+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

JPM Sahkan Poster Abdul Hadi Dilantik Sebagai Perdana Menteri ke-10 Adalah Palsu

Benarkah...

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10

Sumber : Instagram & WhatsApp / November 2022

Hasil

JPM sahkan poster berkenaan adalah palsu dan meminta orang awam supaya tidak percaya.

21/11/2022 08:22 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu poster mendakwa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
  • Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan poster itu adalah palsu. Orang ramai dinasihati tidak percaya dengan dakwaan tular.
  • Perikatan Nasional (PN) masih kekal dengan pendirian untuk melantik Pengerusinya yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 jika memperoleh kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan. 

LATAR BELAKANG

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada Sabtu lepas (19 November) menyaksikan tiada sebarang gabungan parti yang memperoleh kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh kerusi Parlimen terbanyak iaitu 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi dan Barisan Nasional (30 kerusi).

Beberapa gabungan parti lain iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi), Warisan (tiga kerusi), Bebas (dua kerusi), serta masing-masing satu kerusi diperoleh Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.

Selepas berakhirnya PRU15, dua gabungan parti politik iaitu PH dan PN yang mendapat kerusi tertinggi, dilaporkan mengadakan perbincangan dengan gabungan parti lain termasuk di Sabah dan Sarawak dalam usaha mendapatkan undi majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

Kedua-dua parti gabungan itu dilaporkan diberi tempoh hingga 2 petang esok untuk menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu poster menerusi hantaran WhatsApp mendakwa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Pada poster berkenaan terpapar gambar Abdul Hadi dengan ucapan seperti berikut :

Tahniah Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Perdana Menteri Malaysia ke-10 daripada warga Jabatan Perdana Menteri,”.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat semakan di laman Instagram rasmi JPM memandangkan gambar berkenaan menggunakan profil JPM.

Kami menemukan satu hantaran oleh JPM yang mengesahkan poster berkenaan adalah palsu dan meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti.

JPM pada masa sama turut menasihati orang ramai untuk merujuk beberapa platform media sosial mereka termasuk di Facebook, Twitter dan TikTok bagi mendapatkan berita sahih.

 

PN Sepakat Lantik Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Pasca PRU15

Isu pelantikan Abdul Hadi yang mengekalkan kerusi Parlimen Marang pada PRU15 baru-baru ini sebagai Perdana Menteri tidak sepatutnya timbul.

Hal ini memandangkan PN yang dianggotai oleh lima parti komponen, telah bersetuju mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang baharu sekiranya PN mendapat mandat rakyat pada PRU15.

Lima parti komponen itu adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Ketetapan mengenai keputusan tersebut sudah disiarkan oleh pelbagai media tempatan termasuk Agenda Daily dan Harian Metro.

 


Sumber: Agenda Daily

 


Sumber: Harian Metro

 

Agong Belum Putuskan Siapa Perdana Menteri ke-10

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam (20 November), menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada PRU15, memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang ini (21 November).

Namun, berikutan PH dan PN masih belum mencapai kata putus dengan gabungan parti lain untuk membentuk kerjasama, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan tersebut hingga 2 petang esok (22 November).

Perkara berkenaan dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan hari ini.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri selesai,” katanya memetik laporan BERNAMA.

 

KESIMPULAN

Dakwaan bahawa Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah tidak benar.

JPM telah mengesahkan bahawa poster itu adalah palsu, sekali gus menafikan dakwaan tular.

Nasihat kami, tunggu dahulu sebarang pengumuman daripada Istana Negara kerana kuasa melantik Perdana Menteri adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Instagram Jabatan Perdana Menteri

  2. Bersatu cadang nombor satu calon PN, bukan orang ketiga dalam parti.Diterbitkan oleh Agendadaily.com

  3. Muhyiddin kembali jadi PM jika PN menang PRU-15 [METROTV]

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.