+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

‘Tiger Pod’ Ada Dijual Di Pasaran Tempatan. KKM, Agensi Berkaitan Sedang Memantau

Benarkah...

Penjualan vape seperti mainan berbentuk harimau ‘Tiger Pod’ didakwa berada dalam pasaran Malaysia.

Sumber : WhatsApp, Twitter / Januari 2023

Hasil

Pihak berwajib menerima maklum berkenaan penjualan vape itu serta sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menangani permasalahan tersebut.

31/01/2023 08:00 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu dakwaan berhubung penjualan pod vape berbentuk 'harimau comel' seperti permainan di pasaran negara ini.
  • Dakwaan tersebut menimbulkan kegusaran ramai pihak khususnya ibu bapa kerana khuatir boleh menarik minat golongan kanak-kanak dan orang muda.
  • Pihak berwajib mengesahkan turut mendapat laporan berkenaan isu vape yang juga dikenali sebagai ‘tiger pod’.
  • Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, agensi-agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan bagi menangani isu ini.
  • Pengusaha vape diseru untuk lebih bertanggungjawab dan tidak menampilkan reka bentuk menyerupai permainan selain memasarkannya secara berleluasa termasuk di media sosial.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Trend pod pakai buang kini dilihat semakin popular dalam kalangan penghisap vape.

Saiznya yang lebih kecil dalam pelbagai bentuk juga menjadikan alatan itu semakin mudah untuk dibawa ke mana-mana serta digunakan pada bila-bila masa.

Cara penjagaannya juga jauh lebih mudah, asapnya yang kurang tebal berbanding vape mekanikal juga menjadi faktor penting serta turut dikenali sebagai ‘vape mini’.

Selain dijual dalam pelbagai perisa, pelbagai bentuk dan rupa vape boleh dilihat di pasaran.

Ia bersaiz kecil dan kelihatan seolah olah 'bukan' vape kerana berbentuk seperti pen kecil, air tin, botol air, bercorak kartun dan berwarna-warni.

Jika dahulu kos untuk memiliki vape memerlukan perbelanjaan besar sehingga ratusan ringgit, namun kini alat berkenaan boleh dibeli oleh semua golongan termasuk pelajar sekolah kerana dijual terlalu murah iaitu RM10 berdasarkan jumlah sedutan (puff) ditawarkan.

Faktor-faktor tersebut secara tidak langsung mendorong pertambahan pengguna baru terutama dalam kalangan mereka yang masih di bawah umur.

Untuk rekod, industri vape negara ini bernilai RM2.27 bilion seperti didedahkan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima satu dakwaan berkenaan penjualan pod vape berbentuk 'harimau comel' yang menarik minat golongan kanak-kanak.

Jika perkara ini berlaku dan kian berleluasa ia amat membimbangkan ramai pihak khususnya ibu bapa kerana khuatir anak-anak yang bersekolah akan cenderung untuk membelinya dengan sengaja atau tidak sengaja.

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian rawak berkenan tajuk berita yang ditularkan itu menerusi enjin carian Google, dengan kata kunci 'vape comel'.

Hasilnya banyak laporan yang sepadan ditemukan seperti berikut.

 


Sumber: Google

 

Seterusnya kami meneliti satu-persatu pautan berkenaan bagi mengumpul lebih lagi maklumat.

Kami juga dapati ramai pihak sangat mengambil berat perkara ini serta memberi pandangan membina terhadap permasalahan yang timbul.

Apa yang mengejutkan apabila menjengah ke platform media sosial, ‘tiger vape’ itu turut dijual secara bebas dan sesiapa sahaja boleh mendapatkannya.

Antara yang kami boleh kongsikan seperti di TikTok berikut.

 


Sumber: TikTok

 

Penjualan Vape Berleluasa

Menurut portal Lobak Merah, industri vape di negara kita tumbuh bagai cendawan selepas hujan dengan wujudnya banyak kedai menjual produk tersebut dalam pelbagai perisa dan rupa.

Malah katanya orang ramai risau dengan rupa vape terbaharu yang dikenali sebagai ‘Tiger Pod’.

Ia menampilkan rupa yang agak comel seakan-akan lego, vape ini telah menimbulkan kerisauan orang ramai terhadap pengaruhnya kepada golongan remaja dan kanak-kanak.

Portal The Vibes juga melaporkan penjualan vape mini seperti itu di pasaran adalah sesuatu yang mengejutkan.

Industri penjualan vape merupakan antara pasaran terbesar di Asia Tenggara dan lebih membimbangkan apabila penjualan produk e-rokok ini masih tidak dikawal di Malaysia.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bilangan perokok di Malaysia terus meningkat kepada 4.8 juta orang pada 2021berbanding 4.7 juta pada 2011.

Malah, kekerapan merokok di negara ini berada pada tahap yang tinggi iaitu sebanyak 21.3 peratus.

 

Trend Tidak Sihat

Isu ini turut dilapor oleh portal Majoriti memetik seorang pengamal perubatan tempatan, Dr Arisman Wenge Abd Rahman yang meluahkan rasa kecewa di Facebook peribadinya terhadap lambakan vape dan penjualannya yang tidak terkawal.

Beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengambil serius isu yang memudaratkan kesihatan mental dan fizikal ini termasuk mengenakan tindakan keras dengan segera.

Sementara itu menurut laporan Berita Harian yang memetik kenyataan Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, penggunaan vape umpama keseronokan terlarang dalam kalangan remaja yang seharusnya ditangani segera.

