+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Astro Awani Nafi Adakan Pungutan Suara Bagi Melantik Perdana Menteri Baharu Atas Arahan Yang di-Pertuan Agong

Benarkah...

Astro Awani dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pungutan suara bagi melantik Perdana Menteri baharu susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber : WhatsApp / November

Hasil

Astro Awani nafi dakwaan itu. Pungutan suara yang dibuat oleh agensi itu menerusi capaian undi.astroawani.com sempena PRU15 tiada kaitan dengan dakwaan tular.

22/11/2022 12:48 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu mesej menyatakan Astro Awani membuat satu pungutan suara atas permintaan Agong bagi melantik Perdana Menteri ke-10.
  • Awani menafikan bahawa pungutan suara dinamakan #SuaraMalaysia yang dilancarkan stesen televisyen itu pada 17 Oktober lepas berkait dengan dakwaan tersebut.
  • #SuaraMalaysia bertujuan untuk mendapatkan pandangan rakyat sahaja.


Sumber: Astro Awani

 

LATAR BELAKANG

Bagi membentuk kerajaan Persekutuan baharu, satu parti politik perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk mendapat majoriti mudah.

Namun sekiranya tiada parti atau gabungan parti yang berjaya mendapat majoriti mudah, maka parlimen tergantung akan terjadi.

PRU15 yang berakhir Sabtu lepas mencatat sejarah baharu dalam landskap politik Malaysia apabila tiada parti mendapat majoriti mudah.

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima satu tangkap layar mesej di WhatsApp mengenai dakwaan terdapat satu pungutan suara bagi melantik Perdana Menteri baharu atas permintaan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan PRU15 yang menyebabkan parlimen tergantung.

Mesej itu meminta rakyat untuk memilih calon Perdana Menteri yang mereka inginkan menerusi capaian ‘undi.astroawani.com’ supaya Yang di-Pertuan Agong dapat mengangkat calon tersebut sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Namun benarkah pungutan suara itu adalah untuk melantik pemimpin kerajaan yang baharu? MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bagi mengenal pasti dakwaan yang dikongsikan itu, MyCheck pertama sekali membuat carian capaian berkenaan di enjin Google.

Hasilnya, kami dibawa ke laman portal pungutan suara tersebut seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Astro Awani

 

Pungutan Suara Adalah Pandangan Rakyat Sahaja

Seperti yang anda dapat lihat di petak merah yang telah kami tandakan, tertera di situ tajuk pungutan suara iaitu “Parlimen Tergantung: Jangkaan anda siapa PM ke-10?”

Di situ kami dapati bahawa pungutan suara tersebut bukannya untuk melantik Perdana Menteri baharu sebaliknya ia adalah jangkaan rakyat tentang siapa yang bakal memimpin Malaysia bagi lima tahun akan datang.

Bagi mendapatkan lagi kepastian, MyCheck juga menghubungi Astro Awani dan mereka menjelaskan bahawa pungutan suara yang dinamakan #SuaraMalaysia itu hanya bertujuan untuk mendapatkan pandangan rakyat sahaja.

 

Astro Awani Nafi Dakwaan Mesej Tersebut

 


Sumber: Asto Awani

 

Berdasarkan semakan MyCheck di laman portal berita Astro Awani pula, kami menemukan satu kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh stesen televisyen itu mengenai isu berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, Awani menafikan bahawa #SuaraMalaysia adalah arahan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya ia dilancarkan untuk mendapatkan penglibatan rakyat sempena PRU15.

Bagi pengetahuan anda, Yang di-Pertuan Agong tidak akan menilai pungutan suara untuk melantik Perdana Menteri sebaliknya ia adalah menerusi penilaian keputusan rasmi PRU15 yang dipersembahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja.

 

KESIMPULAN

MyCheck faham semua rakyat Malaysia berdebar menanti siapakah yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara.

Namun, berhati-hatilah berkongsi maklumat terutama melibatkan isu politik dan pencalonan Perdana Menteri yang sedang hangat menjadi tumpuan negara dan dunia kini.

Penyebaran maklumat palsu boleh menyebabkan anda dihukum, jadi, dalam keterujaan berkongsi jangan sampai ia memakan diri.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. PRU15: Mesej Agong titah Anwar diangkat sebagai PM baharu adalah palsu | Astro Awani

  2. Suara Anda, Suara Malaysia 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.