+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Bukti Sahkan Varian XBB Lima Kali Ganda Lebih Berbahaya Daripada Varian Delta Dan Sebabkan Jangkitan Lebih Serius

Benarkah...

Sub varian Omicron, XBB adalah lima kali ganda lebih berbahaya daripada varian Delta kerana menyebabkan jangkitan yang serius dan boleh membawa maut.

Sumber : Facebook / November 2022

Hasil

Pakar perubatan sahkan dakwaan berkenaan adalah tidak benar. Simptom bagi individu yang dijangkiti varian XBB adalah hampir sama dengan varian Covid-19 yang lain.

01/12/2022 08:15 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menyatakan varian XBB adalah lima kali ganda lebih berbahaya daripada varian Delta.
  • Varian XBB merupakan gabungan dua sub varian Omicron iaitu BA.2.10.1 dan BA.2.75.
  • Singapura bukan negara asal varian XBB kerana varian berkenaan telah merebak ke negara lain terlebih dahulu.
  • Pakar perubatan sangkal dakwaan bahawa kadar kematian akibat jangkitan varian XBB lebih tinggi berbanding varian Delta.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2019 belum berpenghujung meskipun pelbagai jenis vaksin telah dicipta oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa seperti Moderna dan Pfizer.

Kewujudan pelbagai varian Covid-19 seperti Delta, Omicron dan yang terbaharu XBB jelas memberi petanda bahawa penularan Covid-19 belum berhenti daripada terus membelenggu kehidupan kita sehingga kini.

Pelbagai kajian berterusan dilakukan oleh para penyelidik dan saintis perubatan setiap tahun bagi mengenal pasti mutasi varian baharu yang terhasil disebabkan oleh penyebaran Covid-19.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Aziz Al-Safi Ismail telah memuat naik satu hantaran mendakwa sub varian Omicron, XBB adalah lima kali lebih kuat selain mengakibatkan kadar kematian yang lebih tinggi berbanding varian Delta.

Hantaran yang memetik laporan dari Singapura itu antara lain menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka kerana varian XBB yang merupakan gabungan dua sub varian Omicron boleh membawa maut.

Pengguna Facebook itu turut mendakwa individu yang terkena jangkitan varian XBB tidak mengalami batuk atau demam, sebaliknya beberapa gejala lain seperti sakit sendi, sakit kepala, sakit leher, sakit pinggang atas, pneumonia (radang paru-paru) serta tiada selera makan.

Orang ramai yang menerima maklumat itu turut diingatkan supaya menyebarkannya kepada rakan dan keluarga terdekat.

Mesej yang hampir sama dimuat naik beberapa pengguna lain di Facebook.

Anda boleh lihat antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini selain turut dikongsi oleh beberapa pengguna TikTok seperti di sini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Perkara pertama yang kami semak adalah latar belakang varian XBB bagi mengetahui adakah ia varian Covid-19 yang baharu atau merupakan sub varian virus Covid-19 yang lain.

Varian XBB sebenarnya merupakan gabungan dua sub varian Omicron iaitu BA.2.10.1 dan BA.2.75.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, varian berkenaan dilaporkan bermula di India pada Ogos lepas sebelum merebak ke beberapa negara lain termasuk Australia, Bangladesh, Denmark, Jepun dan Amerika Syarikat.

Varian XBB kemudiannya dilaporkan mula merebak ke rantau Asia Tenggara bermula di Singapura pada September, disusuli Thailand dan Indonesia pada Oktober.

Sehingga Oktober lepas, varian XBB dilaporkan telah merebak ke 35 negara.

Di Malaysia, empat kes jangkitan Covid-19 disebabkan varian XBB telah mula dikesan di negara ini iaitu masing-masing melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang dipetik menerusi Berita RTM memaklumkan semua kes berkenaan melibatkan kategori dua dengan mengalami gejala demam dan batuk sederhana.

“Hanya satu kes merupakan kes jangkitan semula dan semua kes terbabit telah menjalani isolasi tujuh hari, manakala semua kontak rapat juga telah dikenal pasti,” jelas Khairy.

 


Sumber: Berita RTM

 

Varian XBB Berasal Dari Singapura?

Disebabkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang mendadak di Singapura, ramai pihak mendakwa varian XBB berasal dari republik berkenaan, namun benarkah dakwaan itu?

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menerusi laman sesawang moh.gov.sg, jumlah individu yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak di antara awal September hingga akhir November 2022.

Rekod tertinggi dicatatkan pada 18 Oktober lepas iaitu 11,552 orang disahkan dijangkiti Covid-19 melibatkan kes tempatan dan import.

