calitan COVID-19 secara rambang kepada mana-mana pengembara asing bagi tujuan pemantauan.

Mana-mana individu yang disahkan dijangkiti COVID-19 menerusi imbasan mesin pengimbas di pintu masuk negara berkenaan yang didapati bergejala COVID-19 akan diasingkan dan diuruskan oleh pihak kesihatan Tanzania.

 

Brazil

Kematian melebihi 4,100 orang di Brazil akibat COVID-19 seperti yang ditularkan menerusi mesej berantai berkenaan adalah tidak benar kerana jumlah kematian harian di negara berkenaan jauh lebih tinggi dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 29 Mac 2021 iaitu sebanyak 21,094 individu berdasarkan aplikasi papan pemuka Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

 

Sepanyol

Dakwaan kerajaan Sepanyol bakal melanjutkan perintah darurat disebabkan gelombang ketiga COVID-19 adalah tidak benar kerana aktiviti perniagaan dan sosial di negara berkenaan masih berjalan seperti biasa.

Laman sesawang Kementerian Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna dan Kebajikan Sosial Sepanyol bagaimanapun mendedahkan pengembara dari China yang tiba di Sepanyol menerusi laluan udara, diwajibkan menjalankan semakan kesihatan di pintu masuk termasuk pemeriksaan suhu badan, semakan dokumen perjalanan dan semakan visual berhubung tahap kesihatan mereka.

Selain itu, pengembara dari China mesti mempunyai sijil digital COVID-19 Kesatuan Eropah atau lain-lain dokumen yang mengesahkan bahawa mereka telah mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Sekiranya tiada sijil digital EU, mereka mesti mempamerkan keputusan negatif ujian diagnostik COVID-19 yang disahkan oleh pakar perubatan sebelum dibenarkan masuk ke Sepanyol.

 

United Kingdom

Dakwaan menyatakan bahawa United Kingdom bakal melaksanakan perintah berkurung selama sebulan juga tidak benar.

Ini kerana beberapa negara di bawah United Kingdom sudah melaksanakan perintah berkurung sejak berlakunya penularan COVID-19 di peringkat global pada 2020.

Sebagai contoh, memetik laporan agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang disiarkan pada 4 November 2020, Parlimen United Kingdom bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Britain Boris Johnson untuk melaksanakan perintah berkurung selama sebulan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

United Kingdom merupakan gabungan empat negara yang terletak di Kepulauan Inggeris iaitu England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

 

Perancis

Menurut laman sesawang Kementerian Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis, kesemua peraturan berkaitan kemasukan pengembara luar ke negara berkenaan seperti bukti pengesahan negatif ujian calitan COVID-19, sijil pengesahan suntikan vaksin COVID-19 dan pemakaian pelitup muka telah dihentikan sejak 1 Ogos 2022.

 

Itali

Menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan Itali, bermula 28 Disember 2022, pengembara dari China, Hong Kong dan Macau yang memasuki Itali atau menjadikan negara berkenaan sebagai laluan transit, mereka diwajibkan menjalani ujian calitan COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan Itali Orazio Schillaci, sekiranya ada yang disahkan positif COVID-19, ujian molekular akan dilaksanakan bagi mengesan jenis varian COVID-19 berkenaan, seterusnya mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian.

Bermula 1 Jun 2022, pengembara asing dari negara Kesatuan Eropah atau negara luar lain tidak memerlukan pas hijau bagi melawat Itali.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan ini adalah tidak benar kerana kebanyakan negara di Eropah sebenarnya tidak lagi melaksanakan perintah berkurung.

Nasihat kami baca dan semak dahulu sebarang mesej yang ditularkan daripada mana-mana platform media sosial selain WhatsApp bagi mengelakkan kita menyebarkan fakta yang tidak tepat.

Bagus untuk berjaga-jaga namun jangan cepat melatah.

Usah bimbang untuk bercuti ke mana-mana negara dan patuhilah prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Sentiasa beringat, kita masih dalam ancaman kerana ‘musuh tidak nampak’ ini masih ada di sekeliling kita.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Yana Diyana

  2. Facebook Mc Schzle

  3. Facebook Seaw Huan

  4. Facebook Sandeep Kaur

  5. coronavirus in Germany

  6. Entry Regulations for Austria

  7. Kementerian Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis

  8. UK parliament approves month-long COVID-19 lockdown for England.Published by Aljazeera.com

  9. UAE ban on entry from India unchanged, federal aviation notice says.Published by Reuters

  10. WHO Covid-19 dashboard for Canada

  11. COVID-19 epidemiology update: Key updates in Canada

  12. Saudi Arabia, Kuwait, Oman to close borders over new COVID strain.Published by reuters.com

  13. Kementerian Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna dan Kebajikan Sosial Sepanyol

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.