Vape bukan hanya terkandung bahan kimia berbahaya tetapi memancing populasi bukan perokok untuk mencubanya kerana didakwa tidak bahaya selain mengalihkan ketagihan pada rokok konvensional.

Tabiat merokok juga antara penyebab kematian utama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 10,000 perokok meninggal dunia dalam setahun, berpunca akibat menghidap kanser, kerosakan paru-paru dan lain-lain.

 

Maklum Balas Pihak Berwajib

Apabila berlaku sesuatu yang mencetus kebimbangan khususnya membabitkan soal  kesihatan dalam kalangan awam seperti isu penjualan 'vape tiger' di pasaran Malaysia, seharusnya ia mendapat perhatian pihak berwajib.

Lebih-lebih lagi apabila perkara itu turut membaitkan generasi muda dalam kalangan pelajar sekolah.

Justeru, MyCheck cuba mencari maklumat sekiranya terdapat sebarang maklum balas berhubung isu ini.

Menurut laporan BERNAMA, KKM akan terus  bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan bagi memastikan pendidikan berkaitan bahaya merokok disebarkan secara meluas kepada masyarakat.

Menterinya, Dr Zaliha berkata ini kerana KKM mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

Sementara itu, portal Sarawak Voice melaporkan Dr Zaliha dengan tegas menyeru pengusaha vape untuk lebih bertanggungjawab dan tidak menampilkan reka bentuk rokok elektronik yang menyerupai permainan kanak-kanak.

Dr Zaliha berkata kementerian mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

Katanya, KKM juga mendapat maklumat mengenai aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan vape yang menyerupai permainan kanak-kanak atau Tiger Pod yang kini semakin berleluasa.

 

Dasar Generasi Penamat (GEG)

Selain respons pihak berwajib seperti yang kami terangkan di atas, sebenarnya telah ada usaha serius dalam menangani masalah ini.

Menurut portal Dewan Kosmik, KKM telah mengambil langkah untuk melaksanakan Dasar Generasi Penamat ‘Generation End Game’  (GEG)) menerusi penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Rang undang-undang (RUU) itu juga telah dibentangkan pada 27 Julai 2022 di Parlimen dan dijangka mula berkuat kuasa pada 2025 jika diluluskan.

Setakat ini, Malaysia dan New Zealand merupakan dua negara pertama yang membawa RUU GEG ke parlimen masing-masing.

Cadangan pelaksanaan GEG ini dilihat sebagai antara penyelesaian.

Walaupun GEG ini dilihat sebagai antara penyelesaian yang baik dalam menangani masalah ketagihan merokok dan rokok elektronik di negara ini tetapi masih banyak pihak menentangnya.

Alasan mereka menentang usaha GEG ini kononya menggugat hak asasi golongan tertentu.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, kami kategorikan dakwaan ini sebagai benar kerana kebanyakan maklumat yang kami semak mengesahkan perkara itu berlaku.

Walaupun isu yang tular ini menimbulkan banyak reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, namun dari sudut yang lain ia dapat membuka mata ramai pihak dan mendorong pihak berwajib agar lebih tangkas dalam mencari solusi berkenaan perkara ini.

Kami di Mycheck berpendapat, mahu atau tidak semua pihak perlu bersama-sama dalam menjayakan usaha yang baik untuk menyelesaikan masalah ini demi kemaslahatan generasi seterusnya.

Dalam masa yang sama perkara ini mengingatkan ibu bapa agar tidak memandang remeh malah lebih cakna dengan isu yang berkaitan dengan anak-anak mereka.

Mungkin sebelum ini ada ibu bapa yang tidak tahu anak-anak masing-masing berada dalam persekitaran yang amat berisiko.

Setiap daripada kita perlu lebih peka akan keselamatan anak-anak berhubung perkara ini kerana akses mereka kepada alat-alat atau perbuatan terlarang seperti menghisap vape ini sangat meluas.

Tambahan pula inovasi reka bentuk vape yang semakin mengelirukan ini amat membimbangkan.

Kelihatan seperti alat permainan, rupa-rupanya boleh mengancam generasi!.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Health Ministry expresses concern over widespread sale of 'Tiger Pod' in front of school 

  2. KKM bimbang penjualan 'Tiger Pod' berleluasa

  3. MoH expresses concern over widespread sale of ‘Tiger Pod’ in front of school 

  4. Vape tiger pod mesti dibendung dari anak-anak 

  5. KKM bimbang penjualan Tiger Pod berleluasa 

  6. Menteri Kesihatan kesal produk vape 'Tiger Pod' dijual depan sekolah - ismaweb 

  7. MOH concerned over widespread sale of 'tiger pod'

  8. ‘Ingatkan Lego, Vape Rupanya’ – Kehadiran 'Tiger Pod' Di Pasaran Undang Kerisauan Ibu Bapa 

  9. Not for kids: think tank calls for tobacco law after Tiger Pod case | Malaysia | The Vibes 

  10. “Sangat child appealing” - Vape ‘Comel’ Buat Orang Ramai Risau Golongan Remaja Akan Terpengaruh - Lobak Merah 

  11. Jualan 'Tiger Pod' semakin berleluasa - Malaysiapost 

  12. Lambakan jualan vape online makin parah, tiba masanya PM10, menteri masuk campur - Berita | Majoriti 

  13. Pengusaha vape perlu lebih bertanggungjawab I Sarawak Voice 

  14. Dasar Generasi Penamat (GEG) Melahirkan Generasi Masa Hadapan yang Lebih Sihat 

  15. Bagaimana ‘Tiger Pod’ Boleh Masuk Pasaran? – Sumberkini 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.