Memetik laman sesawang Channel News Asia, Pengarah Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan Singapura Dr Sebastien Maurer Stroh menjelaskan data daripada Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati varian XBB sebenarnya sudah ditemukan di beberapa negara lain, seminggu sebelum kes pertama dilaporkan di Singapura.

"Jumlah genom yang dikenali bagi sesuatu varian amat berbeza antara negara disebabkan kekuatan strategi pemantauan genom dan pengambilan sampel," jelas Dr Maurer-Stroh.

Jadi, dakwaan yang menyatakan bahawa varian XBB berasal dari Singapura adalah tidak tepat kerana beberapa negara lain terlebih dahulu berdepan ancaman gelombang varian baharu tersebut.

 

Pandangan Pakar

Kembali semula kepada persoalan asal, adalah varian XBB adalah lebih berbahaya kerana mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi daripada varian Delta?

Memetik laporan laman sesawang Today Online dari Singapura, beberapa pakar di republik berkenaan berpendapat varian XBB tidak memberi kesan yang teruk kepada seseorang individu berbanding varian Covid-19 yang lain.

Menurut Presiden Persatuan Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal Asia Pasifik Dr Paul Tambyah, walaupun pihaknya tidak mempunyai data genom mengenai gelombang kes berkaitan varian XBB, beliau mendakwa varian berkenaan mudah merebak berbanding varian lain, sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak jumlah mereka yang dijangkiti varian berkenaan setakat ini.

Beliau turut memaklumkan jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Singapura tidak meningkat walaupun negara itu melaporkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak varian berkenaan dikesan buat pertama kali pada September lepas.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan pesakit yang saya lihat telah dijangkiti (dengan varian XBB) sejak beberapa hari lepas hanya menunjukkan simptom yang tidak begitu serius,” jelasnya.

Pakar Penyakit Berjangkit Mount Elizabeth Novena Hospital, Dr Leong Hoe Nam pula mendedahkan varian XBB telah menjadi peneraju virus di negara berkenaan dan telah mengatasi beberapa jenis varian Covid-19 yang lain.

Beliau pada masa turut mengesyaki bahawa kebanyakan pesakit yang datang mendapatkan rawatan kerana mendakwa diri mereka mempunyai simptom jangkitan Covid-19 sebenarnya hanya mengalami simptom ringan seperti sakit tekak.

Pandangan sama turut dilontarkan oleh Timbalan Dekan Sekolah Perubatan Awam Saw Swee Hock, National University of Singapore Profesor Madya Alex Cook yang mendedahkan bahawa gelombang XBB tidak begitu membimbangkan walaupun terdapat peningkatan jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital.

“Jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital semakin meningkat secara perlahan dan kami jangkakan dengan lebih banyak kes tetapi setakat ini, pertumbuhan bagi simptom serius adalah lebih lambat berbanding pertumbuhan (jangkitan Covid-19),” jelasnya.

Dalam pada itu, Kumpulan Penasihat Teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Evolusi Virus SARS-CoV-2 yang bersidang pada Oktober lepas memaklumkan mereka tidak menemukan sebarang bukti epidemiologi yang membuktikan bahawa varian XBB adalah lebih berbahaya berbanding sub varian Omicron yang lain.

Epidemiologi merupakan satu bidang kajian mengenai epidemik atau penularan wabak.

Menerusi laporan yang dipetik daripada laman sesawang WHO, kumpulan berkenaan menegaskan WHO akan terus memantau rapi mengenai penularan varian XBB dan turut meminta kesemua negara supaya lebih berhati-hati dan memantau sebarang perkembangan semasa varian berkenaan.

Negara anggota WHO pada masa sama turut dinasihatkan supaya menjalankan analisis bebas dan komparatif mengenai jujukan Omicron.

 


Sumber: Today Online

 


Sumber: World Health Organization

 

Rawatan Bagi Jangkitan Varian XBB

Mungkin di antara kita yang tertanya apakah langkah terbaik bagi mencegah atau merawat individu yang dijangkiti varian XBB?

Menurut Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia Prof Dr Azizi Ayob, orang ramai digalakkan mengamalkan kaedah TRIIS (uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan) apabila dijangkiti Covid-19, seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi ruangan Komentar yang diterbitkan oleh Berita Harian, Dr Azizi menjelaskan penggunaan pensanitasi tangan selain pemakaian pelitup muka di kawasan sesak adalah penting kerana penularan wabak Covid-19 masih belum berakhir.

Selain itu, suntikan dos penggalak Bivalent turut dilaporkan berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan varian XBB.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Menurut Khairy yang dipetik menerusi laporan akhbar The Star, dos penggalak keluaran syarikat Pfizer itu berkesan dalam melawan varian Omicron dan XBB.

