+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Seorang Kanak-Kanak Dibenarkan Mengundi Pada PRU15 Adalah Tidak Benar. Video Tular Itu Diambil Pada Program Pameran Undi Untuk Negara

Benarkah...

Seorang kanak-kanak di bawah umur hadir ke satu pusat pengundian dan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Sumber : WhatsApp & TikTok / November 2022

Hasil

Video tersebut bukan dirakamkan pada hari pengundian PRU15. Ia merupakan program ‘Pameran Undi Untuk Negara’ yang disertai kanak-kanak itu di Muzium Negara dua bulan lepas. 

20/11/2022 07:39 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki hadir ke salah satu pusat pengundian dan dibenarkan mengundi pada PRU15.
  • Hasil semakan MyCheck mendapati video itu bukan dirakamkan di mana-mana pusat pengundian hari ini namun ketika kanak-kanak tersebut menyertai program Pameran Undi Untuk Negara anjuran Muzium Negara.
  • Pameran itu bertujuan mengetengahkan proses pengundian serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan mengundi sebagai tanggungjawab rakyat.
  • Program yang berlangsung pada 16 September hingga 31 Oktober lepas itu merupakan anjuran bersama rakan strategik utama Muzium Negara iaitu Akademi Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Melihat keterujaan anak muda yang berusia 18 tahun ke atas khususnya yang berpeluang mengundi buat kali pertama pada PRU15 kali ini sungguh membanggakan.

Meskipun ramalan cuaca menjangkakan hujan lebat dan ribut petir bakal berlaku di sesetengah kawasan pada hari pengundian, ternyata tidak mematahkan semangat mereka untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Di sebalik cerita keterujaan itu timbul persoalan benarkah kanak-kanak juga dibenarkan mengundi pada PRU15?

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima mesej WhatsApp daripada orang awam yang meminta pengesahan berkenaan dakwaan terdapat kanak-kanak lelaki dibenarkan mengundi pada PRU15.

Menerusi mesej itu turut disertakan satu tangkap layar memaparkan gambar seorang kanak-kanak lelaki seperti sedang melakukan proses mengundi.

Benarkah dakwaan itu? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Video Asal Dari TikTok

MyCheck meneliti mesej yang dihantar dan mendapati tertera simbol TikTok Rewards dalam tangkap layar itu.

Simbol itu kebiasaannya bermaksud ia diambil daripada aplikasi TikTok.

Kami beralih ke TikTok untuk menjejaki pemilik video asal tersebut dan berpandukan kata kunci kanak-kanak undi dan gambar profil pemilik akaun, kami menemukan satu akaun yang menggunakan nama @rohaizaaza.

Seterusnya kami cuba mencari video tersebut untuk melihat keseluruhan kandungan yang ditularkan tersebut.

Kami mendapati video berdurasi 1 minit 20 saat itu tidak disertakan dengan sebarang kapsyen yang menjadi petunjuk.

Bagaimanapun setelah menonton video penuh tersebut barulah kami faham apa sebenarnya yang berlaku.

 

Salah Faham Pengguna TikTok

Jika melihat kepada ruangan komen pada perkongsian video berkenaan pelbagai reaksi dizahirkan pengguna TikTok.

Ada yang faham, ada yang terus membuat spekulasi dan meluahkan rasa hairan.

 


Sumber: Tiktok

 

Bagaimanapun, pemilik video tersebut telah memberi respons dan menjelaskan situasi sebenar.

Penjelasan pemilik video itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa kanak-kanak lelaki yang tular itu sedang mengundi di mana-mana pusat pengundian pada PRU15 sebaliknya dia telah menyertai satu pameran yang dianjurkan oleh Muzium Negara.

 


Sumber: TikTok

 

Pameran Undi Untuk Negara

Seterusnya MyCheck cuba mencari sekiranya terdapat informasi tambahan mengenai program undi di Muzium Negara.

Menggunakan enjin carian Google kami menemukan sebuah poster dengan maklumat seperti berikut.

 


Sumber: Muzium Negara

 

Jelas di sini, memang ada penganjuran program seumpama itu.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah MyCheck semak, ternyata dakwaan kanak-kanak boleh mengundi itu adalah tidak benar.

Dakwaan ini timbul berikutan salah faham pengguna TikTok yang kemungkinan tidak menonton video yang dimuat naik pemiliknya sehingga habis dan terus berkongsi serta membuat kesimpulan mengikut persepsi masing-masing.

MyCheck berpendapat perkongsian pemilik akaun tersebut tiada sebarang niat tidak baik malah sebenarnya boleh menjadi medium pengetahuan dan informasi menarik kepada umum.

Sebagai pengguna media sosial kita tidak harus cepat melatah apabila melihat sebarang kandungan (content) yang dimuat naik di platform media sosial kerana ada kalanya apa yang dikongsikan itu bukanlah hakikat sebenar.

Pasti ada cerita di sebalik setiap gambar atau video.

Jadi, jika tidak pasti, pastikan sahih dahulu. Kami di MyCheck sedia membantu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. soalan-soalan lazim mengenai penurunan umur pengundi dan calon serta pendaftaran pemilih secara automatik-RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2019

  2.  TikToK  @rohaizaaza 

  3. Pameran Undi Untuk Negara | Jabatan Muzium Malaysia 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.