Vaksin Bivalent dikatakan mampu menyediakan perlindungan terhadap virus Covid-19 dan sub varian Omicron seperti BA.4 dan BA.5 yang sebelum ini dikatakan kebal terhadap suntikan vaksin.

 


Sumber: The Star

 

Selain itu, Syarikat Pfizer menerusi laman sesawang mereka mendakwa berdasarkan kajian yang dilakukan, vaksin Bivalent dilaporkan menyediakan perlindungan yang lebih baik terhadap sub varian Omicron berbanding vaksin asal yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan sewaktu berlakunya penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

 

Tindakan Tegas Kerajaan Singapura

Disebabkan pelbagai informasi tidak tepat yang disebarkan di pelbagai platform mengenai varian XBB di Singapura, kerajaan negara berkenaan mengambil tindakan pantas dengan menafikan pelbagai dakwaan yang sedang tular ketika ini.

Laman sesawang kerajaan Singapura menyangkal dakwaan yang disiarkan oleh Thailand Medical News pada 9 Oktober lepas mengenai pelbagai laporan kurang tepat berhubung situasi semasa penularan Covid-19 termasuk varian XBB di republik berkenaan.

Menurut kenyataan ringkas di laman sesawang berkenaan, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengarahkan pejabat Akta Manipulasi dan Perlindungan Kepalsuan dalam talian (POFMA) untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada beberapa pihak.

Antaranya Thailand Medical News, ahli politik Singapura Goh Meng Seng daripada People’s Power Party sebuah laman santai negara berkenaan, HardwareZone Forum kerana mengeluarkan artikel yang mengelirukan berhubung situasi semasa ancaman varian XBB di negara berkenaan.

Kementerian Kesihatan Singapura menerusi laman sesawang mereka MOH SG mendedahkan walaupun terdapat peningkatan kes di negara itu yang disebabkan varian XBB, namun jumlah kes Covid-19 yang serius berada pada tahap rendah.

“Lebih penting, tiada bukti menunjukkan varian XBB menyebabkan simptom yang lebih serius. Setakat ini, majoriti pesakit menunjukkan simptom yang tidak membimbangkan seperti sakit tekak dan demam ringan terutamanya mereka yang telah menerima vaksin,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, KKM menerusi laman Twitter menjelaskan mereka memandang serius mengenai dakwaan tular berkenaan yang boleh mengundang kekeliruan fakta tanpa pembuktian secara saintifik.

 


Sumber: Twitter KKM Putrajaya

 

Pengesahan Badan Semakan Fakta

MyCheck turut mendapati isu ini turut disemak oleh pelbagai badan semakan fakta luar negara yang mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar kerana varian XBB sebenarnya membawa simptom yang hampir sama dengan varian Covid-19 yang lain.

Badan semakan fakta itu antaranya AFP Fact Check Malaysia, Techarp.com Dunyanews.tv dari Pakistan, black dot research dari Singapura selain Kompas.com dan Jawapos.com dari Indonesia.

 

KESIMPULAN

Perang melawan Covid-19 belum berakhir.

Di kala petugas barisan hadapan masih berterusan berjuang mengekang penularan jangkitan, elakkan memburukkan situasi dengan menyebarkan informasi yang tidak tepat sehingga boleh mengelirukan masyarakat.

Gunakan media sosial dengan berhemah dan dapatkan pengesahan pakar perubatan mengenai isu kesihatan awam di negara ini.

Bersama-sama kita membanteras penularan berita yang tidak benar di media sosial!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Aziz Al-Safi Ismail

  2. Malaysia kesan empat kes jangkitan COVID-19 varian XBB.Diterbitkan oleh Berita RTM

  3. Ministry of Health of Singapore on Covid-19 statistics

  4. CNA Explains: What you need to know about the XBB COVID-19 variant.Published by Channel News Asia

  5. Explainer: What is the XBB Covid-19 variant and should its rapid spread cause concern?Published by Today Online

  6. TAG-VE statement on Omicron sublineages BQ.1 and XBB.Published by WHO

  7. Covid-19: Bivalent vaccine effective against XBB, Omicron, says Khairy.Published by The Star

  8. Pfizer and BioNTech Report New Data on Omicron BA.4/BA.5-Adapted Bivalent Booster Demonstrating Improved Immune Response Against Emerging Omicron Sublineages.Published by Pfizer

  9. Corrections regarding XBB wave in Singapore.Published by the government of Singapore

  10. Thailand Medical News

  11. MOH STATEMENT IN RESPONSE TO XBB FALSEHOODS.Published by Ministry of Health of Singapore

  12. Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.